DARIPADA PRN Sarawak hingga ke PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, BN berjaya memperoleh kejayaan yang cukup memberangsangkan selain turut membuktikan pengundi Cina telah kembali menyokong parti pemerintah ini.
Dalam PRK kali ini, ternyata setiap kaum mempunyai tuntutan yang berbeza. Bagi kaum Cina, mereka mengundi BN kerana dikatakan bimbang mengenai pelaksanaan hukum hudud dan perpecahan yang berlaku dalam parti pembangkang.
Manakala bagi kaum Melayu pula, secara umumnya mereka masih memiliki perspektif bahawa jika tidak menyokong BN dan Umno, masa depan Melayu akan terjejas.
Sin Chew Jit Poh melalui rencana khasnya menemu bual dengan tiga pemimpin iaitu Timbalan Presiden Ikram, Zaid Kamaruddin, aktivis mahasiswa, Fahmi Zainol dan bekas pemimpin MCA, Gan Peng Siau.
Zaid berpendapat, tidak kira golongan elit Melayu mahupun golongan biasa, apa yang paling dibimbangi oleh Melayu ialah kehilangan hak keistimewaan.
"Pada hari ini, masyarakat Melayu kekurangan pemimpin yang berwibawa. Mereka tidak tahu siapakah pemimpin yang bakal memimpin mereka pada masa depan. Orang Melayu juga takut untuk melakukan perubahan dan bimbang kehidupan mereka terabai. Oleh itu, orang Melayu tetap pilih parti yang boleh menjamin masa depan mereka," kata Zaid.
Menurut Zaid, ketika era baru capai kemerdekaan, kebanyakan orang Melayu hidup dalam kemiskinan.
"Untuk mengatasi masalah kemiskinan, kerajaan lalu melaksanakan Dasar Ekonomi Baru bagi mengurangkan jurang kemiskinan. Dasar ini adalah dasar yang baik namun berlaku kepincangan dari segi pelaksanaan.
"Apa yang kita lihat, di bawah dasar ini, segelintir orang Melayu telah menjadi kaya dalam masa yang singkat. Sebaliknya, kebanyakan orang Melayu yang benar-benar miskin tidak pula memperoleh faedah daripadanya," katanya.
Bagi Fahmi pula mengakui orang Melayu merasa bimbang kedudukan mereka akan terancam apabila melihat kaum Cina dan India bangkit menuntut hak mereka masing-masing.
"Sepatutnya pemimpin Cina tampil ke depan menyokong hak keistimewaan orang Melayu bagi membolehkan orang Melayu tidak berada dalam keadaan bimbang. Jika golongan bukan Melayu terlalu tekankan keadilan, ia tidak akan disenangi oleh orang Melayu.
"Saya faham erti keadilan adalah tidak menetapkan sistem kuota. Keadilan bermakna perlu memastikan semua orang terima layanan yang sama.
"Bagaimanapun semua orang Melayu tidak kira golongan atasan, pertengahan dan bawahan, semuanya mahu hak keistimewaan orang Melayu dikekalkan. Ini termasuklah dalam bidang pendidikan, peluang pekerjaan dan perniagaan," kata Fahmi.
Kata Fahmi yang aktif dalam kegiatan politik, orang-orang Melayu di kawasan kampung masih mempunyai rasa takut terhadap DAP kerana beranggapan parti ini adalah parti Cina.
"Orang Melayu bimbang DAP mungkin akan kuasai politik dan apabila DAP kuasai politik, hak keistimewaan orang Melayu pun akan turut terkikis," kata Fahmi.
Akhbar ini turut mendapatkan pandangan Peng Siau yang merumuskan orang Melayu masih memiliki dua elemen kebimbangan yang besar.
Pertama, kata Peng Siau, iaitu bimbang dasar-dasar baru yang dilaksanakan oleh kerajaan, seperti TPP, GST serta persaingan bebas dalam dunia perniagaan yang menyebabkan orang Melayu tidak nampak hala tuju yang bakal dilalui mereka.
"Kedua, orang Melayu tidak rasa selesa setelah kerajaan ingin memacu urbanisasi dalam transformasi sekali gus menyebabkan golongan ini yang kurang keyakinan tinggi dan daya saingan berada dalam kedudukan yang tertekan," kata Peng Siau.
Beliau berpendapat, masyarakat Melayu telah lama bergantung kepada kerajaan dan adalah sukar bagi mereka untuk menyesuaikan diri jika bantuan-bantuan ini diberhentikan.
"Sesetengah orang Melayu berjaya kerana mereka berusaha bersungguh-sungguh melalui dasar yang dilaksanakan kerajaan. Namun tidak kurang pula yang gagal kerana tidak dapat bersaing dalam dunia perubahan yang menuntut kemajuan yang pantas," katanya.
No comments:
Post a Comment