Wednesday, January 27, 2016

Pasukan Liga-M Jadi Tumpuan Penajaan Syarikat Kosmetik Tempatan - Bernama

Laporan Khas Oleh Mazani Chan Yat Sin

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2016 yang bermula 12 Feb ini dilanda fenomena baharu apabila beberapa syarikat kosmetik dan kecantikan dilaporkan berlumba-lumba untuk menaja pasukan tempatan sejak pasukan Kelantan mendapat tajaan berjumlah RM16 juta daripada Vida Beauty Sdn Bhd.

Antara syarikat kecantikan yang dilaporkan berhasrat untuk menaja pasukan bolasepak tempatan adalah D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd yang berminat untuk menaja sama ada pasukan Pahang atau Terengganu selepas rundingan dengan juara Piala Malaysia 2015, Selangor gagal mencapai kata sepakat.

Syarikat Megah Perawan Sdn Bhd yang dilaporkan berhasrat menaja pasukan Liga Perdana PKNS FC pada pusingan awal telah membuat pusingan U apabila menyatakan mereka belum bersedia untuk membuat pelaburan dalam bola sepak.

Selain itu syarikat Nouvelle Visages yang menyatakan minat menaja salah satu daripada tiga pasukan bola sepak tempatan na mun nama pasukan tidak didedahkan.

Keghairahan syarikat kosmetik menaja pasukan bola sepak dilihat satu perkembangan positif bagi sukan bola sepak tempatan memandangkan penajaan untuk sukan nombor satu negara itu sebelum ini lazimnya datangnya daripada syarikat barangan sukan dan minuman isotonik.

Ia sebenarnya amat penting memandangkan kos pengurusan untuk pasukan Liga-M menelan belanja antara RM8 hingga RM18 juta bergantung sama ada pasukan itu bersaing dalam Liga Super atau Liga Perdana, dan jumlah berkenaan dijangka meningkat tahun ini susulan penswastaan Liga-M dan dikendalikan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

FMLLP pula dijangka hanya memberikan geran antara RM500,000 sehingga RM1 juta kepada setiap pasukan Liga Perdana dan Liga Super, dan jumlah ini tidak mampu menampung keperluan kewangan pasukan terlibat hingga menyebabkan mereka kini perlu mencari penaja pasukan masing-masing untuk bertanding dalam Liga-M.

FMLLP merupaka n sebuah badan khas yang menguruskan perjalanan Liga-M bermula musim ini susulan kerjasama yang terjalin antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan syarikat pemegang hak media antarabangsa terkemuka, Media Partners & Silva (MP & Silva), awal tahun lepas.

Bekas pemain kebangsaan era 90-an, Mohd Nidzam Jamil yang dihubungi Bernama Khamis, menyokong usaha syarikat kosmetik menyuntik dana kepada pasukan pilihan mereka kerana yakin ia sedikit sebanyak mengatasi masalah kewangan yang dihadapi pasukan dalam Liga-M.

Mohd Nidzam, jurulatih kelab Liga FAM AirAsia FC bagaimanapun melahirkan kebimbangan sekiranya wujud campur tangan dalam urusan pentadbiran oleh pihak penaja sehingga menjejaskan perancangan terdahulu pasukan berkenaan yang sudah dirangka lebih awal.

"Bagi saya, penajaan daripada syarikat kosmetik ini bagus cuma apa yang saya risaukan adalah mereka bakal mencampuri pengurusan sesebuah pasukan yang akhirnya akan membawa kepada konflik kepentingan pas ukan itu sendiri," katanya sambil menambah, pengurusan bola sepak dan pengurusan syarikat adalah dua perkara yang berbeza.

Mohd Nidzam yang pernah mewakili Selangor pada era 90-an berkata, selain itu penaja akan mewujudkan tekanan terhadap pasukan bola sepak untuk mencapai kejayaan kerana mereka mahukan pulangan hasil pelaburan besar yang telah mereka lakukan.

"Bola sepak ini adalah sukan yang sangat mendesak, dan desakan daripada penaja untuk sesuatu pasukan raih kejayaan (setiap musim) adalah perkara biasa. Tanpa desakan sekali pun, pengurusan sesebuah pasukan sudah semestinya menginginkan kejayaan.

"Namun mereka (penaja) harus ingat kemampuan pemain sesebuah pasukan untuk melakar kejayaan dalam tempoh singkat bukannya satu perkara mudah kerana ia memerlukan perancangan teliti," katanya dan menegaskan pemain juga harus tahu bagaimanapun untuk mengawal tekanan serta kehendak pengurusan dan penyokong mereka sendiri.

Bagi pengkritik sukan tanah air, Prof Emeri tus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pula melihat penajaan daripada syarikat kosmetik dan kecantikan, antaranya bertujuan untuk memperluaskan jaringan perniagaan sesebuah syarikat kosmetik berkenaan.

Khoo, pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya berkata pelaburan jutaan ringgit ketika ini tidak menjanjikan pulangan kepada sesebuah pasukan sekiranya pengurusan pasukan yang ditaja itu diberi tekanan oleh pihak penaja untuk mempamerkan aksi cemerlang sepanjang musim.

"Pada zaman dahulu, persekitaran bola sepak negara sangat berbeza memandangkan pemain berusaha menggunakan duit sendiri untuk membantu pasukan tanpa mengharapkan penajaan.

Sayangnya, perkara itu tidak wujud lagi pada masa kini, dan penajaan jutaan ringgit menjadi tumpuan utama pasukan untuk meraih kejayaan," katanya yang masih lagi aktif memberi syarahan selain menulis buku mengenai sejarah Malaysia.

Bagi penulis, suntikan dana oleh syarikat kosmetik dan kecantikan amat membantu pengurusan pasukan da lam Liga-M terutamanya bagi mengelakkan mereka terpaksa 'gulung tikar' sebagaimana yang dialami oleh beberapa pasukan sebelum ini seperti NS Betaria, MP Muar dan USM FC.

Bagaimanapun, pihak pengurusan pasukan bola sepak perlu menguruskan kewangan masing-masing dengan sebaik-baiknya kerana pihak penaja ingin tahu kegunaan wang yang dilaburkan mereka digunakan untuk perkara yang telah dipersetujui kedua-dua pihak.

Selain itu, pasukan bola sepak juga tidak harus terlalu bergantung kepada penajaan semata-mata, malah perlu berusaha untuk mengkomersialkan produk pasukan masing-masing sebagaimana yang dilakukan oleh pasukan bola sepak di Eropah dalam membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi pasukan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment