KUALA TERENGGANU – Kesusahan hidup yang dilalui ketika zaman kanak-kanak menjadi pembakar semangat bagi graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang juga anak kelahiran Kuala Terengganu ini untuk terus melakar kejayaan.
Syed Syarifuddin Tuan Dalam, 29, berkata, bagi mengubah kepada kehidupan yang lebih baik, beliau lebih selesa memilih untuk menceburi bidang usahawan membaiki padding topi keledar berbanding kerja makan gaji.
Syed Syarifuddin yang memiliki Ijazah Kejuruteraan Pembuatan berkata, bergelar usahawan pada usia mudah tidak semudah yang disangka lebih-lebih lagi bidang perniagaan yang diusahakannya memerlukan kemahiran yang tersendiri kerana ia biasanya dipelopori syarikat-syarikat besar.
"Sebelum ini, ketika zaman kanak-kanak kehidupan keluarga saya agak susah, namun, ia bukan halangan untuk saya mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik tanpa mengenal erti putus asa.
"Pengalaman hidup mengajar saya banyak perkara. Sebenarnya sejak di bangku sekolah lagi saya memang minat berniaga sehinggalah mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan ini," katanya.
Beliau berkata, setelah dua tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan, banyak perkara yang dipelajari terutama berkaitan selok-belok perniagaan terutama dari segi penjagaan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan bagi memastikan pelanggan sentiasa puas hati dengan hasil perkhidmatan yang diberikan.
Terima tempahan dari KL
Katanya, buat masa ini, perniagaannya hanya tertumpu dan secara atas talian dan setakat ini beliau banyak menerima tempahan oleh pelanggan yang datang dari dalam negeri Terengganu dan Kuala Lumpur.
"Saya sebenarnya melihat industri perkhidmatan ini sebagai industri yang mempunyai potensi luas, jadi saya yakin produk ini semakin diterima pengguna dari seluruh negara kerana permintaan yang diterima semakin meningkat dari sehari ke sehari.
"Dari segi purata jualan pula setakat ini mencecah sehinggan RM4,000 dalam tempoh sebulan dan ini sekali gus memberi motivasi kepada saya untuk membuka premis perniagaan yang lebih besar bagi memberi keselesaan kepada pelanggan," katanya.
Peserta Tube bimbingan SME Corp
Sementara itu, Pengarah SME Corp. Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata, Syed Syarifuddin adalah antara peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) 2.0 Terengganu yang dibimbing oleh SME Corp. Malaysia untuk mengembangkan lagi perniagaan bukan sahaja di pasaran Terengganu tetapi di seluruh negara.
Katanya, SME Corp. Terengganu juga akan membantu syarikat melalui kemudahan Geran atau Pinjaman Mudah bagi meningkatkan lagi automasi syarikat dengan mendapatkan mesin-mesin yang berkapasiti tinggi bagi menghasilkan produk yang lebih berkualiti serta meminumkan kos operasi syarikat.
"SME Corp. juga akan bekerjasama dengan Agensi-Agensi di Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Terengganu (MSPUT) untuk mendapatkan premis kedai yang bersesuaian kepada anak muda ini yang mana ia sekali gus akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran produk dan menjadikan operasi pengeluaran semakin berjalan lancar," katanya ketika melawat Syed Syarifuddin di premis perniagaannya di Batu Buruk.
Selain itu, Muhammad berkata, SME Corp Terengganu akan sentiasa melaksanakan program yang bersesuaian dengan jenis perniagaan yang dijalankan dan sentiasa memantau perkembangan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dari masa ke semasa.
"Salah satu hasil inisiatif itu ialah SME Corp bersama rakan strategik akan dapat melihat syarikat kini semakin meningkat daripada penarafan satu bintang menerusi Penarafan Daya Saing PKS bagi Penambahbaikan (SCORE) kepada penarafan dua dan tiga bintang dengan mengguna pakai dana yang disediakan oleh SME Corp. dan Agensi lain.
"Melalui kaedah SCORE ini juga, kita akan mengenal pasti jenis pembiayaan yang bersesuaian dengan syarikat ini bagi memastikan pembiayaan yang diterima mendapat manfaat kepada syarikat," katanya.
Menurut Muhammad, pada 2016, SME Corp. Terengganu telah mengenal pasti syarikat-syarikat yang berpotensi untuk ditingkatkan menerusi pembiayaan geran atau pinjaman terutamanya usahawan-usahawan belia yang berpotensi untuk dikembangkan lagi perniagaan mereka.
"Apabila syarikat sudah mencapai tahap tiga bintang ke atas, SME Corp. Terengganu akan merangkaikan syarikat-syarikat ini dengan Agensi-Agensi yang berkaitan seperti Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memberi pendedahan dan peluang terutama ke pasaran yang lebih luas seperti eksport ke Negara-Negara Asean," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Tunas Usahawan Belia Terengganu (Patut) Amir Long berkata, pihaknya akan membantu syarikat dari segi pemasaran produk melalui ahli-ahlinya dan platform sosial media yang telah dikenal pasti secara percuma.
"Patut juga akan membantu syarikat dalam merangka strategi pemasaran yang berkesan seperti penganjuran acara-acara permotoran yang berprestij bagi meningkatkan lagi pembangunan jenama syarikat," katanya.
No comments:
Post a Comment