Wednesday, April 20, 2016

Rafidah: yuran penerbangan jejaskan pelancongan - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 20 April – Kenaikan caj penerbangan akan memberi kesan kepada sektor pelancongan apabila syarikat penerbangan menerima tekanan daripada kos operasi yang tinggi hingga menyebabkan lapangan terbang tidak dapat beroperasi seperti sedia kala.

KUALA LUMPUR 20 APRIL 2016 - PENGERUSI Air Asia, Tan Sri Rafidah Aziz pada Majlis Perlancaran 'Niseko Super Summer Saver', Pakej Kerjasama Air Asia X dengan Myecolodge di Ferderal Hotel di sini hari ini. Gambar GAIE UCHEL/Berita JUNAIDAH (Utusan) & MUSTAKIM (Kosmo)

Pengerusi AirAsia X Berhad (AirAsia X), Tan Sri Rafidah Aziz berkata, ketika ini AirAsia Berhad (AirAsia) dan AirAsia X menguasai 96 peratus operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Beliau menyifatkan, keputusan oleh kerajaan itu juga tidak sejajar dengan visi syarikat penerbangan tambang rendah itu untuk menawarkan tambang yang murah kepada seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, mana-mana syarikat penerbangan termasuk AirAsia dan AirAsia X sama sekali tidak boleh mengenakan caj yang tinggi kepada penumpang sebagai langkah untuk menampung kos operasi syarikat.

"Kita tidak boleh mengembalikan semula caj ini kepada penumpang kerana ia tidak selari dengan matlamat syarikat. Ini bukan sahaja dialami oleh AirAsia mahupun AirAsia X tetapi Malaysia Airlines Berhad (MAB) juga tidak boleh bertoleransi dengan isu ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran pakej pelancongan Green Season's ke Niseko, Jepun kerjasama antara AirAsia X dan MY ecolodge di sini hari ini.

DCA bercadang untuk menaikkan yuran tersebut pada 15 April lalu setelah tidak pernah diperbaharui sejak 1970 tetapi kerajaan memutuskan kenaikan itu akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

Peningkatan pelbagai yuran itu antara lain membabitkan caj penerbangan udara (ANFC), yuran lesen juruterbang, yuran pendaratan, meletak pesawat dan yuran terminal.

MAB dalam kenyataan 10 April lalu juga menganggap langkah DCA menaikkan yuran penerbangan tempatan akan menyebabkan syarikat-syarikat penerbangan asing tidak menjadikan Malaysia sebagai destinasi mereka.

Sehubungan itu, Rafidah mengharapkan penubuhan Persatuan Pengangkutan Udara Malaysia (AMAC) yang disertai tujuh syarikat penerbangan di negara ini dapat membantu menangani isu-isu tersebut.

"Pada ketika ekonomi tidak menentu, adalah penting bagi kerajaan tidak mengenakan sebarang peraturan atau caj baharu yang boleh memberi kekangan secara langsung kepada perniagaan apatah lagi sektor swasta terutama hospitaliti dan penerbangan merupakan tunjang kepada ekonomi negara.

"Malah, apa jua implikasi kepada perniagaan akan memberi kesan kepada negara dan juga rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment