Thursday, April 14, 2016

Wanita diseru tunjukkan kelebihan-Rohani - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 14 April – Golongan wanita diseru menunjukkan kelebihan diri mereka seperti boleh dipasarkan dan sebagai individu yang penting dalam usaha meningkatkan lagi penglibatan di peringkat pembuat keputusan di sektor korporat khususnya di syarikat tersenarai awam (PLC).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, perkara itu perlu kerana peratusan pengarah wanita di PLC hanya menunjukkan sebanyak 10.5 peratus sehingga Ogos tahun lalu.

Katanya, walaupun kerajaan komited dalam setiap inisiatif untuk memperkasakan golongan tersebut, wanita dengan sendiri juga perlu lebih berusaha meningkatkan kebolehan diri ke arah mencapai sasaran itu.

"Inisiatif ini menjadi pemangkin menuju ke arah kesaksamaan jantina dalam sektor korporat dan menyediakan peluang yang sama kepada wanita untuk maju dalam kerjaya mereka.

"Oleh itu, wanita perlu menja­dikan diri mereka marketable dan indispensable serta mem­buktikan mereka benar-benar la­yak berada di kedudukan terse­but berdasarkan merit," katanya ketika memberi ucaptama bertajuk Models of Achievement: Reflections of Eminent Women di Konvensyen Usahanita Binaan (Kubina) 2016, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Penaung Kubina 2016, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Kira-kira 600 usahanita dan profesional wanita yang terbabit se­cara langsung dalam industri binaan hadir pada konvensyen bertemakan 'Wanita Pemacu Kelestarian Negara' anjuran Kemen­terian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Kubina menyediakan plat­form bagi membina intelek, per­bincangan aktif, membuka peluang dan potensi perniagaan selain menjadi tapak peserta bertukar idea dan pandangan.

Mengulas lanjut, Rohani ber­kata, terdapat ramai wanita tempatan yang berjaya membuktikan me­re­ka 'indispensable' dengan menyum­bang terhadap pembangunan negara.

Katanya, wanita berkenaan yang mempunyai daya saing dan ketokohan yang mengagumkan itu perlu dijadikan sebagai pemangkin kepada kejayaan wanita lain.

"Antara wanita yang berjaya di bidang masing-masing pada hari ini adalah seperti Pengasas K&N Kenanga Holdings Bhd; Tengku Datuk Noor Zakiah Tengku Ismail; Pengasas TA Enterprise Bhd; Datin Alicia Tiah; Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd; Datuk Rohana Rozhan dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar.

"Justeru, mereka semua ini perlu dijadikan sebagai idola untuk lebih maju dalam sebarang bidang yang diceburi dan membuktikan tiada mustahil bagi wanita untuk mencapai kejayaan itu," katanya.

Dalam pada itu, menurut Rohani, kajian yang dijalankan oleh Syarikat Komunikasi Global Weber Shandwick mendapati, sya­rikat yang kukuh adalah syarikat yang mempunyai dua kali ganda lebih wanita dalam jawatan pe­ngurusan kanan.

"Bagaimanapun, kajian indeks Weber Shandwick Gender Forward Pioneer (GFP) mendapati statistik wanita yang menjadi eksekutif kanan di 500 buah syarikat besar masih rendah iaitu hanya 10.9 peratus.

"Sweden mempunyai kadar tertinggi wanita dalam pengurusan kanan iaitu sebanyak 26 peratus manakala Malaysia mencatatkan 19 peratus yang merupakan negara kelima tertinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment