Thursday, February 25, 2016

Visi, falsafah hidup Hafiz Hamidun - Kosmo!

Visi, falsafah hidup Hafiz Hamidun

Oleh MOHD. HAIKAL ISAFoto AMIR KHALID

SAYANG IBU - Menurut Hafiz, dia sudah dua tahun tidak pulang ke kampung di Teluk Intan kerana sibuk kerja. Bagaimanapun, ibunya sering menghabiskan masa di Kuala Lumpur bersamanya.

KANVAS seninya telah menebal dengan pelbagai elemen membanggakan yang mustahil untuk dicapai seorang lelaki seawal usia 31 tahun. Masakan tidak sekitar tahun 2003, dia hanya dikenali sebagai salah seorang anggota kumpulan Nasyid popular, UNIC.

Kini, selepas 13 tahun berkecimpung dalam bidang seni, dia boleh berbangga dan mendabik dada dengan penubuhan syarikat miliknya, Arteffects International yang ditubuhkan pada 2006.

Bagaimanapun, tidak pernah berniat untuk mendabik dada, kejayaan yang dikecapinya dewasa ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Bagi Hafiz, banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki untuk lebih berjaya sebagai seorang khalifah di muka bumi ciptaan Yang Maha Kuasa.

Bagaimanapun, sebagai seorang selebriti dia berharap setinggi mana pun kejayaan yang dipinjamkan oleh pencipta-Nya, ia turut menyemarakkan api semangat masyarakat terutama golongan muda untuk mengukir kejayaan dalam bidang yang mereka ceburi.

"Saya juga pernah menjadi seorang pelajar. Tanggungjawab menjadi pelajar adalah sangat besar tetapi itu tidak bermakna kita hanya perlu belajar sahaja ketika berada di universiti.

"Universiti ialah tempat terbaik untuk seorang mengenal potensi diri. Waktu belajar dahulu saya tidak mempunyai ramai kawan dan ia tidak menjadi masalah buat saya.

"Namun, saya mula memasang impian untuk berjaya sejak bergelar pelajar. Memang susah untuk mengumpul duit, tapi ia berbaloi apabila kejayaan sudah berada di depan mata," ujarnya ketika ditemui media pada majlis pelancaran lagu terbitan syarikat rakaman miliknya, Arteffects International di Pitching Centre, KL Sentral, baru-baru ini.

Arteffects 10 tahun

Ditanya lebih lanjut soal perkembangan syarikat miliknya, Hafiz bersyukur kerana dalam tempoh 10 tahun, banyak kemajuan telah berlaku.

Katanya ringkas: "Setakat ini, saya menguruskan tujuh buah anak syarikat. Penat memang penat, tapi seronok."

Beritahu Hafiz, Arteffects International sudah berkembang ke beberapa negara lain seperti Mesir (Arteffects Egypt) dan Afrika Selatan (Arteffects South Africa). Selain itu, Hafiz juga bertindak sebagai pengasas anak syarikat lain seperti Mikraj Concept (pakaian muslim), Suflyka (produk kecantikan), Yellow Packs (kebajikan) dan CDNasyid.

Mengakui pasaran jualan album semakin merudum, Hafiz tidak menafikan bahawa dia perlu mencuba cabang lain dalam perniagaan untuk terus 'bernafas.'

"Ya, saya akui industri bukan seperti dulu. Banyak yang telah berubah. Saya tidak boleh hanya terus menjual album nasyid. Jadi, saya perlu bergerak seiring dengan kehendak semasa.

"Kalau dahulu, album nasyid memang laku kerana kalau mahu dengar lagu memang orang akan beli cakera padat (CD). Sekarang tidak lagi. Boleh saya katakan, jualan album hari ini telah berkurangan kira-kira 50 peratus berbanding jualan album zaman dulu," kongsinya.

Ditebak persoalan formula kejayaan dalam setiap perkara yang diceburinya, Hafiz tidak lokek berkongsi rahsia yang berpucuk pangkal daripada hubungan baik dengan Allah serta sesama manusia.

"Saya berniaga bukan untuk mencari keuntungan semata-mata. Saya berniaga kerana ingin mencari rezeki. Saya sentiasa tetapkan perkara itu dalam hati. Bukan berniat untuk berlagak baik, tapi itulah yang saya amalkan sejak dulu sehingga hari ini.

"Insya-Allah, rezeki yang lebih akan datang kalau kita tidak terlalu mengejar keuntungan dalam berniaga. Saya juga menjaga hubungan dengan pekerja saya. Saya latih mereka untuk berfikiran seperti atau lebih hebat daripada saya," ujarnya.

Mengulas lanjut, Hafiz banyak meminta dan bertukar pendapat dengan ikon produk kecantikan seperti Datuk Seri Vida dan Datuk Aliff Syukri untuk terus memajukan perniagaannya.

"Jujur saya katakan, saya memang muka tidak tahu malu. Sebelum ini pun saya sendiri datang ke pejabat Datuk M. Nasir untuk mempromosi lagu saya termasuk juga beberapa 'orang besar' industri seperti Datuk Yusof Haslam.

"Tiada apa yang ingin dimalukan. Kalau mahu berjaya, perlu berani dan percaya pada diri sendiri," katanya dalam optimis.

Pernah diugut pukul

Umum mengetahui bahawa lelaki kelahiran Teluk Intan, Perak itu mempunyai pengaruh yang besar di laman sosial. Di Facebook, dia mempunyai lebih 2.2 juta pengikut sementara di laman Twitter, Hafiz mempunyai lebih 400,000 pengikut.

Disebabkan hal itu, segala perkara yang ditulis atau dimuat naik terutama di laman Twitter sentiasa menarik peminat untuk retweet dan like. Begitupun, dia mengakui pernah diugut pukul oleh seorang lelaki gara-gara tulisan nasihatnya yang sering menjadi viral di laman sosial.

Katanya, individu tersebut menuduh dia menjadi punca rumah tangganya menghadapi masalah.

Ceritanya: "Tahun lepas ada seorang lelaki telefon saya tengah malam dan mengugut untuk menghantar orang memukul saya.

"Lelaki tersebut menyalahkan tulisan dan kata-kata saya di Facebook sebagai punca pergaduhan dengan isterinya. Saya mengambil keputusan untuk tidak melayan dan menyekat nombor telefon tersebut bagi mengelakkan perkara buruk berlaku."

Sambungnya lagi, tulisan kata-kata nasihat itu merupakan catatan apa yang berlaku dalam kehidupan seharian termasuk hal rumah tangga yang boleh dijadikan pengajaran kepada orang lain.

Dia memulakan aktiviti menulis kata-kata nasihat itu setiap hari sejak 2012 sehingga mendapat perkongsian ratusan ribu pengikut di laman Twitter dan Facebook.

"Saya suka menulis sesuatu yang boleh beri ingatan pada saya dan orang lain yang membacanya. Saya tahu ramai yang retweet atau repost kata-kata itu semula dengan tujuan untuk menyindir orang lain.

"Ada juga yang hantar kata-kata itu kepada suami-suami mereka dengan tujuan menyindir. Namun saya tidak berniat begitu, apa yang ditulis itu adalah apa yang saya lalui dan secara umum sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, dia sentiasa memastikan apa yang ditulis tidak menyentuh atau melibatkan mana-mana parti politik tertentu.

"Saya tidak mahu ada dalam kalangan pengikut laman sosial berbalah hanya kerana fahaman politik berbeza. Saya tahu mereka juga terdiri daripada pemimpin-pemimpin pelbagai parti politik dan seboleh-bolehnya saya mengelak untuk bercakap tentang isu tersebut," ujarnya menutup bicara.

No comments:

Post a Comment