Monday, April 11, 2016

Anak muda dan motosikal - Sinarharian

TAHNIAH diucapkan kepada pelumba motosikal negara, Khairul Idham Pawi, yang mengharumkan nama Malaysia dengan menjuarai perlumbaan motosikal Moto3 (kategori 250 cc) Grand Prix Argentina, baru-baru ini.

Kemenangan itu menyaksikan buat pertama kalinya lagu Negaraku berkumandang mengiringi acara penyampaian hadiah.

Sekalung tahniah juga kepada seorang lagi pelumba kategori yang sama, Adam Norrodin, yang walaupun telah terjatuh di selekoh terakhir kira-kira 20 meter dari garisan penamat, telah bangun dan menolak motosikalnya dengan tabah untuk menamatkan perlumbaan.

Khairul Idham yang berusia 17 tahun memilih untuk berlumba dengan cara yang sah, bukannya merempit. Beliau yang mendapat dorongan daripada ayahnya berlatih di litar Dato' Sagor di kampungnya di Kampung Gajah, Perak.

Bercerita mengenai anak muda dan motosikal, penulis begitu tertarik dengan seorang anak muda Melayu bernama Mohammad Hazmin Yaacob. Pada usia yang baru mencecah 35 tahun, beliau sudah mempunyai 4 cawangan kedai menjual motosikal.

Beliau bermula lebih 10 tahun yang lepas dengan membuka bengkel motosikal secara kecil-kecilan di pekan Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan. Sekarang, beliau mempunyai cawangan di Jalan Sultanah Zainab dan Jalan Hamzah, Kota Bharu serta di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Kedai motosikal di Jalan Ipoh merupakan satusatunya kedai milik Melayu dan beliau bangga untuk menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda kedainya.

Apabila ditanya bagaimana beliau bersaing dengan peniaga-peniaga lain yang kebanyakannya bukan Melayu dalam industri motosikal ini, beliau mengatakan bahawa pengalaman belajar selama 4 tahun di Maktab Tentera Diraja (MTD) banyak membantu beliau.

MTD banyak mengajar Hazmin bersahabat dengan kaum lain. Tidak seperti asrama penuh lain yang mempunyai komposisi pelajar Melayu yang amat besar, MTD mempunyai ramai pelajar Cina, India, Siam, Sikh, Serani dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Hubungan antara kaum amat rapat dan pengalaman tersebut membantu memudahkan beliau berinteraksi dengan kaum lain untuk urusan perniagaan.

Latihan ketenteraan di MTD juga berjaya mendisiplinkan beliau, contohnya dalam menepati masa. Ini amat penting jika diaplikasi dalam perniagaan. Latihan kepimpinan di MTD berjaya mencorakkan beliau sebagai seorang tauke yang tabah menghadapi segala jenis masalah dan rintangan.

Krisis ekonomi yang agak kritikal ketika ini, dengan kejatuhan nilai mata wang ringgit serta harga minyak mentah dunia, sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perniagaan Hazmin.

Sebahagian besar daripada pelanggan motosikal berkuasa besar beliau adalah daripada industri minyak dan gas, iaitu antara industri yang terjejas teruk ketika ini.

Salah satu kedai beliau hampir ditutup disebabkan jualan yang merudum. Tetapi ini sedikit pun tidak mematahkan semangat Hazmin. Malah, menurut beliau, krisis ekonomi ini menjadikan beliau lebih kreatif dalam mencari rezeki.

Jika sebelum ini beliau hanya memikirkan idea untuk menjual motosikal sahaja, kini beliau juga menumpukan pada jualan aksesori motosikal seperti helmet.

Untuk membantu meningkatkan jualan, aksesori motosikal diiklan secara dalam talian dan salah satunya melalui laman Facebook. Jika dulunya pasaran adalah sekitar Kelantan dan Kuala Lumpur sahaja, kini pasarannya lebih luas, merentasi sempadan termasuk Sabah dan Sarawak.

Penulis mula lebih mengenali Hazmin ketika bersama-sama ke Kuala Krai dan Manik Urai Lama untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir setelah banjir besar melanda Kelantan pada akhir tahun 2014.

Bukan sahaja bersungguh-sungguh dalam perniagaannya, Hazmin adalah salah seorang wira-wira yang tidak didendang dalam membantu mangsa-mangsa banjir sejak air mula naik sehinggalah surut.

Beliau adalah contoh anak muda yang berdedikasi dan bukan sahaja berusaha untuk diri sendiri dan keluarga malah untuk masyarakat umum.

Nah! Siapa kata anak muda Melayu hanya suka merempit dan tiada potensi? Seorang anak muda berumur 17 tahun telah berjaya membuktikan kejayaan sulungnya sebagai juara Moto3 Grand Prix manakala seorang lagi anak muda berjaya menempatkan diri sebagai salah seorang pemain dalam industri motosikal negara.

Tidak salah meminati motosikal atau apa sahaja, selagi tidak bertentangan dengan syarak. Apa jua minat kita, jika berada pada jalan yang betul, berpandukan ilmu dan agama serta minat yang mendalam, pasti akan menemukan kejayaan, dengan izin ALLAH SWT.

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan

No comments:

Post a Comment