Saturday, January 30, 2016

Neelofa tak ambil pusing status jutawan - Sinarharian

TIDAK hanya menempa nama dalam industri seni tempatan, figura cantik ini turut mencipta kejayaan dalam bidang perniagaan yang diceburinya.

Mana tidaknya, Noor Neelofa Mohd Noor, 27, atau Neelofa dilihat begitu komited menguruskan perniagaan tudung jenama Naelofar sejak dua tahun lalu.

Lebih berbaloi, apabila tudung yang dihasilkan berjaya menjadi perhatian pembelinya sehingga tercetus fenomena luar biasa di kalangan wanita berhijab di negara ini.

Di atas kejayaan itu juga, pelakon dan pengacara cantik ini sering menjadi buah mulut apabila statusnya kini dikatakan layak digelar sebagai seorang jutawan muda.

Tidak mengia mahupun menafikan, aktres filem Pilot Cafe ini enggan mengambil pusing apa yang dikatakan terhadap dirinya.

"Kejayaan yang orang perkatakan itu adalah hasil titik peluh saya dan keluarga. Ia tidak akan berlaku sekiranya saya tampil berseorangan tanpa sokongan dan kerjasama keluarga terutamanya ibu dan ayah saya.

"Saya bersyukur kerana kepercayaan yang saya peroleh ini akhirnya membuahkan hasil.

"Saya mahu perniagaan ini berjalan dalam jangka masa yang lama dan bukannya sementara. Jadi fokus saya lebih kepada bagaimana mahu kekal dan mengembangkan lagi perniagaan ini berbanding memikirkan apa yang diperkatakan orang lain kepada diri saya," katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Meletop (AME) 2016, baru-baru ini.

Menjelaskan mengenai khabar angin status jutawan itu, Neelofa tidak menafikan ia turut memberi kebaikan dan keburukan terhadap perniagaan yang dijalankannya.

"Bila pihak kami berbincang semula mengenai berita yang keluar, sebenarnya ia juga memberi kebaikan dan tak nafi juga yang buruk.

"Dari segi perniagaan, sebenarnya lebih banyak peluang yang kita terima dan pada masa sama kita juga tidak ada sesuatu yang boleh disorokkan," katanya.

Bagaimanapun, Neelofa akui dirinya menganggap gelaran yang diberikan kepadanya sebagai satu doa orang ramai buat kejayaannya.

"Saya terima dan tidak kisah jika mereka menggelarkan saya seperti itu dan menganggapnya sebagai satu doa.

"Saya berharap ia tidak akan mengubah siapa diri saya kerana saya masih individu yang sama cuma mahu menjadi yang lebih baik daripada setiap sudut," jelasnya panjang lebar.

Lebih 'daring'

Bercerita mengenai pembabitannya sebagai hos AME 2016, Neelofa menjanjikan kelainan dan kesegaran dalam pengacaraannya nanti.

"Alhamdulillah, ini kali ketiga saya bergelar hos di AME. Tahun ini apa yang boleh saya katakan, saya akan lebih 'daring' dari segi pengacaraan.

"Ketika saya berada di New York baru-baru ini, saya sempat menyaksikan persembahan Broadway ketika menjalani kursus pendek di sana.

"Jadi dari situ saya mendapat inspirasi untuk menjayakan pengacaraan ini dan saya sudah berbincang dengan mereka yang terlibat. Saya harap semuanya berjalan dengan baik," katanya yang masih setia menggayakan busana daripada pereka, Fizi Woo pada malam AME 2016 nanti.

Selain Neelofa, pengacara lain yang turut memeriahkan malam AME adalah Nabil Ahmad, Datuk AC Mizal dan Jihan Muse.

Sementara itu, Neelofa turut memberitahu dia bakal menerbitkan sebuah buku berjudul The Chic Codes yang mengisahkan kehidupannya.

"Proses hasilkan buku ini dilakukan sejak tahun lalu dan sekarang ia telah pun berada dalam proses kemas kini.

"Insya-ALLAH, jika tidak ada aral melintang, buku itu akan dilancarkan sekitar April atau Mei ini," katanya.

No comments:

Post a Comment