Selain mencipta populariti dengan pelbagai kejayaan diraih, pelawak, pengacara dan pelakon, Zizan Razak, 32, turut dikenali dengan kisah kontroversi. Selepas putus cinta dengan pelakon Emma Maembong lebih setahun lalu, Zizan Razak atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak sudah beberapa kali dikaitkan dengan wanita lain.
Bagaimanapun, Zizan tidak mudah melatah, sebaliknya menganggap perkara itu sebagai dugaan dalam hidupnya.
"Diakui saya tidak boleh lari daripada perkara itu. Namun ia sedikit pun tidak membuatkan saya tertekan apabila sering dikaitkan dengan mana-mana wanita. Saya anggap itu semua dugaan. Mungkin selagi saya belum berkahwin, perkara sama pasti terus dibangkitkan," katanya.
Pelakon filem Polis Evo ini tetap bersyukur apabila perkara sedemikian tidak mengganggu kerjaya seninya, malah menyifatkan peminat hari ini lebih bijak menilai. Zizan sebelum ini pernah dikaitkan dengan pegawai di sebuah stesen TV selain dikatakan bakal berkahwin dengan gadis dari negeri kelahirannya, Terengganu.
Terbaru, pengacara program Akademi Fantasia ini dikatakan menjalin hubungan dengan bekas isteri pelakon Datuk Eizlan Yusof, Vie Shanti Harun.
"Buat masa ini memang tidak ada apa-apa hubungan serius. Kalau boleh saya tidak mahu bercakap lebih perkara ini. Tambahan pula Vie sebelum ini sudah membuat penafian di laman Instagram miliknya, jadi saya sama dengannya," katanya.
Kenyataan Zizan itu sekali gus menafikan Vie yang berstatus ibu tunggal beranak tiga itu sedang hangat bercinta. Zizan juga menepis gosip dia dan Vie pergi menonton wayang berdua seperti didakwa banyak pihak.
"Memang kami pernah keluar tengok wayang, tetapi keluarga saya ada bersama. Begitu juga dengan dia. Berkenaan hubungan kami, buat apa saya nak sorok. Kalau betul kami bercinta, saya akan mengakuinya. Buat masa sekarang, saya selesa berkawan dengannya.
"Cukup untuk saya katakan hubungan kami kini lebih kepada kawan dan urusan perniagaan," katanya.
Bikers Kental 2
Berkongsi perkembangan kerjaya seninya, Zizan bakal memulakan penggambaran filem Bikers Kental 2 (BK) pada 16 Mac depan.
"Sejujurnya sejak pihak penerbit dan pengarah memberitahu mahu membuat sekuel filem Bikers Kental, saya sangat teruja, malah bersedia 100 peratus. Saya rindu nak bekerja dengan pasukan BK dan pelakon lain. Filem ini sangat berbeza kerana daya tarikannya adalah motor berkuasa besar," katanya.
Berbeza daripada filem terdahulu, BK 2 menjalani penggambaran sepenuhnya di Thailand termasuklah di Danok, Hat Yai dan Phuket. Pada masa sama, Zizan mengakui dia kini selesa berlakon filem berbanding drama.
"Saya ada mendapat tawaran berlakon drama, tetapi mungkin masa belum sesuai. Kalau nak buat pun, saya nak naskhah berbeza. Bukannya nak bersikap 'demand', tetapi saya tidak mahu lagi bersikap tangkap muat. Jadi, buat masa sekarang saya fokus mana tawaran yang datang dulu," katanya.
Zizan berkata, dia juga bakal mengacarakan program Akademi Fantasia musim depan.
No comments:
Post a Comment