Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
SUPERBEST Power menjadi satu-satunya syarikat IKS yang terlibat sebagai rakan penaja saingan bola sepak di Malaysia.
SUASANA di sekitar Stadium Shah Alam, Selangor agak riuh-rendah dengan sorakan puluhan ribu penyokong setia Johor Darul Takzim (Johor DT) dan PKNS FC.
Masing-masing hadir dengan pelbagai gelagat tersendiri. Daripada riak wajah, mereka tidak sabar melihat aksi kedua-dua pasukan di pentas akhir Superbest Power Piala FA 2016 pada 14 Mei lalu.
Kamal Mohd. Nor, 44, juga tidak terkecuali. Dia teruja menyaksikan perlawanan itu.
Hatinya sedikit terhibur. Lazimnya, beginilah suasana perlawanan akhir pertandingan bola sepak di Malaysia. Stadium sesak, bingit dan penuh warna-warni.
Sebaik permainan bermula, tumpuan para penonton mula terarah ke tengah padang. Kedua-dua pasukan berusaha mencari kemenangan dan saling mengasak, sekali gus melakukan serangan bertali-arus.
Kerancakan perlawanan itu menyebabkan tempoh 90 minit permainan berlalu begitu pantas. Seperti diramalkan, Johor DT dinobatkan sebagai juara selepas berjaya menjinakkan PKNS FC 2-1.
Bagi Kamal, perlawanan akhir Superbest Power Piala FA 2016 itu sangat istimewa kerana syarikat yang diasaskannya, Superbest Power Health Food & Beverages Sdn. Bhd. (Superbest Power) terbabit secara langsung dalam pertandingan itu sebagai penaja utama.
Selain itu, Superbest Power juga merupakan antara rakan penaja Liga Malaysia (Liga M) lagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Tajaan
"Ia merupakan satu pengiktirafan terbesar kepada kami. Sebelum ini, penajaan Liga M sering didominasi syarikat-syarikat gergasi tempatan dan antarabangsa atau syarikat-syarikat milik kerajaan.
"Bagaimanapun, kami berjaya memecah tradisi itu dengan menjadi syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) pertama di negara ini yang berbuat demikian," kata Ketua Pegawai Eksekutif Superbest Power itu.
Menurutnya, penajaan membabitkan nilai puluhan juta ringgit antara tiga hingga lima tahun itu merupakan strategi syarikatnya untuk menjadikan Superbest Power sebagai jenama nombor satu di negara ini.
Pada peringkat awal penubuhan, syarikat itu memilih untuk mempromosikan beberapa produknya seperti Kopi Pracampuran Superbest Power dan Susu Kambing Goat Power menerusi media massa.
"Superbest Power mula dikenali menerusi pengiklanan di akhbar dan majalah sebelum meluaskan skop itu di radio dan televisyen.
"Apabila jenamanya semakin kukuh, kami mula terbabit dalam penajaan drama dan program realiti popular seperti Pencetus Ummah serta Kilauan Emas," ujarnya.
Tambah Kamal, syarikat itu seterusnya bekerjasama dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia sebagai penaja utama pertandingan Sepak Takraw Siri Super 2014.
"Pada masa sama, kami juga melihat sukan nombor satu negara ini sebagai medan mempromosikan jenama Superbest Power," katanya.
Kamal memberitahu, biarpun mempunyai sumber kewangan yang kukuh, laluannya tidak semudah disangka kerana Liga M seperti juga liga-liga bola sepak profesional di dunia turut menjadi tarikan kepada syarikat-syarikat gergasi tempatan dan antarabangsa untuk mengukuhkan jenama mereka.
Pada masa sama, ia juga perlu melalui penilaian badan selia Liga M seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan agensi pemasaran sukan antarabangsa MP & Silva.
"Alhamdulillah, peluang itu hadir awal tahun ini selepas Superbest Power diumumkan sebagai penaja utama Superbest Power Piala FA 2016 dan rakan penaja Liga M.
Menurut Kamal, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, pihaknya mencatatkan hasil jualan sebanyak RM9 juta berbanding RM12 juta sepanjang tahun lalu.
"Berdasarkan situasi itu, kami menjangkakan mampu mencatat hasil jualan sehingga RM30 juta menjelang hujung tahun ini," jelas anak kelahiran Temerloh, Pahang itu.
Anak ketiga daripada enam adik-beradik itu menjelaskan, biarpun mencatatkan kejayaan memberangsangkan dalam perniagaan, pihaknya tidak akan melupakan agenda utama penajaan iaitu bagi membantu meningkatkan mutu sukan bola sepak di Malaysia untuk jangka masa panjang.
Pelaburan
Penyokong Johor DT dan PKNS FC menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi pada perlawanan akhir Superbest Power Piala FA 2016 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Sebagai permulaan, Superbest Power turut menjadi rakan penaja Felda United musim ini dan kemungkinan sebagai penaja utama pasukan itu musim depan.
"Saya memilih pasukan ini kerana saya juga merupakan anak peneroka Felda. Biarpun populariti kelab tidak setanding seperti pasukan berstatus persatuan negeri, Felda United semakin mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, penajaan merupakan elemen penting bagi memastikan industri bola sepak di Malaysia terus bertahan dan lebih berdaya saing pada masa depan.
Katanya, pelaburan Superbest Power sebagai rakan penaja Liga M bermula musim ini sedikit sebanyak berjaya mengurangkan beban kewangan pasukan-pasukan yang bertanding.
"Pada era bola sepak profesional hari ini, perbelanjaan pengurusan sesebuah pasukan semakin meningkat. Banyak aspek yang perlu diberi perhatian seperti kualiti pemain dan jurulatih, sistem latihan dan sebagainya," kata beliau.
Tambah Kevin, melalui penajaan setiap pasukan khususnya di negeri-negeri berupaya merangka program pembangunan bola sepak melibatkan pemain, jurulatih dan pengadil di samping mewujudkan kemudahan yang mencukupi bagi tujuan itu.
"Apa pun yang kita rancang ketika ini seperti penswastaan Liga M menggalakkan penglibatan penaja dan sebagainya, matlamat akhirnya tidak lain kecuali mahu meletakkan bola sepak negara ke peringkat antarabangsa," katanya.
Kevin berharap langkah Superbest Power akan menjadi contoh kepada IKS lain atau syarikat-syarikat tempatan untuk menjadi penaja Liga M pada masa hadapan.
"Saya difahamkan, sepanjang kempen Superbest Power Piala FA 2016 yang lalu jenama Superbest Power semakin kukuh dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk-produknya.
"Ini merupakan satu cabaran kepada syarikat-syarikat lain khususnya IKS di negara ini untuk keluar dari 'zon selesa' dan mencari strategi baharu bagi mengukuhkan perniagaan," ujarnya.
Bagi Presiden Persatuan Pemain Bola sepak Profesional (PFAM), Hairuddin Omar, kehadiran penaja seperti Superbest Power dalam Liga M mampu merancakkan industri bola sepak tempatan secara keseluruhan.
Bekas pemain kebangsaan dan Terengganu berkata, selain berpeluang mempromosikan perniagaan ia juga dapat memberi nilai tambah kepada pertandingan yang diadakan.
"Superbest Power melakukan promosi yang agresif sejak awal kempen Piala FA itu, sekali gus menarik kehadiran lebih ramai penonton ke stadium.
"Faktor ini dapat meningkatkan pendapatan pasukan yang terlibat dari segi kutipan tiket. Ia boleh digunakan untuk pengurusan, penyelenggaraan dan pembangunan bola sepak yang dirancang," katanya.
Hairuddin yang juga mesra disapa Hai-O turut mengakui faktor kewangan menjadi penentu jatuh bangun sesebuah pasukan di dalam Liga M.
"Kita ambil contoh pasukan Johor DT, mereka melakukan pelaburan besar untuk membentuk pasukan dan ia berbaloi dengan pelbagai kejayaan yang dicapai termasuk ketika menjuarai Superbest Power Piala FA 2016 baru-baru ini.
"Pasukan mereka jauh ke hadapan dari sudut kualiti pemain dan jurulatih malah mempunyai pelbagai kemudahan dan gelanggang latihan serta menjadi buruan penaja.
"Bagaimanapun, bagi pasukan kurang ternama atau bertaraf kelab yang tidak mempunyai reputasi cemerlang sukar untuk mereka mencari tajaan sendiri dan kehadiran penaja seperti Superbest Power dalam Liga M membolehkan pasukan seperti ini bernafas.
Hai-O berkata, dia yang kini berjinak-jinak dalam perniagaan menerusi syarikat milik keluarganya iaitu Adeq Sue Resources Sdn. Bhd. turut mengikut langkah Superbest Power dengan menaja air mineral bagi pasukan Terengganu dan T-Team sepanjang musim ini.
No comments:
Post a Comment