Friday, February 12, 2016

Bekas Tentera OKU Gigih Jalankan Perniagaan Asam Pedas Johor - Bernama

MUAR, 13 Feb (Bernama) -- Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itulah prinsip hidup yang dipegang bekas anggota tentera Yahya Saipar, 68, yang menguruskan sendiri gerai masakan Asam Pedas Johor, meskipun merupakan orang kurang upaya (OKU).

Bekas anggota Rejimen Askar Melayu Diraja itu berkata, kaki kanannya dipotong pada Mac 2014 setelah dijangkiti kuman, namun kecacatan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjuang demi menyara kehidupan lapan orang anak serta ibu mentua yang sakit.

"Bagi saya semangat adalah kunci utama kepada kejayaan, tanpa semangat apa pekerjaan sekalipun tidak akan berjaya walaupun peluang terhidang di depan mata," kata pemilik gerai Pak Yahya Asam Pedas itu kepada pemberita, di sini.

Setelah bertahun memerah keringat, bekas tentera itu kini boleh berbangga kerana perniagaan yang diusahakannya itu sudah popular, bukan sahaja di Muar malah di seluruh negara.

Katanya, ada juga pelanggan dari Kuala Lumpur, Kuantan, Pahang, Sa bah, Singapura, China dan Eropah sanggup bertandang ke gerainya, semata-mata untuk menikmati masakan warisan Johor itu.

Dalam menjalankan operasi seharian, Yahya, dibantu lima pekerja serta isterinya, Normah Hassan, namun dia tetap tidak 'menang tangan' melayani pelanggan yang tidak putus-putus datang seawal pukul 10 pagi sehingga 3 petang.

Sebahagian besar pelanggan tetap, katanya, adalah masyarakat Cina yang akan memesan lebih awal juadah kegemaran mereka melalui telefon, sebelum datang ke kedainya.

Katanya, juadah yang digemari masyarakat itu ialah asam pedas ikan merah atau asam pedas ikan jenahak, dengan resipi dicipta dan dimasak sendiri bagi mengekalkan keasliannya.

"Asam pedas saya mendapat pengiktirafan sebagai asam pedas Johor tulen daripada Perbadanan Negeri Johor (Makanan dan Perkhidmatan Restoran) malah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sendiri pernah memberi pengiktirafan tersebut secara lisan ketika makan ke kedai saya pada ta hun 2004," katanya.

Selain asam pedas, gerainya juga menghidangkan masakan lain.

Yahya berkata, prinsip perniagaannya ialah bukan hendak mencari keuntungan semata-mata dan disebabkan itu, dia meletakkan harga berpatutan bagi setiap menu di kedainya.

"Bagi saya, apa yang lebih penting ialah saya gembira apabila ramai orang menjamu selera di kedai.

"Saya rasa seronok apabila melihat pelanggan berpuas hati dan menikmati hidangan kegemaran mereka," katanya.

Satu lagi prinsipnya ialah peniaga perlu mengikut kehendak pelanggan dan bukan kehendak sendiri bagi memastikan perniagaan terus berjaya.

Yahya berkata, dia bersedia berkongsi ilmu dan resipi masakan sekiranya ada pihak yang berminat mempelajari teknik masakan asam pedas Johor.

Malah, dia turut menasihatkan rakan senasib dengannya agar tidak berputus asa mencari sumber pendapatan, meskipun bergelar OKU.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment