Sunday, January 31, 2016

Strategi Lautan Biru rapatkan jurang akademik bandar, luar bandar - Utusan Malaysia

Satu daripada kejayaan Gelombang 1 Pelan Pembangunan Pendi­dikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah pengecilan jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 2012 hingga 2014.

Bagi keputusan UPSR, jurang pencapaian gred purata berkurang daripada 0.19 pada tahun 2013 kepada 0.17 pada tahun 2014.

Begitu juga bagi keputusan SPM yang merekodkan jurang pencapai­an gred purata merapat daripada 0.61 (2013) kepada 0.60 (2014) dan seterusnya 0.55 (2014).

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ini berjaya dicapai melalui program khusus Kementerian Pendidikan seperti Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) dan Rakan Peningkatan Sekolah (SIP+).

Terdapat 1,032 SISC+ ditugaskan membimbing guru berkaitan kan­dungan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik manakala 312 SIP+ pula dilantik bagi memberi sokongan kepada pemimpin seko­lah dalam menambah baik peng­urusan serta pentadbiran.

Di samping itu, di luar lingkaran Kementerian Pendidikan melalui Strategi Lautan Biru pelbagai pihak yang berkepentingan turut memberi sumbangan membantu mening­katkan prestasi akademik sekolah terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Antara inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru yang memberi impak positif merapatkan jurang akademik sekolah bandar dan luar bandar termasuklah program pintar yang melibatkan syarikat berkepenti­ngan kerajaan (GLC), sumbangan pemimpin masyarakat dan kerajaan negeri di samping pembekalan komputer riba Netbook 1Malaysia.

Dalam Program Pintar, GLC ter­ba­bit bekerjasama dengan Yayasan Pintar mengambil sekolah-sekolah angkat di kawasan mereka berope­rasi atau sekolah luar bandar mengikut pilihan mereka.

Sekolah-sekolah angkat ini da­lam tempoh tiga tahun dibantu dari segi kewangan dan keperluan lain mengikut kesesuaian bagi melaksanakan program-program yang me­njurus kepada peningkatan pres­­tasi akademik.

Unit Pendidikan Utusan Malaysia turut terlibat secara langsung dalam Program Pintar ini dengan Kumpulan UMW dari aspek menyediakan kan­dungan program motivasi dan teknik menjawab soalan pe­periksaan.

Sementara itu, sumbangan pe­mim­pin masyarakat terutama wakil-wakil rakyat dan kerajaan negeri dalam membantu meningkatkan pencapaian akademik di kawasan masing-ma­sing memang terbukti berjaya.

Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Perak, sejak 2014 hingga tahun ini, telah dan masih membekalkan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor SPM ke sekolah-sekolah menengah terpilih di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, Tutor SPM yang digunakan oleh 164 sekolah menengah terpilih di seluruh Perak sejak tiga tahun lalu telah membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar terutama dalam subjek tertentu seperti Bahasa Melayu dan Sejarah.

"Hasil penggunaan Tutor SPM ini kita lihat, prestasi pelajar memberangsangkan bukan sahaja da­lam subjek-subjek tertentu tetapi turut memperkayakan latihan untuk pelajar," katanya.

Selain itu, pembekalan Netbook 1Malaysia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Media Malaysia (SKMM) kepada pelajar miskin sama ada di bandar mahupun di luar bandar juga turut membantu mengecilkan jurang pencapaian akademik sekolah bandar dan luar bandar.

Netbook ini membolehkan kesak­samaan akses terhadap sumber pem­belajaran atas talian kepada pelajar bandar dan luar bandar.

No comments:

Post a Comment