Ibu bak kaki tangan kedua
Oleh SAIRUL ZAMRI MISRANIFoto SURIYA BONMA
Norizan sentiasa memastikan keperluan anaknya dipenuhi sepenuhnya.
DI satu sudut ruang tamu rumah, satu susuk tubuh seorang wanita dalam lingkungan lewat 40-an sedang sibuk memandikan dan menyiapkan anak lelakinya pada pagi tersebut.
Sesekali, dia menyapu peluh yang mengalir di dahi sambil duduk sebentar bagi menghilangkan rasa letih. Namun, bagi Norizan Ahmed Jaaffar, 47, rutin harian yang digalasnya bukanlah satu beban yang besar. Kepada Norizan, apa yang penting, segala persiapan untuk anaknya, Mohd. Khairul Nizam Wahiddin, 27, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) sejak berumur dua tahun.
"Bagi saya, Mohd. Khairul Nizam atau lebih mesra dipanggil Nizam merupakan anak istimewa yang dikurniakan buat kami sekeluarga.
"Namun, saya tidak pernah sesekali menyalahkan takdir kerana saya menganggap pasti ada hikmah di sebaliknya," katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Setia Alam, Shah Alam baru-baru ini.
Nizam dilahirkan normal tetapi ketika umurnya mencecah dua tahun berlaku perubahan fizikal pada dirinya apabila dia disahkan menghidap penyakit tulang rapuh. Penyakit itu menyebabkan dia gagal untuk mengimbangkan badannya.
Bermula pada saat itu, segala keperluan Nizam diuruskan oleh kedua-dua ibu bapanya sehinggalah umurnya mencecah 12 tahun.
Seluruh tubuh dan kakinya lumpuh dan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Namun, Norizan dan suami tidak pernah berputus asa. Mereka pernah menghantar Nizam menjalani rawatan pemulihan pakar dan menjalani rawatan tradisional.
Bagaimanapun, semuanya gagal.
"Dengan keadaan Nizam yang tidak mampu berdiri dan berjalan, saya terpaksa mendukung Nizam dan anak-anak lain untuk ke sekolah selama tujuh tahun.
"Nizam sebenarnya mempunyai daya intelektual yang setara dengan anak-anak normal lain, cuma dia hanya berdepan dengan masalah fizikal. Bagaimanapun, saya terpaksa memberhentikan Nizam dari sekolah kerana fizikalnya dan saya sendiri tiada kemampuan untuk menguruskannya," jelas Norizan yang juga berniaga sate untuk menambah pendapatan keluarga.
Selepas berhenti sekolah Nizam hanya tinggal di rumah. Menceritakan tentang cabaran membesarkan keenam-enam anaknya, Norizan menjelaskan, segala cabaran yang dilalui sedikit pun tidak melemahkan dirinya.
"Anak adalah rezeki daripada Allah. Pada saya, takdir tersebut merupakan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan," katanya yang bersekolah sehingga darjah enam kerana kesempitan hidup.
Norizan yang berkahwin pada umur 19 tahun kerap bertukar kerja. Selain pernah menjual sate, dia juga berniaga kedai runcit di hadapan rumahnya. Pada masa, dia juga pernah bekerja di kedai buku sekolah dengan gaji RM300 sebulan.
Perniagaan
"Wang yang diperoleh setiap bulan itulah kami gunakan bagi menyara keluarga," ujarnya yang menetap di kawasan setinggan di Klang bersama keluarga pada masa itu.
Menurut Norizan, ketika Nizam berumur 18 tahun, Nizam mempunyai satu minat mendalam terhadap perniagaan.
"Bermula dari itu, dengan wang sedekah saudara-mara yang pernah menziarahinya, dia memulakan perniagaan kad tambahan prabayar.
"Nizam juga banyak menghabiskan masanya dengan menonton televisyen untuk menyertai pelbagai peraduan seperti Fulusmania, Durian Runtuh dan sebagainya," katanya.
Tambah Norizan, dia dan suami sanggup bergolok-bergadai selagi termampu demi Nizam agar anaknya itu dapat mengecapi minatnya terhadap perniagaan.
"Saya tidak pernah malu untuk mengatakan bahawa saya pernah menggadai seutas gelang dan sebentuk cincin untuk melanggan Astro Max bagi memperbanyak peluang untuk Nizam menyertai peraduan.
