Thursday, May 5, 2016

Moto 'Satu Rumah, Satu Usahawan' Bagi Meningkatkan Ekonomi Kaum India - KLSICCI - Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- 'Satu rumah, satu usahawan' menjadi moto yang telah ditetapkan oleh majlis pengurusan Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur & Selangor (KLSICCI) yang baru dilantik, dengan tujuan meningkatkan kedudukan ekonomi kaum India di negara ini.

Presiden KLSICCI Datuk V.Shanmuganathan berkata, jawatankuasa baharu itu bercita-cita untuk mewujudkan 1,000 usahawan India dalam tempoh dua tahun atau sekurang-kurangnya seorang usahawan dalam setiap satu keluarga.

"Mempunyai seorang usahawan dalam keluarga boleh membantu meningkatkan taraf ekonomi dan hidup keluarganya.

"Saya percaya kejayaan salah seorang anggota keluarga boleh melimpah kepada yang lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Moto itu direka dalam usaha dewan itu untuk meningkatkan perkongsian kaum India di Malaysia.

"Kami mahu mewujudkan usahawan India yang baharu dan pada masa yang sama memperkasakan ahli perniagaan yang sedia ada termasuk meningkatkan tahap mereka sehingga bisnes mereka berkembang kukuh dan menjadi kisah kejayaan.

"Program ini akan diperkenalkan tidak lama lagi dan kami menjangkakan masyarakat India akan menerima dengan baik kerana program ini boleh membantu meningkatkan rezeki serta membasmi kemiskinan," kata Shanmuganathan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat KLSICCI, Dr Maria Rufina berkata visi untuk mewujudkan 1,000 usahawan itu mungkin kelihatan terlalu bercita-cita tinggi tetapi ianya tidak mustahil.

"Kami mempunyai cara dan strategi untuk mencapainya. Pertama, kami perlu mengenal pasti individu-individu yang berpotensi daripada 11 daerah di KL dan Selangor serta memberi mereka latihan jangka panjang.

"Program ini adalah terbuka kepada semua syarikat permulaan dan perniagaan di bawah usia lima tahun. Kami kemudian akan menjalankan diagnosis perniagaan bagi mengukur individu terlibat serta perniagaan beliau sebelum memberikan mereka latihan," katanya.

Katanya, dalam usaha untuk membantu masyarakat luar bandar India mendapat manfaat daripada program ini, beberapa pejabar biro telah didirikan di Banting, Kajang dan Hulu Langat, yang memiliki populasi terbesar masyarakat India.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment