Saturday, May 28, 2016

Festival Cina Peranakan Terengganu Sasar Tarik 150000 Pengunjung - Bernama

KUALA TERENGGANU, 28 Mei (Bernama) -- Festival Peranakan Cina Terengganu 2016 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu yang bermula semalam hingga 3 Jun ini dijangka dapat menarik kira-kira 150,000 pengunjung pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Mohd Jidin Shafee berkata sasaran itu yakin dapat dicapai berikutan kejayaan penganjuran festival itu sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata festival ini semakin mendapat perhatian pengunjung yang tertarik dengan keunikan dan kebudayaan masyarakat Cina di Terengganu yang dikenali sebagai Mek (bagi wanita) dan Awang (bagi kaum lelaki).

"Sehubungan itu kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada penganjuran festival berikutan kejayaannya meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini setiap tahun," katanya kepada pemberita sebelum merasmikan festival tersebut di pentas utama, Kampung Cina, dekat sini semalam.

Turut hadir, Presiden Dewan Perniagaan dan P erindustrian Cina Terengganu, Datuk Low Kian Chuan.

Mohd Jidin berkata kerajaan negeri juga bersetuju membantu masyarakat Cina di kawasan itu menerusi peruntukan tahunan sebanyak RM300,000.

Katanya peruntukan itu bagi menaik taraf kemudahan sedia ada, kebersihan, memperindahkan dan menceriakan kawasan berkenaan dalam usaha meningkatkan lagi kedatangan pengunjung ke kawasan ini.

"Kita berharap sebahagian besar proses menaik taraf kemudahan-kemudahan tersebut yang kini telah pun bermula dapat disiapkan menjelang Tahun Melawat Terengganu tahun depan," katanya.

Low dalam pada itu berkata pada tahun ini selain meningkatkan jumlah kiosk perniagaan, pihaknya juga membawa masuk pelbagai jenis 'tanglung' yang terdiri daripada pelbagai karakter animasi termasuk Kung Fu Panda, Mickey Mouse dan haiwan lain bagi menarik pengunjung pada setiap peringkat umur.

"Kita juga mula memasarkan pelbagai jenis produk yang mengetengahkan konsep Mek dan Awang seperti air mineral , kerepek pisang dan baju kebaya 'Mek' agar lebih ramai lagi pengunjung dapat mengenali keunikan dan budaya masyarakat Cina Peranakan di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment