Wednesday, April 27, 2016

Kanada tidak tunduk tuntutan Abu Sayyaf - Utusan Malaysia

OTTAWA 27 April – Kanada tidak akan sesekali tunduk kepada permintaan Abu Sayyaf berhubung tuntutan wang tebusan, selepas seorang warganegaranya dibunuh dengan kejam oleh kumpulan militan tersebut.

Perdana Menteri, Justin Trudeau berkata, untuk itu pihaknya akan meningkatkan usaha bagi membebaskan baki tebusan selain 'memburu' dan 'mengheret' kumpulan yang melakukan penculikan terbabit ke muka pengadilan.

Menurut beliau, kerajaan juga telah mengadakan kerjasama dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron bagi menangani isu tersebut.

"Kita (Kanada) tidak akan membayar wang tebusan kepada pengganas, secara langsung atau tidak langsung. Kita akan menentang isu keganasan yang berlaku seperti ini habis-habisan.

"Kita perlu memastikan, pengganas ini diberikan pengajaran bahawa mereka tidak boleh berterusan membiayai kegiatan haram dan keganasan dengan melakukan penculikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan kumpulan militan Abu Sayyaf memenggal kepala seorang mangsa culik warga Kanada di sini semalam.

Mangsa, John Ridsdel, seorang pesara berusia lingkungan 60-an dipenggal selepas diculik selama tujuh bulan di kawasan limbung­­an di Holiday Ocean View Samal Resort di Pulau Samal, Filipina.

Tiga lagi yang masih diculik ialah warga Kanada, Robert Hall dan teman wanitanya, Marites Flor dan seorang pengurus resort warga Norway, Kjartan Sekkingstad.

Enam minggu selepas diculik, kumpulan bersenjata itu memuat naik video yang merakamkan gambar mangsa di sebuah hutan, sambil menuntut wang tebusan sebanyak AS$21 juta (RM82 juta).

Namun baru-baru ini, Ridsdel dalam video yang disiarkan Abu Sayyaf memberitahu kumpulan militan berkenaan akan membunuhnya jika wang tebusan sebanyak AS$6.4 juta (RM24 juta) tidak dibayar pada 25 April lalu. – AFP

No comments:

Post a Comment