Wednesday, July 20, 2016

Parti Republikan pilih Trump - Kosmo!

Parti Republikan pilih Trump

CLEVELAND, Ohio – Parti Republikan secara rasmi memilih Donald Trump sebagai calon Presiden Amerika Syarikat (AS) kelmarin sekali gus kemenangan mengejutkan buat beliau yang sebelum ini diejek kerana bercita-cita untuk menduduki White House.

Selepas kempen politik berliku yang menyaksikan Trump menewaskan 16 pesaingnnya, beliau berkata, masanya sudah tiba untuk berjuang hingga ke akhirnya dan menewaskan calon Parti Demokrat, Hillary Clinton dalam pilihan raya Presiden AS pada 8 November depan.

"Ini ialah satu gerakan," kata Trump kepada delegasi Parti Republikan melalui satu sidang video pada Konvensyen Parti Republikan di Cleveland, Ohio kelmarin.

Ketika beliau menuruni mengumumkan pencalonannya di New York 13 bulan lalu,cuma segelintir penganalisis politik beranggapan Trump berpeluang menduduki White House.

Kempen Trump menongkah norma-norma politik kerana menyokong dasar perkauman, menyinggung perasaan pengundi dan bergantung kepada liputan media.

"Kejayaan ini sukar untuk dipercayai. Ia di luar realiti. Saya bangga dengan bapa saya.

"Beliau dianggap orang luar dalam Parti Republikan dan beliau mampu lakukannya," kata anak perempuan sulung Trump yang merupakan seorang ahli perniagaan, Ivanka Trump. – AFP

Tuesday, July 19, 2016

Cara berbeza raih anugerah - Harian Metro

Arau: Ulang kaji pelajaran secara berkumpulan menjadi kaedah digunakan Nur Izzatiee Mohd Fauzee, 25, selama beberapa tahun ternyata membawa kejayaan kepadanya apabila menerima Anugerah Pengarah dalam Majlis Konvokesyen ke-10 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra, semalam.

Menurut graduan Diploma Pengajian Perniagaan dari Jabatan Perdagangan PTSS berasal dari Kangar, Perlis itu, selama tiga tahun pengajiannya di politeknik berkenaan, dia mengamalkan ulangkaji secara berkumpulan dengan empat rakan sekuliah dan membincangkan semula segala nota ringkas yang dicatatkan mereka.

"Ada pelajar tidak selesa belajar mengulang kaji secara berkumpulan kerana dikatakan tidak dapat memberikan tumpuan 100 peratus, tetapi saya rasakan cara ini berkesan kerana dapat mengingati pembelajaran dalam pengajian sebelum ini," katanya kepada Harian Metro selepas majlis berkenaan.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia sentiasa memberi fokus kepada pembelajaran yang diajarkan oleh pensyarah melalui setiap kelas yang dihadiri.

"Fokus kepada pembelajaran yang diajarkan pensyarah adalah penting supaya kita dapat mengingati semula apa yang diajarkan itu melalui sesi ulang kaji," katanya.

Nur Izzatiee berkata, sesi ulang kaji lazimnya dilakukan pada waktu terluang atau malam dengan memperuntukkan waktu belajar selama empat jam.

"Cita-cita saya adalah untuk menjadi ahli perniagaan atau jurutera dan buat masa ini saya mahu melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di universiti tempatan," katanya.

Nur Izzatie ditemui bersama ibu dan bapanya, Mohd Fauziee Yahya, 54, dan Ajisma Mahmud, 51, serta dua adiknya yang berusia 18 dan 22 tahun.

Berlainan pula dengan seorang lagi penerima Anugerah Pengarah, Ng Zhe Shen, 22, yang lebih memilih belajar secara bersendirian daripada belajar secara berkumpulan.

Graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) dari Alor Setar itu menyifatkan belajar secara bersendirian lebih mudah untuknya memberi tumpuan.

"Kebiasaannya apabila belajar ramai-ramai pada mulanya berjalan dengan lancar tetapi lama-kelamaan akan bertukar sebaliknya dengan masing-masing mula berborak," katanya.

Monday, July 18, 2016

Wan Noriah pecah dominasi lelaki - Utusan Malaysia

KOTA BHARU 18 Julai – Lazimnya ternakan kelulut untuk mendapatkan madunya diusahakan oleh lelaki namun Wan Noriah Wan Ramli, 60, membuktikan wanita juga mampu melakukannya dengan berjaya.

Wan Noriah yang berasal dari Kubang Kerian telah mengusahakan ternakan tersebut sejak enam tahun lalu malah berhasrat untuk mengembangkan perniagaan madu itu sehingga ke selatan Thailand dan Singapura.

Katanya, pada peringkat permulaan, dia hanya mempunyai empat koloni kelulut tetapi hari ini, meningkat sehingga 350 koloni.

"Dengan jumlah koloni itu, saya dapat mengumpul kira-kira 25 kilogram (kg) madu kelulut pada setiap bulan dan saya sedang berusaha untuk menambah pengeluaran sehingga 100 kg sebulan.

"Bagi menampung permintaan yang tinggi, saya turut mendapatkan bekalan madu daripada kira-kira 20 penduduk kampung yang mengusahakan ternakan ini melalui program ladang kontrak yang saya perke­nalkan," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di kawasan ternakan kelulut di Min House Camp di sini, baru-baru ini.

Wan Noriah berkata, dia menceburi bidang tersebut secara serius selepas bersara sebagai jururawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pada tahun 2010.

"Pada mulanya ternakan ini hanya sebagai hobi tetapi selepas bersara saya memberi tumpuan sepenuhnya dengan mengeluarkan modal sebanyak RM30,000 untuk membeli pera­latan menternak kelulut ini.

"Semasa bertugas sebagai jururawat, saya banyak menyer­tai ceramah dan kajian kelulut yang diadakan di Kampus Kesihatan, USM Kubang Kerian dan ini memudahkan saya untuk menceburi bidang ini," katanya.

Tambahnya, dia berhasrat untuk memperluaskan program ladang kontrak dengan penduduk setempat bagi berkongsi kejayaan dalam bidang ini.

"Mereka akan diajar cara menternak kelulut dan saya akan membeli kembali hasilnya untuk pembungkusan dan pasaran.

"Perancangan kita untuk memperluaskan pasaran ini sehingga ke selatan Thailand dan Singapura kerana permintaan yang tinggi dan bukan itu sahaja, kita akan turut menghasilkan produk berasaskan madu kelulut," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai madu kelulut boleh menghubungi talian tele­fon 013-9225440 atau layari laman web www.minhousecamp.com.

Sunday, July 17, 2016

Zahid tumpu 10 perkara dalam lawatan di India - Utusan Malaysia

NEW DELHI 17 Julai – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lawatan kerja beliau ke negara ini akan merintis jalan ke arah memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dan ekonomi kedua-dua negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sehubungan itu beliau akan memberi tumpuan terhadap 10 perkara untuk dibincangkan dengan pemimpin negara ini.

"Ini merupakan lawatan kerja pertama saya ke negara ini selaku Timbalan Perdana Menteri susulan lawatan Perdana Menteri Narendra Modi pada Oktober tahun lalu," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mendengar taklimat lawatan kerja beliau 
di sini hari ini.

Terdahulu ketibaan beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis di Lapangan Terbang Indira Ghandi disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India, Datuk Naimun Ashakli.

Beliau seterusnya diberi taklimat oleh Naimun berhubung lawatan kerja tersebut.

Katanya, hubungan dengan India penting kerana negara itu merupakan negara ke-10 terbesar dari segi dagangan dan ketujuh terbesar dari segi eksport.

"Pelaburan dari Malaysia ke negara ini juga mencecah RM5 bilion dalam pelbagai bidang antaranya kemudahan awam," ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, terdapat juga permintaan daripada syarikat Malaysia terhadap tenaga kerja khususnya untuk sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Perkara itu kata beliau, akan diperincikan lagi dalam lawatan tersebut dengan mengambilkira sensitiviti pelbagai pihak di Malaysia..

"Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga sedang berusaha untuk meningkatkan kehadiran pelancong India ke Malaysia yang kini berjumlah lebih 700,000 orang," katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau akan membincangkan pelaksanaan e-visa bagi menarik lebih ramai pelancong dari negara ini.

Ahmad Zahid berkata, perkara lain yang akan dibincangkan ialah kerjasama pendidikan, pertahanan, meningkatkan lagi pelaburan Malaysia ke negara ini dan memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua negara.

"Isu keselamatan khususnya jenayah merentasi sempadan juga akan dibincangkan," katanya.

Ini kerana kata beliau, ada penjenayah dari Malaysia melarikan diri ke negara ini dan juga yang menjadikan Malaysia untuk memasuki India. – UTUSAN

Saturday, July 16, 2016

Foto pernikahan kedua Adi Putra tersebar - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Julai – Faktor ketiadaan zuriat dalam perkahwinan pertamanya dikatakan menjadi antara punca pelakon Adi Putra, 35, memilih untuk berpoligami.

Adi baru-baru ini dikatakan telah bernikah dengan seorang pegawai, Norshahida Zolkafly yang bertugas di bahagian korporat sebuah agensi kerajaan, dalam satu majlis tertutup pada bulan Ramadan.

Kisah pernikahan kedua Adi menjadi viral hari ini selain diperkatakan dalam kalangan wartawan hiburan serta peminat aktor popular itu sendiri.

Dalam gambar pada majlis perkahwinan yang kini beredar di media sosial, Adi dan wanita yang didakwa sebagai isteri keduanya itu memilih pa­kaian sedondon berwarna kuning cair, dengan aksi Adi mencium kepala wanita tersebut.

Difahamkan, isteri baharu Adi itu ialah seorang ibu tunggal beranak satu dan mereka turut menjalankan perniagaan bersama-sama semenjak setahun lalu.

Sementara itu, isteri pertama Adi, Aida Yusof, 41, memohon semua pihak supaya memahami situasi dirinya ketika ini.

Enggan mengulas lanjut me­ngenai kesahihan dirinya yang kini hidup bermadu, Aida memilih untuk tidak memberikan sebarang komen lanjut berhubung penyebaran gambar per­kahwinan suaminya itu.

"Berikan ruang buat sementara waktu ini kepada saya. Saya berharap semua pihak memahami situasi ketika ini.

"Maaf, saya tidak dapat me­ngulas lanjut hal berkenaan," ujarnya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi.

Sebelum ini, Aida dalam temubual dengan media beberapa tahun lalu pernah memberitahu dia rela sekira­nya suaminya itu mahu mengamalkan poligami.

Bagaimanapun, usaha Mingguan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan daripada Adi gagal apabila telefon bimbit pelakon berkenaan tidak aktif.

Pelakon lelaki yang berasal dari Singapura itu bernikah de­ngan Aida pada 14 April 2006 dan mereka pernah memfailkan perceraian pada 11 Mei 2012.

Bagaimanapun, pasangan itu tidak meneruskan hajat untuk bercerai dan berjaya mengatasi masalah dalam rumah tangga mereka pada ketika itu.


Friday, July 15, 2016

Rahsia Sate Kajang Hj. Samuri - Utusan Malaysia

Aroma rempah sate yang dibakar enak dapat dihidu ketika melepasi kawasan tersebut. Jika menyebut jenama Sate Kajang Hj. Samuri, pasti tidak ada seorang pun yang tinggal di Lembah Klang belum pernah mencubanya.

Meskipun terdapat pelbagai jenama dan pengusaha sate di Kajang, penangan Sate Kajang Hj. Samuri sukar dilupakan, menyebabkan ramai berulang kali singgah ke restoran dua tingkat itu.

Rasa sate ini sememangnya enak kerana dari segi teksturnya sajian tersebut lebih berempah dari sate yang lain. Lebih terasa apabila mula menggigit daging sate, terasa bahan-bahan perap yang asli. Rasa kuah kacangnya juga sedikit berbeza yang disertakan sambal sebagai penambah perisa.

Apabila menyentuh tentang kaedah pembuatannya, hampir kesemua pengusaha sate popular di Kajang menggunakan cara yang sama, iaitu menggabungkan rasa rempah ratus yang diperap pada sate dan kuah kacang yang menjadi kekuatan kepada hidangan tersebut.

Namun, apa yang membezakan Sate Kajang Hj. Samuri dengan jenama sate lain terletak pada 'kuasa air tangan' pemiliknya yang diwarisi sejak 60 tahun lalu dari pengasas sate Kajang sebenar, iaitu Tasmin Sakiban berasal dari Pekalongan, Indonesia.

Pengasas Sate Kajang Hj. Samuri, Datuk Samuri Juraimi, berkata, beliau mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan sate apabila menumpang di rumah Tasmin, disebabkan sekolahnya, Sekolah Tinggi Kajang, terletak jauh dari rumah ibu bapanya.

"Saya tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan Haji Tasmin (panggilannya untuk Tasmin), tetapi ibu saudara saya telah berkahwin dengannya selepas kematian isteri pertamanya. Setiap hari selepas waktu sekolah, hujung minggu dan cuti sekolah saya akan membantunya berniaga sate.

"Sebelum mendapat pekerjaan, saya membantu Haji Tasmin sepenuh masa sehinggalah pada 1965, saya mendapat pekerjaan di pejabat Telekom. Begitu pun, pada waktu lapang saya masih lagi membantunya berniaga sehingga pada 1987 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana Telekom telah diswastakan.

"Walaupun ketika itu Haji Tasmin telah meninggal dunia, saya tetap meneruskan perniagaannya kerana ada antara anak-anaknya yang tidak berminat untuk membuat sate dan mempunyai pekerjaan lain.

"Betapa kuatnya hubungan saya dengan Haji Tasnim, nak dijadikan cerita saya pula berkahwin dengan cucunya, yang merupakan isteri saya sekarang, iaitu Datin Jani Mohd Amir," katanya ketika ditemui di pejabat urusan Sate Kajang Hj. Samuri, Sungai Ramal, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Ketika menguruskan perniagaan sate Tasnim, beliau berjaya membuka tiga gerai sate dan membeli sebuah lagi gerai milik tauke Cina di Medan Sate Kajang dengan tujuan mahu mengembangkan lagi perniagaan.

Namun, berlaku sedikit salah faham dengan anak-anak Tasnim menyebabkan Samuri mengambil keputusan untuk keluar daripada perniagaan tersebut.

Ketika itu katanya, beliau telah membeli sebuah gerai, jadi mahu tidak mahu perlu juga mencari usaha untuk memulakan perniagaan sendiri dengan berbekalkan pengalaman lepas.

"Kebetulan salah seorang anak saya tidak mahu menyambung pelajaran selepas tamat sekolah kerana mahu berniaga sate. Saya terangkan padanya, untuk berniaga sate bukan tak boleh tetapi kedai kita terletak bersebelahan dengan 11 gerai lain yang turut menjual sate. Jadi perlu mencari jalan bagaimana untuk menarik pelanggan.

"Salah satunya adalah dengan membuka cawangan. Walaupun gerai kecil tetapi kita perlu tanamkan motivasi dalam hati bahawa satu hari nanti kita perlu mempunyai 10 buah cawangan untuk menjana keuntungan," katanya yang kini telah mempunyai 22 buah cawangan selepas hampir 25 tahun mengasaskan jenama Sate Kajang Hj. Samuri.

Ketika awal bertapak, beliau melalui kesukaran yang sangat besar kerana kebanyakan pelanggan mencari sate Tasnim di gerainya. Malah ada yang meninggalkan gerai selepas membuat pesanan apabila mengetahui kedai itu bukan kedai milik Tasmin.

Namun, melihatnya dari sudut positif Samuri cuba mengatasi dengan idea-idea lain sebagai pembaharuan untuk memantapkan perniagaan.

Salah satunya adalah dengan mengubah sistem menghidangkan sate mengikut jumlah cucuk yang dipesan, berbanding sebelum ini setiap pinggan telah disiapkan dengan jumlah sate tertentu dan jika tidak dihabiskan boleh dipulangkan semula kepada pemilik kedai.

"Saya pernah mendapat teguran dari Majlis Perbandaran Kajang bahawa cara lama itu tidak memenuhi kriteria penyediaan yang betul. Jadi, saya mengambil peluang tersebut untuk menyajikan sajian sate yang lebih bersih, selamat dan kekal segar.

"Saya juga mencari cara baharu memastikan kepuasan pelanggan dengan memberi kuah kacang dan sambal lebih banyak di dalam mangkuk yang berasingan," katanya.

Jual sate untuk sarapan

Samuri memecah tradisi jualan sate di Medan Sate Kajang dengan membuka gerai seawal pukul 9.30 pagi, berbanding gerai-gerai lain yang mula beroperasi pada waktu tengah hari.

"Saya diperli oleh pesaing-pesaing saya apabila melihat saya membuka gerai pada awal pagi. Mereka kata, hantu mana yang nak makan sate pagi-pagi, tapi saya tak peduli dengan kata-kata mereka," katanya sambil ketawa mengenangkan betapa sukarnya mahu memulakan perniagaan sendiri suatu ketika dahulu.

Waktu itu, beliau hanya akan menutup gerainya pada pukul 3 pagi. Dari situ Samuri melihat adanya sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan yang datang dari serata tempat yang mahu menikmati sate tidak mengira masa.

Sejak itu beliau berpuas hati dan amat gembira dengan sambutan yang diterima, malah ramai pelanggannya datang dari negeri-negeri lain semata-mata untuk menikmati sate Kajang.

Dalam pada itu, untuk mengekalkan rasa sate yang segar dan enak sudah tentu memerlukan proses penyediaan yang mencabar, manakala penjagaannya perlu diberi perhatian kerana bahan utama sate, iaitu ayam atau daging sensitif dan mudah rosak apabila kerap terdedah.

"Dahulu mungkin agak sukar untuk menjaga kualiti sate yang dibuat, namun seiring dengan perkembangan teknologi, saya menitikberatkan prosedur penyediaan yang lebih efisien.

"Sate yang dihantar ke cawangan akan dihantar menggunakan trak yang mempunyai bilik sejuk bagi menjamin kesegaran setiap cucuk dan kuah kacang," katanya yang kini dibantu oleh kesemua anak dan menantu.

Beliau turut mengambil inisiatif membuka sebuah kilang bagi memastikan bekalan sate sentiasa mencukupi di setiap cawangan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Setiap hari, kilang tersebut membekalkan kira-kira 300,000 cucuk sate untuk dihantar ke setiap cawangan termasuk, kafe mobil, hotel, dan katering.

Kini, Samuri mempunyai tenaga kerja hampir 700 orang bagi menyiapkan setiap proses pembuatan sate bermula dari proses mencampur ramuan, mencucuk sate, membakar dan melayan pelanggan di setiap cawangan.

Aidilfitri tidak menang tangan

Meskipun masih belum memasuki pasaran global walaupun mempunyai permintaan, Sate Kajang Hj. Samuri tetap menjadi pilihan rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara bagi mengubat kerinduan kepada juadah tradisi itu.

Menurut Samuri, pada setiap tahun satenya pasti menjadi juadah tetap di kedutaan-kedutaan Malaysia khususnya pada hari raya dan Hari Kemerdekaan, selain turut menjadi pilihan istana, dan orang-orang kenamaan.

Sama seperti tahun-tahun terdahulu, setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri, beliau tidak menang tangan menerima tempahan sebagai juadah hari raya mahupun rumah terbuka.

Jika dahulu agak sukar untuk memenuhi tempahan yang begitu banyak, kini tempahan saat akhir juga diterima kerana menggunakan khidmat pekerja warga asing yang tidak bercuti raya.

Tidak gentar dengan kemunculan pelbagai makanan moden yang dibawa oleh generasi muda, baginya sate tetap dicari orang kerana sudah menjadi makanan tradisi yang tidak mungkin boleh dilupakan. Dalam kalangan pelancong luar pula, sate sudah dianggap sebagai makanan yang wajib dicuba jika berkunjung ke Malaysia.

Mengenai persaingan, beliau menerima dengan hati terbuka wujudnya pesaing-pesaing lain yang turut popular dengan jenama sate mereka.

Baginya, masing-masing mempunyai peminat tersendiri, malah beliau sendiri tidak dapat memberitahu apa istimewanya Sate Kajang Hj. Samuri, namun tahu usahanya dalam perniagaan sejak dahulu lagi membawa kejayaan sehingga ke tahap ini.

Ditanya sehingga bila akan meneruskan perniagaan sate, beliau mengakui, akan mewariskan kepada anak-anaknya, malah sekarang pun sebahagian besarnya telah dikendalikan oleh generasi kedua keluarganya.

Menjadi harapannya untuk melihat perniagaan tersebut akan diteruskan sampai bila-bila.

"Selagi saya tidak muak dengan sate saya, selagi itulah saya tahu adanya kelangsungan jenama Sate Kajang Hj. Samuri," katanya.

Wednesday, July 13, 2016

Ipoh dikenali sebagai bandar Hipster - Kosmo!

Ipoh dikenali sebagai bandar Hipster

Oleh SITI HAJAR MOHD SALLEH

Mural bertajuk Old Uncle With White Coffee menghiasai dinding sebuah bangunan berdekatan Padang Ipoh.

SEBAIK mendengar perkataan Hipster, pasti ramai orang yang menganggap ia sebagai budaya remaja masa kini yang sukar difahami kerana gaya hidup golongan itu berbeza daripada kebiasaan.

Hipsterism bukan sahaja berbeza dari segi pemikiran tetapi fesyen, genre muzik dan cita rasa seni.

Budaya yang kian popular sejak 2010 itu menjadi kegilaan ramai remaja dan trend itu berjaya dijadikan satu tarikan pelancong khususnya di bandar raya Ipoh.

Baru-baru ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengumumkan Ipoh sebagai Hipster Town selepas berbangga dengan kejayaan anak muda membangunkan perniagaan sendiri yang turut mendapat pengiktirafan daripada media tempatan dan luar negara.

"Saya bangga dengan usaha dan kejayaan mereka dalam membangunkan konsep ini di Ipoh, sedar atau tidak Ipoh kini menjadi bandar Hipster di Malaysia sehinggakan ada majalah serta surat khabar menceritakan tentang kejayaan bandar raya Ipoh," katanya.

Zambry berkata, untuk menubuhkan kedai-kedai yang berkonsepkan Hipster, ia tidak memerlukan barangan mewah sebaliknya hanya menggunakan barang lama atau terpakai untuk menghiasi premis mereka.

"Mereka tidak memerlukan kedai besar atau cantik, malah lebih lama bangunan itu lebih berharga bagi mereka," katanya.

Keunikan itu dapat dilihat menerusi pelbagai perniagaan yang wujud seperti cendawan tumbuh lepas hujan di kawasan itu termasuk kafe, hotel butik, seni jalanan, kedai barangan antik serta kedai gunting rambut yang menonjolkan budaya Hipster.

Antara nama kedai iaitu Plan B, Thumbs Cafe, Konda Kondi, M. Boutique Hotel, Pasar Karat (setiap Ahad), Eroll Barbershop dan O'oi & Comrades.

Malah, seniman terkenal Allahyarhamah Yasmin Ahmad sering memilih Ipoh sebagai lokasi untuk penggambaran hasil karyanya seperti filem Sepet, Gubra dan Muallaf. Sebuah muzium juga dibuka di Jalan Sultan Yusuf bagi mempamerkan hasil-hasil seni beliau.

Eroll Barber Shop menjadi pilihan belia untuk mendapatkan gaya rambut ala hipster.

Selain itu, pelukis Ernest Zacharevis turut memilih Ipoh sebagai satu daripada lokasi bagi mempersembahkan gaya lukisan 3 dimensinya yang boleh dihayati di lorong-lorong kecil sekitar Jalan Bandar Timah dan Jalan Tun Sambanthan.

Melihat gaya Hipster yang kian mendapat sambutan di bandar ini, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zambri Man berhasrat untuk mengetengahkan konsep Hipster di kawasan People's Park di Jalan Sultan Iskandar.

"Dalam masa empat hingga lima bulan ini, kita akan mengindah dan mencantikkan kembali kawasan ini terutamanya pada waktu malam dengan memasang lampu di laluan pejalan kaki yang terletak di sebelah Sungai Kinta dari People's Park hingga ke Taman Dr. Seenivasagam (Taman Dr.)," katanya.

Mural

Selain itu, katanya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga bekerjasama dengan pelajar dan pensyarah Universiti Teknologi Mara untuk melukis mural bagi mencantikkan kawasan itu supaya menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong dan riadah untuk masyarakat di sini.

Zambri berkata, setakat ini pihaknya telah membaik pulih 70 peratus People's Park termasuk membuang pondok lama dan pokok-pokok mati.

"Saya bersama Menteri Besar telah meninjau selama dua jam setengah dan kita juga merancang untuk membuat laluan berbasikal dari People's Park ke Taman Dr.," katanya.

Selain itu, Zambri berkata, pihaknya masih dalam perbincangan untuk menempatkan peniaga-peniaga food truck di People's Park yang majoritinya dilaksanakan oleh golongan muda.

"Ini salah satu tempat yang kita fikirkan untuk memberi peluang kepada mereka berniaga, saya dah minta pegawai mengkaji dan menilai kesesuaiannya," katanya.

Apabila siap sepenuhnya, kawasan itu bakal menjadi lokasi untuk orang ramai beriadah sambil berhibur kerana MBI telah bekerjasama dengan Jabatan Kesenian negeri mengadakan persembahan pada setiap hujung minggu. – Bernama

Tuesday, July 12, 2016

Raja peraduan internet kongsi tip - Sinarharian

SIAPA yang tidak impikan percutian ke luar negara dengan layanan bagaikan 'VIP' apatah lagi ia adalah percuma.

Bagaikan tidak masuk dek akal namun semua itu menjadi realiti buat ahli perniagaan dari Johor Bahru, di sini diberi peluang bercuti ke Sepanyol, Itali yang mencecah RM20,000 tanpa sebarang bayaran.

Buat, Mohd Fairus Othman, 31, peluang tersebut dimilikinya selepas memenangi hadiah utama sebuah pertandingan syarikat automatif di laman Facebook yang menawarkan hadiah menyaksikan secara langsung perlawanan UCL antara Real Madrid menentang Atlentico Madrid, di Sepanyol.

"Bagaikan tidak percaya, ia adalah realiti kerana saya berentap lebih 100 peserta lain di laman FB dari seluruh dunia.

"Memang menjadi rutin harian saya setiap malam akan melayari FB bagi melihat pertandingan di atas talian dan saya peruntukan hampir tiga hari bagi mencari idea, mereka peralatan dan merakamkan gambar terbaik yang bertemakan bola sepak," katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini terpilih sebagai pemenang utama mewakili peserta dari Asia di mana 25 daripada pemenang mewakili negara Eropah.

Gambar 'selfie' Mohd Fairus yang berlatarbelakang rumput dan kotak telur yang dikitar semula yang dijadikan seakan stadium dan beberapa lukisan yang dilukisnya selain wajahnya dilukis mewakili warna bendera berjaya mencuri hati hakim.

Gemar memasuki pertandingan

Menurut Mohd Fairus, beliau sememangnya gemar memasuki pertandingan tidak kira di akhbar dan iklan sejak kecil lagi.

Namun medium Facebook dan Instagram dan yang popular sejak kebelakangan ini memudahkan sesuatu penyertaan dibuat.

Akuinya, pemangkin kepada keghairahan dirinya untuk menyertai pertandingan bermula sejak 2014, menerusi pertandingan menolak kereta sorong bayi di Puteri Harbour secara spontan membuahkan hasil lumayan apabila memenangi Ipad Mini bernilai kira-kira RM2,500.

"Saya tidak sangka, penyertaan sekadar suka-suka, tentunya tertarik dengan hadiah yang ditawarkan, membawa kepada kemenangan.

"Ketika itu saya terfikir, kenapa tidak saya jadikan ia satu pendapatan tambahan buat keluarga memandangkan saya tidak terikat dengan pekerjaan yang tetap," katanya.

Menang lebih RM40,000

Menyedari dirinya seorang yang 'bertuah' Mohd Fairus kini gigih dan serius memasuki apa sahaja pertandingan yang dirasakan sesuai dan membuahkan hasil lumayan.

Latar belakangnya sebagai juru foto dan juru grafik banyak membantu dirinya berfikir dan mencari idea serta menghasilkan gambar kreatif.

"Alhamdulillah, saya anggap rezeki keluarga dan anak-anak lebih 30 penyertaan, 20 daripadanya saya pasti menang dan kebanyakannya adalah hadiah utama.

"Kebanyakan hadiah berupa alat elektronik, baucar beli belah, wang tunai dan tentu sahaja hadiah terindah buat saya ialah dibawa ke percutian iaitu ke Valencia bagi menyaksikan perlumbaan Moto GP ditaja Drive M7 pada 2014 dan terkini ke Itali tajaan Nissan," katanya.

Akuinya, kemenangan tersebut adalah berkat doa dan sokongan isteri  Noraishah Masram, 31, bersama keluarga dan adik-beradik yang lain.

Sebut sahaja gajet yang dimilikinya, Ipad Mini, Iphone 6, Ipad Air 2, S6 Edge, Galaxy Tab dan pelbagai hadiah lain mencecah RM40,000 pernah dimilikinya.

Mohd Fairus berkata kebanyakan hadiah dimenangi digunakan sendiri, selain dijual semula untuk mendapatkan modal perniagaan yang diusahakannya.

"Berapa banyak sangat gajet yang saya perlukan, jadi saya jual semula dan beli emas untuk anak-anak selain dijadikan modal berniaga," katanya.

Tidak lokek kongsi tip

Kejayaan Mohd Fairus memenangi satu persatu hadiah tentu sahaja mendatangkan 'cemburu' dalam kalangan rakan-rakan.

Akuinya, ramai rakan dan orang luar menghubunginya ingin mengetahui tip untuk menang.

"Saya memang tidak ada guna tip yang spesifik kerana saya anggap ia adalah spontan, cuma pandangan saya, kena rajin mencari pertandingan yang dianjurkan, dengan membuka laman web, FB page sesuatu jenama itu, setiap malam selepas melayan anak, saya peruntukkan dua jam untuk melayari internet.

"Jangan masuk pertandingan yang memerlukan modal yang besar, pilih pertandingan yang menawarkan hadiah menarik, menghantar penyertaan seawal yang mungkin kerana jika lambat akan timbul isu ciplak atau sebagainya," katanya.

Selain itu katanya, masuk pertandingan yang tidak ramai yang masuk, tentunya kreativiti dan berusaha membina 'props' selain kejituan gambar dan tidak berlebihan dengan suntingan antara tip yang dikongsi.

Monday, July 11, 2016

Kek: Daripada Facebook ke meja makan pelanggan - Utusan Malaysia

Dari pandangan kasar, penjualan kek secara dalam talian tidak nampak begitu menarik dan glamor seperti industri lain namun ia mampu menjana sehingga ribuan ringgit sehari jika ia diusahakan dengan sistematik.

Baru-baru ini saya ada me­nemubual seorang pembuat kek, Azie Surip yang juga selebriti dalam talian yang terkenal tentang bagaimana beliau menggunakan hanya Facebook sebagai satu-satunya media sosial bagi menjana pendapatan yang kukuh dan tetap.

Tanpa mempunyai sebarang latar belakang media sosial dan pemasaran digital secara formal, beliau mampu mempunyai begitu ramai pengikut di Facebook peribadinya.

Dengan sedikit sebanyak berpandukan artikel-artikel yang dibacanya tentang pemasaran digital di Utusanbiz dan beberapa majalah serta blog perniagaan, intipati da­ripada sumber-sumber ini ba­nyak membentuk strategi pemasaran beliau. Hasilnya dapat dilihat dengan jelas me­lalui jumlah tempahan yang diterima setiap hari.

Menurut Azie, kejayaan tidak datang bergolek. Pemasaran digital amat pen­ting baginya kerana ia begitu berkesan dan murah. Setelah beberapa kali menemui kegagalan, kini Azie menggunakan lima strategi penting yang membuatkan perniagaannya berada pada landasan yang betul seperti berikut:

n Pemilik perniagaan kek itu sendiri perlu menjadi seorang yang aktif, menarik dan sosial kena pada tempatnya.

Di Facebook, sekiranya an­da jarang mengemas kini sta­tus terbaharu anda di da­lam­nya anda akan dilihat sebagai seorang yang tidak aktif dan membosankan. Apabila persepsi sebegini dilabelkan kepada anda, agak sukar untuk anda membuat penjenamaan diri dan perniagaan dan seterusnya sukar untuk menjual kek anda.

Sebaliknya sekiranya anda kelihatan ceria, status-status di media sosial anda yang juga ceria, tidak membosankan dan menarik, orang akan mula tertarik dengan anda dan ingin menjadi sahabat anda. Sekiranya anda mempunyai profil dan aktiviti-aktiviti sosial anda juga menarik, ramai yang ingin menjadi rakan anda.

n Mempunyai pelanggan tetap dan rakan-rakan yang ramai.

Dengan kelihatan menarik, anda perlu mempunyai ramai rakan-rakan di dalamnya. Sekiranya anda hanya mempunyai 200 hingga 300 rakan sahaja, jangan risau. Anda perlu kenali mereka dengan lebih rapat, lebih rajin berinteraksi dengan mereka, selalu berjumpa mereka dan bergambar dengan mereka.

Pasti dalam perjumpaan itu nanti, anda akan berjumpa dengan rakan-rakan baharu yang berada di situ. Dengan kenalan-kenalan baharu ini tadi, jadikan mereka sebagai kenalan anda dan juga kenalan di Facebook anda.

Dengan interaksi yang aktif di dalam dan juga di luar talian, yang bukan dibuat-buat, jumlah kenalan yang besar akan dapat capai dengan mudah. Lebih ramai kenalan, pelanggan anda juga pasti akan bertambah. Syaratnya, kek anda mestilah sedap.

n Paparan status Facebook yang tidak melibatkan kek langsung.

Menjual setiap hari dan setiap masa akan membosankan ramai rakan-rakan anda. Jangan buatkan mereka lari. Jadi untuk memastikan ini tidak berlaku, 80 peratus daripada status anda haruslah yang tidak melibatkan kek.

Sebaliknya, ia haruslah berbentuk santai, ceria, gembira, kekeluargaan, percutian, nasihat, visual tentang makanan, gambar dan video yang menarik dan sebagainya. Ini akan mengundang ramai kenalan anda untuk berinteraksi de­ngan anda selepas itu.

n Paparan visual kek yang telah dibuat.

Hanya 20 peratus daripada status anda di Facebook sahaja yang anda perlu paparkan tentang ini. Pastikan ia dilakukan jarang-jarang sekali. Jika tidak dipaparkan langsung, nanti ramai pula yang tidak akan tahu yang anda sebenarnya berniaga dan jika terlalu kerap pula akan mengundang rasa meluat rakan-rakan anda. Jadi, anda perlu seimbang antara kedua-duanya.

n Hasil tangan yang baik dan berkualiti pasti akan menjadi buah mulut yang positif.

Memuaskan hati pelanggan sebenarnya tidak susah. Anda cuma perlu memastikan jangkaan mereka terhadap kek anda perlu dicapai. Itu sahaja.

Contohnya, jika pelanggan anda membayar RM200 untuk kek pertunangannya yang dua tingkat itu harus yang sedap, yang perlu dihantar ke rumahnya sebelum pukul 5 petang pada hari Khamis minggu hadapan, anda perlu menyediakan apa yang dijangkakan.

Jadi, anda perlu membuat kek yang sedap, dua tingkat, cantik dan perlu dihantar ke rumahnya sebelum 5 petang pada hari Khamis nanti.

Jangan lupa untuk me­minta sedikit perakuan daripada pe­langgan tadi. Ini amat perlu agar jenama anda lebih dikenali ramai.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti blog beliau 
di facebook.com/azleenabdrahim

Sunday, July 10, 2016

9 perkara kena sedia pasca Aidilfitri - Utusan Malaysia

DALAM Facebook, saya terbaca satu senarai 'benda-benda pantang' semasa beraya di kampung halaman. Antaranya mengenai adik-beradik buat rumah mak macam hotel, sibuk jaga anak semata-mata, dan memasak dan membasuh pinggan tidak mahu sama sekali; dan banyak lagi.

Terus-terang, senarai seumpamanya ada saya sediakan kerangka karangan. Namun, setelah memperhalusi implikasinya, topik itu tidak disiarkan. Jadi bila ada terbaca senarai tersebut di Facebook, saya lega sebab ia dibuat oleh orang lain.

Kenapa merrepak takut hendak siarkan? Tidaklah takut 100 peratus. Mungkin 89 peratus sahaja. Bukan takut ia akan mengguris hati anggota keluarga atau sesiapa juga tetapi takut terkena batang hidung saya sendiri. Maklumlah, senarai tersebut sangat tepat dan kena.

Arakian, saya sediakan senarai lain iaitu 'sembilan perkara yang kena sedia pasca Aidilfitri':

1. Macet

Bagi anda yang merancang untuk bergerak pulang malam ini dengan berkereta, bersedialah untuk menghadapi kesesakan. Alkisah seorang teman bertolak dari kampung di Taiping pukul 12 tengah malam Sabtu. Pukul 3 pagi dia masih sangkut di Terowong Menora. Hanya tiba di Kuala Lumpur menjelang 6 pagi. Biasanya perjalanan hanya tiga jam. Musim raya, jadi dua ganda.

Saranan: Masalahnya, teman itu fikir bertolak tengah malam jalan akan lancar. Dia tidak tahu ada beribu-ribu lagi berfikiran sama. Atas sebab itu, semua mereka bertemu dalam kesesakan lebuh raya. Lain kali balik malam raya pertama. Tapi balik awal, maknanya memang tak raya.

2. Rumah terbuka

Ada syarikat korporat sudah menghantar kad jemputan rumah terbuka dua minggu Ramadan. Itu syarikat. Memang cekap. Belum lagi sahabat-handai dan sanak saudara. Selagi Syawal belum tamat, bersedialah dengan baju Melayu anda. Ikut takwim, 29 Syawal 1437 ialah bersamaan 3 Ogos (Rabu). Bermakna hujung minggu akhir Syawal ialah 25 dan 26 Syawal iaitu 30 dan 31 Julai.

Saranan: Makan percuma! Rezeki jangan ditolak. Bukan lepas makan disuruh cuci pinggan pun.

3. Kenduri kahwin

Ada sebilangan yang memilih berkahwin semalam dan hari ini iaitu 4 dan 5 Syawal. Ambil berkat Syawal, katanya. Tidak salah. Malah dikagumi. Ini kerana saat kita berhari raya, mereka sibuk buat persiapan persandingan. Kagum juga kerana mereka dapat melantik tukang masak, tukang solek dan tukang set karaoke. Mujur mereka tak tutup kedai. Bab tetamu pun senang sebab semua balik kampung beraya. Boleh terus hadir.

Saranan: Sama seperti di atas, rezeki jangan ditolak. Cuma kena bertolak balik lewat sikit hari ini untuk hadiri kenduri. Jangan merungut sangkut di lebuh raya.

4. Kira rugi

Tidaklah rugi apa pun bila bersedekah duit raya terutama kepada anak-anak saudara yang comel, degil dan melawan cakap. Sepatutnya sudah disediakan awal-awal bajet BR1M tetapi yang jadi masalah ialah anak-anak sepupu sebelah mak dan bapa yang tiba-tiba berbondong-bondong beraya kali ini.

Saranan: Patut isytihar diri sebagai pegawai turus dapur, merangkap pencuci pinggan. Ini kerana jika menjadi pegawai perhubungan awam depan pintu, memang wajib bagi BR1M. Jadi tukang cuci pinggan, anak saudara kecil pula mungkin bagi anda duit.

5. Berulang-alik ke dobi

Baju raya sampai empat pasang. Sehari pakai dua. Siang lain, malam lain. Mujur ada kedai dobi layan diri. Tetapi sejam juga masa terbuang. Tidak mengapa, janji beraya sakan.

Saranan: Untuk mengelak berulang-alik ke dobi, beli baju lapan pasang. Jangan susah, ada rumah terbuka dan kenduri kahwin boleh diperagakan baju yang banyak.

6. Beg baju tidak dibuka-buka

Bagi yang sudah tiba dengan selamat ke rumah masing-masing, pasti berwawasan mahu tidur lena dahulu. Baju-baju dalam beg, biar sahaja di ruang tamu. Awas, ada kemungkinan beg-beg itu menjadi aksesori rumah kekal di ruang tamu.

Saranan: Hantar baju ke kedai dobi, beserta beg-beg itu sekali. Jadi ia tidak akan menyemak ruang tamu dan nanti semua sudah siap bercuci serta dilipat.

7. Pinggan mangkuk eksklusif

Raya adalah musim mak mengeluarkan pinggan mangkuk mahal atau dibeli di Langkawi dari dalam almari atau stor. Pastikan suami tidak memberi komen 'tak pernah tengok pun pinggan baru ini'. Ini sebab kegunaannya cukup eksklusif. Tentulah tidak diketahui ramai.

Saranan: Sebelum bertolak balik menandakan berakhirnya beraya di rumah mak, tolong pastikan set pinggan mangkuk itu dikemas balik ke tempat asalnya. Dan jangan pecahkan!

8. Malas memasak

Entah macam mana, kaum wanita seakan fobia hendak memasak selepas raya. Mungkin kerana ramai yang melekat sehari semalam pada akhir Ramadan di dapur menyediakan lauk raya. Selama tiga hari tiga malam, anda dikerah makan juadah sama. Bila balik ke rumah sendiri, jangan merungut rendang hari Rabu ada atas meja. Dah lima hari.

Saranan: Pergi ke McDonald's makan Double Cheese burger. Pasti keluarga anda burger-mbira!

