Monday, January 25, 2016

Medini bakal jadi Shenzhen - Utusan Malaysia

UTUSAN: Pertama sekali, tahniah atas anugerah tersebut dan kejayaan UMLand di peringkat antarabangsa. Setakat ini, apakah perkembangan terbaharu bagi projek UMCity Medini?

CHARLIE CHIA LUI MENG: Ketika ini ia baru di peringkat menanam cerucuk dan dijangka siap pada suku ketiga 2018. Apabila siap sepenuhnya, pembangunan bercampur bersepadu di UMCity Medini akan mempunyai dua menara korporat bertaraf premium, dua servis kediaman antarabangsa, sebuah hotel, pusat beli-belah dan pelbagai rangkaian pejabat perniagaan.

Secara keseluruhan projek ini mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.3 bilion. Samsung C&T pula dilantik sebagai kontraktor bagi projek ini.

UMCity Medini menghimpunkan kerjasama dengan jenama besar antarabangsa iaitu, perkhidmatan pejabat diselia oleh Regus manakala pengurusan hospitaliti oleh Ascott dan Onyx. Selain itu, rakan kerjasama lain ialah Roca dan Neverland.

Bagaimana dengan penglibatan kontraktor bumiputera?

Kami menyerahkan perkara ini kepada Samsung C&T dan menggalakkan mereka untuk memilih kontraktor bumiputera yang berkelayakan. Bagaimanapun, kami tidak mempunyai sebarang kuota tertentu bagi penglibatan kontraktor bumiputera dalam projek ini.

Mengapa penting bagi UMCity melengkapi pembangunan di Medini dan keistimewaan yang disediakan di sini?

Medini kini menuju ke peringkat standard antarabangsa dan untuk itu, ia menyediakan zon ekonomi dan insentif cukai. Medini juga mempunyai bangunan pejabat gred A yang mempunyai status bangunan hijau.

Sebagai menggalakkan syarikat luar negara membuka pejabat di sini, insentif juga disediakan termasuk kakitangan expatriat yang bekerja pula hanya perlu membayar 15 peratus cukai penda­patan. Malah, mereka juga dibenarkan boleh menikmati pengecualian cukai bagi pembelian barangan.

Tetapi bagi syarikat yang mahu beroperasi di sini tetapi tidak mempunyai pejabat gred A yang bagus, Medini Iskandar Malaysia (MIM) bercadang untuk menyediakan pejabat sementara sebelum berpindah ke bangunan bergred tinggi yang lain.

Ini merupakan sebahagian daripada peluang yang bagus kepada kami untuk melengkapi keperluan bangunan gred A dengan pelbagai inovasi ke arah memenuhi standard antarabangsa terutama bagi menggalakkan lebih banyak kemasukan syarikat multinasional.

Adakah Medini mampu muncul sebagai zon ekonomi bagi rantau ini?

Saya melihat Medini bakal menjadi seperti Shenzhen seperti mana pada awal 1970-an. Shenzhen pada awalnya hanyalah sebuah pekan kecil tetapi apabila terdapat pelbagai insentif ekonomi, ia berkembang menjadi wilayah kuasa ekonomi dan industri. Limpahan ini kemudiannya memberi kesan positif kepada negeri berhampiran iaitu Hong Kong yang semakin berkembang pesat.

Perkara yang sama juga berlaku apabila Singapura yang kini semakin maju dilihat akan mengalami kekurangan kawasan untuk ekonomi dan penempatan pada masa depan, maka Medini merupakan kawasan yang terdekat untuk menerima limpahan ekonomi dari Singapura.

Jadi, Iskandar Malaysia adalah lokasi yang paling bersesuaian untuk menerima perkembangan ekonomi dari negara jiran dan kita menjangkakan lebih ramai syarikat multinasional akan melabur dan membuka syarikat mereka di Medini.

Bagaimana dengan laporan yang mengatakan terdapat lebihan penawaran di Iskandar Malaysia? Apakah langkah yang dilaksanakan UMLand dalam mengatasi hal ini?

Lebihan bekalan ini hanya melibatkan kediaman iaitu kondominium apartmen dan jika melihat kepada UMCity, kita memang mengelak untuk bangunkan kondominium servis sebab walaupun dipanggil pangsapuri servis dan apabila beli, unit bangunan ini mempunyai operator yang akan menguruskan unit yang dibeli iaitu dari segi sewaan dan penyelenggaraan. Maknanya, ia mempunyai pendapatan yang stabil dan ini banyak membantu pelabur. Jadi, bila beli unit pangsapuri ini, sekali gus memberi jaminan pendapatan dan menjadi pemilik kepada aset hartanah ini.

No comments:

Post a Comment