Tuesday, April 19, 2016

OGPC unjur perolehan meningkat 5-10% - Utusan Malaysia

SHAH ALAM 19 April - OGPC Sdn. Bhd., yang bakal menjadi anak syarikat Dagang NeXchange Berhad (DNeX), mengunjurkan peningkatan perolehan sebanyak lima hingga 10 peratus pada tahun ini.

Syarikat OGPC merupakan pembekal peralatan dan perkhidmatan untuk sektor minyak dan gas (O&G), petrokimia, tenaga dan industri de­ngan pelanggannya termasuk Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV).

Pengarah Urusan OGPC, Azman Karim berkata, peningkatan itu akan didorong oleh perancangan strategik syarikat yang mahu mengembangkan perniagaan ke luar negara, selain peningkatan secara relatif harga minyak mentah di pasaran global ketika ini.

Beliau berkata, di sebalik kejatuhan harga minyak mentah dunia tahun lalu, syarikat mencatat perolehan lebih tinggi iaitu RM101 juta dengan keuntungan selepas cukai (PAT) RM22 juta, daripada RM89 juta dengan PAT RM19 juta yang dicatatkan pada tahun 2014.

"Tahun ini kita jangkakan perolehan syarikat akan meningkat dengan segmen O&G kekal sebagai penyumbang utama iaitu tahun lalu antara 75 hingga 80 peratus," katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian sijil Sistem Pengurusan Bersepadu (IMS) daripada NIOSH Certification Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Sijil itu disampaikan oleh Pe­ngerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye dan turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Zainal Abidin Jalil.

Pada majlis itu, Lam Thye turut merasmikan bangunan baharu OGPC di sini membabitkan pelaburan sebanyak RM10 juta.

Azman berkata, sehingga kini syarikat telah melaksanakan projek dalam buku berjumlah lebih RM40 juta dan dijangka akan terus bertambah menjelang hujung tahun, sekali gus membantu kepada peningkatan pendapatan syarikat.

Mengenai pelaburan baharu syarikat, beliau berkata, OGPC telah dan akan mengenal pasti peluang-­peluang baharu termasuk di Asia Barat, selain memperkukuhkan kewujudannya di Terengganu, Bintulu, dan Labuan serta mengembangkan pusat perkhidmatan di Johor.

Mengulas kejayaan syarikat mem­peroleh IMS, beliau berkata, ia merupakan satu kebanggaan kepada OGPC dalam membina imejnya sebagai sebuah syarikat yang berkaliber dan boleh diyakini pelanggan dalam menyediakan perkhidmatan tanpa mengetepikan aspek-aspek ke­selamatan dan kesihatan pekerjaan, alam sekitar dan kualiti.

DNeX sebelum ini telah me­nerima kelulusan pemegang saham bagi mengambil alih kepentingan keseluruhan ekuiti OGPC Sdn. Bhd. dan 52 peratus kepentingan OGPC O&G Sdn. Bhd., bernilai RM170 juta. OGPC O&G adalah syarikat bersekutu dimiliki oleh OGPC sebanyak 48 peratus.

No comments:

Post a Comment