Arau: Ulang kaji pelajaran secara berkumpulan menjadi kaedah digunakan Nur Izzatiee Mohd Fauzee, 25, selama beberapa tahun ternyata membawa kejayaan kepadanya apabila menerima Anugerah Pengarah dalam Majlis Konvokesyen ke-10 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra, semalam.
Menurut graduan Diploma Pengajian Perniagaan dari Jabatan Perdagangan PTSS berasal dari Kangar, Perlis itu, selama tiga tahun pengajiannya di politeknik berkenaan, dia mengamalkan ulangkaji secara berkumpulan dengan empat rakan sekuliah dan membincangkan semula segala nota ringkas yang dicatatkan mereka.
"Ada pelajar tidak selesa belajar mengulang kaji secara berkumpulan kerana dikatakan tidak dapat memberikan tumpuan 100 peratus, tetapi saya rasakan cara ini berkesan kerana dapat mengingati pembelajaran dalam pengajian sebelum ini," katanya kepada Harian Metro selepas majlis berkenaan.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia sentiasa memberi fokus kepada pembelajaran yang diajarkan oleh pensyarah melalui setiap kelas yang dihadiri.
"Fokus kepada pembelajaran yang diajarkan pensyarah adalah penting supaya kita dapat mengingati semula apa yang diajarkan itu melalui sesi ulang kaji," katanya.
Nur Izzatiee berkata, sesi ulang kaji lazimnya dilakukan pada waktu terluang atau malam dengan memperuntukkan waktu belajar selama empat jam.
"Cita-cita saya adalah untuk menjadi ahli perniagaan atau jurutera dan buat masa ini saya mahu melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di universiti tempatan," katanya.
Nur Izzatie ditemui bersama ibu dan bapanya, Mohd Fauziee Yahya, 54, dan Ajisma Mahmud, 51, serta dua adiknya yang berusia 18 dan 22 tahun.
Berlainan pula dengan seorang lagi penerima Anugerah Pengarah, Ng Zhe Shen, 22, yang lebih memilih belajar secara bersendirian daripada belajar secara berkumpulan.
Graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) dari Alor Setar itu menyifatkan belajar secara bersendirian lebih mudah untuknya memberi tumpuan.
"Kebiasaannya apabila belajar ramai-ramai pada mulanya berjalan dengan lancar tetapi lama-kelamaan akan bertukar sebaliknya dengan masing-masing mula berborak," katanya.
No comments:
Post a Comment