SAMBIL berhati-hati mengeluskan diri untuk keluar dari kereta saya yang terparkir di sebelah sebuah BMW berkilat yang menjalar, saya terpandang tuan punya kenderaan yang sedang asyik dengan selfonnya di kerusi pemandu.
Opps! Pintu kereta saya tersentuh keretanya! Ada sedikit gegaran yang terasa. Si tuan punya BMW itu menoleh memandang saya. Saya menekur ke arahnya sambil mengisyaratkan 'OK' dengan jejari saya.
Oleh kerana cermin keretanya gelap, saya tak pasti samada dia nampak isyarat saya. Namun, tiba-tiba saya ternampak barisan gigi putihnya. Dia sedang tersengih!
Lantas lelaki itu keluar dari keretanya. 'Tuan dah tak kenal saya?' tegurnya seraya membuka kaca mata hitamnya. Saya kaget seketika sambil cuba mengecam siapakah lelaki yang menggelar saya 'tuan' itu.
Oh, Jalal rupanya! Suatu ketika dahulu, dia bertugas satu kementerian dengan saya tatkala saya bertugas sebagai kakitangan kerajaan. Cuma, dia daripada jabatan lain.
Jalal adalah seorang peon. Tapi bukan seorang budak pejabat yang biasa. Dia rajin menolong orang. Semua kakak-kakak kerani dan jurutaip di jabatannya amat sukakannya. Jalal biasa menolong mereka membayar bil air dan elektrik. Pada waktu tengahari dan petang, Jalal jugalah yang menolong mereka membeli makanan.
Pada waktu siang, dia bekerja di pejabat kerajaan, pada waktu malam dia menjual burger. Kadangkala, pada hujung-hujung minggu, Jalal mengambil upah menggunting rambut budak-budak sekolah.
Saya rasa, Jalal tidak hairan dengan saranan membuat dua kerja untuk menampung kesesakan hidup kerana bagi Jalal, dia sudah biasa buat dua atau tiga kerja.
Namun, suatu yang menarik bagi Jalal ialah, dia amat suka berniaga. Apa sahaja akan dijualnya. Dia biasa menjadi ejen menjual kereta second-hand, mengambil komisyen menjual tanah, menjual telur ayam kampung atau upah menguruskan kambing untuk aqiqah. Saya kagum kerana Jalal ligat dengan usahanya. Saya kagum dengan Jalal yang punyai keyakinannya tinggi apabila dia sudah percayakan sesuatu.
Saya ingat lagi, suatu hari, Jalal mengkhabarkan kepada saya yang dia hendak meletak jawatan kerana katanya, dia sudah menemui suatu perniagaan yang amat menguntungkan dan ada masa depan.
Saya tertanya-tanya di dalam hati apakah perniagaan yang dilakukan sehinggalah dia mengeluarkan sebotol kecil makanan kesihatan dari poketnya. Mulalah Jalal bercerita mengenai khasiat vitamin di dalam botol itu.
Saya beli sebotol kerana kasihan. Risau juga saya kerana Jalal sanggup meninggalkan segala-galanya kerana menjadi ejen jualan langsung.
Sejak itu, apabila saya terserempak dengan Jalal, dia akan memberitahu yang dia masih dalam dunia jualan langsung, tetapi menawarkan produk dari syarikat yang lain. Jalal menjual sabun basuh, bengkong, makanan bayi, mekap, baju-T, minyak pelincir dan apa sahaja. Mulalah saya terfikir, apa nak jadi dengan Jalal dan masa depannya.
Namun, setiap kali saya menemuinya, kereta yang Jalal pandu semakin besar, semakin baharu dan semakin terkini. Ia petanda yang usaha Jalal semakin menampakkan kejayaan.
Dan kini? Dia mengimport makanan sunnah dari negara Sudan dan Yaman. Ada habbatus sauda, acacia, madu dan entah apa lagi. Katanya, kini dia sedang berusaha mendapatkan sijil halal dan sijil GMP. Dan, ya. Jalal sudah menjadi jutawan!
Suatu yang menarik dengan Jalal ialah, dia seolah-olah tidak kisah dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Apa yang difikir dan usahakan hanyalah matlamat hidupnya mengumpul kekayaan. Jangan tanya dia mengenai politik, ekonomi atau apa sahaja isu semasa. Katanya, dia tidak mahu tahu kesemuanya.
Memandangkan Jalal kini sudah berusia 40an dan dikira sudah matang, saya bertanya lagi apakah dia tidak ambil tahu apa yang berlaku di negaranya? Katanya, 'Buat apa buang masa bercakap pasal rasuah, pasal penyelewengan, pasal kuasa atau apa sahaja kalau kita tak ada kuasa mengubahnya?
Ada beribu anggota polis yang ditugaskan menangkap penjenayah, beribu pegawai SPRM membanteras rasuah dan beratus ribu orang politik yang naik atau jatuhkan pemimpin mereka.
Kita hanya ada kuasa bercakap. Selepas itu, kita juga yang kena cari makan sendiri. Siapa peduli kalau harga barang naik. Kalau kita bebel atau maki pun siapa nak dengar?'
Apakah Jalal sudah begitu individualistik? 'Saya dah tunaikan haji bersama kedua orang tua saya, anak-anak saya kesemuanya belajar dengan duit saya sendiri, saya dah bina surau kat kampung saya. Saya kini menaja sebuah sekolah tahfiz. Saya ada tanggungjawab menyambung rezeki 80 staf saya. Semua itu untuk keluarga, masyarakat dan ugama saya.'
Sesungguhnya, Jalal sudah lakukan segala mengikut pandangan dan caranya.
No comments:
Post a Comment