Tuesday, January 19, 2016

Tambah beban, tak sensitif - Harian Metro

afiq_hanif@hmetro.com.my

Faktor Internet banyak membantu memudahkan urusan seharian sehingga menjadikan teknologi terbabit antara inovasi paling unggul dalam beberapa dekad ini yang terkenal dengan jolokan 'dunia tanpa sempadan.'

Kemudahan ini juga secara tidak langsung turut menjadikan dunia semakin mengecil.

Bukan saja pelbagai maklumat boleh dicapai di hujung jari dengan kadar segera, jaringan perhubungan juga semakin meluas hingga jarak jutaan kilometer bukan lagi penghalang.

Namun, apabila segala-galanya mahu diinternetkan, bermulalah edisi viral terutama apabila media sosial digunakan secara meluas.

Pengguna beria-ia memviralkan segalanya tanpa usul periksa sehingga ada antaranya mengakibatkan kita menjatuhkan air muka orang lain tanpa disedari.

Mengikut laman kamus Oxford, viral membawa maksud imej, video, maklumat dan sebagainya yang tersebar secara pantas serta meluas di Internet.

Kejayaan sesuatu viral terbabit bergantung kepada tiga faktor iaitu pembawa, kandungan dan penerima­nya.

Pembawa viral ini biasanya memperoleh maklumat daripada pihak ketiga seperti berita atau menyunting sendiri kandungan sebelum memindah turunnya di Internet.

Bergantung kepada jenis kandungan pula yang biasanya bersifat seram, sedih, kelakar, gembira atau lain daripada yang lain, ia pantas tersebar di Internet tidak kira mediumnya berbentuk teks, gambar atau video.

Namun, situasi semasa juga mempengaruhi kesan viral terbabit untuk tersebar secara meluas di Internet.

Penerima pula akan memanjangkan kandungan terbabit di Internet sama ada melalui media sosial atau aplikasi sembang seperti Facebook dan WhatsApp.

Di Malaysia pengguna Facebook menjangkau sehingga 18 juta dengan populasi keseluruhannya 30.5 juta orang yang jelas menunjukkan lebih 59 peratus rakyat di negara ini menjadikan laman terbabit sebagai medium bersosial paling berpengaruh.

Sementara itu, penembusan 100 peratus telefon bimbit di negara ini memberi peluang kepada aplikasi sembang seperti WhatsApp dipindah turun 77 peratus pengguna telefon yang menjadikan antara aplikasi permesejan paling popular.

Berdasarkan dua medium terbabit, tidak hairan sesuatu perkara itu akan menjadi viral dalam sekelip mata.

Ditambah pula, kedua-duanya mempunyai konsep 'page' serta 'group' yang membolehkan ahlinya menyebarkan sesuatu seterusnya dikongsi ahli lain.

Ratusan 'page' atau laman di Facebook pula memberikan dimensi baru bagi memviralkan sesuatu apabila 'admin' pantas berkongsi kandungan kepada pengikut.

Manakala perkongsian di 'group' WhatsApp pula menjadikan viral terbabit lebih meluas sehingga sukar mengenali siapa yang pertama menyebarkannya.

Itu belum lagi dikira media sosial atau aplikasi permesejan lain seperti Twitter, Instagram, Line, Telegram, WeChat yang menyebabkan kandungan tersebar.

Bagaimanapun, buruk­nya apabila penyebaran maklumat terbabit tanpa usul periksa sumber dan kandungannya sehingga ada yang mengambil kesempatan sehingga mengakibatkan kandungan palsu berleluasa di Internet tanpa batasan.

Misalnya, tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang melaporkan kejadian dua murid dipukau sebelum dipaksa mengemis hingga viral di laman sosial menimbulkan kekecohan di kawasan pasar malam Kuala Berang, Terengganu, baru-baru ini.

Ia dinafikan sendiri Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu Jalaludin Ismail yang menjelaskan ia sebenarnya berpunca daripada salah faham.

Menurutnya, kedua-dua murid berkenaan yang masing-masing berusia sembilan dan 12 tahun sebenarnya menunggu ibu seorang daripada mereka yang bekerja di Kuala Berang untuk mengambil mereka di pasar malam itu.

Menurutnya, selepas gambar kedua-dua murid itu viral, seorang ahli keluarga mereka pergi ke pasar malam itu mengambil mereka berdua yang tinggal berjiran.

Katanya, sekali lagi berlaku salah tanggapan apabila ada pihak mendakwa individu terbabit bukan ahli keluarga, sebalik­nya mempunyai niat jahat mempergunakan kedua-dua murid itu.

Penyebar maklumat terbabit mungkin tidak faham situasi dari awal sehingga mengeposnya di Internet yang disebarkan individu lain tanpa usul periksa.

Adakalanya, penyebar maklumat langsung tidak bertanya terlebih dulu dan membuat andaian sendiri sehingga mencetuskan salah faham.

Perbuatan merakam foto atau video tanpa pengetahuan subjek itu sendiri boleh mengakibatkan salah faham apatah lagi sekiranya ia menjadi viral mencetuskan situasi yang kurang menyenangkan.

Siapa yang mahu bertanggungjawab sekiranya perbuatan viral terbabit memalukan individu tertentu?

Satu lagi kes membabitkan kuaci jenama terkenal yang didakwa tidak halal dan disebarkan di aplikasi WhatsApp meskipun mereka pemegang sijil halal Malaysia yang sah.

Viral terbabit bagaimanapun dinafikan Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Hakimah Mohd Yusoff berkata yang mengatakan laporan akhbar yang disebarkan itu adalah berita yang tersiar pada 2010.

Viral sebenarnya boleh satu fitnah yang membawa kesan lebih besar. Misalnya sekiranya ia memberi kesan kepada sesuatu perniagaan sehingga lumpuh perniagaan terbabit, siapa yang mahu bertanggungjawab sekiranya pekerja terpaksa diberhentikan? Siapa yang memberi makan kepada keluarga pekerja terbabit?

Penerima viral pula kurang memberi perhatian dalam memeriksa sumber. Asalkan cukup saja membaca mesej 'sebarkan, ini pesan dari ketua polis' dan banyak lagi yang kononnya sumber itu dan ini tanpa bukti kukuh.

Mereka juga tidak memeriksa sumber terbabit daripada badan bertanggung­jawab yang kebanyakannya mempu­nyai laman Facebook sendiri atau platform lain memungkinkan pengguna memeriksa kesahihan sesuatu viral.

Meskipun begitu, viral juga ada baik atau nilai positif sekiranya kena pada tempatnya.

Misalnya, selebriti Azwan Ali melalui situasi viral apabila menyelar peminat yang memperkenalkan kepadanya restoran Menate yang disangka mengecamnya sebagai binatang.

Ekoran viral terbabit, restoran terbabit mencuri perhatian ramai yang berpusu-pusu mengunjungi lokasi sehingga tidak menang tangan pemiliknya melayan.

Itulah dikatakan viral positif meskipun sebelum itu datang daripada sumber yang negatif.

Terbaru, foto viral dan teks seperti 'Jadilah Seperti Rashid' yang mendapat adaptasi dari 'Be Like Bill' berupaya memberi unsur positif dalam kehidupan seharian.

Datang dalam bentuk sindiran dan kiasan, ia boleh dinilai mengenai mesej dinyatakan yang rata-ratanya menunjukkan moral yang perlu diteladani semua pihak.

Lebih-lebih lagi, kaedah seumpama itu amat bersesuaian untuk golongan muda kini yang semakin bergantung kepada teknologi Internet dan dianggap antara dakwah terbaik untuk mendekati mereka.

Apa-apa pun , kita boleh menilai sendiri keadaan viral di negara ini yang ada antaranya membimbang­kan.

Mana tidaknya, tidaklah ia menjadi viral apabila pengguna sendiri berupaya menilai sesuatu itu dengan baik dan tidak menyebarkannya di Internet.

Dari sudut lain, ruang kreativiti yang ada dalam kalangan rakyat negara ini disalah guna untuk tujuan yang salah.

Pandai dalam menyunting dan mengolah ayat dijadikan platform menyebarkan sesuatu yang tidak sahih sehingga menimbulkan panik dalam kala­ngan pengguna.

Cukup-cukuplah menyebarkan viral yang tidak diketahui hujung pangkal sehingga ramai mangsa terpaksa membuat laporan polis.

Ia sekali gus menambah beban pihak berkuasa sedia ada yang terpaksa membuka kes yang pada asalnya tidak perlu dilakukan.

No comments:

Post a Comment