SIAPA yang tidak impikan percutian ke luar negara dengan layanan bagaikan 'VIP' apatah lagi ia adalah percuma.
Bagaikan tidak masuk dek akal namun semua itu menjadi realiti buat ahli perniagaan dari Johor Bahru, di sini diberi peluang bercuti ke Sepanyol, Itali yang mencecah RM20,000 tanpa sebarang bayaran.
Buat, Mohd Fairus Othman, 31, peluang tersebut dimilikinya selepas memenangi hadiah utama sebuah pertandingan syarikat automatif di laman Facebook yang menawarkan hadiah menyaksikan secara langsung perlawanan UCL antara Real Madrid menentang Atlentico Madrid, di Sepanyol.
"Bagaikan tidak percaya, ia adalah realiti kerana saya berentap lebih 100 peserta lain di laman FB dari seluruh dunia.
"Memang menjadi rutin harian saya setiap malam akan melayari FB bagi melihat pertandingan di atas talian dan saya peruntukan hampir tiga hari bagi mencari idea, mereka peralatan dan merakamkan gambar terbaik yang bertemakan bola sepak," katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata ini terpilih sebagai pemenang utama mewakili peserta dari Asia di mana 25 daripada pemenang mewakili negara Eropah.
Gambar 'selfie' Mohd Fairus yang berlatarbelakang rumput dan kotak telur yang dikitar semula yang dijadikan seakan stadium dan beberapa lukisan yang dilukisnya selain wajahnya dilukis mewakili warna bendera berjaya mencuri hati hakim.
Gemar memasuki pertandingan
Menurut Mohd Fairus, beliau sememangnya gemar memasuki pertandingan tidak kira di akhbar dan iklan sejak kecil lagi.
Namun medium Facebook dan Instagram dan yang popular sejak kebelakangan ini memudahkan sesuatu penyertaan dibuat.
Akuinya, pemangkin kepada keghairahan dirinya untuk menyertai pertandingan bermula sejak 2014, menerusi pertandingan menolak kereta sorong bayi di Puteri Harbour secara spontan membuahkan hasil lumayan apabila memenangi Ipad Mini bernilai kira-kira RM2,500.
"Saya tidak sangka, penyertaan sekadar suka-suka, tentunya tertarik dengan hadiah yang ditawarkan, membawa kepada kemenangan.
"Ketika itu saya terfikir, kenapa tidak saya jadikan ia satu pendapatan tambahan buat keluarga memandangkan saya tidak terikat dengan pekerjaan yang tetap," katanya.
Menang lebih RM40,000
Menyedari dirinya seorang yang 'bertuah' Mohd Fairus kini gigih dan serius memasuki apa sahaja pertandingan yang dirasakan sesuai dan membuahkan hasil lumayan.
Latar belakangnya sebagai juru foto dan juru grafik banyak membantu dirinya berfikir dan mencari idea serta menghasilkan gambar kreatif.
"Alhamdulillah, saya anggap rezeki keluarga dan anak-anak lebih 30 penyertaan, 20 daripadanya saya pasti menang dan kebanyakannya adalah hadiah utama.
"Kebanyakan hadiah berupa alat elektronik, baucar beli belah, wang tunai dan tentu sahaja hadiah terindah buat saya ialah dibawa ke percutian iaitu ke Valencia bagi menyaksikan perlumbaan Moto GP ditaja Drive M7 pada 2014 dan terkini ke Itali tajaan Nissan," katanya.
Akuinya, kemenangan tersebut adalah berkat doa dan sokongan isteri Noraishah Masram, 31, bersama keluarga dan adik-beradik yang lain.
Sebut sahaja gajet yang dimilikinya, Ipad Mini, Iphone 6, Ipad Air 2, S6 Edge, Galaxy Tab dan pelbagai hadiah lain mencecah RM40,000 pernah dimilikinya.
Mohd Fairus berkata kebanyakan hadiah dimenangi digunakan sendiri, selain dijual semula untuk mendapatkan modal perniagaan yang diusahakannya.
"Berapa banyak sangat gajet yang saya perlukan, jadi saya jual semula dan beli emas untuk anak-anak selain dijadikan modal berniaga," katanya.
Tidak lokek kongsi tip
Kejayaan Mohd Fairus memenangi satu persatu hadiah tentu sahaja mendatangkan 'cemburu' dalam kalangan rakan-rakan.
Akuinya, ramai rakan dan orang luar menghubunginya ingin mengetahui tip untuk menang.
"Saya memang tidak ada guna tip yang spesifik kerana saya anggap ia adalah spontan, cuma pandangan saya, kena rajin mencari pertandingan yang dianjurkan, dengan membuka laman web, FB page sesuatu jenama itu, setiap malam selepas melayan anak, saya peruntukkan dua jam untuk melayari internet.
"Jangan masuk pertandingan yang memerlukan modal yang besar, pilih pertandingan yang menawarkan hadiah menarik, menghantar penyertaan seawal yang mungkin kerana jika lambat akan timbul isu ciplak atau sebagainya," katanya.
Selain itu katanya, masuk pertandingan yang tidak ramai yang masuk, tentunya kreativiti dan berusaha membina 'props' selain kejituan gambar dan tidak berlebihan dengan suntingan antara tip yang dikongsi.
No comments:
Post a Comment