Tuesday, July 5, 2016

Menyambut Aidilfitri di bandar - Kosmo!

Menyambut Aidilfitri di bandar

Suasana desa masih dipraktikkan bagi mewujudkan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri di kawasan bandar. – Gambar hiasan

BAIT-BAIT lirik lagu Dendang Perantau nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Balik Kampung dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad jelas menggambarkan 'aura' menyambut hari raya dalam lingkungan suasana desa yang aman serta damai.

Penulis bersyukur kerana masih mempunyai kampung halaman dan dikelilingi saudara mara yang tinggal di nun jauh di desa.

Selain bergembira sambil menikmati juadah istimewa seperti ketupat dan lemang, hari raya juga sering dijadikan platform untuk bermaaf-maafan serta merapatkan ukhuwah bersama sanak saudara dan sahabat handai.

Seperkara yang perlu diingati ialah kejayaan yang dilakar hari ini datangnya daripada sokongan dan doa ahli keluarga serta rakan-rakan persekolahan dahulu.

Justeru, kesempatan berhari raya pasti akan digunakan untuk bertemu rakan-rakan zaman persekolahan dan mengimbau kembali detik indah zaman kanak-kanak serta membesar bersama alam semula jadi.

Pada hari raya juga, senario biasa yang akan berlaku ialah kebanjiran warga kota untuk pulang ke kampung halaman. Maka, lokasi utama yang menjadi tumpuan adalah stesen bas dan kereta api.

Di sinilah tempat warga kota mendapatkan tiket untuk pulang ke kampung. Kemeriahan jelas terpancar pada wajah warga bandar ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Namun, bagaimana pula mereka yang tidak lagi memiliki kampung halaman dan berhari raya di kawasan bandar?

Janggal

Fenomena ini mungkin agak janggal jika dibincangkan 30 tahun lalu. Pada hari raya pertama atau kedua, kawasan bandar tiba-tiba menjadi bandar mati. Jika ada sekalipun, hanya warga asing dari Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang membanjiri lokasi tertentu di sekitar ibu kota untuk bersosial mengikut cara mereka sendiri.

Aura hari lebaran yang wujud seolah-olah lenyap seawal hari kedua. Namun, kini berbeza pula ragamnya. Penulis sempat berjumpa dengan beberapa orang pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia yang bermastautin di bandar sejak lahir.

Ada antara mereka yang lahir di Kuala Lumpur dan ada juga kalangan pelajar asing yang belajar dalam universiti ini. Rata-ratanya, mereka memang memiliki ibu bapa yang tinggal di bandar.

Malah, ada juga datuk dan nenek mereka tinggal bersama. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masyarakat kini cenderung untuk menyambut hari raya di bandar berbanding pulang ke kampung halaman.

Malah, lebih menarik lagi suasana dan aktiviti mereka menyambut hari raya di bandar kadangkala jauh berbeza berbanding beraya di kampung halaman.

Faktor ekonomi mempengaruhi migrasi masyarakat untuk bermastautin di bandar. Terdapat warga kota kini lebih senang membawa ibu bapa mereka tinggal bersama-sama. Pertambahan populasi generasi muda yang sudah membeli rumah dan tinggal secara tetap di kawasan bandar juga menjadikan suasana menyambut sesuatu perayaan itu lebih meriah dengan cara mereka tersendiri.

Bagaimanapun, identiti dan suasana desa masih diamalkan bagi memastikan kemeriahan tetap wujud. Cuma bezanya, tiada acara seperti membakar lemang dan memasak ketupat dilakukan dalam kawasan perumahan. Ia sebaliknya digantikan dengan program bertakbir hari raya dari rumah ke rumah menjelang malam lebaran serta acara rumah terbuka yang menjadi amalan tradisi masyarakat Malaysia.

Pada siang harinya, kesempatan menyambut lebaran di bandar tidak akan dipersia-siakan khususnya bagi generasi muda. Maka, lokasi-lokasi seperti kompleks beli belah Mid Valley dan One Utama menjadi tumpuan mereka.

Bagi mereka yang berkeluarga, kesempatan cuti hari raya dan jalan raya yang lengang ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk pergi ke bandar sambil menonton wayang bersama keluarga atau mengadakan majlis 'makan besar' di restoran setelah sebulan mereka berpuasa.

Melancong

Bagi yang ingin mendapatkan baju raya, mereka masih boleh berkunjung ke kawasan Masjid India atau Chow Kit, Kuala Lumpur kerana terdapat peniaga yang cuba untuk membuat jualan penghabisan stok sebelum menutup perniagaan masing-masing.

Bagi mereka yang berpendapatan lebih pula, usai sahaja solat hari raya dan berkunjung ke rumah saudara mara serta rakan, ada yang terus menuju ke lapangan terbang untuk pergi melancong.

Mungkin fakta ini agak pelik khususnya dalam kalangan orang-orang Melayu tetapi tidak bagi masyarakat berbangsa Cina. Tidak dinafikan, budaya melancong keluar negara ketika menyambut hari lebaran kini menjadi semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Terdapat banyak pakej menarik yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan atau pelancongan ketika musim perayaan bagi mengimbangi kemerosotan permintaan ketika hari lebaran.

Keseronokan dan aura Hari Raya Aidilfitri tidak hanya wujud dalam suasana desa tetapi mula beralih kepada suasana urban.

Caranya, mungkin berbeza mengikut zaman, namun matlamat asal dan tradisi hari lebaran ini sendiri iaitu bermaaf-maafan serta berkongsi rezeki patut dipelihara serta dipertahankan seiring dengan kehendak agama.

No comments:

Post a Comment