SYARIKAT seumpama Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) amatlah sukar ditemui di Malaysia. KLK sudah terbina kukuh selama 110 tahun, bermula sebagai sebuah perniagaan berasaskan perladangan kelapa sawit dan getah sehingga menjadi antara pengeluar oleo kimia terbesar di dunia.
Dengan hasrat mengenali KLK secara lebih dekat dan atas pelawaan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Lee Oi Hian, saya menziarahi beliau. Hanya selepas 10 minit, sudah jelas bagi saya bahawa denyut nadi syarikat yang berjaya bertahan lebih seratus tahun ini ialah tampuk kepemimpinannya yang begitu menitikberatkan inovasi.
Oi Hian seorang ketua berhemah tinggi dan lembut tutur katanya. Beliau bercerita kisah KLK yang cukup menarik, bagaimana KLK bermula hanya sebagai sebuah syarikat perladangan biasa, seterusnya berkembang berlatarkan keinginannya untuk meneroka perusahaan hiliran, lantas akhirnya berjaya melonjak ke pasaran global. Saya kagum betapa sebuah syarikat yang kaya dengan warisannya tersendiri dan mempunyai amalan perniagaan yang begitu kukuh masih tetap mementingkan inovasi dalam strategi dan proses perniagaan mereka.
Sewaktu menjalankan makmal minyak sawit dan getah pada 2010, kami menggesa industri terbabit mengembangkan sayap mereka kepada aktiviti hiliran dengan lebih giat. Pada waktu itu, industri ini lebih mengutamakan operasi huluan, justeru eksport huluan adalah tiga kali lebih tinggi berbanding sektor hiliran.
Masalahnya, sewaktu harga komoditi jatuh, industri ini teruk terjejas. Dengan itu, pengembangan dalam sektor hiliran dilihat suatu kaedah perlindungan nilai semula jadi. KLK memberi respons positif kepada gesaan kami, bersama-sama beberapa syarikat besar lain.
Fokus aspek inovasi
Maka tercetuslah Projek Permulaan (EPP), iaitu EPP6 dan EPP8 yang menyediakan insentif kepada syarikat-syarikat untuk membangunkan sektor hiliran, khususnya derivatif oleo kimia. KLK adalah antara syarikat terawal menyertai EPP ini. Mereka dengan pantas mengatur langkah yang paling besar pernah mereka lakukan dalam aspek inovasi lalu memfokuskan usaha penting demi menguasai segmen hiliran derivatif oleo yang lumayan.
KLK mula menyuntik pelaburan yang tinggi terhadap usaha Penyelidikan dan Pembangunan (P&P) mereka.
Tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan pelaburan strategik KLK di Jerman. Perolehan pertama mereka dilakukan pada 2010 apabila KLK membeli sebuah kilang di tepi sungai Rhine di Jerman yang kini dinamakan KLK Emmerich GmbH. Kilang yang juga berusia lebih 100 tahun ini dilengkapi aset berskala dunia dan fasiliti pengeluaran yang berupaya membuat pelbagai jenis asid lemak, asid lemak terhidrogen dan gliserin berdasarkan kemampuannya untuk memecahkan minyak sayuran.
Susulan pembelian itu, pada 2015, KLK membeli pula sebuah kilang di City of Dusseldorf, yang merupakan pusat persekitaran bagi pengeluaran kimia utama di Jerman, yang juga terletak di sepanjang sungai Rhine. Kilang ini mengeluarkan oleo kimia berasaskan minyak sayuran dan juga lemak haiwan, sekali gus memberikan sebuah portfolio yang lebih menyeluruh untuk KLK di daerah Eropah.
Dengan itu, KLK berjaya menjadi pengeluar dan pembekal oleo kimia kepada pasaran baharu di Eropah. Mengimbau semula industri ini secara keseluruhan, kami memang sudah menjangka harga minyak sawit mentah (CPO) akan jatuh pada satu ketika, malah, jangkaan kami tidak meleset apabila harga CPO jatuh sebanyak 53 peratus sejak 2011.
Jelas produk hiliran mampu mendatangkan pulangan lebih lumayan dari segi hasil setiap unit, iaitu 50 peratus lebih tinggi berbanding produk huluan/pertengahan.
Sektor ekonomi negara berkemampuan untuk melakukan kepelbagaian, namun P&P dan inovasi berperanan penting dalam usaha ini. Sebenarnya, ada ramai individu dan syarikat yang setanding dengan Oi Hian serta KLK. Tidak kiralah usia syarikat itu, boleh jadi 110 tahun, atau 10 tahun, bahkan hanya lima tahun.
Manfaat pasaran komoditi
'Megatrend' wujud dalam semua sektor ekonomi. Industri minyak sawit tidak terkecuali. KLK bukan sahaja mampu bertahan, bahkan berupaya memanfaatkan langkah bijak dalam pasaran komoditi. Harga CPO berbentuk kitaran. Sekiranya terlalu bertumpukan aktiviti huluan, pencapaian perniagaan terlalu bergantung pada harga CPO, justeru akan turun naik berpandukan harga CPO. Keadaan seumpama ini akhirnya menjadi pendorong kepada peserta industri untuk menggiatkan segmen hiliran sebagai langkah membina daya tahan dan menerobos nilai baharu. Inilah yang dikatakan 'megatrend'.
Strategi KLK yang menumpukan aktiviti hiliran, pada pendapat saya, merupakan langkah perlindungan nilai berbentuk semula jadi. Dalam setiap barangan yang kita gunakan, sejak kita bangun pagi sehinggalah kita bersiap untuk tidur malam, pasti ada, setidak-tidaknya, sedikit keluaran KLK. Keluarannya ibarat 'Intel' dalam industri minyak sawit. Sebagai contoh, ubat gigi dan produk penjagaan kulit yang kita pakai pada waktu pagi mengandungi gliserin dan pengemulsi berasaskan minyak sawit.
Sarapan dan makanan tengah hari kita dimasak menggunakan minyak masak daripada minyak sawit olein. Untuk penjagaan kesihatan pula, tokotrienol merupakan makanan kesihatan yang tiada tolok bandingnya. Pelbagai bahan pencuci dan produk pembersih yang kita gunakan sepanjang hari padat dengan surfaktan. Tidak ketinggalan diesel yang mengandungi tujuh peratus biodiesel berasaskan minyak sawit, yakni sumber tenaga hijau yang mampan.
Isteri kita kekal cantik kerana menggunakan produk penjagaan tubuh dan rambut yang mengandungi asid lemak dan emolien - yang saya sebutkan di sini hanyalah beberapa contoh sahaja. Hari ini, KLK gagah berdiri sebagai pesaing global, dengan hasil keluarannya terjual ke 123 negara setakat ini, iaitu 63 peratus negara di dunia. Sesungguhnya, KLK adalah sebuah syarikat Malaysia yang benar-benar telah berjaya.
No comments:
Post a Comment