Monday, July 4, 2016

Percaturan rezeki El Azman - Kosmo!

Percaturan rezeki El Azman

Kerjaya sebagai jurugambar membuatkan deria pandang Muhd. Hilmi Che Azman, 27, yang lebih dikenali dengan nama El Azman sering dijamu seleksi persalinan indah mempesona. Setiap kali merakam sosok model dalam persalinan menawan, terdetik minat yang tidak sedikit dalam dirinya untuk terlibat secara langsung dalam industri fesyen tempatan. Sementelah, bidang tersebut diakui mampu memberi pendapatan lumayan andai dipasarkan dengan betul.

Tidak mahu mengambil pendekatan semborono, dirinya memilih untuk menangguhkan dahulu hasrat tersebut. Sementelah, dirinya juga masih tercari-cari konsep sesuai yang mampu memenuhi kehendak pasaran semasa.

Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pemergiannya ke Tanah Suci Mekah pada tahun 2014 menjadi titik tolak penglibatannya secara langsung dalam industri fesyen Islamik di Malaysia.

"Motivasi untuk mewujudkan label pakaian tercetus selepas saya pulang daripada menunaikan umrah pada tahun 2014. Sisi maskulin pada penggayaan jubah yang dipakai lelaki Arab melonjakkan keinginan saya untuk menghasilkan koleksi jubah lelaki sendiri," imbau jejaka berjambang halus yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Jubah

Pada penghujung tahun yang sama, El memilih untuk menamatkan zaman bujangnya bersama gadis manis pilihan hati, Nur Amirah Maulat Abdullah, 26, atau lebih mesra dengan panggilan Amirah, dalam satu majlis indah yang direstui keluarga kedua-dua belah pihak.

Mula mencorakkan kehidupan sebagai ketua keluarga, El menyuarakan hasrat untuk menghasilkan jubah lelaki jenama sendiri pada tahun lepas.

Selayaknya seorang isteri yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan suami, Amirah menyokong penuh hasrat tersebut.

"Pada mulanya, kami merancang untuk mendaftarkan nama Elmirah sebagai tanda dagang. Namun, pada saat akhir sebelum mendaftarkannya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, nama tersebut disingkatkan menjadi Elrah Exclusive dan kekal sehingga kini.

"Pemilihan nama Elrah bukan sahaja ringkas dan menarik untuk disebut, malah gabungan nama saya dan isteri, Amirah, seolah-olah memberi kekuatan untuk saya membuat yang terbaik. Saya bersyukur dikurniakan isteri yang mampu sama-sama bangkit teguh bersama mengusahakan legasi Elrah Exclusive," tuturnya tenang dalam senyuman.

Jelas jejaka yang menjadikan ayahnya sebagai idola sepanjang hayat ini, dia sangat bersyukur dapat bekerja bersama isterinya. Secara tidak langsung, mereka dapat berkongsi idea serta saling memberi dorongan untuk berjaya dalam bidang perniagaan kerana bagi El, Amirah merupakan tulang belakang dan sumber kekuatannya dalam mentadbir legasi Elrah Exclusive.

Fenomena

JUbah Marhaban HafizHamidun X ElrahExclusive menawarkan 40 pilihan warna menarik untuk dimiliki.

Bagaikan magnet yang menarik aura popular, pengenalan jubah lelaki Elrah Exclusive untuk edisi lebaran pada tahun lepas mencetuskan fenomena luar biasa. Menjadi antara perintis jubah lelaki hipster dalam pasaran tempatan, jenama itu berjaya menjual lebih 50,000 helai jubah dalam masa dua minggu sahaja.

Malah, permintaan yang tinggi terhadap jubah Elrah Exclusive membuatkan ramai jejaka terpaksa berputih mata kerana kesemua stok pakaian tersebut telah habis terjual dalam masa yang singkat.

Kejayaan jualan pada tahun lepas membuatkan El dan Amirah melangkah setapak lagi ke hadapan dalam industri.

Membuka lembaran baharu pada tahun ini, Elrah Exclusive menambah beberapa koleksi jubah bagi memberi lebih variasi kepada kaum Adam untuk bergaya dalam kesederhanaan selayaknya seorang Muslim.

Pengenalan jubah Mecca menjelang Ramadan adalah sesuatu yang dinantikan. Jubah fabrik kapas j-card lembut dengan motif bercorak sama seperti penutup Kaabah boleh didapati dalam 16 palet warna terang dan ceria.

Selain itu, Elrah Exclusive turut mengambil pendekatan mengadakan kolaborasi dengan beberapa selebriti terkenal tanah air iaitu Hafiz Hamidun dan Wak Doyok.

Hasil kerjasama dengan Hafiz Hamidun untuk projek HafizHamidun X ElrahExclusive dikenali sebagai jubah Marhaban. Ditawarkan dalam 40 pilihan warna menawan, jubah Marhaban menggunakan fabrik kapas Mesir berkualiti tinggi dan mempunyai daya serap yang baik sesuai untuk cuaca di Malaysia.

Variasi berbeza daripada signatur jubah, Elrah Exclusive turut bergandingan dengan Wak Doyok untuk koleksi baju Melayu asli WakDoyok X ElrahExclusive. Menariknya, ia menawarkan spektrum warna yang luas meliputi 25 rona ranggi. Pasti setiap mata yang tumpah padanya bertukar rambang dan keliru untuk membuat pilihan.

Selain itu, lembaran Syawal 2016 bersamaan 1437 Hijrah menyaksikan pengenalan koleksi kurta dan jubah wanita yang jelas menampakkan transisi moden dan kontemporari. Pada tahun ini juga Elrah Exclusive bekerjasama dengan jenama tersohor LeeyanaRahman Collection untuk koleksi Vintage, Barbaraa dan Mystiq.

Bercerita tentang hala tuju perniagaan, anak kelapan daripada sembilan orang adik-beradik ini berhasrat untuk mencapai sasaran jualan satu juta helai busana Elrah Exclusive terjual dalam masa lima tahun. Selain itu, besar harapannya untuk melestarikan impian satu jejaka memiliki sekurang-kurangnya satu jubah Elrah Exclusive di seluruh negara.

"Saya yakin koleksi busana keluaran Elrah Exclusive dapat diterima peminat fesyen Islamik global dengan baik.

"Untuk itu, kami akan memperbaiki lagi aspek kualiti pakaian dan perkhidmatan agar ia dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa sebarang masalah," tekadnya.

No comments:

Post a Comment