Sunday, April 24, 2016

Platform graduan ceburi perniagaan - Kosmo!

Platform graduan ceburi perniagaan

PADA mulanya dia merancang untuk melihat kucing comel yang menjadi viral di laman sosial, Jepp Jepp pada sebuah ekspo usahawan. Begitupun, Afidatul Nadiah Azizan, 30, tidak menyangka ekspo Fiesta Usahawan 2.0 (FIUS 2.0) yang menampilkan Jepp The Cat sebagai ikon itu menawarkan pelbagai jenis produk menarik dan unik pada harga berpatutan.

Ekspo itu diadakan di Dewan Raja Musa, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

"Saya selalu pergi ke ekspo-ekspo usahawan di sekitar Lembah Klang tetapi ekspo ini menawarkan pelbagai produk yang sebahagiannya hanya boleh didapati melalui pembelian secara online.

"Bukan sekadar murah, lokasi dan kemudahan meletak kenderaan pada ekspo ini juga mudah untuk diakses. Walaupun saya pada mulanya hanya ingin berjumpa dengan Jepp, tawaran istimewa sempena FIUS 2.0 kali ini menarik saya untuk membeli-belah," kata anak jati Klang, Selangor itu.

Tambahnya, sebagai seorang Muslimah, dia sangat tertarik dengan pakaian-pakaian wanita yang dijual kerana kebanyakannya menampilkan rekaan baharu, moden, menarik dan berkualiti.

Meskipun saban tahun ekspo usahawan sering dianjurkan oleh pelbagai pihak, FIUS 2.0 mendukung matlamat tersendiri untuk membuka platform kepada golongan pelajar, graduan dan usahawan baharu memperkenalkan produk mereka dalam arus perniagaan perdana.

Ia juga membuka peluang kepada peniaga online untuk menjual produk mereka secara langsung kepada pelanggan, sekali gus menambah pengikut di laman sosial perniagaan mereka.

FIUS 2.0 merupakan susulan atas kejayaan penganjuran terdahulu yang dikelolakan sebagai program pelajar di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Bandar Seri Putra, Kajang.

Praktikal

Merupakan idea asal pengasas Castanea Resources Sdn. Bhd., Hardiana Abd. Jalil, 34, inspirasi FIUS adalah hasil daripada impak positif penganjuran FIUS 1.0 pada 2014 dan potensinya untuk menjadi salah sebuah ekspo utama di Malaysia.

"Selepas kejayaan FIUS 1.0, saya melihat penganjuran ekspo sebagai salah satu platform yang mampu memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar untuk mempersiapkan diri dalam dunia perniagaan.

Fius 2.0 memberikan platform perniagaan buat usahawan baharu dan belia untuk berniaga pada ekspo atau karnival dengan harga murah.

"Pada masa sama, ia juga merupakan ruang yang produktif buat golongan usahawan muda mencari peluang dan ruang bagi memperkukuhkan perniagaan mereka," kata bekas pensyarah KUIS itu.

Tambahnya, sebagai penganjur, FIUS mendukung matlamat untuk membantu golongan sedemikian meraih peluang dan mendapat tempat berniaga pada ekspo.

Bagi merealisasikan matlamat itu, Hardiana mengorak langkah dengan menubuhkan syarikat konsultasi sendiri dan mengambil langkah berani dengan menganjurkan FIUS 2.0 sebagai ekspo umum.

Malah, dalam memastikan kejayaan FIUS 2.0 dikecapi selaras sasaran penganjurannya, Hardianah turut menawarkan sewa tapak yang sangat rendah berbanding harga pasaran kepada bakal vendor.

Pada penganjuran kali ini, FIUS 2.0 menampilkan 150 peniaga yang terdiri daripada 20 pelajar dan 130 usahawan luar. Ia merupakan program yang mengambil inisiatif sebagai penggerak untuk membantu meningkatkan lagi pendapatan para usahawan, terutamanya yang berskala kecil dan sederhana.

Dalam usaha mencapai saranan itu, harga tapak ditawarkan pada kadar terendah iaitu sebanyak RM300 untuk pelajar dan RM560 bagi usahawan luar.

Kelainan

Bagi membawa kelainan dan merancakkan lagi penganjuran FIUS 2.0, Hardiana menampilkan ikon tersendiri iaitu kucing selebriti Jepp sebagai tarikan utama.

Selain itu, aktiviti FIUS 2.0 bukan sahaja menjurus kepada perniagaan semata-mata.

Menurut Hardianah, perancangan atur caranya juga diselitkan dengan pelbagai aktiviti seperti majlis ilmu.

Ia adalah salah satu visi FIUS yang melihat kepada kepentingan untuk menerapkan ilmu agama dan teori dalam perniagaan, khususnya bagi membentuk seorang usahawan yang mapan.

"FIUS bukan sahaja platform berniaga tapi ia merupakan wadah untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat tentang kepentingan berniaga, sekali gus membentuk usahawan yang berlandaskan prinsip agama.

Seorang peniaga menunjukkan demonstrasi rekaan corak kepada pengunjung.

"Kami juga membawakan Jepp sebagai ikon kerana popularitinya yang berjaya mengumpulkan lebih 150,000 pengikut di laman sosial. Mereka bukan sahaja mengikuti perkembangan Jepp tetapi turut membentuk komuniti peminat yang utuh," kata anak jati kelahiran Muar, Johor itu.

Dalam pada itu, seorang peniaga aksesori buatan tangan Goolygooly, Zana Yahya, 43, memberitahu, ekspo FIUS 2.0 merupakan wadah buatnya untuk memperluaskan pengaruh jenama yang selama ini hanya dikenali melalui laman Instagram.

"Penyertaan pada FIUS 2.0 sebagai vendor merupakan kali pertama saya membuat jualan secara langsung kepada pelanggan. Sejak hari pertama, kunjungan pelanggan sangat menggalakkan dan ramai yang berminat dengan produk keluaran saya.

"Saya menawarkan aksesori buatan tangan yang menggunakan batu berharga sederhana dan barangan kitar semula pada harga rendah.

"Selain berniaga, saya tidak menyangka bahawa FIUS juga menampilkan pelbagai aktiviti," ujar usahawan yang memulakan minatnya terhadap pembuatan aksesori sebagai hobi pada 2008 itu.

FIUS adalah antara usaha anak watan yang melihat penganjuran program ekspo bukan atas dasar keuntungan tetapi lebih kepada peluang buat usahawan membina asas kukuh dalam perniagaan.

No comments:

Post a Comment