KEHIDUPAN di kawasan luar bandar banyak memberi cabaran kepada setiap usahawan tempatan untuk mendaki perniagaan diusahakan ke aras tertinggi.
Namun, cabaran itu bukan sahaja tidak menggugat Iltizam Tauke Katering, Elias Sarakawi,43, meluaskan sayap perniagaan diusahakan sejak 15 tahun lalu, malah turut berkecimpung dalam perniagaan butik pengantin.
Lebih mengejutkan, perniagaan butik pengantin sejak setahun lalu diusahakan pemilik Hazar Catering dan Bridal Enterprise itu bukan sahaja menerima sambutan hangat pasangan pengantin muda, malah membantu melonjakkan bisnes katering diusahakan ke tahap baharu.
Beroperasi di Batu 14, Teluk Medan, Bagan Serai, Perak, Elias mengakui kewujudan lebih 30 butik pengantin dan 50 syarikat katering di sekitar daerah Kerian sememangnya memberi persaingan sengit kepadanya untuk terus maju.
Menurutnya, untuk berada di tahap sekarang, pelbagai rintangan ditempuhi oleh Elias yang pernah menerima pendidikan kulinari di sebuah kolej terkemuka ibu kota.
"Pada mulanya, saya bekerja sebagai pembantu chef di sebuah hotel terkemuka di Pulau Pinang, namun lama kelamaan saya berasa lebih berminat berniaga.
"Dari situ, saya tekad membuka sebuah restoran menjual cendol pulut dan Alhamdulillah, perniagaan diusahakan 'meletop' ,"katanya kepada Sinar Harian.
Ditipu rakan kongsi
Elias berkata, di sebalik kejayaan dicapai ketika ini, pihaknya pernah mengharungi detik suram apabila inisiatif memulakan bisnes katering hampir menemui kegagalan.
Menurutnya, idea melaksanakan bisnes katering wujud pada lima tahun lalu setelah dia mendapati bisnes itu mampu membawa pulangan lebih lumayan berbanding perniagaan restoran.
"Sebelum ini, saya sering menerima tempahan cendol pulut di pelbagai majlis keramaian di Kerian dan luar kawasan.
"Jadi satu hari saya terfikir, dengan kemampuan memasak dimiliki, mengapa tidak mencuba bisnes katering sendiri berbanding terus mengusahakan perniagaan restoran yang ternyata lebih berisiko dan meletihkan?
"Namun, pada awal memulakannya, saya pernah ditipu sehingga RM65,000 oleh rakan kongsi sendiri sewaktu menguruskan sebuah majlis perkahwinan," katanya.
Elias berkata, situasi itu hampir membuatkannya 'gulung tikar' sehingga dia terpaksa meminjam ah long sebanyak RM60,000 bagi memulihkan bisnes diusahakan.
Berkat kesabaran dan kecekalan diri, Elias bukan sahaja bangkit menyelesaikan hutang ah long dibuat, malah bisnes diusahakan lebih maju dan menerima sambutan luar biasa orang ramai.
"Peristiwa itu tidak dapat dilupakan dan paling bersyukur, saya mempunyai keluarga tercinta iaitu isteri, Susilawati Abdul Rashid, 40, dan dua anak, Siti Hazar, 20, dan Nurul Syafiqah, 15, yang sering memberi dorongan sewaktu bisnes hampir lingkup.
"Kini, nama Hazar Catering dan Bridal Enterprise bukan sahaja menjadi sebutan penduduk negeri Perak, Pulau Pinang dan Kedah, malah tahun 2016 sahaja kami sudah menerima lebih 100 tempahan servis katering dan pakej busana pengantin," katanya.
Masakan Banjar tarikan utama
Elias berkata, keistimewaan perkhidmatan katering pihaknya adalah pelanggan ditawarkan harga pakej berpatutan di samping disajikan beberapa menu sajian masakan tradisional masyarakat Banjar seperti ayam masak samah dan wadai kipeng.
"Selain itu, saya dan isteri memastikan setiap menu sajian dan dekorasi khemah pengantin dan set makan beradab disediakan dalam keadaan terbaik demi memastikan majlis keramaian pelanggan menjadi sesuatu diingati.
"Namun sejak butik Hazar Bridal diperkenalkan, lebih 200 rekaan fesyen busana pengantin dan pelamin bukan sahaja menjadi perhatian pelanggan, malah membantu meningkatkan kadar tempahan perkhidmatan katering diusahakan," katanya.
Elias berkata, objektif asal kewujudan butik Hazar Bridal adalah sebagai bisnes persediaan anak sulungnya, Siti Hazar, 20, yang cenderung meminati bidang fesyen meskipun mengikuti kelas pengajian kulinari di sebuah kolej terkemuka.
Dia tidak menyangka pembukaan Hazar Bridal menjadi lembaran baharu dalam bisnes diusahakan sehingga menyebabkan dia sekeluarga tidak menang tangan.
"Saya berharap kedua-dua bisnes diusahakan akan terus maju sehingga menjadi syarikat katering dan pengurusan butik pengantin disegani di negara ini.
"Sebarang pertanyaan mengenai tempahan perkhidmatan katering dan pakej busana pengantin boleh hubungi saya di talian 017-5030 0010 / 017-486 9120," katanya.
No comments:
Post a Comment