Sunday, April 17, 2016

Barisan tenaga muda dengan 'wajah baharu' - Utusan Malaysia

MAJLIS Perbandaran Kangar (MPK) bukanlah asing dalam kalangan media di Perlis bahkan diakui antara 'lubuk' berita di negeri itu. Untuk makluman bagi mereka di luar Perlis, MPK 'menjaga' tiga daerah iaitu Kangar, Padang Besar dan Arau - iaitu meliputi seluruh Perlis.

Banyak isu melibatkan rakyat daripada lesen perniagaan, tempat letak kenderaan sehinggalah kepada kebersihan dan keindahan bandar. Begitu pun tiada atau hampir tiada sebarang laporan media dipaparkan lantaran pendekatan 'tutup pintu' diamalkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Boleh dikatakan keadaan ini berlarutan sejak beberapa tahun lalu. Tidak pasti di mana silapnya tetapi itulah realitinya. Maka sebab itu, tidak hairanlah penduduk Perlis seakan-akan tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Pelantikan Yang Dipertua MPK yang baharu, baru-baru ini bagaimanapun menggambarkan perubahan kepada senario itu dan membuka satu lembaran baharu. Ini jelas apabila Khairin Nazry Karim menjemput rakan-rakan media untuk makan tengah hari secara santai di sebuah lokasi, baru-baru ini.

Menurut seorang rakan media yang sudah lebih lima tahun berkhidmat di Perlis, ini adalah pertama kali berlaku dalam sejarah MPK.

Khairin yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ialah seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) muda yang berusia kurang 40 tahun. Difahamkan, pelantikan be­liau juga mencatat sejarah kerana Khairin menjadi YDP Ka­ngar termuda setakat ini.

Lebih menarik, Khairin dibantu oleh Setiausaha MPK yang baru disandang Wan Ahmad Fazli Wan Kamis, pada Januari lalu, yang juga seorang tenaga muda berusia 39 tahun.

Walaupun masih muda, Khairin seorang berpengalaman luas dan pernah berkhidmat sebagai pegawai Kedutaan Malaysia di Kemboja selama tiga tahun selain di Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA).

Perlis juga bukanlah asing baginya kerana beliau ialah bekas pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, sekitar tahun 90-an.

Dalam sembang-sembang santai itu, setiap pandangan pihak media dalam memajukan Perlis dipandang serius oleh Khairin yang mendengarnya dengan teliti.

Dengan raut wajah bersungguh-sungguh, beliau memberi jaminan akan cuba mengatasi masalah dihadapi penduduk Perlis dengan pasukannya sebaik mungkin.

Ini termasuklah melihat rungutan pelancong tentang isu penjaga letak kenderaan di Kuala Perlis yang berlagak seperti samseng dan gerai-gerai jualan di tepi jalan yang tidak teratur sehingga menjejaskan pemandangan.

Selain itu, isu kebersihan dan kesesakan gerai-gerai jualan di kawasan tumpuan pelancong seperti di Kuala Perlis dan Padang Besar yang berlarutan sejak sekian lama diberi jami­n­an olehnya akan cuba diselesaikan.

Semoga perubahan yang dijanjikan YDP baharu MPK ini akan menjadi kenyataan dan menyerlahkan tenaga orang muda dalam membawa kecemerlangan kepada Kangar khususnya dan Perlis amnya.

No comments:

Post a Comment