KEJAYAAN Nasha Edziera Bahauddin meraih tempat kedua dalam kategori Pro Am ketika saingan Pusingan 4 di Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini menguatkan keazaman pelumba kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini untuk terus mengejar cita-cita peribadinya bergelar juara keseluruhan.
Menyedari ia bukanlah tugas mudah namun tidak mustahil mampu dilakukan, pelumba wanita muda ini tetap percaya di mana ada kemahuan pastinya ada kejayaan yang bakal diraih.
"Untuk rekod ketika ini, saya berkedudukan lima teratas keseluruhan. Dari segi pungutan mata, memang ada jurang antara kami berlima. Dengan berbaki 6 pusingan lagi, segalanya berkemungkinan boleh berlaku.
"Jadi saya perlu berusaha dari masa ke semasa untuk terus memperbaiki corak tunggangan," jelasnya yang kini berusia 21 tahun dan mudah mesra dengan panggilan Nasha.
Impi pasukan sendiri
Anak sulung daripada tiga beradik bagi pasangan Muhammad Bahauddin Hadzir dan Ruzaidah Mohd Noor ini turut menyimpan impian untuk menubuhkan pasukan sendiri, khususnya membabitkan pelumba wanita.
"Jika diukur, karier wanita sebagai pelumba tidaklah panjang sama seperti mana lelaki. Kerana itu, Nasha harap akan ada pelumba wanita yang muncul selepas ini bagi menggantikan saya dan rakan lain.
"Ini impian saya pada masa akan datang, pastinya kini saya akan cuba mencapai kejayaan dan mencari pengalaman berguna," ujarnya.
Mengenai tanggapan sesetengah pihak berkaitan wanita yang menyertai sukan permotoran, Nasha menyifatkan ia bergantung pada pemahaman individu itu sendiri.
"Bagi saya tiada salahnya wanita menyertai sukan permotoran ini asalkan mengikut perancangan dan peraturan yang sebenarnya.
"Saya kini selesa dan sedang dalam proses untuk terus mempertingkatkan kemahiran serta pengalaman, pembabitan ini juga mendapat restu kedua ibu bapa dan ahli keluarga.
"Terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan adalah adat, namun kita wajar jadikannya sebagai satu pengalaman dan penguat semangat untuk terus mencapai kejayaan pada masa akan datang," katanya.
Miliki perniagaan online
Membicarakan topik mengenai hal kecantikan mahupun fesyen, wanita sememangnya tidak dapat dipisahkan. Tinggi rendah atau apa jua kerjaya wanita tersebut, pasti dua perkara sebegini tidak dapat dilepaskan begitu sahaja.
Menyedari semakin ramai wanita yang mempunyai kuasa wang, perniagaan berteraskan wanita menjadi pilihan perniagaan masa kini. Tudung sebagai contoh merupakan satu bentuk perniagaan yang cukup rapat dengan wanita.
Perniagaan tudung yang diusahakan Nasha sejak setahun lalu kini semakin diterima baik. Malah bekas pelajar SMK Tuanku Ampuan Durah ini yang meminati bidang grafik sejak di alam persekolahan lagi turut mengabadikan idea dan ilham rekaan tudung milik perniagaannya.
Ditanya seandainya tidak membabitkan diri dalam sukan permotoran, Nasha yang mula berlumba sejak 2009 akan meneruskan perniagaan tudung yang dilakukan secara online.
"Jika tiada perlumbaan dan aktiviti permotoran, pastinya jualan tudung secara online akan dilakukan bagi mengisi masa terluang.
"Perniagaan secara online ini hanya baru bermula. Saya namakan ByneSeventyTwo. Bagi peminat di luar sana bolehlah layari blog online ini. Alhamdulillah, ada sedikit sambutan walau tak berapa hebat.
"Bermula dari suka-suka, kini saya semakin seronok dengan dunia perniagaan maya ini. Meskipun hanya sebagai karier sampingan, tetapi disebabkan cabaran dan keseronokan dalam meniaga ini saya beranggapan ia sama penting dengan apa yang saya lakukan dalam perlumbaan," akhirinya.
PROFILNama : Nasha Edziera Muhammad BahauddinNama Timangan : NashaUmur : 21 tahunAsal : Seremban, Negeri SembilanSekolah : SMK Tuanku Ampuan DurahFacebook : Nasha EdzieraPasukan : PersendirianKategori : Pro AmMula Berlumba : 2009Pencapaian Terbaik : Ke-5 Keseluruhan Kelas Pro AmIdola : Maria Harera, Muklada SarapuechKalau Anda Bukan Seorang Pelumba : Fashion Designer
No comments:
Post a Comment