DUA sahabat baik yang dahulunya hanya suri rumah sepenuh masa, kini bergelar usahawan berjaya apabila mampu memiliki produk kecantikan sendiri hasil usaha keras mereka berdua.
Jatuh bangun mereka dalam melakar kejayaan ini mampu menjadi motivasi kepada sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan hidup mereka.
Hasnor Baizura Hashim, 32, dan Fahayu Ibrahim, 36, bersahabat baik sejak enam tahun lalu apabila perkenalan mereka melalui suami masing-masing.
Menurut Hasnor, suaminya dan suami Fahayu berkawan baik, jadi secara tidak langsung mereka berdua saling mengenali.
"Kami selalu keluar bersama, kadang-kadang saya ke rumahnya untuk bersembang. Sampai satu masa kami merasakan hidup kami agak tertekan dengan masalah kewangan apabila terpaksa meminta kepada suami jika ingin berbelanja," ujarnya.
Mereka berdua sering memikirkan cara untuk mendapatkan wang, malah turut bersepakat menjalankan perniagaan secara atas talian.
"Tapi wang yang kami peroleh tak banyak sebab komisen diberi hanya sekitar RM5 hingga RM7 untuk satu barang yang kami berjaya jual.
"Bila fikir-fikir, baik kami jual barang kami sendiri. Kami berdua nekad mencari idea untuk mencipta produk kami sendiri," kata Hasnor ketika ditemui Sinar Harian di premis mereka yang terletak di Kangar, Perlis.
5,000 terjual dalam sebulan
Berkongsi minat sama, dua sahabat baik ini nekad mencipta produk kecantikan sendiri. Pada awal 2015, mereka berkongsi modal sebanyak RM500 seorang dan membuat pelbagai kajian serta bahan bacaan sehingga berjaya mencipta produk kecantikan jenama Ryhanah Beauty.
Menurut Fahayu, pada awal perniagaan, mereka mengalami kerugian ribuan ringgit kerana produk itu kurang mendapat sambutan.
Namun berbekalkan semangat setia kawan serta ingin berkongsi kejayaan, dua sahabat ini bekerja keras melakukan pelbagai teknik pemasaran sehinggalah Ryhanah Beauty kini semakin dikenali ramai.
"Bukan senang orang nak ambil produk kami kerana ianya baru. Jadi kami ambil keputusan bagi mereka mencuba secara percuma dan Alhamdulillah selepas mencuba, mereka beli dengan kuantiti yang banyak untuk diletakkan di kedai mereka.
"Kini kami berjaya menjual kira-kira 5,000 unit produk Ryhanah Beauty dalam tempoh sebulan," katanya.
Mengulas mengenai produk tersebut, Hasnor berkata, Ryhanah Beauty dapat membantu masalah kulit berjerawat, jeragat dan juga kulit kusam. Menggunakan ramuan herba terpilih, Ryhanah Beauty juga dapat mengembalikan wajah awet muda, putih serta bercahaya. Dijual dengan harga RM90 (semenanjung), produk ini terdiri daripada sabun pencuci muka, krim siang, toner dan krim rawatan.
"Syukur juga, hasil maklum balas daripada pelanggan juga amat memberangsang. Rata-ratanya akan mencari kami lagi untuk mendapatkan produk ini," katanya.
Selain menjalankan jualan di atas talian, mereka juga sedang mencari lebih ramai ejen dan stokis bagi mengedarkan Ryhanah Beauty ke seluruh negara.
"Buat masa ini, ejen kami hanya di utara. Insya-ALLAH dengan penambahan lebih ramai ejen dan stokis, produk ini akan mendapat lebih sambutan," kata Hasnor yang turut memberitahu, Ryhanah Beauty boleh didapati di kedai-kedai jamu di seluruh Malaysia.
Perluas pasaran ke Dubai
Menyasarkan lebih banyak jualan, Fahayu berkata, dia dan Hasnor pernah bersengkang mata hanya memikirkan cara terbaik untuk memastikan produk mereka berada di tahap yang membanggakan.
"Kami berdua sangat berharap produk milik kami ini dapat diperluaskan pasarannya sehingga ke luar negara dan sekarang kami merancang untuk menghantar produk ini ke Dubai," kata Fahayu.
Bukan sahaja memasang impian untuk bergelar usahawan terkemuka, dua pengasas produk ini juga turut menjalankan kebajikan, yang mana RM1 daripada setiap pembelian produk mereka akan disumbangkan kepada Pertubuhan Kebajikan Al Ansor Perlis.
Dalam pada itu, mereka turut menyarankan suri rumah di luar sana agar keluar dari kepompong keselesaan dan berusaha mencipta kejayaan bagi mencapai kehidupan yang lebih baik dan berjaya.
Bagi yang berminat menjadi stokis produk Ryhanah Beauty, boleh hubungi 011-28486538 (Hasnor) dan 017-50004144 (Fahayu).
No comments:
Post a Comment