"Menerusi peraduan Nizam mampu meraih pendapatan sehingga RM4,000 sebulan pada masa itu," ceritanya.
Jelas Norizan, Nizam kemudian mempelajari Google AdSense dan pernah menjadi ejen jualan minyak wangi syarikat-syarikat antarabangsa dengan memasarkannya di laman eBay miliknya.
"Menerusi modal sebanyak RM6,000, Nizam membeli sejumlah minyak wangi daripada syarikat-syarikat tersebut untuk dijual ke pasaran tempatan menerusi laman Facebook.
"Nizam menjadi teruja apabila pada hari pertama sahaja dia sudah mampu memperoleh RM800 dan meningkat sehari ke sehari," katanya.
Bangga
Bagi Nizam sendiri, dengan sedikit keupayaan menaip sistem pesanan ringkas (SMS) yang ada pada dirinya, itulah yang dimanfaatkannya untuk berniaga.
"Saya juga pernah meminta ibu untuk membelikan komputer riba untuk mahir selok belok internet.
"Terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan ibu terhadap saya yang tidak dapat dibalas dengan wang ringgit," katanya.
Tambah Nizam, walaupun hidup serba kekurangan, namun dugaan tersebut tidak pernah membuatkan ibu patah semangat.
Bagi Nizam, ibunya merupakan kaki dan tangan kedua kepadanya.
"Ibu perlu sentiasa bersama saya kerana saya memerlukan bantuan apabila ingin menggunakan telefon, komputer riba dan tempat kawalan kerusi roda automatiknya," katanya
Bagi Norizan sendiri, dia langsung tidak pernah menyangka bahawa anaknya yang OKU mampu mengecapi kejayaan.
Pesannya, mana-mana ibu bapa yang dikurniakan anak-anak berupa OKU, jangan sesekali berasa malu dan merendah diri.
"Tohmahan daripada masyarakat harus ditelan dan apa yang penting kita tahu tentang tanggungjawab yang harus dilaksanakan untuk keluarga," ujarnya.
Berlainan pula kisah mengenai ibu kepada Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha iaitu Datin Zuraidah Sheikh Ahmad, 71.
Ketika dimaklumkan oleh Sheikh Muszaphar bahawa dia terpilih salah seorang daripada calon angkasawan negara, perasaannya bercampur baur.
"Ada terselit perasaan gembira, bangga dan pada masa yang sama gusar kerana Muszaphar merupakan angkasawan Islam pertama negara yang terpilih untuk ke angkasa lepas. Perasaan itu sukar diungkapkan.
"Sejak menjalani latihan, kami sekeluarga sentiasa memberi sokongan dan galakan untuk mencapai impiannya bergelar angkasawan negara.
"Dorongan, sokongan moral, semangat dan galakan sentiasa diberikan buatnya," ceritanya.
Tambah ibu kepada lima orang anak ini, perasaan cemas dan gusar juga turut dirasai dan dilaluinya saat-saat Muszaphar dan kumpulannya berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan roket Soyuz sembilan tahun yang lalu.
"Pada masa itu, hanya tuhan sahaja yang tahu apa yang naluri yang saya rasakan bergelar sebagai seorang ibu. Jantung seakan-akan berdegup kencang dan doa tidak putus-putus meniti di bibir mendoakan keselamatannya.
Pesan Zuraidah, para ibu dan keluarga seharusnya memberi sokongan dan galakan awal kepada anak-anak dalam apa juga bidang yang mereka minati.
"Para ibu sewajarnya melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan pendidikan anak-anak kerana cabaran membesarkan anak pada zaman jauh lebih mencabar," katanya.
Sementara itu kepada Sheikh Muszaphar, 44, pengorbanan dan sokongan ibu dan seluruh keluarganya merupakan perkara utama yang menjadikan inspirasi baginya.
"Tidak ada apa yang mampu diungkapkan selain ucapan terima kasih atas segala jasa dan galakan daripada keluarga. Pengorbanan ibu yang bersusah payah selama ini juga tidak mampu dibalas dengan kata-kata ucapan terima kasih.
"Ibu sentiasa berpesan supaya kita menjadi insan yang tidak pernah melupakan segala jasa dan pengorbanan yang diberikan oleh sesiapa sahaja apabila sudah meningkat berjaya," kata bapa kepada dua anak ini.