Wednesday, June 15, 2016

Malaysia hab global Nestle - Harian Metro

sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia dijangka menjadi salah satu daripada tiga lokasi utama bagi Hab Perolehan Global jenama makanan dan minuman antarabangsa, Nestle yang berperanan sebagai pusat pembelian dan pengedaran untuk rantau Asia serta dunia.

Pengarah Urusan Nestle (Malaysia) Berhad Alois Hofbaeur berkata, pihaknya kini sedang mengadakan siri rundingan dan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam usaha bagi merealisasikan cadangan terbabit.

"Pada masa ini, siri rundingan sedang berada di fasa akhir dan ia bakal dimuktamadkan serta diumumkan apabila mencapai persetujuan bersama kelak," katanya ketika siri temu bual eksklusif bersama kumpulan akhbar terbitan The New Straits Times Press (M) Bhd di sini.

Selain Malaysia, syarikat yang berpangkalan di Switzerland itu turut memilih Switzerland dan Panama sebagai dua lagi lokasi bagi hab perolehan globalnya.

Beliau berkata, keputusan mewujudkan hab itu dinilai berdasarkan keupayaan dan kedudukan kukuh syarikat Nestle dalam pasaran tempatan dan serantau melalui status sebagai hab halal Nestle global serta memiliki lapan kilang dan 6,000 pekerja.

"Saya percaya Malaysia memiliki potensi besar sebagai salah satu daripada hab kami dengan kemudahan dan infrastruktur logistik terbaik serta keupayaan bakat dalam kalangan pekerja di negara ini menjadi antara kriteria penting dalam menarik kewujudannya di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Nestle Malaysia optimis dengan pasaran pada tahun ini meskipun ia dijangka terus mencabar berdasarkan prestasi perniagaan positif yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini.

Hofbaeur berkata, pencapaian itu menyaksikan syarikat memiliki asas permulaan yang baik untuk terus memacu pertumbuhan kukuh iaitu kira-kira tiga peratus dengan peningkatan keuntungan 17 hingga 18 peratus dan eksport 12 peratus meskipun dalam keadaan tidak menentu pada masa ini.

"Pada tahun lalu, Nestle Malaysia masih mencatatkan pertumbuhan positif dan prestasi kukuh dalam aspek kewangan kami, sekali gus membawa kepada hasil operasi lebih baik meskipun ia bukan tahun yang mudah buat kami ekoran pelbagai faktor semasa," katanya.

Menurutnya, syarikat fokus kepada dua aspek utama iaitu produktiviti dan kecekapan kos serta inovasi dalam penghasilan produk sebagai strategi untuk mencapai prestasi lebih baik tahun ini.

"Inovasi boleh dianggap pemacu penting kerana trend pengguna dilihat sentiasa berubah yang mana ia terbukti apabila jualan pasar raya besar mencatatkan penurunan, namun kedai serbaneka mampu mencapai pertumbuhan sehingga dua digit pada tahun lalu.

"Kami sentiasa melaksanakan inovasi melalui penghasilan produk yang memenuhi keperluan semasa seperti dalam segmen Sedia Di Minum (RTD) dan mi segera serta menawarkan manfaat daripada aspek rasa dan kesihatan diri," katanya.

Sejak tiga tahun lalu, Nestle Malaysia memperuntukkan pelaburan RM140 juta bagi pelaksanaan inovasi dan RM400 juta tahun lalu dengan jumlah keseluruhan RM1.5 bilion sejajar dengan komitmen pelaburan syarikat kepada negara ini dalam tempoh lebih lima tahun.

Beliau berkata, kejayaan Nestle dalam pasaran tempatan turut disumbang melalui pengekalan harga produk dan ia dikembalikan semula kepada pengguna melalui penyediaan produk lebih berkualiti pada harga berpatutan terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

"Kami tidak menaikkan harga bagi barisan produk kami hampir dua tahun dan tidak bercadang meningkatkan harga di mana langkah itu kami anggap sebagai pilihan terakhir," katanya.

Sementara itu, Nestle Malaysia akan mula memberi perhatian kepada perdagangan elektronik (e-commerce) sebagai salah satu daripada teras perniagaannya memandangkan ia dijangka menjadi penyumbang penting kepada perniagaan pada masa depan.

Pada masa ini, pembabitan syarikat dalam e-commerce masih kecil, namun ia mencatatkan kadar pertumbuhan positif dan bakal menjadi trend perniagaan penting pada masa depan di mana China kini mencatatkan pertumbuhan lima hingga 10 peratus dalam segmen terbabit.

"Kami tidak bercadang menjadi peruncit sepenuhnya namun akan menjalinkan kerjasama dengan portal beli-belah dalam talian seperti Lazada dan 11 Street pada masa depan," katanya.

Sehingga kini, Nestle Malaysia mengeluarkan 500 jenis produk dalam pelbagai segmen dan ia menguasai pasaran tempatan di mana secara purata sebanyak 15 juta produk Nestle digunakan oleh pengguna di negara ini pada setiap hari.

No comments:

Post a Comment