Tingkatkan taraf hidup usahawan luar bandar
"PUSAT Internet 1 Malaysia (PI1M) ini banyak membantu saya dalam membuat pemasaran secara atas talian.
"Di sini saya diajar cara-cara untuk membangunkan laman web perniagaan untuk menarik lebih ramai lagi pelanggan," ujar pengusaha katering, Mohammad Fikri Yaakob, 27.
Menurut Fikri, selepas dia menggunakan medium pemasaran melalui laman web dan laman sosial, permintaan terhadap perniagaan makanannya semakin bertambah.
"Sebelum ini saya hanya mengusahakan perniagaan makanan katering secara kecil-kecilan bersama isteri dan saya tidak berapa mahir menggunakan medium internet untuk mencari pelanggan," jelasnya.
Melalui tunjuk ajar Pengurus PI1M Kampung Masjid, Teluk Ramunia, Pengerang, Johor, Fikri kini semakin mahir menggunakan medium pemasaran secara atas talian seperti menggunakan Facebook, Mudah.com dan Dashboard Komuniti.
"Pengurus PI1M memberi tunjuk ajar kepada saya cara-cara untuk memuat naik gambar serta membuat kapsyen yang bersesuaian bagi menarik pelanggan," jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Sobri Ahmad Tajudin, 23, yang mengusahakan kedai makanan Barat turut menjadikan PI1M sebagai platform untuk memperkenalkan perniagaannya kepada orang ramai.
"Di PI1M saya diberi tunjuk ajar bagaimana menggunakan perisian bagi menghasilkan kain rentang iklan untuk mempromosikan perniagaan saya.
"Kebiasaannya apabila kehabisan data internet saya akan datang ke sini untuk mengemas kini atau memuat naik gambar kerana perkhidmatan jalur lebarnya lebih laju," ujarnya.
Pada masa sama, PI1M sering menganjurkan kursus-kursus keusahawanan untuk memperkembangkan lagi perniagaan.
Sementara itu, Pengurus PI1M Kampung Masjid, Norasikin Mohd Amir berkata, PI1M menyediakan kursus-kursus berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutamanya untuk penduduk luar bandar.
"Di sini kami memberi tunjuk ajar kepada penduduk kampung tentang cara-cara menggunakan perisian yang terdapat dalam komputer.
Usahawan luar bandar boleh menggunakan kemudahan di PI1M untuk memasarkan produk mereka secara atas talian.
"Ada yang datang ke PI1M ini dengan pengetahuan yang kosong untuk menggunakan komputer dan selepas diberi tunjuk ajar, mereka kian mahir untuk menggunakannya," kata beliau.
Selain itu, PI1M juga memberi tunjuk ajar tentang cara-cara menjadikan internet sebagai platform untuk membangunkan perniagaan terutamanya dari aspek pemasaran secara online.
Iklan
"Melalui kursus keusahawanan, kami mengajar mereka cara-cara untuk mengendalikan laman web dan media sosial sebagai medium pengiklanan bagi memasarkan produk.
"Usahawan -usahawan ini diberi tunjuk ajar bagaimana menghasilkan gambar yang menarik dan memuat naiknya ke laman sosial atau sebagainya bersertakan kapsyen yang betul bagi menarik perhatian pelanggan," jelasnya.
Kemudahan PI1M ini juga telah memberi pulangan yang besar kepada usahawan rumpai laut dari Kunak, Sabah, Kabilah Hassan selepas produknya turut mendapat permintaan dari luar negara.
Kabilah telah mentransformasikan perniagaan rumpai laut secara konvensional kepada suatu usaha niaga secara online.
"Kami sekeluarga hanya bergantung hidup kepada rumpai laut kerana ia merupakan warisan nenek moyang. Namun kehidupan kami berubah setelah anak saya belajar menggunakan internet dan hasil bantuan PI1M, dia telah belajar membuat laman web perusahaan kami.
"Dahulu, kami hanya mendapat permintaan rumpai laut ini hanya dari Kota Kinabalu, Sabah dan Semenanjung. Kini dengan adanya laman web sendiri kami turut mendapat permintaan dari Jepun dan China dan pendapatan semakin bertambah," jelasnya dalam satu video berjudul Segalanya Mungkin dengan Jalur Lebar, Kisah Benar Seorang Pengusaha Rumpai Laut dari Sabah yang telah diterbitkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
PI1M banyak dibina di kawasan luar bandar.
Kerajaan melalui MCMC telah menubuhkan PI1M untuk menyediakan pusat capaian jalur lebar secara kolektif di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan melalui Program Perkhidmatan Sejagat.
"Inisiatif penubuhan PI1M adalah bertujuan untuk merapatkan jurang digital antara masyarakat luar bandar dan bandar bagi mengecapi pembangunan yang sama rata dan seimbang.
"PI1M menyediakan akses kepada komuniti luar bandar dengan memberi pendedahan teknologi ICT kepada penduduk luar bandar dan seterusnya dapat membantu mereka untuk memanfaatkan kemudahan internet bagi meningkat taraf hidup," jelas Ketua Jabatan Komunikasi Digital Pintar MCMC, Mohd. Fadhillah Mohd. Nor.
Tambah beliau, PI1M mempunyai enam teras hala tuju. Antaranya mahu menjadi ejen pengubah untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat serta meningkatkan kemahiran dan menggerakkan komuniti setempat.
"Selain itu kami mahu menjadikan ia sebagai pusat keusahawanan dan e-dagang dalam membantu komuniti setempat untuk menambah pendapatan mereka dengan kemudahan jalur lebar yang disediakan.
"Dalam masa yang sama, PI1M juga akan menjadi pusat pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan pengetahuan formal dan tidak formal," jelasnya.
Tambahnya, melalui penubuhan PI1M, diharapkan ia akan menyumbang ke arah kejayaan inisiatif negara untuk merapatkan jurang digital antara komuniti luar bandar dan bandar.
Sehingga April 2016, sebanyak 674 PI1M telah dibangunkan di seluruh negara dan jumlah keahliannya telah melebihi 500,000 orang.
Dengan keluasan 112 meter persegi, setiap premis PI1M dilengkapi sambungan internet jalur lebar berkelajuan sekurang-kurangnya 4 megabit sesaat (Mbps) dan mempunyai ruang latihan kondusif yang memuatkan 10 komputer serta kemudahan WiFi percuma.
Dua orang penyelia tetap dilantik bagi menguruskan pusat itu dan bertanggungjawab menganjurkan latihan. Selain itu, mereka juga bertanggungjawab memberi bimbingan berterusan dalam bidang ICT dan keusahawanan secara percuma kepada semua pengguna dan masyarakat setempat di lokasi PI1M.