Monday, July 18, 2016

Wan Noriah pecah dominasi lelaki - Utusan Malaysia

KOTA BHARU 18 Julai – Lazimnya ternakan kelulut untuk mendapatkan madunya diusahakan oleh lelaki namun Wan Noriah Wan Ramli, 60, membuktikan wanita juga mampu melakukannya dengan berjaya.

Wan Noriah yang berasal dari Kubang Kerian telah mengusahakan ternakan tersebut sejak enam tahun lalu malah berhasrat untuk mengembangkan perniagaan madu itu sehingga ke selatan Thailand dan Singapura.

Katanya, pada peringkat permulaan, dia hanya mempunyai empat koloni kelulut tetapi hari ini, meningkat sehingga 350 koloni.

"Dengan jumlah koloni itu, saya dapat mengumpul kira-kira 25 kilogram (kg) madu kelulut pada setiap bulan dan saya sedang berusaha untuk menambah pengeluaran sehingga 100 kg sebulan.

"Bagi menampung permintaan yang tinggi, saya turut mendapatkan bekalan madu daripada kira-kira 20 penduduk kampung yang mengusahakan ternakan ini melalui program ladang kontrak yang saya perke­nalkan," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di kawasan ternakan kelulut di Min House Camp di sini, baru-baru ini.

Wan Noriah berkata, dia menceburi bidang tersebut secara serius selepas bersara sebagai jururawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pada tahun 2010.

"Pada mulanya ternakan ini hanya sebagai hobi tetapi selepas bersara saya memberi tumpuan sepenuhnya dengan mengeluarkan modal sebanyak RM30,000 untuk membeli pera­latan menternak kelulut ini.

"Semasa bertugas sebagai jururawat, saya banyak menyer­tai ceramah dan kajian kelulut yang diadakan di Kampus Kesihatan, USM Kubang Kerian dan ini memudahkan saya untuk menceburi bidang ini," katanya.

Tambahnya, dia berhasrat untuk memperluaskan program ladang kontrak dengan penduduk setempat bagi berkongsi kejayaan dalam bidang ini.

"Mereka akan diajar cara menternak kelulut dan saya akan membeli kembali hasilnya untuk pembungkusan dan pasaran.

"Perancangan kita untuk memperluaskan pasaran ini sehingga ke selatan Thailand dan Singapura kerana permintaan yang tinggi dan bukan itu sahaja, kita akan turut menghasilkan produk berasaskan madu kelulut," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai madu kelulut boleh menghubungi talian tele­fon 013-9225440 atau layari laman web www.minhousecamp.com.

No comments:

Post a Comment