KUALA LUMPUR 6 Feb. – Pelakon pengacara popular, Neelofa mengakui dia tidak kisah apabila digelar sebagai jutawan muda ketika ini.
Ia berikutan kejayaan jualan tudung keluarannya di bawah jenama Naelofar Hijab (NH) yang mencecah RM50 juta tahun lepas.
"Jika itu adalah kata-kata atau gelaran yang baik, saya tidak ada masalah," katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini.
Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 27, menganggap status tersebut sebagai satu doa berterusan daripada peminat khususnya yang mahu melihat dia terus mengukir kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.
Katanya, gelaran jutawan muda itu merupakan bukti usaha tanpa jemu dalam dunia perniagaan yang diceburi namun, dalam pada masa yang sama dia tidak mahu terbawa-bawa dengan status tersebut sehingga lupa diri dan riak.
"Alhamdulillah. Ini adalah hasil usaha semua pihak, bukan saya seorang. Keluarga, rakan-rakan perniagaan dan juga kakitangan saya merupakan tulang belakang kepada kejayaan yang saya kecapi ini.
"Saya tidak kisah sekiranya ada pihak mahu melabel saya sebagai jutawan muda namun, saya berharap dan sentiasa berdoa agar saya tidak akan berubah dan kekal di landasan yang sewajarnya," katanya.
Memetik laporan portal berita antarabangsa, BBC, perolehan Neelofa itu adalah dua kali ganda daripada jumlah asal yang disasarkan syarikat yang diusahakannya bersama ahli keluarga itu.
Selain tudung, Neelofa juga mengeluarkan pelbagai produk seperti BellaVita (produk kesihatan), Naelofar Jubah (pakaian) dan Lofalens (kanta lekap).
Dalam pada itu, pelakon Azura 2012 itu memaklumkan, dia bakal mengeluarkan minyak wangi yang dijangka menembusi pasaran selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Katanya, walaupun tidak mahu dilihat sebagai 'gelojoh' namun, peluang perniagaan yang ada tidak seharusnya dilepaskan.
"Saya juga bakal mengeluarkan buku tulisan saya pada bulan Mei ini dan itu adalah salah satu usaha saya untuk menambahkan keyakinan masyarakat di luar untuk menguatkan semangat diri," katanya.
No comments:
Post a Comment