Friday, January 22, 2016

Malaysia mampu saingi negara Eropah - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Dewan Perniagaan Switzerland-Asia berpendapat Malaysia merupakan negara dengan infrastruktur bertaraf dunia yang mampu menyaingi negara-negara Eropah.

Rakan kongsi PwC Switzerland, Felix Sutter berkata, kepelbagaian budaya Malaysia membolehkan syarikat-syarikat masuk ke pasaran berbeza di seluruh dunia dan menjadikan Malaysia lokasi yang strategik untuk syarikat-syarikat multinasional.

"Tenaga kerja mahir di Malaysia juga merupakan satu kelebihan yang ada di negara ini," katanya dalam satu majlis makan tengah hari yang dianjurkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Dewan Perniagaan Swiss-Asia di Davos, Switzerland hari ini.

Majlis itu turut dihadiri 56 ahli perniagaan antarabangsa dan 20 wakil syarikat korporat Malaysia, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group, Datuk Izzaddin Idris; Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan dan Ketua Pegawai Eksekutif QI Group, Datuk Vijay Eswaran.

Dalam majlis tersebut, Mustapa turut berkongsi perkembangan terbaharu ekonomi Malaysia dan menerangkan langkah-langkah yang sedang diambil untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dan kewangan dalam menangani keadaan ekonomi semasa.

Mustapa berkata, Malaysia sentiasa bersifat terbuka dan kondusif bagi komuniti perniagaan dengan pelaburan yang diluluskan terus mencatat jumlah memberangsangkan sebanyak AS$34.4 bilion (RM147.4 bilion) dalam tempoh sembilan pertama 2015.

"Ini boleh dikaitkan dengan keyakinan pelabur terhadap Malaysia memandangkan kita memiliki iklim politik yang stabil sejak kemerdekaan serta kesinambungan dan kepastian dasar-dasar kerajaan.

"Selain itu, kejayaan pelaksanaan pelan transformasi kerajaan dan ekonomi telah menyumbang kepada kestabilan makro ekonomi Malaysia serta meningkatkan tadbir urus dan integriti," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa Malaysia benar-benar komited terhadap Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Katanya, kerjasama ekonomi ter­sebut akan menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pelaburan asing.

"Ramai pelabur dan pemimpin korporat di Davos optimistik mengenai manfaat potensi TPPA dan AEC yang memberikan peningkatan dalam akses pasaran serta pengurangan halangan perdagangan untuk perniagaan dan pelaburan mereka di Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment