Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata persidangan itu, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dari 14 hingga 18 Ogos, akan dihadiri peneraju pentadbiran awam dari pelbagai negara, termasuk negara anggota ASEAN dan Komanwel.
"NBOS amat berjaya dan berkesan dalam menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan ekonomi rakyat," katanya kepada Bernama.
Irwan Serigar berkata UTC adalah contoh kejayaan 'berfikir di luar kebiasaan', yang menyaksikan pelbagai perkhidmatan ditempatkan di bawah satu bumbung.
NBOS juga melakar kejayaa n melalui program pemulihan masyarakat apabila banduan yang menjalani hukuman kerana kesalahan ringan diberi latihan dalam bidang pertanian seperti menanam sayur-sayuran.
"Di samping membantu banduan memperoleh pendapatan setelah mereka dibebaskan, program ini juga membantu menjimatkan Jabatan Penjara daripada keperluan membina penjara baharu," katanya.
Mohd Irwan berkata, sempena persidangan itu, pertandingan akhir Cabaran Kod Kebangsaan (NCC) pertama juga akan diadakan, yang disertai 500 pelajar.
"NCC akan memberi peluang kepada pelajar untuk bersaing dan menguji kemahiran masing-masing dalam bidang koding di peringkat kebangsaan untuk mencabar diri mereka dalam menyelesaikan sesuatu masalah praktikal yang khusus," katanya.
Beliau berkata mereka adalah antara 3,000 pelajar dari 100 sekolah di seluruh negara yang menyertai program perintis Coding@Schools tahun ini.
Menurut beliau, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang koding akan menjadikan pelajar le bih berdaya saing di pasaran pekerjaan dan perniagaan kerana kebolehan mereka untuk mencipta sesuatu program atau aplikasi dengan mudah dan menjana ekonomi.
Coding@Schools adalah antara inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah insentif Mempercepatkan Inovasi dan Keusahawanan ketika beliau membentangkan Bajet 2016.
Program itu bertujuan memperkenalkan dan mensebatikan pelajar berusia antara 10 dan 12 tahun dengan dunia komputer dan pengaturcaraan, menggalakkan mereka menjadi penyumbang kepada internet, bukan semata-mata sebagai pengguna, serta mengajar kanak-kanak tentang cara menyelesaikan masalah dan memiliki kemahiran berfikir secekap komputer.
Ia juga adalah antara inisiatif di bawah NBOS.
NBOS, yang diguna pakai Kerajaan Malaysia sejak 2009, menggariskan rangka kerja bagi menggubal strategi negara berimpak tinggi pada kos rendah yang mampu dilaksanakan secara cekap dan pantas.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment