Monday, February 29, 2016

AIA Malaysia tiga tertinggi penyedia PRS - Harian Metro

Kuala Lumpur: AIA Group (AIA) syarikat perlindungan insurans dan pelaburan antarabangsa melihat kesedaran rakyat Malaysia dalam tabungan persaraan adalah tinggi di kalangan negara lain di rantau Asia Tenggara berikutan rakyat tempatan lebih peka kepada keperluan serta persekitaran semasa yang boleh memberi kesan kepada tabungan masa depan.

Perkara itu dapat dilihat menerusi data diperoleh oleh AIA Malaysia yang berjaya menduduki tiga syarikat tertinggi sebagai penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) dalam segmen aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM135 juta bersamaan 12 peratus penguasaan pasaran setakat Disember 2015.

Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan AIA, Dr Mark Konyn berkata, kesedaran rakyat tempatan kepada tabungan persaraan juga boleh dilihat apabila rakyat tempatan tidak hanya bergantung kepada tabungan yang disediakan oleh kerajaan atau pihak majikan.

Beliau berkata, tabungan persaraan adalah tanggungjawab individu yang perlu dilakukan oleh setiap orang dan ini yang telah dilakukan oleh masyarakat global terutama dalam situasi ekonomi membangun.

"AIA yang telah beroperasi di rantau ini melebihi 100 tahun menyaksikan pertumbunan pasaran positif dan ia menunjukkan peningkatan lebih ramai penduduk di Asia Tenggara termasuk Malaysia peka dengan kepentingan pelaburan untuk tabungan peribadi.

"Malah, pihak kami juga sentiasa memberikan maklumat kepada orang ramai mengenai kepentingan tabungan terutama seseorang itu tidak boleh bergantung kepada tabungan disediakan oleh kerajaan atau pihak majikan," katanya pada taklimat media trend pelaburan dan persaraan di sini, semalam.

Dalam taklimat itu, AIA menerusi cabang perniagaan persaraannya, AIA Pansion and Asset Management Sdn Bhd (APAM) turut mengumumkan kejayaan mencatatkan 273 peratus AUM lebih tinggi daripada industri iaitu 65 peratus setakat Disember 2015.

Sunday, February 28, 2016

'Itu semua dugaan' - Harian Metro

sudirman@hmetro.com.my

Selain mencipta populariti dengan pelbagai kejayaan diraih, pelawak, pengacara dan pelakon, Zizan Razak, 32, turut dikenali dengan kisah kontroversi. Selepas putus cinta dengan pelakon Emma Maembong lebih setahun lalu, Zizan Razak atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak sudah beberapa kali dikaitkan dengan wanita lain.

Bagaimanapun, Zizan tidak mudah melatah, sebaliknya menganggap perkara itu sebagai dugaan dalam hidupnya.

"Diakui saya tidak boleh lari daripada perkara itu. Namun ia sedikit pun tidak membuatkan saya tertekan apabila sering dikaitkan dengan mana-mana wanita. Saya anggap itu semua dugaan. Mungkin selagi saya belum berkahwin, perkara sama pasti terus dibangkitkan," katanya.

Pelakon filem Polis Evo ini tetap bersyukur apabila perkara sedemikian tidak mengganggu kerjaya seninya, malah menyifatkan peminat hari ini lebih bijak menilai. Zizan sebelum ini pernah dikaitkan dengan pegawai di sebuah stesen TV selain dikatakan bakal berkahwin dengan gadis dari negeri kelahirannya, Terengganu.

Terbaru, pengacara program Akademi Fantasia ini dikatakan menjalin hubungan dengan bekas isteri pelakon Datuk Eizlan Yusof, Vie Shanti Harun.

"Buat masa ini memang tidak ada apa-apa hubungan serius. Kalau boleh saya tidak mahu bercakap lebih perkara ini. Tambahan pula Vie sebelum ini sudah membuat penafian di laman Instagram miliknya, jadi saya sama dengannya," katanya.

Kenyataan Zizan itu sekali gus menafikan Vie yang berstatus ibu tunggal beranak tiga itu sedang hangat bercinta. Zizan juga menepis gosip dia dan Vie pergi menonton wayang berdua seperti didakwa banyak pihak.

"Memang kami pernah keluar tengok wayang, tetapi keluarga saya ada bersama. Begitu juga dengan dia. Berkenaan hubungan kami, buat apa saya nak sorok. Kalau betul kami bercinta, saya akan mengakuinya. Buat masa sekarang, saya selesa berkawan dengannya.

"Cukup untuk saya katakan hubungan kami kini lebih kepada kawan dan urusan perniagaan," katanya.

Bikers Kental 2

Berkongsi perkembangan kerjaya seninya, Zizan bakal memulakan penggambaran filem Bikers Kental 2 (BK) pada 16 Mac depan.

"Sejujurnya sejak pihak penerbit dan pengarah memberitahu mahu membuat sekuel filem Bikers Kental, saya sangat teruja, malah bersedia 100 peratus. Saya rindu nak bekerja dengan pasukan BK dan pelakon lain. Filem ini sangat berbeza kerana daya tarikannya adalah motor berkuasa besar," katanya.

Berbeza daripada filem terdahulu, BK 2 menjalani penggambaran sepenuhnya di Thailand termasuklah di Danok, Hat Yai dan Phuket. Pada masa sama, Zizan mengakui dia kini selesa berlakon filem berbanding drama.

"Saya ada mendapat tawaran berlakon drama, tetapi mungkin masa belum sesuai. Kalau nak buat pun, saya nak naskhah berbeza. Bukannya nak bersikap 'demand', tetapi saya tidak mahu lagi bersikap tangkap muat. Jadi, buat masa sekarang saya fokus mana tawaran yang datang dulu," katanya.

Zizan berkata, dia juga bakal mengacarakan program Akademi Fantasia musim depan.

Saturday, February 27, 2016

Syamsul cuba nyanyi pula - Harian Metro

yati@hmetro.com.my

Bukan sekadar muncul dengan karya terbaharu arahannya, Munafik yang ditayangkan di pawagam sejak Khamis lalu, pelakon dan pengarah terkenal, Syamsul Yusof, 32, mahu menceburi bidang nyanyian pula.

Tiga tahun menyepi daripada dunia pengarahan, Syamsul bukan saja kembali dengan Munafik malah turut menyanyikan lagu tema filem terbaru arahannya itu.

Dia tampil berduet dengan Mawi atau Asmawi Ani menyanyikan Kalah Dalam Menang yang dihasilkan secara bersama dengan Anwar Fazal.

Kata Syamsul, dia menceburi bidang nyanyian sekadar mahu mencuba nasib serta mempelbagaikan bakat seni dimiliki. Hakikatnya, Syamsul menegaskan cita-cita utamanya tetap sebagai pengarah filem.

Katanya, selain aktif mengarah dia turut mengete­ngahkan bakatnya dalam lakonan. Jadi, tidak salah jika dia juga kembangkan bakatnya dalam nyanyian.

"Memang saya suka menyanyi dan mencipta lagu. Setakat ini kalau diikutkan saya ada kira-kira 50 koleksi lagu ciptaan sendiri.

"Dalam jumlah itu, selain Kalah Dalam Menang, rasa­nya saya mempunyai sembilan lagi lagu yang dilihat ada potensi untuk diketengahkan," katanya.

Ditemui ketika majlis sambutan ulang tahun ke-10 syarikat rakaman Arteffects International baru-baru ini, Syamsul akui kerjasama dengan Arteffects ini memberi ruang untuk lagu ciptaannya dapat diketengahkan kepada pendengar.

Katanya, ilham mencipta lagu diperolehnya tidak tentu masa. Apa yang paling diutamakan, lagu dicipta memuat­kan pelbagai mesej positif dan nasihat.

Mengenai pemilihan berduet dengan Mawi, menurut suami kepada pelakon Puteri Sarah Liyana ini ketika dia mencipta lagu Kalah Dalam Menang, vokal penyanyi paling sesuai difikirkan adalah Mawi.

"Meskipun saya dan Mawi kawan lama, jauh di sudut hati ketika mahu menyuarakan hasrat berduet dengannya untuk lagu ini, saya gementar juga.

"Saya bimbang Mawi akan menolak. Pun begitu, sebaik saya mengirimkan melodi dan lirik lagu ini untuk didengar, keputusan diterima mengejutkan.

"Mawi sudi menyanyikan lagu ini bersama saya dan dia yakin Kalah Dalam Menang akan diterima baik pende­ngar muzik tempatan," katanya.

Syamsul tanpa berselindung turut menanam impian berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza, Najwa Latif dan Siti Nordiana jika diberi peluang.

Mengenai dakwaan dia mengongkong isterinya untuk tidak aktif berlakon, Syamsul berkata dia sekadar kurang menggalakkan saja.

"Saya sebenarnya tidaklah menghalang Sarah berlakon. Cuma saya akui tidak menggalakkan dia aktif dalam karier lakonan.

"Bagi saya, cukuplah saya saja yang sibuk dan aktif dalam karier seni. Untuk Sarah, saya fikir kini dia lebih selesa dan serorok menguruskan perniagaan kami.

"Lagi pun, Sarah ada ijazah dalam bidang pemasaran dan karier sebagai ahli perniagaan itu sesuai untuknya. Saya hanya tidak mahu isteri terlalu penat kerana berlakon," katanya.

Baru lima bulan mengusahakan butik Shara Islamic Fashion World di Bangsar, Kuala Lumpur bersama isterinya, Syamsul berkata dia bersyukur dengan sambutan baik diterima.

Hingga kini, katanya lebih 70 jenama dihasilkan pereka fesyen tempatan dipasarkan di butik mereka yang mula beroperasi pertengahan September tahun lalu.

Mengenai pencapaian adik bongsunya, Syafiq di arena pengarahan filem, anak penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam ini berkata, sebagai abang dia tumpang bangga dengan kejayaan Syafiq.

"Saya tidak pernah anggap Syafiq sebagai pesaing sebaliknya kehadiran Syafiq dalam Skop Production Sdn Bhd dirasakan tepat pada masa.

"Dengan hadirnya Syafiq, saya tidaklah menjadi harapan utama papa. Sekurang-kurangnya, legasi papa dalam industri seni kami boleh teruskan bersama.

"Saya juga melihat potensi yang besar dimiliki Syafiq. Dia (Syafiq) bagi saya seorang anak muda yang memiliki banyak idea baru untuk diketengahkan," katanya.

Terus mendoakan kejayaan buat adiknya, Syamsul berkata apa yang paling utama bagi dia dan Syafiq adalah melihat bapa mereka gembira, bahagia dan bangga dengan kejayaan diperoleh.

Friday, February 26, 2016

Teduhan Cinta dipilih johan - Sinarharian

KUALA TERENGGANU –  Dengan bertemakan pelamin Teduhan Cinta,  Butik Rose Bridal House milik Noriati Adnan, 53, dinobatkan johan bagi kategori Pelamin Seni Persembahan Kreatif  sempena Festival Pelamin dan Rias Pengantin 2016.

Kemenangan itu mengulangi kejayaan kali pertamanya ketika menyertai pertandingan tersebut pada tahun 2013 bagi kategori yang sama.

Noriati berkata, pada pertandingan kali ini, dia bersaing dengan 19 peserta lain yang tidak kurang hebatnya.

"Alhamdulillah, kali ini rezeki memihak kepada Rose Bridal House.  Walaupun kos bagi menghasilkan pelamin ini lebih daripada jumlah yang dimenangi, tetapi berbaloi kerana penat lelah dan kesungguhan kami sekeluarga sehingga membawa kepada kemenangan ini," kata ibu tujuh anak ini.

Bagi kemenangan tersebut, dia membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000, set kerusi pengantin, plak penghargaan dan sijil penyertaan.

Berkongsi pengalaman, Noriati berkata, sebelum ini dia menjalankan pelbagai perniagaan termasuk kedai makan tetapi disebabkan persaingan dan banyak kedai makan, dia akhirnya memilih untuk membuka butik pelamin setelah mendapat sokongan ahli keluarga lain.

Memandangkan dia juga berkemahiran dengan fesyen dan jahitan manik, dengan modal permulaan sekitar RM80,000 bagi membuka butik hampir empat tahun lalu, perniagaan itu terus bertahan.

Butik tersebut beroperasi di Wisma Armon, Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu dan menjadi perniagaan keluarga apabila turut mendapat sokongan daripada suami,  Mohd Yahunza, 58.

Noriati turut berkongsi tip, dalam menjalankan perniagaan perkhidmatan kepada pelanggan khususnya kepada bakal pengantin, dia sama-sama berkongsi idea dengan pelanggan bagi menghasilkan pelamin dan pakaian yang diidamkan mengikut bajet mereka.

Thursday, February 25, 2016

Visi, falsafah hidup Hafiz Hamidun - Kosmo!

Visi, falsafah hidup Hafiz Hamidun

Oleh MOHD. HAIKAL ISAFoto AMIR KHALID

SAYANG IBU - Menurut Hafiz, dia sudah dua tahun tidak pulang ke kampung di Teluk Intan kerana sibuk kerja. Bagaimanapun, ibunya sering menghabiskan masa di Kuala Lumpur bersamanya.

KANVAS seninya telah menebal dengan pelbagai elemen membanggakan yang mustahil untuk dicapai seorang lelaki seawal usia 31 tahun. Masakan tidak sekitar tahun 2003, dia hanya dikenali sebagai salah seorang anggota kumpulan Nasyid popular, UNIC.

Kini, selepas 13 tahun berkecimpung dalam bidang seni, dia boleh berbangga dan mendabik dada dengan penubuhan syarikat miliknya, Arteffects International yang ditubuhkan pada 2006.

Bagaimanapun, tidak pernah berniat untuk mendabik dada, kejayaan yang dikecapinya dewasa ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Bagi Hafiz, banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki untuk lebih berjaya sebagai seorang khalifah di muka bumi ciptaan Yang Maha Kuasa.

Bagaimanapun, sebagai seorang selebriti dia berharap setinggi mana pun kejayaan yang dipinjamkan oleh pencipta-Nya, ia turut menyemarakkan api semangat masyarakat terutama golongan muda untuk mengukir kejayaan dalam bidang yang mereka ceburi.

"Saya juga pernah menjadi seorang pelajar. Tanggungjawab menjadi pelajar adalah sangat besar tetapi itu tidak bermakna kita hanya perlu belajar sahaja ketika berada di universiti.

"Universiti ialah tempat terbaik untuk seorang mengenal potensi diri. Waktu belajar dahulu saya tidak mempunyai ramai kawan dan ia tidak menjadi masalah buat saya.

"Namun, saya mula memasang impian untuk berjaya sejak bergelar pelajar. Memang susah untuk mengumpul duit, tapi ia berbaloi apabila kejayaan sudah berada di depan mata," ujarnya ketika ditemui media pada majlis pelancaran lagu terbitan syarikat rakaman miliknya, Arteffects International di Pitching Centre, KL Sentral, baru-baru ini.

Arteffects 10 tahun

Ditanya lebih lanjut soal perkembangan syarikat miliknya, Hafiz bersyukur kerana dalam tempoh 10 tahun, banyak kemajuan telah berlaku.

Katanya ringkas: "Setakat ini, saya menguruskan tujuh buah anak syarikat. Penat memang penat, tapi seronok."

Beritahu Hafiz, Arteffects International sudah berkembang ke beberapa negara lain seperti Mesir (Arteffects Egypt) dan Afrika Selatan (Arteffects South Africa). Selain itu, Hafiz juga bertindak sebagai pengasas anak syarikat lain seperti Mikraj Concept (pakaian muslim), Suflyka (produk kecantikan), Yellow Packs (kebajikan) dan CDNasyid.

Mengakui pasaran jualan album semakin merudum, Hafiz tidak menafikan bahawa dia perlu mencuba cabang lain dalam perniagaan untuk terus 'bernafas.'

"Ya, saya akui industri bukan seperti dulu. Banyak yang telah berubah. Saya tidak boleh hanya terus menjual album nasyid. Jadi, saya perlu bergerak seiring dengan kehendak semasa.

"Kalau dahulu, album nasyid memang laku kerana kalau mahu dengar lagu memang orang akan beli cakera padat (CD). Sekarang tidak lagi. Boleh saya katakan, jualan album hari ini telah berkurangan kira-kira 50 peratus berbanding jualan album zaman dulu," kongsinya.

Ditebak persoalan formula kejayaan dalam setiap perkara yang diceburinya, Hafiz tidak lokek berkongsi rahsia yang berpucuk pangkal daripada hubungan baik dengan Allah serta sesama manusia.

"Saya berniaga bukan untuk mencari keuntungan semata-mata. Saya berniaga kerana ingin mencari rezeki. Saya sentiasa tetapkan perkara itu dalam hati. Bukan berniat untuk berlagak baik, tapi itulah yang saya amalkan sejak dulu sehingga hari ini.

"Insya-Allah, rezeki yang lebih akan datang kalau kita tidak terlalu mengejar keuntungan dalam berniaga. Saya juga menjaga hubungan dengan pekerja saya. Saya latih mereka untuk berfikiran seperti atau lebih hebat daripada saya," ujarnya.

Mengulas lanjut, Hafiz banyak meminta dan bertukar pendapat dengan ikon produk kecantikan seperti Datuk Seri Vida dan Datuk Aliff Syukri untuk terus memajukan perniagaannya.

"Jujur saya katakan, saya memang muka tidak tahu malu. Sebelum ini pun saya sendiri datang ke pejabat Datuk M. Nasir untuk mempromosi lagu saya termasuk juga beberapa 'orang besar' industri seperti Datuk Yusof Haslam.

"Tiada apa yang ingin dimalukan. Kalau mahu berjaya, perlu berani dan percaya pada diri sendiri," katanya dalam optimis.

Pernah diugut pukul

Umum mengetahui bahawa lelaki kelahiran Teluk Intan, Perak itu mempunyai pengaruh yang besar di laman sosial. Di Facebook, dia mempunyai lebih 2.2 juta pengikut sementara di laman Twitter, Hafiz mempunyai lebih 400,000 pengikut.

Disebabkan hal itu, segala perkara yang ditulis atau dimuat naik terutama di laman Twitter sentiasa menarik peminat untuk retweet dan like. Begitupun, dia mengakui pernah diugut pukul oleh seorang lelaki gara-gara tulisan nasihatnya yang sering menjadi viral di laman sosial.

Katanya, individu tersebut menuduh dia menjadi punca rumah tangganya menghadapi masalah.

Ceritanya: "Tahun lepas ada seorang lelaki telefon saya tengah malam dan mengugut untuk menghantar orang memukul saya.

"Lelaki tersebut menyalahkan tulisan dan kata-kata saya di Facebook sebagai punca pergaduhan dengan isterinya. Saya mengambil keputusan untuk tidak melayan dan menyekat nombor telefon tersebut bagi mengelakkan perkara buruk berlaku."

Sambungnya lagi, tulisan kata-kata nasihat itu merupakan catatan apa yang berlaku dalam kehidupan seharian termasuk hal rumah tangga yang boleh dijadikan pengajaran kepada orang lain.

Dia memulakan aktiviti menulis kata-kata nasihat itu setiap hari sejak 2012 sehingga mendapat perkongsian ratusan ribu pengikut di laman Twitter dan Facebook.

"Saya suka menulis sesuatu yang boleh beri ingatan pada saya dan orang lain yang membacanya. Saya tahu ramai yang retweet atau repost kata-kata itu semula dengan tujuan untuk menyindir orang lain.

"Ada juga yang hantar kata-kata itu kepada suami-suami mereka dengan tujuan menyindir. Namun saya tidak berniat begitu, apa yang ditulis itu adalah apa yang saya lalui dan secara umum sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, dia sentiasa memastikan apa yang ditulis tidak menyentuh atau melibatkan mana-mana parti politik tertentu.

"Saya tidak mahu ada dalam kalangan pengikut laman sosial berbalah hanya kerana fahaman politik berbeza. Saya tahu mereka juga terdiri daripada pemimpin-pemimpin pelbagai parti politik dan seboleh-bolehnya saya mengelak untuk bercakap tentang isu tersebut," ujarnya menutup bicara.

Wednesday, February 24, 2016

Program TUBE berjaya tingkatkan ekonomi belia Bumiputera - Kosmo!

Program TUBE berjaya tingkatkan ekonomi belia Bumiputera

24/02/2016 10:29pm

Ekonomi belia berjaya ditingkatkan sehingga ada yang menjadi usahawan berpendapatan tinggi melalui program TUBE.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) telah berjaya meningkatkan ekonomi belia Bumiputera.

Gembira dengan kejayaan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata, melalui program itu, ekonomi belia daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) berjaya ditingkatkan sehingga ada yang menjadi usahawan berpendapatan tinggi.

"Apa yang saya dengar, program ini memang tepat sekali diadakan kerana ia membawa sinar cahaya pengharapan baharu untuk melakukan perubahan besar kepada golongan belia. TUBE telah mentransformasi kumpulan ini sehingga menjana pendapatan yang lumayan... Insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi 'Cetusan Minda' Perdana Menteri bersama kira-kira 1,000 peserta dalam Majlis Apresiasi TUBE di Menara Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini, hari ini.

Program TUBE dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia dan dilancarkan Najib pada 29 Mac 2014 telah berjaya memberi impak positi dengan 99 peratus daripada 448 peserta yang menyertai TUBE 1.0 telah memulakan perniagaan dengan nilai jualan tahunan terkumpul pada 2015 mencecah RM17.8 juta. - Bernama

Tuesday, February 23, 2016

Wanita mewah kasih sayang - Utusan Malaysia

Bagaimanapun bercerita mengenai kehidupannya selepas kematian suami pada 24 Januari 2008, ternyata Ziela juga tidak sekuat mana. Mengambil masa beberapa bulan untuk menerima kenyataan, jelas Ziela atau nama sebenarnya Norzilah Abdul Jalil, 46, antara ubat paling mujarabnya ketika itu adalah pesanan terakhir suaminya, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.

"Bukan mudah sebenarnya, selepas kematian suami selama beberapa bulan saya cuba menerima kenyataan. Setiap hari, dua kali saya berulang alik ke kubur arwah suami dengan membawa anak-anak.

"Malah ketika itu juga baru saya sedar bahawa segala tanggungjawab telah terpikul atas bahu saya seorang. Apa yang menguatkan saya adalah permintaan arwah untuk saya menjaga dua zuriatnya, jadi saya bingkas bangkit demi mereka," katanya.

Selama sembilan tahun kehilangan, cinta yang terus wujud antara dia dan suami tidak pernah luntur walaupun sedikit. Dia tidak pernah sekalipun berfikir soal mencari pengganti, jauh sekali untuk kembali berumahtangga, buat waktu sekarang.

Memberi gambaran betapa dia sedang berbahagia dengan apa yang menjadi miliknya hari ini, kehidupan sebagai seorang ibu tunggal cukup selesa buat dirinya.

"Arwah adalah seorang yang sangat baik, malah sehingga kini saya masih terasa kasih sayangnya terhadap saya dan anak-anak. Selepas sembilan tahun tanpa dia di sisi, jujur saya katakan dunia saya hanya anak-anak dan ibu saya sendiri.

"Tidak mahu saya mendabik dada soal ini, tetapi tulus dari hati memang tiada niat untuk saya kembali bergelar isteri lagi di waktu sekarang. Malah, saya tidak boleh lihat adanya kehidupan bersama orang lain selain anak-anak saya," katanya lembut.

Pernah dirundung dengan pelbagai sangkaan jahat sesetengah pihak, ternyata perkara itu tidak pernah menjadi kudis buat dirinya. Jika suatu ketika dulu dia hanya dikenali sebagai seorang artis yang juga isteri kedua kepada Megat Junid, kini status dirinya berubah sama sekali.

Ketika ini dia sudah membuktikan bahawa status ibu tunggal memberi sebab untuk dia bekerja lebih keras demi menyara keluarga.

"Saya tidak perlu beritahu berapa banyak harta yang ditinggalkan Allahyarham suami, tetapi apa yang orang kena faham, jika sudah terlalu senang buat apa saya perlu bekerja keras. Betul tak? Jangan anggap kerjaya sebagai penerbit kerja mudah, sebabnya kerjaya ini juga ada tekanan.

"Kini saya sudah buktikan yang saya tidak perlu harapkan sesiapa untuk meneruskan kehidupan. Sungguhpun saya hanya seorang ibu tunggal itu tidak bermakna ada kekurangan untuk saya menyediakan kehidupan yang baik buat mereka. Rahsianya mudah, iaitu dengan rezeki Allah dan usaha ikhlas kita," katanya.

Ibu yang garang

Melihat cara didikan kepada anak-anaknya, jangan tidak tahu Ziela merupakan seorang yang agak tegas di rumah. Dilahirkan sebagai seorang anak polis, dia mengambil serius tentang cara didikan setiap anak-anaknya termasuk seorang anak angkat bernama Ibrahim Junid Abdullah, empat tahun.

"Berbeza dengan saya, mereka dilahirkan sebagai anak menteri, jadi kehidupan mereka itu sendiri boleh dikatakan mewah sedari awal. Sebab itu saya mengambil berat tentang didikan agama, yang bagi saya itu sahaja yang boleh menjadi pendinding buat mereka berhadapan dengan dunia luar.

"Bila ada yang kata saya berjaya didik anak-anak, tiada ucapan lain yang boleh saya luahkan selain Alhamdulillah. Sebenarnya bukan mudah, melalui kehidupan sebagai seorang ibu tunggal dan menjadi satu-satunya orang yang membuat keputusan berkaitan keluarga, saya pada mulanya juga agak keliru. Namun, lama-kelamaan, Allah permudahkan semua untuk saya," katanya.

Bercerita mengenai anak bongsunya, Ibrahim, Ziela melahirkan perasaan bersyukur kerana dikurniakan bayi comel itu. Ketika dia mengambil keputusan untuk membesarkan Ibrahim, antara alasan utamanya adalah dalam mengubati hati selepas kehilangan suami. Justeru, nama Ibrahim Junid diambil sempena nama arwah suami, sebagai kenangan-kenangan abadi. Ia bergabung dengan nama Ibrahim, semoga anak itu membesar dengan semangat Nabi Ibrahim A.S.

"Saya masih ingat ketika mahu mengambil Ibrahim ketika itu, kali pertama melihat dia juga hati saya sudah tertawan. Malah apa yang paling seronok untuk mengetahui hari lahirnya sama dengan arwah suami saya.

"Sekarang untuk melihat ada ciri-ciri suami saya turut terbawa kepada Ibrahim terutamanya cara dia berjalan. Meskipun mereka tidak pernah berjumpa, banyak sifat Ibrahim mewarisi arwah suami. Saya anggap ini rahmat Allah kepada kami keluarga," katanya dalam nada penuh kesyukuran.

Bukti kerja keras

Berkongsi magis dalam bidang penerbitan drama yang semakin menjadi-jadi kini, ada yang melihat Ziela cukup mewah dan selesa dalam bidang ini. Berkongsi cerita kata penerbit ini, setiap kali menghasilkan sesuatu dia sangat menitikberatkan hasil persembahan setiap karyanya kepada penonton.

"Kehilangan suami beberapa tahun lalu sebenarnya yang membuka mata saya tentang perkara ini. Jika dahulu saya tidak terlalu fikirkan untung rugi dalam bidang ini, namun selepas ketiadaan dia baru saya faham penting bagi saya memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang ini memandangkan ini adalah satu-satunya sumber rezeki kami anak-beranak.

"Saya anggap ini rezeki Allah, memang semua orang juga mahukan keuntungan dalam perniagaan. Macam saya juga, tetapi apa yang saya cari dalam setiap drama adalah kesempurnaan terutamanya dari bahagian kreativiti," katanya.

Pernah mendapat tentangan untuk berada dalam bidang seni pada awal pembabitannya, ternyata Ziela kini sudah membuktikan glamor bukan tujuan utama dia memilih industri ini.

Malah ketika ini sedikit sebanyak ada rasa lega untuk memberitahu dua anaknya iaitu Puteri Julia Nabilah, 23, dan Megat Jufri Nasrullah, 21, bahawa pengiktirafan dalam apa-apa juga bidang, hanya akan hadir melalui kerja keras.

"Ayah memang tidak pernah setuju dengan keputusan saya berada dalam bidang ini. Sebabnya, dahulu dia mahu saya menjadi seorang doktor. Tetapi saya buktikan kini kerjaya yang saya pilih ini tidak sekadar meletakkan saya di kedudukan biasa.

"Itu juga yang saya kongsi dengan dua anak, pilih apa juga bidang yang mereka suka, namun dalam masa yang sama kena kerja keras dalam memastikan tidak berada dalam takuk yang sama," katanya.

Dianugerah dengan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Istana Pahang, baru-baru ini, Ziela percaya. kejayaan itu bukan hadir dari dirinya sahaja.

Selain keluarga, tentunya dia tidak menafikan rasa gembiranya apabila tahu ada pihak yang turut menghargai nilai seni yang diterapkan dalam setiap karya miliknya.

"Bila saya dapat tahu akan dianugerahkan dengan gelaran tersebut oleh Istana Pahang, apa yang bermain di fikiran hanyalah anak-anak dan ibu saya sendiri Fatimah Othman, 66.

"Saya anggap ini kejayaan mereka juga sebabnya mereka adalah tunjang kehidupan saya sampai bila-bila. Tidak sekadar itu, membawa gelaran ini bukan perkara yang mudah. Bagi saya di masa depan dengan penghargaan ini saya mahu membuktikan kepada mereka semua yang saya akan berusaha lebih keras sebagai penerbit dalam menyediakan lebih banyak produk yang bermutu," katanya.

Monday, February 22, 2016

Iklim ekonomi semasa tidak jejas Sunway - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Iklim ekonomi semasa tidak menjejaskan operasi perniagaan Sunway Bhd. (Sunway) dan syarikat tersebut akan terus melancarkan beberapa projek bernilai RM1.6 bilion pada tahun ini, 70 peratus daripadanya di sekitar Lembah Klang, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1 bilion.

Pengarah Urusan Bahagian Pembangunan Hartanah Malaysia dan Singapura, Sarena Cheah berkata, untuk tahun ini juga, Sunway bakal melancarkan beberapa projek hartanah lain termasuk di Johor dengan GDV RM400 juta, manakala di Ipoh dan Pulau Pinang dengan GDV kira-kira RM200 juta.

Ujarnya, biarpun pasaran hartanah ketika ini mencabar, Sunway berjaya merekodkan purata kadar pembelian sebanyak 80 peratus daripada pelancaran projek di Bangi, Cheras, Ipoh dan Johor dalam tempoh empat bulan kebelakangan ini.

Katanya, syarikat turut yakin dapat mencapai sasaran jualan hartanahnya bernilai RM1.4 bilion bagi tahun ini, selepas berjaya merekodkan jualan sebanyak RM1.2 bilion tahun lalu.

"Kejayaan tersebut adalah hasil rekod kami sebagai pemaju komuniti yang kukuh, lokasi pembangunan yang menarik serta kesungguhan syarikat untuk membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan-pelanggan kami," katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Sunway di sini hari ini.

Tambahnya, bagi projek di Lembah Klang, Sunway bakal melancarkan Sunway Geo Residences 3 terdiri daripada 420 unit kondominium dengan GDV RM400 juta yang juga merupakan pelancaran akhir bagi projek berintegrasi di Sunway South Quay.

"Pelancaran sebelum ini merekodkan kadar pembelian sebanyak 90 peratus dan ini disebabkan lokasi strategik projek tersebut yang terletak berhampiran Sunway Resort City," katanya.

Cheah berkata, sebagai pemaju hartanah jangka panjang, pihaknya sentiasa mengintai peluang-peluang bagi mencari bank tanah di kawasan strategik dan menjalin kerjasama dengan syarikat lain yang berkongsi falsafah sama dalam membangunkan sesebuah komuniti.

Setakat ini, Sunway memiliki bank tanah seluas 1,337.1 hektar dengan GDV berjumlah RM47.7 bilion dan jangka masa pembangunan sehingga 15 tahun.

"Kami akan terus meneroka potensi hartanah di kawasan-kawasan strategik bagi membangunkan projek yang holistik," ujarnya.

Sunday, February 21, 2016

J-Biotech yakin tarik pelabur bio ke Johor - Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU 21 Feb. - Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) yakin mampu terus menarik pelaburan berasaskan bio ke negeri ini, biarpun dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi pada masa kini.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid optimis, industri tersebut menerusi inisiatif bioekonomi juga mampu menjadi satu daripada enjin pertumbuhan, sekali gus merancakkan lagi ekonomi negeri ini.

Beliau berkata, keyakinan itu juga bersandarkan kejayaan J-Biotech merekodkan pelaburan dalam pelbagai sektor berasaskan bio yang bernilai RM670.3 juta pada tahun lalu, melebihi RM500 juta yang disasarkan.

"Dengan pencapaian tahun 2015, J-Biotech menyasarkan untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara sebanyak RM700 juta pada tahun ini, malah kita juga sedang berbincang dengan 15 syarikat bagi tujuan tersebut.

"Selain itu, ia juga disokong dengan pelan perniagaan dan strategi yang dirancang J-Biotech, sekali gus mampu memacu ke­rancakan industri itu di Johor pada tahun ini," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Wan Amir-Jeffery berkata, J-Biotech juga yakin jumlah itu dapat dicapai dengan berpaksikan kadar nilai pelaburan semasa terutama menerusi segmen AgroBio dan Bio Industri serta inisiatif pembangunan bio yang dijangka dilaksanakan tahun ini.

Beliau berkata, sokongan daripada kerajaan Pusat dan kerajaan negeri serta agensi terlibat juga dapat memastikan J-Biotech mampu terus memacu industri itu lebih berkembang selain meningkatkan saingan di peringkat global.

"Pada tahun ini, kita juga sudah merancang pelbagai program meneruskan usaha sedia ada, antaranya memperkasakan Johor Bio Talent, pembangunan Bio-SME dan program pembangunan komuniti bioekonomi (BCDP 2.0).

"Selain itu, J-Biotech akan me­nganjurkan Persidangan Antarabangsa Bio-Ekonomi Johor yang mampu menjadi platform bagi pihak terlibat membincangkan tentang pembangunan ekosistem sektor tersebut," katanya.

Saturday, February 20, 2016

UTC/RTC: Inisiatif Transformasi Signifikan Najib - Bernama

Fokus Berita Oleh Norshazlina Nor'azman

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Peranan penting Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dalam memperluas jangkauan perkhidmatan kerajaan tidak dapat disangkal lagi, menjadikannya satu inisiatif yang berjaya.

Menerusi konsep 'satu hentian pelbagai perkhidmatan', UTC dan RTC, yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah pelengkap transformasi untuk mensejahterakan rakyat selaras dengan prinsip 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

Kedua-dua konsep itu berjaya menghimpunkan lebih 40 agensi kerajaan dan swasta demi memudahkan komuniti bandar dan luar bandar mendapatkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung.

Kerjasama unik antara pelbagai agensi tersebut dilaksanakan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang merupakan antara komitmen dan transformasi terbaik kerajaan, demi kepentingan rakyat. Ia diperkenalkan sebagai usaha 'merakyatkan perkhidmatan awam'.

Kewujudan UTC dan RTC juga berjaya meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mutu sistem penyampaian menerusi perkongsian strategik yang dijalankan.

Transformasi perkhidmatan kerajaan menerusi NBOS serta kewujudan UTC dan RTC berjaya memecahkan silo antara kementerian dan agensi kerajaan dalam melaksana dan menjayakan sesuatu program, sekali gus memberi pelbagai manfaat kepada rakyat.

Najib, yang menjadi perdana menteri keenam Malaysia pada 2009, genap 40 tahun penglibatannya dalam politik tanah air pada 21 Feb. Beliau berusia 22 tahun ketika mula menceburi bidang politik selepas kematian ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein, akibat leukemia pada 14 Jan, 1976.

Seiring dengan matlamat untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, penubuhan RTC dan UTC mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pendapatan rakyat kerana ia turut menjadi hab merancakkan aktiviti ekonomi, penggalakan penjualan nilai tambah produk pertanian dan menyediakan perkhidmatan kewangan serta perkhidmatan pembangunnan perniagaan dan keusahawanan.

Ramai yang memperoleh manfaat dan berpuas hati dengan fungsi serta kemudahan pusat transformasi berkenaan, dan tidak menghairankan jika masyarakat masih menantikan kewujudan UTC dan RTC di tempat-tempat mereka.

Pastinya rakyat menyambut baik pengumuman Perdana Menteri semasa mengumumkan Pengubahsuaian Bajet 2016 bahawa pembinaan 10 lagi UTC di Labuan, Sungai Petani (Kedah), Miri dan Sibu (Sarawak), Kota Bharu (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu), Tawau dan Keningau (Sabah), Seremban (Negeri Sembilan) dan Kangar (Perlis) akan diteruskan.

Empat RTC baharu dijangka siap dibina di Jawi (Pulau Pinang), Rembau (Negeri Sembilan), Sungai Rambai (Melaka) dan Betong (Sarawak) pada tahun ini.

Mengimbas kembali, UTC yang pertama dilancarkan di Melaka pada 23 Jun 2012, manakala RTC pertama terletak di Gopeng, Perak pada 18 Feb tahun sama. Kedua-duanya dirasmikan oleh Najib.

Hingga kini, lapan UTC utama diba ngunkan di seluruh negara iaitu di Pudu Sentral (Kuala Lumpur), Melaka Sentral (Melaka), Alor Star (Kedah), Ipoh (Perak), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah), Kuantan (Pahang) dan Kuching (Sarawak). Selain itu terdapat juga UTC mini di Sentul dan Keramat, Kuala Lumpur.

Sehingga Januari 2015, lebih 7.5 juta pengguna pelbagai perkhidmatan dan kemudahan berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan di kesemua UTC, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zabidi Zainal.

Sementara itu, sembilan RTC yang dibangunkan terletak di Gopeng, Kota Bharu, Pekan, Jitra, Kulaijaya, Dungun, Miri dan dua buah di Melaka.

Menerusi UTC dan RTC, komuniti setempat dapat menyelesaikan pelbagai urusan dengan agensi-agensi kerajaan, awam dan swasta dalam tempoh singkat.

Ini termasuklah urusan pembayaran bil, memperbaharui pasport, kad pengenalan, perbankan, pendidikan, pembiayaan dan pinjaman, kesihatan serta urusan-urusan lain.

Permohonan dan pemerosesan banyak u rusan boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa jam sahaja, umpamanya urusan memperbaharui pasport, yang hanya mengambil masa sejam untuk siap selepas pembayaran dibuat.

Antara agensi yang beroperasi ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Antara perkhidmatan lain yang ditawarkan melibatkan Pos Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Tenaga Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan TEKUN Nasional, yang menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah untuk perniagaan.

Waktu operasi tidak terhad pada waktu pejabat, sebaliknya bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam, dan dibuka setiap hari termasuk pada hujung minggu.

UTC dan RTC turu t berperanan sebagai pusat setempat bagi pembangunan dan aktiviti belia, ruang perniagaan produk tempatan terutamanya bagi penduduk luar bandar dan pusat kegiatan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Orang ramai juga boleh membeli barangan keperluan dengan adanya kedai kain, kedai buku, pasar borong menjual sayur, buah-buahan, ikan, ayam dan daging serta medan selera di pusat-pusat sehenti itu. Selain surau, ada yang menyediakan gelanggang futsal, gimnasium dan ruangan parkir percuma.

Selain meningkatkan sistem penyamapian perkhidmatan kerajaan, pengwujudan UTC dan RTC secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan rantaian bekalan hasil pertanian dan aktiviti ekonomi setempat.

Selain itu, Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) turut dilancarkan pada 1 Mac 2013, demi memberi kemudahan kepada penduduk luar bandar dan pedalaman yang tiada akses kepada kemudahan asas dan berhadapan masalah pengangkutan untuk pergi ke UTC dan RTC.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata pendekatan NBOS yang dilaksanakan untuk memperkemaskan perkhidmatan awam ternyata membuahkan hasil positif.

"Setelah NBOS berjaya 'menyatukan' pasukan polis dan tentera, ia kini membantu sistem penyampaian awam dengan mengubah imej perkhidmatan itu menjadi lebih efektif dan lebih mesra pengguna.

"Kaedah penyampaian UTC dan RTC ini menarik kerana ia adalah perkhidmatan yang dibawa kepada masyarakat... kini satu tempat untuk semua perkhidmatan," katanya kepada Bernama.

Pelbagai urusan dapat diselesaikan dengan hanya sekali lawatan ke lokasi yang sama, dapat menjimatkan masa dan kos.

"UTC dan RTC bukan satu pembaziran oleh kerajaan tetapi satu idea yang sangat baik dan bijak... sememangnya NBOS adalah satu kejayaan," katanya.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universi ti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, UTC dan RTC merupakan antara pencapaian terbaik Najib sepanjang memegang tampuk kepimpinan tertinggi negara.

"Matlamat UTC dan RTC itu sampai terus kepada rakyat... ia merupakan projek yang berkesan dalam misi transformasi kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat terutamanya penduduk luar bandar," katanya.

-- BERNAMA

Friday, February 19, 2016

MMC, KeTTHA tandatangani kontrak bernilai RM1.5b - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 19 Feb. – MMC Corporation Berhad. (MMC) menerusi anak syarikat milik penuhnya, MMC Pembetungan Langat Sdn. Bhd. (MMC PLSB) menandatangani kontrak perjanjian bernilai RM1.5 bilion dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bagi projek Loji Langat Berpusat Rawatan Kumbahan (CSTP) dan Sistem Pemindahan Pembentungan.

Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, MMC PLSB dianugerahkan kontrak tersebut berdasarkan pengalaman dan kejayaan syarikat yang membangunkan Perbadanan Perkhidmatan Kumbahan Tokyo Metropolitan di Jepun.

"Sebagai utiliti utama dan kumpulan infrastruktur dengan perniagaan dalam segmen pelabuhan dan logistik, tenaga dan utiliti serta kejuruteraan dan pembinaan, kami dilengkapi dengan sumber dan pengalaman yang membuktikan keupayaan kami dalam sektor kejuruteraan dan pembinaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis tandatangani perjanjian itu yang diadakan baru-baru ini, dihadiri Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Loo Took Gee; Ketua Pe­ngarah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan, Datuk Ir. Dr. Zullkefle Nordin dan Pengarah MMC PLSB, Ir. Chee Weng Loon

Projek tersebut dijangka siap pada Oktober 2020 dan mampu meningkatkan kualiti kumbahan di samping mengurangkan satu daripada sumber pencemaran ammonia di Sungai Langat.

Fasiliti yang moden dan dilengkapi dengan inisiatif teknologi hijau dan kemudahan awam itu mampu menampung aliran kumbahan sebanyak 207,000 kubik meter setiap hari atau 920,000 kesetaraan penduduk meliputi kawasan tadahan seluas 60.9 kilometer per segi dari Cheras Batu 11 ke Kajang.

Projek tersebut akan menyusun semula 164 loji kumbahan tempatan di Cheras Batu 11, Desa Baiduri, Cheras Jaya, Kajang 1 dan Kajang 3.

Ia melibatkan pembinaan Sistem Pemindahan Pembentungan meliputi kawasan tadahan, pembinaan enam stesen pam baharu dan menaik taraf empat stesen pam sedia ada.

Thursday, February 18, 2016

Chin Hin sasar RM41.08 juta dari IPO - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Syarikat pembekal bahan binaan bersepadu, Chin Hin Group Bhd. (Chin Hin) me­nyasarkan untuk meraih sebanyak RM41.08 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) dengan sejumlah 128 juta saham biasa pada harga terbitan RM0.65 sesaham.

Chiau Haw Choon (kiri) melihat buku prospektus yang dilancarkan sambil disaksikan Pengarah Urusan M&A Securities Sdn. Bhd. Bill Tan di Kuala Lumpur, semalam.

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Chin Hin, Datuk Dr. Nik Nozrul Thani Nik Hassan Thani berkata, hasil IPO akan digunakan untuk mengembangkan kemudahan pengeluaran sedia ada dan bagi pembelian peralatan dan mesin baharu iaitu sebanyak 36.5 peratus, pembayaran balik hutang bank (36.5 peratus), keperluan modal kerja (17.2 peratus) dan per­belanjaan penyenaraian (9.8 peratus).

Katanya, terdapat 25.30 juta saham yang boleh dimohon orang awam, 6.4 juta saham bagi pengarah-pengarah yang layak, kakitangan dan mereka yang telah menyum­bang kepada kejayaan kumpulan dan 50.59 juta saham bagi pelabur bumiputera yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri selain 45.91 juta saham lagi tersedia bagi permohonan melalui pelabur terpilih.

"Berdasarkan harga terbitan RM0.65 setiap saham dan modal saham modal terbitan dan berbayar Chin Hin 505 juta saham biasa, Syarikat akan mempunyai modal pasaran sebanyak RM328.83 juta.

"Tahun 2016 merupakan tahun yang penuh dengan peluang dan prospek bagi Chin Hin untuk berkembang," katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan Chin Hin, Chiau Haw Choon berkata, beliau yakin sektor pembinaan akan kekal kukuh de­ngan beberapa kontrak besar terus diterima sepanjang tahun.

"Dengan asas yang kukuh dan kuat, kami percaya Chin Hin Group bersedia untuk mengambil peluang-peluang yang akan datang dan mencatatkan satu lagi pres­tasi yang memberangsangkan," katanya.

Ujarnya, hasil yang diperoleh akan digunakan terutamanya untuk pengembangan perniagaan yang meliputi pengembangan kemudahan pengeluaran sedia ada seperti Concrete G-Cast dan Star­ken AAC untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 67,500 juta tan setahun dan 600,000 meter padu yang dijangka siap akhir tahun ini.

"Penutupan permohonan bagi terbitan awam dijangka pada 25 Februari 2016 manakala penyenaraian dijadualkan pada 8 Mac 2016," katanya.

Wednesday, February 17, 2016

Gerak gempur rokok seludup - Harian Metro

yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketika usaha membasmi penjualan rokok seludup dipergiatkan dan menunjukkan kejayaan memberangsangkan, masih ada pihak yang ingkar semata-mata demi meraih keuntungan walaupun sedar ia mengancam kesihatan pengguna berikutan kadar nikotin serta tar berlebihan daripada paras dibenarkan.

Sehubungan itu, pelancaran Op Outlet 3.0 di seluruh negara bukan saja bakal memperlihatkan lebih banyak penguatkuasaan penjualan rokok seludup oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), malah memperkukuhkan tindakan undang-undang terhadap peruncit yang tidak bertanggungjawab.

Ia termasuk pembatalan lesen perniagaan kerana dalam operasi sebelum ini, ramai pekerja asing ditangkap, ditahan, dipenjara dan dihantar pulang ketika serbuan dikuatkuasakan JKDM sedangkan pemilik perniagaan terlepas begitu saja.

Dalam Op Outlet 3.0 yang dilaksanakan serentak di lima negeri iaitu Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Perak, kelmarin, 16 premis didapati memiliki rokok seludup termasuk menjualnya.

Pada serbuan di Johor, dua pekerja warga asing ditahan dan boleh didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan dihantar pulang ke negara asal.

Selain daripada Akta Kastam 1967, polis akan menguatkuasakan Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) yang boleh diambil sebagai tindakan menghukum pemilik perniagaan yang tidak bertanggungjawab menggunakan pekerja asing dan menjual rokok seludup.

Pada 18 Januari lalu, Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili dilaporkan berkata, pelbagai nilai tambah diberikan dalam Op Outlet 3.0 bagi meningkatkan impak termasuk mengambil tindakan ke atas mana-mana peruncit atau pemilik lesen perniagaan yang menyewakan premis atau menggaji pekerja untuk menjalankan perniagaan terbabit.

Katanya, pihaknya meningkatkan tindakan undang-undang dan lebih tegas dalam operasi siri ketiga 2016 bagi membanteras rangkaian pengedaran serta penjualan rokok seludup di negara ini.

Menurutnya, pihaknya akan turut bekerjasama dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan atau menarik balik penyewaan premis perniagaan sekiranya didapati terbabit dalam penjualan rokok seludup.

Sejak Op Outlet pertama kali dilancarkan pada 2010, lebih daripada 11,009 kes disiasat membabitkan 1.43 bilion rokok seludup bernilai RM116.9 juta sehingga menyebabkan kerajaan kerugian RM719.62 juta hasil cukai.

Pada 2015 saja, 2,341 kes disiasat membabitkan 397 juta batang rokok seludup bernilai RM206.46 juta manakala sepanjang 2014 hingga 2015, 593 individu dihukum penjara antara sehari hingga setahun kerana memiliki, mengedar dan menjual rokok seludup.

Tuesday, February 16, 2016

Berbuat jasa dengan caranya - Sinarharian

SAMBIL berhati-hati mengeluskan diri untuk keluar dari kereta saya yang terparkir di sebelah sebuah BMW berkilat yang menjalar, saya terpandang tuan punya kenderaan yang sedang asyik dengan selfonnya di kerusi pemandu.

Opps! Pintu kereta saya tersentuh keretanya! Ada sedikit gegaran yang terasa. Si tuan punya BMW itu menoleh memandang saya. Saya menekur ke arahnya sambil mengisyaratkan 'OK' dengan jejari saya.

Oleh kerana cermin keretanya gelap, saya tak pasti samada dia nampak isyarat saya. Namun, tiba-tiba saya ternampak barisan gigi putihnya. Dia sedang tersengih!

Lantas lelaki itu keluar dari keretanya. 'Tuan dah tak kenal saya?' tegurnya seraya membuka kaca mata hitamnya. Saya kaget seketika sambil cuba mengecam siapakah lelaki yang menggelar saya 'tuan' itu.

Oh, Jalal rupanya! Suatu ketika dahulu, dia bertugas satu kementerian dengan saya tatkala saya bertugas sebagai kakitangan kerajaan. Cuma, dia daripada jabatan lain.

Jalal adalah seorang peon. Tapi bukan seorang budak pejabat yang biasa. Dia rajin menolong orang. Semua kakak-kakak kerani dan jurutaip di jabatannya amat sukakannya. Jalal biasa menolong mereka membayar bil air dan elektrik. Pada waktu tengahari dan petang, Jalal jugalah yang menolong mereka membeli makanan.

Pada waktu siang, dia bekerja di pejabat kerajaan, pada waktu malam dia menjual burger. Kadangkala, pada hujung-hujung minggu, Jalal mengambil upah menggunting rambut budak-budak sekolah.

Saya rasa, Jalal tidak hairan dengan saranan membuat dua kerja untuk menampung kesesakan hidup kerana bagi Jalal, dia sudah biasa buat dua atau tiga kerja.

Namun, suatu yang menarik bagi Jalal ialah, dia amat suka berniaga. Apa sahaja akan dijualnya. Dia biasa menjadi ejen menjual kereta second-hand, mengambil komisyen menjual tanah, menjual telur ayam kampung atau upah menguruskan kambing untuk aqiqah. Saya kagum kerana Jalal ligat dengan usahanya. Saya kagum dengan Jalal yang punyai keyakinannya tinggi apabila dia sudah percayakan sesuatu.

Saya ingat lagi, suatu hari, Jalal mengkhabarkan kepada saya yang dia hendak meletak jawatan kerana katanya, dia sudah menemui suatu perniagaan yang amat menguntungkan dan ada masa depan.

Saya tertanya-tanya di dalam hati apakah perniagaan yang dilakukan sehinggalah dia mengeluarkan sebotol kecil makanan kesihatan dari poketnya. Mulalah Jalal bercerita mengenai khasiat vitamin di dalam botol itu.

Saya beli sebotol kerana kasihan. Risau juga saya kerana Jalal sanggup meninggalkan segala-galanya kerana menjadi ejen jualan langsung.

Sejak itu, apabila saya terserempak dengan Jalal, dia akan memberitahu yang dia masih dalam dunia jualan langsung, tetapi menawarkan produk dari syarikat yang lain. Jalal menjual sabun basuh, bengkong, makanan bayi, mekap, baju-T, minyak pelincir dan apa sahaja. Mulalah saya terfikir, apa nak jadi dengan Jalal dan masa depannya.

Namun, setiap kali saya menemuinya, kereta yang Jalal pandu semakin besar, semakin baharu dan semakin terkini. Ia petanda yang usaha Jalal semakin menampakkan kejayaan.

Dan kini? Dia mengimport makanan sunnah dari negara Sudan dan Yaman. Ada habbatus sauda, acacia, madu  dan entah apa lagi. Katanya, kini dia sedang berusaha mendapatkan sijil halal dan sijil GMP. Dan, ya. Jalal sudah menjadi jutawan!

Suatu yang menarik dengan Jalal ialah, dia seolah-olah tidak kisah dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Apa yang difikir dan usahakan hanyalah matlamat hidupnya mengumpul kekayaan. Jangan tanya dia mengenai politik, ekonomi atau apa sahaja isu semasa. Katanya, dia tidak mahu tahu kesemuanya.

Memandangkan Jalal kini sudah berusia 40an dan dikira sudah matang, saya bertanya lagi apakah dia tidak ambil tahu apa yang berlaku di negaranya? Katanya, 'Buat apa buang masa bercakap pasal rasuah, pasal penyelewengan, pasal kuasa atau apa sahaja kalau kita tak ada kuasa mengubahnya?

Ada beribu anggota polis yang ditugaskan menangkap penjenayah, beribu pegawai SPRM membanteras rasuah dan beratus ribu orang politik yang naik atau jatuhkan pemimpin mereka.

Kita hanya ada kuasa bercakap. Selepas itu, kita juga yang kena cari makan sendiri. Siapa peduli kalau harga barang naik. Kalau kita bebel atau maki pun siapa nak dengar?'

Apakah Jalal sudah begitu individualistik? 'Saya dah tunaikan haji bersama kedua orang tua saya, anak-anak saya kesemuanya belajar dengan duit saya sendiri, saya dah bina surau kat kampung saya. Saya kini menaja sebuah sekolah tahfiz. Saya ada tanggungjawab menyambung  rezeki 80 staf saya. Semua itu untuk keluarga, masyarakat dan ugama saya.'

Sesungguhnya, Jalal sudah lakukan segala mengikut pandangan dan caranya.

Saturday, February 13, 2016

Gunakan khidmat koperasi laksana pengagihan MyBeras - Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 13 Feb. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dicadangkan menggunakan khidmat koperasi-koperasi komuniti seperti koperasi kariah masjid dan Koperasi Bela Rakyat (Kobera) untuk kerja-kerja pengagihan beras di bawah Program MyBeras.

Abdul Fattah Abdullah

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kewujudan koperasi-koperasi tersebut perlu dimanfaatkan memandangkan kedudukannya yang hampir dengan golongan sasar program berkenaan.

Katanya, koperasi-koperasi ber­kenaan juga memiliki mekanisme kawalan tersendiri melibatkan audit dalaman serta mesyuarat agung tahunan yang dapat mengelakkan sebarang ketirisan.

"Masalah utama apabila kerajaan mengagihkan barang bersubsidi ini adalah ketirisan, namun melalui koperasi-koperasi ini saya memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan berlaku.

"Kalau kita lihat Kobera, ramai daripada ahlinya terdiri daripada golongan sasar program MyBeras, jadi, ini akan memudahkan lagi proses pengagihan beras berkenaan sekali gus menjamin kejayaan program berkenaan," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung serta Pameran dan Hari Jualan Koperasi Kariah Surau al-Hidayah Taman Desa Dengkil Berhad (Kopsah) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd. Sharif dan Pengerusi Kopsah, Md. Salehdin Abd. Rashid.

Pada 28 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 mengumumkan pelaksanaan program MyBeras sehingga Disember tahun ini bertujuan mengurangkan beban hidup keluarga miskin di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.

Berdasar statistik, terdapat sebanyak 751 koperasi kariah masjid dan 320 Kobera di negara ini.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, Angkasa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan kesemua 6,210 masjid di negara ini mempunyai koperasi kariah masjid mereka sendiri menjelang 2020.

"Adalah penting bagi masjid-masjid ini menubuhkan koperasi mereka sendiri bagi meneroka potensi-potensi perniagaan baharu sekali gus memperkukuhkan ekonomi umat Islam di negara ini," katanya.

Friday, February 12, 2016

Bekas Tentera OKU Gigih Jalankan Perniagaan Asam Pedas Johor - Bernama

MUAR, 13 Feb (Bernama) -- Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itulah prinsip hidup yang dipegang bekas anggota tentera Yahya Saipar, 68, yang menguruskan sendiri gerai masakan Asam Pedas Johor, meskipun merupakan orang kurang upaya (OKU).

Bekas anggota Rejimen Askar Melayu Diraja itu berkata, kaki kanannya dipotong pada Mac 2014 setelah dijangkiti kuman, namun kecacatan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjuang demi menyara kehidupan lapan orang anak serta ibu mentua yang sakit.

"Bagi saya semangat adalah kunci utama kepada kejayaan, tanpa semangat apa pekerjaan sekalipun tidak akan berjaya walaupun peluang terhidang di depan mata," kata pemilik gerai Pak Yahya Asam Pedas itu kepada pemberita, di sini.

Setelah bertahun memerah keringat, bekas tentera itu kini boleh berbangga kerana perniagaan yang diusahakannya itu sudah popular, bukan sahaja di Muar malah di seluruh negara.

Katanya, ada juga pelanggan dari Kuala Lumpur, Kuantan, Pahang, Sa bah, Singapura, China dan Eropah sanggup bertandang ke gerainya, semata-mata untuk menikmati masakan warisan Johor itu.

Dalam menjalankan operasi seharian, Yahya, dibantu lima pekerja serta isterinya, Normah Hassan, namun dia tetap tidak 'menang tangan' melayani pelanggan yang tidak putus-putus datang seawal pukul 10 pagi sehingga 3 petang.

Sebahagian besar pelanggan tetap, katanya, adalah masyarakat Cina yang akan memesan lebih awal juadah kegemaran mereka melalui telefon, sebelum datang ke kedainya.

Katanya, juadah yang digemari masyarakat itu ialah asam pedas ikan merah atau asam pedas ikan jenahak, dengan resipi dicipta dan dimasak sendiri bagi mengekalkan keasliannya.

"Asam pedas saya mendapat pengiktirafan sebagai asam pedas Johor tulen daripada Perbadanan Negeri Johor (Makanan dan Perkhidmatan Restoran) malah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sendiri pernah memberi pengiktirafan tersebut secara lisan ketika makan ke kedai saya pada ta hun 2004," katanya.

Selain asam pedas, gerainya juga menghidangkan masakan lain.

Yahya berkata, prinsip perniagaannya ialah bukan hendak mencari keuntungan semata-mata dan disebabkan itu, dia meletakkan harga berpatutan bagi setiap menu di kedainya.

"Bagi saya, apa yang lebih penting ialah saya gembira apabila ramai orang menjamu selera di kedai.

"Saya rasa seronok apabila melihat pelanggan berpuas hati dan menikmati hidangan kegemaran mereka," katanya.

Satu lagi prinsipnya ialah peniaga perlu mengikut kehendak pelanggan dan bukan kehendak sendiri bagi memastikan perniagaan terus berjaya.

Yahya berkata, dia bersedia berkongsi ilmu dan resipi masakan sekiranya ada pihak yang berminat mempelajari teknik masakan asam pedas Johor.

Malah, dia turut menasihatkan rakan senasib dengannya agar tidak berputus asa mencari sumber pendapatan, meskipun bergelar OKU.

-- BERNAMA

Thursday, February 11, 2016

Perjanjian nuklear beri tanda positif di Asia Barat - Sinarharian

KUALA LUMPUR - Perjanjian nuklear yang ditandatangani antara Iran dan Negara 5+1 (Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China dan Rusia serta Jerman) bulan lalu adalah langkah penting kepada keamanan dan kestabilan di Asia Barat.

Duta Iran ke Malaysia, Marzieh Afkham berkata, perjanjian itu yang dikenali ‎sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) adalah tanda jelas kuasa diplomasi negara itu, selain membayangkan peranan dan kepentingan dialog dan‎ rundingan untuk menangani masalah dan krisis.

"Berasaskan dasar dan logik terhadap dialog dan interaksi, Iran bersedia dan akan menggunakan segala kemampuan yang ada untuk mempromosikan keamanan, keselamatan dan menjalin persahabatan sambil membuktikan komitmen sebagai negara Islam yang penyayang dan sisi rasional Islam kepada dunia," katanya.

Marzieh, yang juga duta wanita pertama Iran selepas Revolusi Islam, berkata demikian ketika sambutan ulang tahun ke-37 Hari Kejayaan Revolusi Islam di sini malam ini.

Acara yang disambut 11 Feb setiap tahun menandakan berakhirnya Revolusi Islam yang berlaku dari Jan 1978 hingga Feb 1979, yang bertujuan menggulingkan Dinasti Pahlavi.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, serta duta-duta dan pesuruhjaya tinggi yang berpengkalan di Malaysia.

Marzieh turut berkata dasar luar Iran selepas Revolusi Islam kini tertumpu kepada kerjasama dengan pelbagai negara terutama negara Islam dan jiran.

Mengenai hubungan Iran-Malaysia, Marzieh berkata perdagangan adalah antara asas kukuh kepada hubungan dua hala itu, sambil menambah lebih 40,000 rakyat Iran berada di negara ini sebagai pelajar, pensyarah, pedagang dan ahli perniagaan.

"Kami harap hubungan antara Malaysia dan Iran akan bertambah kukuh dalam semua bidang termasuk ekonomi, politik dan kebudayaan berdasarkan keputusan positif yang mewujudkan jalinan yang lebih rapat antara kedua-dua negara," katanya.

Sementara itu, Rohani berkata beliau komited untuk berkongsi pengalaman mengenai penglibatan wanita dalam proses pembangunan ekonomi bersama Marzieh.

Katanya, Duta Iran itu akan mengadakan kunjungan hormat ke kementeriannya esok untuk mempelajari budaya penglibatan wanita dalam pembangunan di negara ini.

"Malaysia mempunyai banyak dasar dan akta yang secara langsung berkait-rapat dengan wanita dan mungkin aspek ini akan menjadi agenda utama lawatan Marzieh esok dan tajuk perbincangan termasuk wanita, keluarga dan berkaitan komuniti," katanya ketika ditemui Bernama di sini, malam ini.

Rohani juga berkata Malaysia bangga dan gembira dengan pelantikan Marzieh pada November lepas, berikutan keputusan Iran melantik seorang wanita sebagai duta besar buat kali pertama sejak Revolusi Islam tahun 1979.

Marzieh, 54, sebelum ini memegang jawatan jurucakap Kementerian Luar Iran. - Bernama

Tuesday, February 9, 2016

Saya pun mahu jadi macam Neelofa - Utusan Malaysia

KETIKA menunggu penerbangan balik ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Kota Bharu, Kelantan, bulan lepas, penulis 'terjebak' membeli dua helai tudung jenama pelakon dan pengacara popular, Neelofa. Tudung itu penulis beli dari kiosk khas menjual produk jenama Neelofar Hijab (NH) yang terletak di dalam lapangan terbang tersebut.

Neelofa

Neelofa

Walaupun sudah agak lama juga tudung artis dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini berada di pasaran, sebelum itu tidak pernah pula terdetik di hati penulis hendak membelinya.

Bukan sebab tidak suka Neelofa, atau cemburu dengan artis jelita ini, tetapi memang penulis tidak percaya dengan jenama tudung.

Tudung bagi penulis tidak lebih daripada berperanan sebagai tudung. Yang ada jenama pun penulis beli kalau cantik dan sesuai. Lebih-lebih lagi kalau tanpa jenama tetapi kualitinya sama dengan yang ada jenama.

Penulis pernah masuk ke butik tudung berjenama kerana terpengaruh dengan iklan tetapi tidak jadi membeli sehelai pun. Mungkin tudung jenama itu sesuai dengan orang lain tetapi bukan penulis.

Sebab itu, apabila membaca berita yang Neelofa melancarkan jenama tudungnya sendiri, penulis layan macam biasa. Tidaklah beria-ia mencarinya.

Namun kebetulan apabila 'terserempak' dengan kiosk tudung artis cantik ini, penulis pun meninjau-ninjau, cuba menyelidik apa yang istimewanya sehingga jualan tudung Neelofa ini dilaporkan mencecah angka puluhan juta.

Sekali pandang, warna-warna pastel hijau muda, merah jambu, kuning air, biru langit dan oren cair, terus menangkap mata. Rekaan simple tanpa terlalu banyak kerawang, labuci dan manik membuat penulis tambah teruja. Apabila disentuh kainnya yang lembut, hati terus terpikat, Namun keinginan membeli ditahan dahulu kerana mahu bertanya harganya.

Akhirnya, sah. Dua helai diserahkan ke tangan penulis dalam plastik cantik tertera nama Neelofa, yang dibawa pulang ke Kuala Lumpur.

Penulis tidak diupah menulis artikel ini. Tidak juga kerana dapat komisen atau tudung percuma. Lagipun penulis tidak pernah jumpa secara peribadi dengan Neelofa. Pokoknya penulis tidak kenal dia, dan Neelofa pun tidak kenal penulis.

Namun rasanya tidak salah untuk memuji pelakon dan peng­acara popular ini yang kini layak bergelar jutawan muda - gelaran yang diberikan oleh portal berita antarabangsa BBC, ekoran kejayaan jualan tudungnya yang mencecah RM50 juta tahun lepas.

Walaupun berasa agak ralat, kenapa perlu menunggu sebuah portal asing yang memberi gelaran itu? Kenapa tidak media bisnes dalam negara kita? Penulis tetap bangga kejayaan Neelofa sebagai usahawan muda yang berjaya diiktiraf media antarabangsa. Syabas Neelofa!

Kejayaannya ini mengingatkan penulis kepada kisah dua kelompok yang biasa diceritakan. Satu kelompok ialah yang mempunyai idea untuk melaksanakan sesuatu dan memasang angan-angan mengenainya, manakala satu kelompok lagi ialah yang ada idea dan merealisasikannya.

Penulis percaya ramai dalam kalangan kita mempunyai idea untuk menjalankan bisnes atau berangan-angan melakukan sesuatu, tidak kisahlah apa pun. Namun soalnya apakah kita cuba merealisasikan atau sekadar tinggal angan-angan dalam kepala?

Kelompok yang merealisasikan idea ini mungkin berjaya seperti Neelofa atau mungkin sahaja gagal di tengah jalan. Sungguhpun kecundang, setidak-tidaknya mereka tidak berasa ralat kerana telah mencuba.

Yang malang adalah kelompok satu lagi, yang tidak tahu dan selama-lamanya tertanya-tanya apakah idea mereka itu 'mampu' dilaksanakan sehingga berjaya? Kelompok ini akan terus berangan-angan tanpa melakukan apa-apa.

Berbalik kepada kisah tudung, seingat penulis ketika zaman belajar sekitar 90-an, belum ada jenama yang popular, atau lebih tepat tidak ada selebriti yang menggunakan populariti mereka untuk menjual tudung dengan jenama sendiri.

Mungkin kerana ketika itu tidak ramai selebriti yang bertudung atau mungkin juga penjualan tudung diusahakan oleh peniaga kecil terutamanya di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Masjid India dan Chow Kit Road - tiga lokasi tumpuan wanita dan anak gadis terutama waktu makan tengah hari ketika orang lelaki solat Jumaat dan pada hujung minggu.

Awal tahun 2000, apabila artis Wardina Safiyah mula memakai tudung, 'tudung Wardina' menjadi cukup popular. Namun 'jenama' itu sebenarnya diberikan oleh para peniaga yang kalau tidak silap penulis dimulakan oleh gerai Eiman di Jalan Tunku Abdul Rahman, bukan Wardina sendiri.

Bertitik-tolak daripada 'tudung Wardina' perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, lama-lama taktik menjenamakan tudung dengan nama artis popular semakin tersebar luas.

Para peniaga yang kebanyakannya Melayu ini secara kreatif menjual tudung mengikut gaya artis popular untuk melariskan jualan mereka. Maka muncullah tudung Siti Nurhaliza, tudung Yuna, tudung Najwa Latif dan sebagainya. Namun selebriti yang nama-nama mereka digunakan oleh para peniaga ini tidak pula terlibat secara langsung. Mungkin tidak berminat.

Siti Nurhaliza dan Wardina sebaliknya sekadar menjadi jurucakap atau model kepada jenama tudung Arianie, selepas syarikat tekstil terkemuka Jakel melebarkan empayarnya.

Industri tudung bermula dari kedai di Jalan Tunku Abdul Rahman sehingga kini melalui evolusi yang cukup pesat. Sekarang, pelbagai jenama tudung berada di pasaran tanpa bergantung pada nama selebriti popular.

Dan difahamkan tudung-tudung ini laris terjual dan pengusahanya mendapat pulangan cukup lumayan.

Mungkin setelah mengkaji pasaran dan keupayaan mencatat keuntungan, Neelofa mencebur diri dalam perniagaan tudung. Bonus­nya, beliau ada nama popular untuk 'dijual'.

Semuanya mungkin sahaja bermula daripada sebuah idea atau angan-angan. Akhirnya terbukti, kejayaan kini menjadi miliknya. Angan-angannya menjadi realiti kerana dia bijak merebut peluang yang terbentang di depan mata.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah mahu menjadi seperti Neelofa? Atau hanya mahu berangan-angan menjadi Neelofa?

Monday, February 8, 2016

Isu defisit keyakinan cubaan jejas imej Malaysia - Berita Harian

DI negara ini, Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali, untuk membuat keputusan menurut budi bicaranya. Namun, media sosial, akhbar luar negara, pembangkang mahupun orang perseorangan terus menimbulkan pelbagai tohmahan dan spekulasi, malah memperlekeh integriti dan kredibiliti AG.

Ini khususnya selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan dana yang didakwa dimasukkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, datangnya daripada keluarga Diraja Arab Saudi sebagai 'derma' disusuli keputusan Apandi bahawa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Akhbar United Kingdom, Financial Times (FT), menerusi artikel baru-baru ini bertajuk The threat Najib poses to Malaysia's reputation dengan mendakwa Malaysia dijangka menghadapi 'defisit keyakinan' dalam kalangan rakyat kerana kononnya AG melepaskan Perdana Menteri daripada tuduhan dana 1MDB dimasukkan dalam akaun peribadi beliau.

Laporan itu juga mendakwa bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hampir mengalahkan kerajaan pimpinan Najib dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, selain sokongan warga bukan Melayu terhadap kerajaan kian merosot.

Jadi, apakah benar wujud 'defisit keyakinan' seperti dilaporkan oleh FT sedangkan Malaysia adalah antara ekonomi dunia yang mencatat prestasi terbaik bagi tempoh lima tahun berturut-turut?

Selain itu, tiga firma penarafan dunia seperti Standard & Poors, Moody's Investors Services dan Fitch Ratings, sepakat melaporkan bahawa Malaysia mempunyai asas ekonomi kukuh dan tidak menghadapi sebarang krisis walaupun berdepan persekitaran ekonomi global mencabar seperti yang dihadapi banyak negara lain.

IMF beri nilaian positif

Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) turut memberi penilaian positif dalam portalnya bertajuk Favourable Prospects For Malaysia's Diversified Economy berdasarkan pertemuan dan kajian ahli ekonomi IMF dalam kalangan pegawai kanan kerajaan Malaysia, Bank Negara, wakil komuniti perdagangan dan perniagaan, think-tank dan ahli akademik di Kuala Lumpur.

IMF menyatakan, After a year of very strong growth of 6 percent, lower energy export prices in 2015 will likely contribute to growth moderating to a still impressive rate of close to 5 percent.

IMF mengakui, ekonomi mikro dan kewangan Malaysia pada landasan yang kukuh dan stabil. Kerajaan dengan dasar strategik telah mengurus kewangan untuk menghadapi pelbagai cabaran seperti masalah kejatuhan harga komoditi dan minyak dalam pasaran dunia, kekurangan permintaan dunia, implikasi ekonomi China, aliran pengeluaran modal dan pelbagai persepsi terhadap politik dalam negeri (media@imf.org).

Ini bermakna, IMF menjangka, Malaysia mampu capai matlamat mengukuhkan struktur ekonomi supaya dapat memastikan pertumbuhan ekonomi lebih 4.4 peratus pada 2016. Petunjuk ekonomi lain seperti prestasi kadar inflasi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), GDP didapati amat memberangsangkan. Pendapatan perkapita meningkat kepada RM33,385. Pelaburan langsung asing (FDI) terus meningkat daripada RM31.118 bilion pada 2012 kepada RM38.8 bilion pada 2013 dan seterusnya kepada RM39.6 bilion pada 2014.

Ekonomi negara kukuh

Kadar defisit fiskal berkurang daripada 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada 5.3 peratus pada tahun 2010, 4.7 peratus pada tahun 2011, 4.3 peratus pada 2012, 3.8 peratus pada 2013, 3.4 peratus pada 2014 hingga 3.2 peratus pada 2015. Negara yang defisitnya sekitar empat peratus atau kurang adalah sebuah negara yang ekonominya kukuh dan selamat. Rizab antarabangsa pula kekal pada RM418 bilion pada 2015.

Selain itu, 1.8 juta peluang pekerjaan diwujudkan, kadar pengangguran dikurangkan kepada 0.6 peratus berbanding 3.8 peratus pada tahun 2009. Kadar kemiskinan pula dikurangkan kepada 1.7 peratus malah kemiskinan tegar telah hampir sifar.

Bank Pembangunan Asia (ADB) mengumumkan, Malaysia mencatat penurunan 55.3 peratus bagi peratusan penduduk di bawah garis kemiskinan yang juga penurunan terbesar dalam kalangan negara ASEAN. Malah, pendapatan purata bulanan atau keluarga juga semakin meningkat, iaitu daripada RM2,007 sebulan pada 2013 kepada RM 2,300 sebulan pada 2015.

Berdasarkan statistik prestasi ekonomi negara, laporan kononnya rakyat Malaysia menghadapi defisit keyakinan terhadap kerajaan tidak timbul, malah tidak masuk akal berdasarkan kejayaan pelan transformasi ekonomi (ETP), kerajaan (GTP) dan politik (PTP) yang diperkenalkan kerajaan Najib.

Pada hemat saya, rakyat tanpa mengira fahaman politik, perlu pertahan kepemimpinan negara yang jadi sasaran tuduhan liar yang jelas didorong meraih keuntungan juga dari segi wang ringgit dengan menjalankan propaganda pembohongan, sama ada media baharu atau lama untuk membantu kumpulan tertentu mencapai agenda politik mereka dengan menggunakan isu defisit keyakinan yang turut bertujuan menjejaskan imej negara.

Sunday, February 7, 2016

Tidak mahu selamanya susah - Sinarharian

KUALA TERENGGANU – Kesusahan hidup yang dilalui ketika zaman kanak-kanak menjadi pembakar semangat bagi graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang juga anak kelahiran Kuala Terengganu ini untuk terus melakar kejayaan.

Syed Syarifuddin Tuan Dalam, 29, berkata, bagi mengubah kepada kehidupan yang lebih baik, beliau lebih selesa memilih untuk menceburi bidang usahawan membaiki padding topi keledar berbanding kerja makan gaji.

Syed Syarifuddin yang memiliki Ijazah Kejuruteraan Pembuatan berkata, bergelar usahawan pada usia mudah tidak semudah yang disangka lebih-lebih lagi bidang perniagaan yang diusahakannya memerlukan kemahiran yang tersendiri kerana ia biasanya dipelopori syarikat-syarikat besar.

"Sebelum ini, ketika zaman kanak-kanak kehidupan keluarga saya agak susah, namun, ia bukan halangan untuk saya mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik tanpa mengenal erti putus asa.

"Pengalaman hidup mengajar saya banyak perkara. Sebenarnya sejak di bangku sekolah lagi saya memang minat berniaga sehinggalah mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan ini," katanya.

Beliau berkata, setelah dua tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan, banyak perkara yang dipelajari terutama berkaitan selok-belok perniagaan terutama dari segi penjagaan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan bagi memastikan pelanggan sentiasa puas hati dengan hasil perkhidmatan yang diberikan.

Terima tempahan dari KL

Katanya, buat masa ini, perniagaannya hanya tertumpu dan secara atas talian dan setakat ini beliau banyak menerima tempahan oleh pelanggan yang datang dari dalam negeri Terengganu dan Kuala Lumpur.

"Saya sebenarnya melihat industri perkhidmatan ini sebagai industri yang mempunyai potensi luas, jadi saya yakin produk ini semakin diterima pengguna dari seluruh negara kerana permintaan yang diterima semakin meningkat dari sehari ke sehari.

"Dari segi purata jualan pula setakat ini mencecah sehinggan RM4,000 dalam tempoh sebulan dan ini sekali gus memberi motivasi kepada saya untuk membuka premis perniagaan yang lebih besar bagi memberi keselesaan kepada pelanggan," katanya.

Peserta Tube bimbingan SME Corp

Sementara itu, Pengarah SME Corp. Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata, Syed Syarifuddin adalah antara peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) 2.0 Terengganu yang dibimbing oleh SME Corp. Malaysia untuk mengembangkan lagi perniagaan bukan sahaja di pasaran Terengganu tetapi di seluruh negara.

Katanya, SME Corp. Terengganu juga akan membantu syarikat melalui kemudahan Geran atau Pinjaman Mudah bagi meningkatkan lagi automasi syarikat dengan mendapatkan mesin-mesin yang berkapasiti tinggi bagi menghasilkan produk yang lebih berkualiti serta meminumkan kos operasi syarikat.

"SME Corp. juga akan bekerjasama dengan Agensi-Agensi di Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Terengganu (MSPUT) untuk mendapatkan premis kedai yang bersesuaian kepada anak muda ini yang mana ia sekali gus akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran produk dan menjadikan operasi pengeluaran semakin berjalan lancar," katanya ketika melawat Syed Syarifuddin di premis perniagaannya di Batu Buruk.

Selain itu, Muhammad berkata, SME Corp Terengganu akan sentiasa melaksanakan program yang bersesuaian dengan jenis perniagaan yang dijalankan dan sentiasa memantau perkembangan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dari masa ke semasa.

"Salah satu hasil inisiatif itu ialah SME Corp bersama rakan strategik akan dapat melihat syarikat kini semakin meningkat daripada penarafan satu bintang menerusi Penarafan Daya Saing PKS bagi Penambahbaikan (SCORE) kepada penarafan dua dan tiga bintang dengan mengguna pakai dana yang disediakan oleh SME Corp. dan Agensi lain.

"Melalui kaedah SCORE ini juga, kita akan mengenal pasti jenis pembiayaan yang bersesuaian dengan syarikat ini bagi memastikan pembiayaan yang diterima mendapat manfaat kepada syarikat," katanya.

Menurut Muhammad, pada 2016, SME Corp. Terengganu telah mengenal pasti syarikat-syarikat yang berpotensi untuk ditingkatkan menerusi pembiayaan geran atau pinjaman terutamanya usahawan-usahawan belia yang berpotensi untuk dikembangkan lagi perniagaan mereka.

"Apabila syarikat sudah mencapai tahap tiga bintang ke atas, SME Corp. Terengganu akan merangkaikan syarikat-syarikat ini dengan Agensi-Agensi yang berkaitan seperti Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memberi pendedahan dan peluang terutama ke pasaran yang lebih luas seperti eksport ke Negara-Negara Asean," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Tunas Usahawan Belia Terengganu (Patut) Amir Long berkata, pihaknya akan membantu syarikat dari segi pemasaran produk melalui ahli-ahlinya dan platform sosial media yang telah dikenal pasti secara percuma.

"Patut juga akan membantu syarikat dalam merangka strategi pemasaran yang berkesan seperti penganjuran acara-acara permotoran yang berprestij bagi meningkatkan lagi pembangunan jenama syarikat," katanya.

Saturday, February 6, 2016

Neelofa tidak kisah digelar jutawan muda - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Pelakon pengacara popular, Neelofa mengakui dia tidak kisah apabila digelar sebagai jutawan muda ketika ini.

Ia berikutan kejayaan jualan tudung keluarannya di bawah jenama Naelofar Hijab (NH) yang mencecah RM50 juta tahun lepas.

"Jika itu adalah kata-kata atau gelaran yang baik, saya tidak ada masalah," katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 27, menganggap status tersebut sebagai satu doa berterusan daripada peminat khususnya yang mahu melihat dia terus mengukir kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, gelaran jutawan muda itu merupakan bukti usaha tanpa jemu dalam dunia perniagaan yang diceburi namun, dalam pada masa yang sama dia tidak mahu terbawa-bawa dengan status tersebut sehingga lupa diri dan riak.

"Alhamdulillah. Ini adalah hasil usaha semua pihak, bukan saya seorang. Keluarga, rakan-rakan perniagaan dan juga kakitangan saya merupakan tulang belakang kepada kejayaan yang saya kecapi ini.

"Saya tidak kisah sekiranya ada pihak mahu melabel saya sebagai jutawan muda namun, saya berharap dan sentiasa berdoa agar saya tidak akan berubah dan kekal di landasan yang sewajarnya," katanya.

Memetik laporan portal berita antarabangsa, BBC, perolehan Neelofa itu adalah dua kali ganda daripada jumlah asal yang disasarkan syarikat yang diusahakannya bersama ahli keluarga itu.

Selain tudung, Neelofa juga mengeluarkan pelbagai produk seperti BellaVita (produk kesihatan), Naelofar Jubah (pakaian) dan Lofalens (kanta lekap).

Dalam pada itu, pelakon Azura 2012 itu memaklumkan, dia bakal mengeluarkan minyak wangi yang dijangka menembusi pasaran selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Katanya, walaupun tidak mahu dilihat sebagai 'gelojoh' namun, peluang perniagaan yang ada tidak seharusnya dilepaskan.

"Saya juga bakal mengeluarkan buku tulisan saya pada bulan Mei ini dan itu adalah salah satu usaha saya untuk menambahkan keyakinan masyarakat di luar untuk menguatkan semangat diri," katanya.

Friday, February 5, 2016

Kualiti produk tawaran Touratech Malaysia - Kosmo!

Kualiti produk tawaran Touratech Malaysia

TONY (kanan sekali) sambil ditemani dua orang staf Touratech Malaysia berdiri di hadapan produk tawaran syarikatnya ketika ditemui Garaj baru-baru ini.

PERSIAPAN. Itulah topik yang sentiasa bermain di minda penggemar aktiviti sukan lasak baik dijalankan di dalam atau pun luar negara.

Namun, sebahagian dalam kalangan pengguna kenderaan terutamanya motosikal sering kali buntu mencari solusi kepada masalah melengkapkan keperluan tunggang tidak kira sama ada tunggangan bagi perjalanan jarak jauh mahu pun dekat.

Menyedari kesulitan yang sering membelenggu rata-rata penunggang motosikal berkuasa tinggi tempatan, Touratech Malaysia selaku wakil pengedar rasmi kelengkapan tunggangan berpengaruh, Touratech tampil dengan pelbagai tawaran aksesori menarik khusus bagi dimanfaatkan pelanggan pasaran domestik.

Pengarah Urusan Touratech Malaysia, Tony Lim berkata, objektif utama beliau membawa masuk jenama tersebut adalah bertujuan mengurangkan impak kecederaan lebih serius dialami pengguna motosikal yang boleh dikatakan sentiasa berhadapan dengan risiko kemalangan saban hari.

"Rangkaian produk tawaran kami meliputi pelbagai jenis aksesori seperti kotak simpanan barangan di belakang dan sisi, beg tangki, sut tunggangan, topi keledar, beg sandang, besi kerangka dan lain-lain.

"Sebanyak RM400,000 diperlukan setiap hari bagi menjalankan rutin mengimport stok-stok baharu daripada kilang Touratech yang terletak di Jerman," katanya ketika ditemui Garaj.

Menurutnya, antara koleksi aksesori yang paling mendapat sambutan ialah produk topi keledar karbon fiber jenis modular seperti Aventuro dan Destino yang ditawarkan dalam tujuh pilihan varian kesemuanya.

Kualiti premium Touratech

Tambah Tony, beberapa orang wakil penjual turut dilantik bagi memastikan jenama edarannya itu dikenali dan terus mendapat tumpuan dalam kalangan pengguna motosikal berkuasa tinggi tempatan.

Selepas hampir tiga tahun beroperasi, Touratech Malaysia sudah memiliki kelompok penggemar jenamanya sendiri.

Pemegang Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Lincoln University, United Kingdom berusia 44 tahun ini menambah, kepercayaan terhadap kualiti produk yang ditawarkan Touratech antara alasan utama mengapa beliau memilih penjenamaan semula label ini di pasaran domestik.

"Galakan yang diberikan rakan baik saya, Herbert Schwarz yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Touratech antara penyumbang kepada kejayaan diraih pada hari ini.

"Enggan menoleh ke belakang, kami dijangka bakal membawa masuk beberapa produk baharu khas buat pengguna domestik Mac depan," ujarnya.

Produk baharu

Besar kemungkinan barisan produk berkenaan ialah dua lagi varian topi keledar Destino dan Aventuro versi modular baharu (ciptaan hasil kolaborasi bersama pengeluar helmet terkenal, Schuberg) sekali gus menjadikan jumlah topi keledar yang bakal dijual Touratech Malaysia sembilan varian secara keseluruhannya serta jaket tunggangan Companero Boreal bermula April depan.

Menerusi kemasukan produk-produk baharu itu, Touratech Malaysia yakin mampu mencapai unjuran jualan dua kali ganda lebih banyak tahun ini berbanding tahun lepas yang mana syarikatnya berjaya mencatatkan rekod keuntungan jualan mencecah RM1 juta bagi penyata kewangan terakhir Disember 2015.

Bagi mengetahui perkembangan terkini berkaitan produk terbaharu tawaran Touratech Malaysia, pengguna boleh melayari laman web rasmi di www.touratech.com.my atau berkunjung terus ke pusat pameran yang terletak di Jalan Pentadbir, Kawasan Perindustrian Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

Thursday, February 4, 2016

Tiinnergy curah kasih biayai para huffaz - Harakah Daily

AL-QURAN, zaitun dan anak yatim menjadi asas terbangunnya perniagaan yang diterajui Ustaz Mohd Rozalie Zahari al-Hafiz. Segalanya bermula dari keyakinan beliau terhadap barakah zaitun yang terdapat kalimat dan sumpah Allah atas buah itu. Ketekunan mengamati al-Quran dan hadis mengenai kelebihan buah tersebut telah menerbitkan idea untuk beliau menghasilkan produk berasaskan minyak zaitun.

Selepas tiga tahun dari cetusan idea itu, barulah Ustaz Rozalie dapat mendaftarkan syarikatnya iaitu Tiinnergy Product di mana turut mendapat dokongan pelajar beliau, Mohd Amir Mohamad Jaih yang kini berperanan sebagai Pengurus Pemasaran.Ubat gigi menjadi produk perintis yang pertama dan utama dikeluarkan syarikatnya.

Kejayaan menghasil ubat gigi itu hanya muncul setelah lapan bulan bereksperimen dengan adunan minyak zaitun bersama campuran herba terpilih. Ubat gigi jenama Tiinnergy itu telah dilancarkan sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada tahun 2013 di mana terlebih dahulu sebelumnya mendapat sambutan menggalakkan di Brunei. Malah ubat gigi itu juga disenaraikan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan.

Bermula detik itu, Ustaz Rozalie bersama Mohd Amir meneruskan langkah meluaskan lagi pasaran. Memandangkan modal kecil, mereka sendiri bertindak menumpukan pembuatan dan menjayakan promosi di seluruh Malaysia. Hasil kegigihan itu, ubat gigi Tiinnergy berjaya menembusi pasaran Kemboja dan Thailand serta mempunyai rangkaian pengedar Halal Mart di seluruh negara.

Kini Tiinnergy turut mengeluarkan produk lain antaranya minuman koko minda dan zaitun syifa, serta mengimport minyak zaitun al-Koura dari Lubnan dan madu asli longan, selain memasarkan barangan Muslim lain berasaskan pemakanan sunnah.

Kejayaan dalam perniagaan itu ternyata amat penting bagi mereka berdua kerana pendapatannya membantu membiayai operasi Maahad Tahfiz Riadus-Solihin yang dikendalikan Ustaz Rozalie di Taman Shahbandar, Raub Pa hang. Di situ para huffaznya terdiri dari kalangan miskin, anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU). Bahkan, curahan kasih Tiinnergy terhadap para huffaz tersebut tidak terhenti di situ, anak-anak tersebut turut dibantu melanjutkan pengajian ke Jamiat al-Fatih, Khartoum, Sudan setelah dijalin mu'adalah antara dua institusi tersebut.

Mengimbau minatnya, Ustaz Rozalie mula berniaga sejak tahun 1995 iaitu di zaman pengajiannya. Beliau menjadi usahawan beras di Maahad Qiraat Shoubra, Mesir untuk keperluan pelajar-pelajar di sana. Pulang ke tanah air, beliau membuka pula Pusat Rawatan Dialisis Islam pada tahun 2006.

Prinsip utama menjadi pegangan beliau dalam perniagaan adalah bertawakkal kepada Allah. Katanya, walaupun margin keuntungan produknya kecil, tetapi beliau mengambil tanggung jawab fardu kifayah di mana segmen 'halalan toyyiban' masih melompang. Beliau menyeru umat Islam mendokong usaha ke arah menjadi pengguna dan memenuhi rumah dengan produk Muslim yang te rjamin halal dan keberkatannya.

Kini, syarikat beliau mensasarkan pengeluaran hingga 10,000 unit ubat gigi Tiinnergy sehari bagi memenuhi permintaan pasaran. Ustaz Rozalie boleh dihubungi di talian 019-2768872 atau pejabat 03-61778571 selain alamat No.20, Jalan SM 1A, Sunway Batu Caves, 68100 Batu Caves, Selangor. – HARAKAHDAILY 5/2/2016

Wednesday, February 3, 2016

Kedinamikan bajet tahunan negara - Utusan Malaysia

KEBETULAN Ahad lalu, semasa menghadiri kenduri kahwin anak saudara di Ampang, Selangor, saya berkesempatan mengunjungi Galeri Petronas di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC). Kunjungan saya semata-mata untuk melihat sendiri pameran iklan-iklan Petronas sempena Hari Kebangsaan dan perayaan-perayaan di Malaysia sejak 1996.

Iklan-iklan Petronas berkenaan telah membawa mesej perpaduan, berbangga menjadi rakyat Malaysia dan mengukuhkan persahabatan pelbagai kaum di Malaysia.

Pastinya ramai yang terkenang iklan-iklan seperti Tan Hong Ming, Ke Pangkuan Bonda dan Akrab yang banyak memberi seribu erti tentang kehidupan masyarakat di Malaysia. Melalui iklan-iklan inilah kita sebagai rakyat Malaysia sewajarnya menghargai apa yang kita ada dan bersyukur untuk mempertahankannya serta meningkatkan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sejahtera buat seluruh rakyat.

Tidaklah hanya ketika negara berada dalam keadaan ekonomi yang baik tetapi juga ketika ketidaktentuan ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara kita. Yang penting kita tetap berdiri teguh untuk sentiasa mempertahankan Malaysia pada setiap masa. Bukanlah hanya sentiasa memuji ketika senang dan memburuk-burukkan negara ketika keadaan sukar. Jauh sekali melemparkan tuduhan tidak berasas yang langsung tidak membantu ke arah kebaikan negara dan masyarakat Malaysia.

Maka itu, usahlah terlalu percaya dengan segala perkara yang dihebohkan dan diviralkan di media-media sosial seolah-olah kita ini mudah untuk diperdayakan. Inilah yang berlaku apabila ada cakap-cakap sebelum pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016 bahawa biasiswa untuk pelajar akan ditarik. Tidakkah mereka yang sengaja menyebarkan maklumat palsu ini berasa bersalah sehinggakan masyarakat berada dalam keadaan gundah gulana? Apakah mereka ini lebih suka melihat masyarakat kita berada dalam keadaan haru-biru dengan pelbagai fitnah dan hasutan yang memudaratkan masyarakat?

Malang sekali, jika masyarakat mudah sungguh terhasut dengan maklumat-maklumat palsu walhal untuk menjadi masyarakat maju, asasnya memiliki keupayaan untuk melihat sesuatu perkara dengan fakta yang sebenar. Kalau ingin berhujah pun biarlah dengan fakta bukanlah mengelirukan masyarakat sehingga mengeruhkan keadaan.

Walhal, dalam konteks biasiswa pendidikan, kerajaan tetap meneruskannya meskipun semasa ketidaktentuan ekonomi. Hal ini berlaku sedemikian kerana pendidikan adalah asas kemajuan ekonomi bagi sesebuah negara. Masyarakat yang maju dari sudut ilmu dan juga sahsiah bukan setakat mampu mempertahankan kemerdekaan, bahkan merealisasikan kemampanan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam tempoh panjang.

Melalui ilmu juga kita akan dapat membuat keputusan yang tepat terutamanya ketika keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan. Maka, itulah iltizam kerajaan untuk meneruskan agenda pendidikan sebagai fokus utama negara sebagaimana yang kita dapat lihat semasa pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016 minggu lalu. Malah, kerajaan telah menambahkan usaha untuk meningkatkan bantuan pendidikan kepada rakyat Malaysia yang ingin meneruskan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Peningkatan pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi bagi membolehkan masyarakat Malaysia menjadi masyarakat yang dapat berfikir dalam konteks lebih menyeluruh berdasarkan fakta sebenar. Namun, itu bukan bermakna mereka yang tidak memiliki segulung ijazah tidak memiliki ciri-ciri sebegini.

Cuma dalam konteks meneruskan pelajaran ke peringkat tertinggi, pelajar akan belajar dan dilatih sama ada melalui penyelia mahupun usaha-usaha sendiri mencari ilmu yang sememangnya terbentang luas di bumi ciptaan Allah SWT ini. Pokoknya, mencari ilmu itu amat dituntut oleh agama Islam sehinggakan orang berilmu itu diangkat mulia terutamanya jika ilmu itu diamalkan dengan ikhlas dan bukannya untuk tujuan lain selain kerana Allah SWT.

Ilmu yang ada itulah digunakan untuk kebaikan misalnya untuk memikirkan jalan bagaimana mengubahsuaikan Bajet 2016 agar sesuai dengan keadaan ekonomi semasa. Sayugia diingatkan dengan ilmu itu jugalah kita memahami bahawa bajet tahunan kerajaan itu sendiri adalah berbentuk dinamik. Ini bermaksud bajet tahunan perlu selari dengan keadaan ekonomi global, domestik dan masyarakat Malaysia. Keadaan ekonomi itu pula tidak statik tetapi dinamik dan berbeza-beza pada setiap era. Jika pada 1970-an orang bercakap mengenai kemiskinan tegar yang mana kadarnya cukup tinggi pada ketika itu tetapi pada masa kini masyarakat mengambil berat mengenai kos sara hidup yang cukup tinggi.

Kerajaan juga mengetahui hal ini maka mahu tidak mahu sejak kebelakangan ini kerajaan berusaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dalam bajet-bajet tahunan agar dapat melindungi rakyat Malaysia. Malah, kerajaan juga mengetahui bahawa ada yang tidak kena dengan gaji pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta dalam kalangan pengurusan tertinggi dengan pekerja bawahan. Hal ini telah menyebabkan jurang pendapatan yang cukup tinggi antara pengurusan tertinggi dan pekerja bawahan.

Ini jelas kelihatan apabila mereka yang berada dalam kelompok pengurusan tertinggi ini mampu hidup mewah dan lebih daripada mencukupi meskipun tatkala ekonomi berada dalam keadaan tidak memberangsangkan. Walhal, pekerja bawahan yang bergaji rendah ini pula terpaksa mengharungi tekanan kehidupan. Jika asas perbezaan gaji dihujahkan berasaskan kelayakan akademik semata-mata sudah tentu hujah ini mudah dipatahkan kerana gaji bagi pengurusan bawahan amat rendah berbanding gaji yang diterima oleh pengurusan tertinggi walhal kelayakan akademik mereka adalah sama.

Jika pengalaman kerja yang ingin dihujahkan, ada di antara pengurusan bawahan ini memiliki pengalaman kerja yang lama tetapi gaji mereka tetap jauh berbeza dengan pengurusan tertinggi. Inilah antara aspek yang dikenal pasti oleh kerajaan melalui pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Khamis lalu untuk mengurangkan jurang pendapatan rakyat Malaysia. Seterusnya, menandakan bajet tahunan negara sentiasa dinamik bagi meneruskan agenda melindungi kebajikan rakyat Malaysia secara keseluruhannya pada setiap masa.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.

Tuesday, February 2, 2016

Wakaf korporat perkasa ekonomi Muslim - Kosmo!

Wakaf korporat perkasa ekonomi Muslim

KETIKA rakan seperjuangan lebih memberi fokus untuk meneruskan pelajaran dalam bidang sastera, tokoh usahawan itu mengambil langkah berani apabila menyambung pengajian dalam bidang ekonomi yang baru diperkenalkan oleh Profesor Ungku Aziz di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang itu, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, 68, berjaya menyemai minat dalam bidang perniagaan sehingga mengangkat namanya di peringkat nasional.

Selain tidak lokek berkongsi ilmu, usahawan yang dikenali menerusi perjuangan jihad bisnes itu merupakan seorang insan yang sangat peramah dan mudah didekati.

Setelah lebih tiga dekad mencurah ideologi dan formula bisnes dalam membina empayar Johor Corporation (JCorp), beliau tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan dalam mengetengahkan konsep jihad bisnes ke tahap antarabangsa berlandaskan prinsip Islam.

Dilahirkan pada 19 April 1947, anak jati Johor itu berkongsi pengalaman zaman mudanya yang masih tersimpan rapi walaupun sudah melewati usia enam dekad.

"Saya dilahirkan sebelum negara mengecapi kemerdekaan dan keadaan pada masa itu jauh berbeza berbanding sekarang. Walaupun pada usia muda, azam saya untuk berubah sangat tinggi.

"Apabila kita lahir sebagai anak sebelum merdeka, secara automatik perasaan cintakan tanah air dan semangat perjuangan telah wujud dalam diri untuk berubah ke arah lebih baik," katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Kafe Flikcles, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah bapa kepada empat cahaya mata itu, beliau pernah berkhidmat sebagai anggota askar wataniah semasa menuntut di UM sekitar tahun 1960-an.

Pengalaman semasa berkhidmat sebagai askar wataniah memberi input yang kuat dalam pembentukan disiplin menjadi seorang usahawan.

Muhammad Ali mengupas mengenai konsep wakaf korporat melalui buku baharunya Strategi Jihad Bisnes.

Askar wataniah

Momen semasa dikerahkan sebagai askar di kampus UM ketika tragedi 19 Mei 1969 telah memahat memori yang tidak akan dilupakan.

Sebelum menimba ilmu di UM, Muhammad Ali mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah Melayu di Johor sehingga darjah lima.

Selepas itu, beliau menyambung pengajian di Special Malay Class iaitu sebuah sekolah Inggeris sebelum menuntut di Muar High School dan English Collage dalam bidang sastera sehingga tingkatan enam.

Kecemerlangan dalam bidang akademik telah melayakkan Muhammad Ali untuk mendapat biasiswa daripada Bank Negara yang juga merupakan organisasi pertama beliau mencurahkan khidmat kepakaran dalam dunia ekonomi.

Dari 1970 hingga 1976, perjalanan karier Muhammad Ali bersama Bank Negara telah menghubungkan beliau dengan institusi yang mengangkat namanya dalam sektor perniagaan iaitu JCorp.

muhammad Ali (kanan) bersama Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn. Bhd., Datuk Zahazan Mohamed bergambar bersama trofi sempena Anugerah Buku Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur

Dorongan

Pengalaman bersama JCorp merupakan modul yang menjadi panduan dalam perjuangan beliau untuk memperkenalkan platform wakaf korporat.

"Penglibatan bersama JCorp banyak mengajar saya tentang selok-belok struktur ekonomi tempatan. Pada masa sama, saya memulakan konsep wakaf korporat sebagai jalan jihad bisnes melalui syarikat ini.

"Modul wakaf korporat di bawah JCorp, An-Nur Corporation Berhad merupakan satu-satunya konsep yang berjaya membuktikan implementasi prinsip Islam dalam perniagaan," ujarnya.

Kejayaan An-Nur Corporation Berhad menggandakan aset wakaf daripada RM250 juta kepada lebih RM500 juta setakat ini memberikan dorongan yang kuat untuk Muhammad Ali untuk membawa konsep sama di luar JCorp.

Setelah menamatkan perkhidmatan bersama entiti korporat ternama itu, beliau tidak berehat daripada dunia perniagaan.

Beliau meneruskan empayar pengaruh perniagaannya sebagai Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berdasarkan semangat untuk membawa konsep wakaf korporat sebagai jalan jihad bisnes.

Bersama DPIM, Muhammad Ali merencanakan satu lagi model baharu wakaf korporat dengan penubuhan Awqaf Holdings Berhad.

Melalui Awqaf Holdings Berhad, perlaksanaan konsep wakaf korporat merupakan tunjang utama dalam operasi perniagaan, sekali gus menjadi platform untuk membangunkan semula peniaga-peniaga bumiputera Islam.

Usaha itu direalisasikan melalui projek pertama syarikat tersebut menerusi pembinaan Awqaf Coorporate Park yang bakal dibina di atas tanah seluas 0.89 hektar berdekatan dengan Masjid Besi di Putrajaya.

Projek yang melibatkan kos lebih RM400 juta itu bakal menempatkan lima blok perniagaan dan salah satunya merupakan milik bersama DPIM dan Awqaf Holdings Berhad manakala selebihnya akan dijual atau disewa kepada pelabur mahupun syarikat Muslim.

"Setakat ini, projek Awqaf Coorporate Park berjaya menarik minat ramai pihak yang positif dengan konsep wakaf korporat. Sekiranya projek ini berjaya, nilai modal yang dilaburkan bakal memperoleh keuntungan RM40 hingga RM60 juta.

"Melalui keuntungan ini, Awqaf Holdings Berhad akan menjadikannya sebagai modal untuk membangunkan projek-projek baharu bagi membantu peniaga dan memperkasa ekonomi Muslim," jelasnya.

Tambahnya, Awqaf Coorporate Park bakal menjadi model pertama yang mengimplementasikan konsep wakaf korporat dan ia adalah satu pencapaian yang mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak.

Selain melaksanakan usaha praktikal dalam memperjuangkan konsep wakaf korporat, Muhammad Ali juga bergiat aktif dalam bidang penulisan buku dan menjadi penceramah pada majlis-majlis ilmu anjuran pelbagai agensi serta badan-badan bukan kerajaan.

Buku-buku karya Muhammad Ali mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca. Beliau menjadikan bidang penulisan sebagai platform untuk memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan konsep jihad dalam bisnes.

illustrasi Awqaf Cooporate Park merupakan projek pertama Awqaf Holdingsyang berdekatan dengan Masjid Besi Putrajaya.

Wakaf korporat

Selepas menghasilkan empat karya berkaitan perniagaan berteraskan Islam, dua daripadanya, Khalifah Ganti Superman terbitan Utusan Publication pada 2011 dan Strategi Jihad Bisnes oleh Telaga Biru Sdn. Bhd. (2015) mendapat pengiktirafan Anugerah Buku Negara anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara.

Muhammad Ali memberitahu, selain mengetengahkan konsep yang masih hijau dalam sektor ekonomi, dia juga mahu memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai keperluan untuk berjihad melalui perniagaan, sekali gus memperkasakan ekonomi diri, keluarga dan komuniti.

"Pada usia sekarang, sudah tiada apa yang mahu saya capai melainkan membantu masyarakat untuk memajukan diri melalui landasan Islam. Pada masa sama, ia membuka jalan kepada Muslim untuk memperkasakan ekonomi.

"Saya mahu konsep wakaf ini menjadi amalan dalam pelbagai sektor supaya ia dapat memberi manfaat turun-temurun berlandaskan syariat Islam," ujarnya.