KETIKA menunggu penerbangan balik ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Kota Bharu, Kelantan, bulan lepas, penulis 'terjebak' membeli dua helai tudung jenama pelakon dan pengacara popular, Neelofa. Tudung itu penulis beli dari kiosk khas menjual produk jenama Neelofar Hijab (NH) yang terletak di dalam lapangan terbang tersebut.
Neelofa
Walaupun sudah agak lama juga tudung artis dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini berada di pasaran, sebelum itu tidak pernah pula terdetik di hati penulis hendak membelinya.
Bukan sebab tidak suka Neelofa, atau cemburu dengan artis jelita ini, tetapi memang penulis tidak percaya dengan jenama tudung.
Tudung bagi penulis tidak lebih daripada berperanan sebagai tudung. Yang ada jenama pun penulis beli kalau cantik dan sesuai. Lebih-lebih lagi kalau tanpa jenama tetapi kualitinya sama dengan yang ada jenama.
Penulis pernah masuk ke butik tudung berjenama kerana terpengaruh dengan iklan tetapi tidak jadi membeli sehelai pun. Mungkin tudung jenama itu sesuai dengan orang lain tetapi bukan penulis.
Sebab itu, apabila membaca berita yang Neelofa melancarkan jenama tudungnya sendiri, penulis layan macam biasa. Tidaklah beria-ia mencarinya.
Namun kebetulan apabila 'terserempak' dengan kiosk tudung artis cantik ini, penulis pun meninjau-ninjau, cuba menyelidik apa yang istimewanya sehingga jualan tudung Neelofa ini dilaporkan mencecah angka puluhan juta.
Sekali pandang, warna-warna pastel hijau muda, merah jambu, kuning air, biru langit dan oren cair, terus menangkap mata. Rekaan simple tanpa terlalu banyak kerawang, labuci dan manik membuat penulis tambah teruja. Apabila disentuh kainnya yang lembut, hati terus terpikat, Namun keinginan membeli ditahan dahulu kerana mahu bertanya harganya.
Akhirnya, sah. Dua helai diserahkan ke tangan penulis dalam plastik cantik tertera nama Neelofa, yang dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
Penulis tidak diupah menulis artikel ini. Tidak juga kerana dapat komisen atau tudung percuma. Lagipun penulis tidak pernah jumpa secara peribadi dengan Neelofa. Pokoknya penulis tidak kenal dia, dan Neelofa pun tidak kenal penulis.
Namun rasanya tidak salah untuk memuji pelakon dan pengacara popular ini yang kini layak bergelar jutawan muda - gelaran yang diberikan oleh portal berita antarabangsa BBC, ekoran kejayaan jualan tudungnya yang mencecah RM50 juta tahun lepas.
Walaupun berasa agak ralat, kenapa perlu menunggu sebuah portal asing yang memberi gelaran itu? Kenapa tidak media bisnes dalam negara kita? Penulis tetap bangga kejayaan Neelofa sebagai usahawan muda yang berjaya diiktiraf media antarabangsa. Syabas Neelofa!
Kejayaannya ini mengingatkan penulis kepada kisah dua kelompok yang biasa diceritakan. Satu kelompok ialah yang mempunyai idea untuk melaksanakan sesuatu dan memasang angan-angan mengenainya, manakala satu kelompok lagi ialah yang ada idea dan merealisasikannya.
Penulis percaya ramai dalam kalangan kita mempunyai idea untuk menjalankan bisnes atau berangan-angan melakukan sesuatu, tidak kisahlah apa pun. Namun soalnya apakah kita cuba merealisasikan atau sekadar tinggal angan-angan dalam kepala?
Kelompok yang merealisasikan idea ini mungkin berjaya seperti Neelofa atau mungkin sahaja gagal di tengah jalan. Sungguhpun kecundang, setidak-tidaknya mereka tidak berasa ralat kerana telah mencuba.
Yang malang adalah kelompok satu lagi, yang tidak tahu dan selama-lamanya tertanya-tanya apakah idea mereka itu 'mampu' dilaksanakan sehingga berjaya? Kelompok ini akan terus berangan-angan tanpa melakukan apa-apa.
Berbalik kepada kisah tudung, seingat penulis ketika zaman belajar sekitar 90-an, belum ada jenama yang popular, atau lebih tepat tidak ada selebriti yang menggunakan populariti mereka untuk menjual tudung dengan jenama sendiri.
Mungkin kerana ketika itu tidak ramai selebriti yang bertudung atau mungkin juga penjualan tudung diusahakan oleh peniaga kecil terutamanya di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Masjid India dan Chow Kit Road - tiga lokasi tumpuan wanita dan anak gadis terutama waktu makan tengah hari ketika orang lelaki solat Jumaat dan pada hujung minggu.
Awal tahun 2000, apabila artis Wardina Safiyah mula memakai tudung, 'tudung Wardina' menjadi cukup popular. Namun 'jenama' itu sebenarnya diberikan oleh para peniaga yang kalau tidak silap penulis dimulakan oleh gerai Eiman di Jalan Tunku Abdul Rahman, bukan Wardina sendiri.
Bertitik-tolak daripada 'tudung Wardina' perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, lama-lama taktik menjenamakan tudung dengan nama artis popular semakin tersebar luas.
Para peniaga yang kebanyakannya Melayu ini secara kreatif menjual tudung mengikut gaya artis popular untuk melariskan jualan mereka. Maka muncullah tudung Siti Nurhaliza, tudung Yuna, tudung Najwa Latif dan sebagainya. Namun selebriti yang nama-nama mereka digunakan oleh para peniaga ini tidak pula terlibat secara langsung. Mungkin tidak berminat.
Siti Nurhaliza dan Wardina sebaliknya sekadar menjadi jurucakap atau model kepada jenama tudung Arianie, selepas syarikat tekstil terkemuka Jakel melebarkan empayarnya.
Industri tudung bermula dari kedai di Jalan Tunku Abdul Rahman sehingga kini melalui evolusi yang cukup pesat. Sekarang, pelbagai jenama tudung berada di pasaran tanpa bergantung pada nama selebriti popular.
Dan difahamkan tudung-tudung ini laris terjual dan pengusahanya mendapat pulangan cukup lumayan.
Mungkin setelah mengkaji pasaran dan keupayaan mencatat keuntungan, Neelofa mencebur diri dalam perniagaan tudung. Bonusnya, beliau ada nama popular untuk 'dijual'.
Semuanya mungkin sahaja bermula daripada sebuah idea atau angan-angan. Akhirnya terbukti, kejayaan kini menjadi miliknya. Angan-angannya menjadi realiti kerana dia bijak merebut peluang yang terbentang di depan mata.
Bagaimana pula dengan kita? Adakah mahu menjadi seperti Neelofa? Atau hanya mahu berangan-angan menjadi Neelofa?
No comments:
Post a Comment