SEKALUNG tahniah kepada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) atas kejayaan menyelesaikan sejumlah 1,446 kes daripada keseluruhan 3,468 kes tertunggak sejak tiga tahun lalu. Ini hasil pelaksanaan program Sifar Kes Tertunggak (Siket) yang diperkenalkan sejak 1 Mac 2016.
Sememangnya perkembangan ini sesuatu yang telah lama dinanti-nantikan. Menyelesaikan kes-kes perceraian dan yang berkaitan bab hadhanah (hak penjagaan anak), nafkah idah, nafkah anak dan sebagainya.
Inisiatif ini bukan sahaja mengangkat martabat mahkamah syariah kerana lebih efisien tetapi juga meningkatkan lagi keyakinan umat Islam tentang keadilan. Ini menepati hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya." (Riwayat Baihaqi)
Difahamkan sasaran utama program Siket adalah menyelesaikan 100 peratus kes tertunggak MSWP dalam tempoh tiga tahun selain kes yang baharu didaftarkan dalam tempoh 10 bulan.
Hasilnya cukup memberangsangkan apabila dalam tempoh dua bulan sahaja, 42 peratus daripada kes tertunggak berjaya diselesaikan.
Ini menunjukkan jika semua pihak terlibat melakukan kerja secara kolektif dan bersungguh-sungguh, insya-Allah banyak kes dapat diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat. Secara tidak langsung mampu mengurangkan kes-kes isteri yang 'digantung tak bertali'.
Mendahului inovasi ini adalah Jabatan Kehakiman Syariah Selangor yang memperkenalkan proses cerai fast track secara percubaan pada Januari 2015 dan rasmi sejak Julai 2015. Sejak itu, 861 kes perceraian diselesaikan sehingga Disember 2015, sekali gus mengurangkan lambakan kes tertunggak sehingga lebih 40 peratus.
Pada 19 April 2016, Jabatan Kehakiman Syariah Perak juga memperkenalkan aplikasi permohonan perceraian secara dalam talian, MySolve bagi memudahkan urusan pasangan yang mencapai persetujuan berpisah.
Bukan kita mahu menggalakkan perceraian. Namun, jika pasangan suami isteri itu sudah tidak lagi ada persefahaman, rumah yang sepatutnya menjadi syurga bertukar jadi neraka, bergaduh sentiasa dan isteri menjadi mangsa keganasan rumah tangga maka agama membenarkannya.
Pendek kata, inisiatif negeri-negeri berkenaan dapat memudahkan urusan perceraian ini ibarat seribu rahmat kepada para isteri yang menjadi mangsa penganiayaan suami. Ini juga mampu mengelak anak-anak daripada turut terlibat dan terjejas rohani dan jasmani mereka akibat pergaduhan ibu bapa.
Sepatutnya, apabila sudah berakhir jodoh, pasangan suami isteri terlibat merungkai perkahwinan dengan baik persis mereka memeterai ikatan cinta dan kasih yang disimpulkan dengan pernikahan. Bukannya dengan sepak terajang yang ditegah oleh Islam.
Dalam pada itu, bilangan hakim syarie juga memainkan peranan dalam mengurangkan bilangan kes tertunggak di mahkamah syariah. Kajian perlu dibuat untuk memastikan nisbah hakim yang mencukupi ke arah mencapai hasrat tersebut.
Serentak dengan itu, program Key Focus Activity (KFA) Sulh iaitu satu daripada strategi di bawah Siket bertujuan mempercepatkan prosedur kerja Sulh bermula daripada pendaftaran sehingga perintah bersih dikeluarkan.
Melalui KFA Sulh, tempoh pengeluaran Perintah Perjanjian penyelesaian berjaya dikurangkan daripada 14 hari kepada hanya sejam.
No comments:
Post a Comment