KUALA LUMPUR 6 Jun - Malaysia menduduki tangga ketiga dalam Indeks Pembangunan Runcit Global (GRDI) A.T. Kearney 2016, kedudukan paling tinggi yang pernah dicapai setelah meningkat enam tangga sejak indeks itu diterbitkan pada 2001.
China berada di tempat pertama diikuti India manakala tiga lagi negara Asia Tenggara yang berada dalam indeks tersebut ialah Indonesia (tangga kelima), Vietnam (tangga ke-11) dan Filipina (tangga ke-16).
Ketua dan Rakan Kerjasama Asia Tenggara A.T. Kearney, Soon Ghee Chua berkata, sektor runcit di Malaysia berupaya mengharungi segala kebimbangan walaupun berdepan dengan kelembapan ekonomi dan penyusutan mata wang yang turut dialami oleh kebanyakan negara.
Katanya, sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh hakikat bahawa negara ini mempunyai potensi pertumbuhan yang pesat dalam kedua-dua sektor runcit secara tradisional dan atas talian.
"Dalam aspek peruncitan tradisional, Kuala Lumpur secara dasarnya sudah tepu dengan ruang runcit yang moden sekali gus mendorong pembangunan yang moden di kawasan lain, misalnya Kuching yang menyaksikan banyak projek sedang dijalankan antaranya, Emporium enam tingkat di Jalan Tun Jugah dan pusat beli belah di Matang.
"Pemain e-dagang pula semakin berkembang dengan agresif dengan pelbagai promosi dijalankan. Sebagai contoh, portal fesyen Zalora menyerap enam peratus cukai barang dan perkhidmatan bagi produk yang dijual manakala 11street bakal melancarkan aplikasi beli-belah secara mudah alih," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
GRDI dijalankan ke atas 30 negara teratas dalam pelaburan runcit di seluruh dunia. Indeks itu menganalisis 25 makroekonomi dan pemboleh ubah runcit khusus bagi membantu peruncit merangka strategi global yang berjaya untuk mengenalpasti peluang pelaburan dalam pasaran baharu.
Sejak indeks tersebut diterbitkan 15 tahun lalu, ia mendapati pasaran menunjukkan perkembangan pesat dari segi populasi dengan meningkat 21 peratus kepada 6.2 bilion manakala dari segi jualan runcit pula, meningkat 350 peratus dalam kalangan negara membangun dan kini mewakili lebih daripada separuh jualan runcit global.
Jualan runcit di Malaysia meningkatkan 3.4 peratus pada tahun lalu dan merupakan satu daripada negara Asia Tenggara yang paling mesra perniagaan dengan kedudukan ke-18 dalam laporan Bank Dunia bagi Indeks Kemudahan Menjalankan Perniagaan.
Menurut Ghee Chua, kedudukan Malaysia dalam indeks terbaharu yang dikeluarkan itu didorong oleh pelaburan peruncit di peringkat serantau dan antarabangsa yang semakin meningkat termasuk pasaran yang berkembang pesat untuk peruncit kecil dan pasar raya besar yang membantu pertumbuhan industri.
"Untuk kedai serbaneka, misalnya 7-Eleven Malaysia telah mengumumkan akan membuka 200 stor dan menambah baik lebih 200 stor sedia ada manakala Bison Consolidated pula mengumumkan tawaran awam permulaan (IPO) akan datang termasuk perancangan untuk membuka 150 kedai serbaneka baharu menjelang 2017.
"Dalam masa sama, GCH Retail, anak syarikat Dairy Farm di Malaysia juga merancang untuk membuka enam pasar raya besar Ginat dan menaik taraf 28 tambahan stor," katanya.
No comments:
Post a Comment