Mendekati wanita ceria dan periang ini hati seakan turut gembira dengan celoteh serta tutur bicaranya yang sentiasa menghiburkan.
Tidak lekang mengukir senyuman, anak kelahiran FELDA Gedangsa, Hulu Selangor ini bukan saja mempunyai aura positif malah wajar dicontohi dengan sikapnya yang tidak mengenal erti putus asa.
Mengakui amat menyukai sesuatu yang cantik sejak kecil menjadikan dia yakin bidang kecantikan serasi dengan jiwanya.
Bagi Badariah Barahim, 38, disebabkan terlalu menyukai sesuatu yang cantik menjadikan dia mendalami ilmu andaman sejak lebih tujuh tahun lalu.
"Saya suka kelihatan cantik, juga gemar melihat sesuatu yang cantik dan disebabkan itu saya mula mencari arah tuju minat saya supaya ia membuahkan hasil.
"Bagi saya, minat perlu diasah untuk mendapatkan sesuatu yang luar biasa menyebabkan saya mula mempelajari ilmu solekan dengan guru bertauliah," katanya.
Menurut Badariah, dia tidak mahu menoleh ke belakang dan nekad untuk terus berusaha dengan gigih bagi menjadikan andaman sebagai antara bidang yang boleh menyalurkan pendapatan tambahan kepadanya.
"Selepas mahir dalam bidang ini, saya mula menerima tempahan untuk menyolek pelanggan tidak kira bagi majlis formal, perkahwinan atau apa juga acara.
"Syukur, bidang ini sememangnya memberi pulangan yang baik kepada saya kerana ia bukan saja memenuhi minat malah sesuai dijadikan sebagai kerjaya sampingan yang menyeronokkan," ujarnya.
Soal cabaran memang ada, apatah lagi kini boleh dikatakan semua orang pandai bersolek. Bahkan kehadiran ramai jurusolek membuatkan persaingan dalam bidang itu semakin sengit dan rancak.
"Disebabkan terlalu ramai jurusolek, saya perlu mencari teknik terbaik dalam menghasilkan solekan yang cantik dan lain daripada yang lain.
"Walaupun pernah mengalami dugaan seperti rungutan pelanggan yang tidak suka dengan gaya solekan tidak mematahkan semangat saya. Malah ia menjadi satu 'teguran' dan cabaran untuk saya lebih peka dengan kehendak pelanggan selain tidak jemu belajar trend terkini," katanya.
Kimia dan andaman
Dua bidang yang jauh berbeza. Namun inilah minat Badariah yang sampai sekarang tidak sanggup berpisah dengan dua bidang yang dianggap bagai langit dengan bumi.
"Kerjaya hakiki saya adalah dalam bidang makmal di mana saya perlu meneliti setiap kandungan ubatan. Memang jauh berbeza dengan minat dalam dunia kecantikan, tetapi bekerja dalam makmal turut memberi kepuasan kepada saya.
"Bidang andaman tidak mengganggu tugasan harian saya kerana kebiasaannya solekan dilakukan bermula Jumaat hingga Ahad," katanya.
Namun, Badariah mengakui perlu membahagikan masa sebaik mungkin bagi memastikan kedua-dua bidang diceburi itu tidak terhenti di tengah jalan.
"Syukur, selepas lebih enam tahun bergelar jurusolek, saya kini berjaya memiliki butik pengantin sendiri dengan nama Butik Pengantin Mama Airis.
"Semua ini adalah hasil usaha gigih saya selama ini selain bantuan diberikan suami tercinta yang banyak membantu saya dalam semua perkara," ujarnya.
Badariah berkata, butik pengantin yang diusahakan di rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang Selangor itu ditubuhkan sejak tahun lalu bagi memenuhi permintaan ramai.
"Ramai pelanggan tetap menyarankan saya membuka butik pengantin sendiri. Ia memberi semangat untuk saya memberanikan diri melangkah setapak ke hadapan dalam dunia kecantikan dan perniagaan.
"Hakikatnya, bukan mudah untuk mengendalikan butik pengantin kerana ia memerlukan komitmen dan masa supaya segalanya berjalan dengan lancar," katanya.
Menurutnya, walaupun perlu menyusun masa sebaik mungkin antara kerjaya tetapnya dengan perniagaan namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjaya.
"Saya perlu korbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk memastikan segalanya berjalan dengan baik. Apa yang penting ialah memberikan khidmat yang memuaskan hati pelanggan supaya mereka boleh bercerita kepada orang lain mengenai butik saya.
"Cabaran kini lebih besar. Jika dulu saya hanya menyolek namun kini saya perlu menyiapkan pelamin, pakaian serta memastikan setiap majlis berjalan dengan lancar," ujarnya.
Impian terus berjaya
Pastinya sesiapa saja mengimpikan untuk berjaya dalam setiap bidang diceburi apatah lagi apabila ia berkaitan dengan bidang yang diminati.
"Saya mahu buktikan apa yang saya lakukan ini adalah tepat.
"Dalam bidang ini, saya juga mempunyai mentor yang banyak memberi semangat dan tunjuk ajar untuk saya terus berjaya," katanya.
Badariah berkata, dia sentiasa berusaha menghasilkan solekan yang terbaik, pelamin yang indah dan menyediakan busana mengikut trend terkini. Perkhidmatan wanita gigih ini boleh dilihat melalui laman Facebook Butik Pengantin Mama Airis dan Instagram @butikpengantinmamaairis.
"Selain kerjaya, saya juga perlu membahagikan masa sebaik mungkin untuk keluarga terutama kepada suami dan tiga cahaya mata.
"Disebabkan itu, saya perlu menyusun jadual harian dengan baik untuk memastikan saya berjaya sebagai seorang isteri, ibu, pekerja dan majikan," katanya.
Menurutnya, dia juga berharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada wanita lain dan membuktikan kejayaan boleh dikecapi jika sanggup berusaha dengan gigih.
"Saya bukanlah berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang dalam bidang andaman namun saya berjaya buktikan minat dan kegigihan mampu merealisasikan setiap impian.
"Saya sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu dan saya yakin apa yang saya lakukan kini akan membuahkan hasil suatu hari nanti," ujarnya.
No comments:
Post a Comment