Pereka fesyen perlu mengetahui konsep rekaan serta cara persembahan yang dapat menarik minat pengguna.
Menurut Oxford English Dictionary fesyen didefinisikan sebagai budaya atau gaya popular masa kini terutamanya dalam rekaan pakaian.
Pada dasarnya, fesyen bermakna sesuatu gaya yang terkini atau mengikut trend semasa. Namun, takrifan sebenar fesyen terus subjektif kerana ia dipengaruhi oleh banyak faktor.
Bagi mencipta kejayaan dalam bidang fesyen, seseorang perlu memiliki kefahaman menyeluruh terhadap proses-proses yang berkaitan dengan industri.
Pereka perlu tahu selok-belok perniagaan dan pemasaran fesyen. Tanpa pengalaman dan pengetahuan asas yang secukupnya, mungkin agak sukar untuk memasarkan produk atau jenama dengan lebih berkesan.
Seni reka pula secara umum ialah bidang yang kaya dengan warisan, tradisi dan falsafah yang tersurat serta tersirat. Pendidikan formal seni reka diwujudkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar untuk lebih menyelami dan memahami tradisi.
Dalam usaha menjadi seorang pereka berkaliber, bakat seni perlu diasah, dibimbing dan digilap serta menjalani pelbagai proses sama ada melalui pendidikan formal atau bersandarkan pengalaman dalam industri.
Seseorang pereka fesyen juga perlu mengetahui apa yang mahu direka selain bagaimana untuk mempersembahkan dan menyiapkan koleksi tersebut dalam suatu tempoh masa yang ditetapkan.
Ia merangkumi kekuatan dan kehebatan penyelidikan, strategi perancangan, eksperimentasi, inspirasi, kecekapan dan kebolehan untuk mentafsirkan trend yang bakal menjadi ikutan berdasarkan perubahan demografi, tingkah laku dan gaya hidup manusia.
Analisis inilah yang akan memberi gambaran ataupun ramalan terhadap jenis rekaan pakaian dan aksesori yang mungkin diperlukan oleh pengguna pada masa akan datang.
Harus diketahui, industri fesyen tidak hanya berkiblatkan populariti semata-mata. Ia memerlukan kerja keras, kesabaran, ketabahan, pengetahuan serta kefahaman mendalam terhadap cara industri bergerak, berubah dan berkembang.
Pereka fesyen perlu sentiasa membuat penyelidikan bagi mendapatkan inspirasi dalam membina tema yang sealiran dengan trend terkini. Koleksi rekaan yang telah siap pula hanyalah satu permulaan sebelum ia dipromosi dan dipasarkan.
Kebolehan
Pereka fesyen hanyalah salah satu daripada pelbagai pekerjaan yang wujud dalam industri fesyen.
Perlu diingat, bukan semua individu yang mencintai fesyen mempunyai kebolehan untuk menjadi pereka.
Ramai individu kreatif yang meminati dunia fesyen menjadi pengguna fesyen, ejen jualan, wartawan fesyen, jurugambar, penata gaya, serta pelukis ilustrasi. Kesemua mereka memainkan peranan terhadap kejayaan seseorang pereka fesyen.
Bagi pereka fesyen, adalah penting untuk menetapkan cita rasa dan gaya tersendiri. Namun, tidak semua individu mempunyai kebolehan dan kecenderungan atau kemahuan untuk mereka pakaian yang tidak konvensional.
Sesetengah pereka lebih mengutamakan konsep perincian pada sesuatu pakaian manakala sebahagian yang lain pula lebih selesa menghasilkan rekaan konvensional.
Untuk menjadi seorang pereka yang versatil, mereka tidak perlu gentar untuk bereksperimentasi dalam menghasilkan rekaan.
Pasaran fesyen di Asia masih berteraskan fesyen yang praktikal dan komersial. Oleh itu, individu yang menceburkan diri dalam industri fesyen perlu memahami ekonomi pasaran tempatan.
Pereka perlu menyediakan diri masing-masing dengan kepakaran perniagaan dan kemahiran-kemahiran lain yang boleh mengimbangi serta membantu karya-karya kreatif mereka.
Individu yang berkecimpung dalam industri fesyen secara profesional pula perlu sensitif terhadap perkembangan dan peristiwa yang berlaku di peringkat global terutamanya di kota fesyen dunia dan tempatan.
Apapun, nasib seorang pereka fesyen terletak dalam tangan industri serta pengguna fesyen itu sendiri. Ini kerana, tidak semua pembeli akan menyukai sesuatu rekaan, malah mereka mungkin tidak menyukainya langsung.
Ia adalah lumrah dalam industri yang begitu subjektif dan kadangkala agak mengelirukan. Justeru, pereka fesyen perlu belajar untuk mengharungi segala kritikan.
Namun, pada pereka yang mahu menjadikan tradisi dan budaya sebagai inspirasi untuk menghasilkan rekaan, anda dinasihatkan membuat penyelidikan terlebih dahulu untuk lebih mendalami segala perkara yang berkaitan terutamanya tentang peradaban bangsa dan budaya.
Ini bagi mengelak kita daripada mencemar imej warisan tersebut tanpa disedari kerana kitalah pendukung bangsa, budaya dan bahasa.
Siapa lagi kalau bukan kita yang bertanggungjawab untuk melestarikan bangsa, budaya dan bahasa sendiri.
Paling penting, pereka fesyen perlu sentiasa membuat revolusi diri, menambah ilmu dan sentiasa sealiran dengan masa demi kepentingan industri fesyen yang menjadi antara penyumbang utama sebahagian ekonomi negara.
No comments:
Post a Comment