9. Tuan Anas Mikail 5 Hari Beraya

Sesungguhnya, bagi yang tidak mengetahui, siri drama mummy daddy ini disiarkan khas untuk Aidilfitri dari Isnin hingga Jumaat lepas. Patut ulasannya sudah tamat, kan? Kenapa masih orang panjang lebar bercerita mengenainya? Ada ulangan? Benarkah? Serius?

Saranan: Pastikan data Internet anda mencukupi. Kenapa? Nanti bila ada ulangan Tuan Anas Mikail, mummy daddy boleh buka video kemenangan Perancis ke atas Portugal. Tapi boleh menang ke?

Saturday, July 9, 2016

Dari kaunselor ke usahawan online - Utusan Malaysia

Minat mendalam terhadap bidang perniagaan yang bermula sejak bergelar siswa menjadi pendorong kepada Noorain Seman,27, untuk memiliki produk sendiri setelah melihat ramai berjaya dalam bidang perniagaan.

Bermula dengan modal RM350 sebagai permulaan, Noorain memulakan perniagaannya ketika berusia 21 tahun dengan menceburi perniagaan dalam talian bagi menjana pendapatan sampingan.

Keuntungan yang diperolehi melalui perniagaan tersebut tidak membuatkan beliau gelap mata tetapi terus berusaha memajukan perniagaan sehinggalah berjaya membuka butik kosmetik dan spa pada tahun 2014.

"Sehinggalah pada tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk mengeluarkan produk jenama sendiri. Justeru, lahirlah produk yang saya beri nama Jus Garcy Vera pada tahun sama.

"Dengan memperuntukkan RM100,000, saya berjaya mengeluarkan produk untuk menbuang lemak dan nyah toksin dalam badan bagi semua golongan masyarakat," katanya kepada S2.

Walaupun mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kaunseling, sedikit pun tidak melunturkan semangat Noorain untuk terus berusaha dalam memajukan bidang perniagaan yang diminatinya itu.

Noorain mengorak langkah lebih jauh dengan mengeluarkan beberapa produk lain di bawah jenama syarikatnya, Aenn's Beauty Legacy.

Setakat ini, sambutan amat memberangsangkan. Dengan jualan lebih 10,000 botol dalam tempoh tidak sampai setahun, ia sedikit sebanyak membantu menaikkan keuntungan syarikat.

Noorain berkata, Jus Garcy Vera ini dipasarkan menggunakan sistem ejen dan stokis, selain saluran internet bagi pemasaran dan jualan secara dalam talian.

"Sambutan sangat menggalakkan terutama melalui pelanggan dalam talian yang mencatatkan 80 peratus jualan, manakala selebihnya daripada pelanggan yang datang sendiri ke butik saya.

"Dalam masa sebulan, jualan Jus Garcy Vera mencecah 10,000 botol setakat ini, dan saya berharap jualan tersebut akan terus meningkat," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai kelebihan produk keluarannya, Noorain berkata, Jus Gracy Vera merupakan gabungan asam gelugur (garcinia) dan aloe vera untuk proses pembuangan toksin.

Produk itu juga menggunakan bahan semula jadi bagi memberikan kesan yang sihat buat pengguna.

"Jus ini telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta halal," katanya sambil memberitahu, produk itu berasaskan herba gabungan utama garcinia cambogia, ekstrak aloe vera serta 15 bahan herba seperti acai beri, daun teh hijau dan madu lebah.

"Setiap bahan mempunyai kelebihan tersendiri seperti garcinia cambogia berperanan mencuci usus, selain bertindak sebagai pembakar lemak yang dapat mengempiskan perut dan menghilangkan selulit.

"Aloe vera pula berfungsi membuang toksin secara pantas di dalam badan, merendahkan kolestrol serta menguatkan daya ketahanan,'' tambahnya.

Mengenai cabaran memasarkan produknya secara dalam talian, beliau berkata, antara halangan yang dihadapi sekarang adalah syarat pemasaran dalam talian semakin ketat dan terlalu banyak produk yang hampir sama berlambak di pasaran.

Noorain berkata, apa yang penting baginya adalah memasarkan produk keluaran­nya ke seluruh negara dalam masa terdekat ini, selain akan terus menambah beberapa lagi produk di bawah rangkaian jenama Aenn's Beauty Legacy.

Wednesday, July 6, 2016

UTC, Program Pemulihan Masyarakat Diketengahkan Pada Persidangan Strategi Lautan Biru Antarabangsa - Bernama

PUTRAJAYA, 7 Julai (Bernama) -- Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan program pemulihan masyarakat adalah antara kejayaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Malaysia yang akan diketengahkan pada Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru Antarabangsa Ogos ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata persidangan itu, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dari 14 hingga 18 Ogos, akan dihadiri peneraju pentadbiran awam dari pelbagai negara, termasuk negara anggota ASEAN dan Komanwel.

"NBOS amat berjaya dan berkesan dalam menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan ekonomi rakyat," katanya kepada Bernama.

Irwan Serigar berkata UTC adalah contoh kejayaan 'berfikir di luar kebiasaan', yang menyaksikan pelbagai perkhidmatan ditempatkan di bawah satu bumbung.

NBOS juga melakar kejayaa n melalui program pemulihan masyarakat apabila banduan yang menjalani hukuman kerana kesalahan ringan diberi latihan dalam bidang pertanian seperti menanam sayur-sayuran.

"Di samping membantu banduan memperoleh pendapatan setelah mereka dibebaskan, program ini juga membantu menjimatkan Jabatan Penjara daripada keperluan membina penjara baharu," katanya.

Mohd Irwan berkata, sempena persidangan itu, pertandingan akhir Cabaran Kod Kebangsaan (NCC) pertama juga akan diadakan, yang disertai 500 pelajar.

"NCC akan memberi peluang kepada pelajar untuk bersaing dan menguji kemahiran masing-masing dalam bidang koding di peringkat kebangsaan untuk mencabar diri mereka dalam menyelesaikan sesuatu masalah praktikal yang khusus," katanya.

Beliau berkata mereka adalah antara 3,000 pelajar dari 100 sekolah di seluruh negara yang menyertai program perintis Coding@Schools tahun ini.

Menurut beliau, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang koding akan menjadikan pelajar le bih berdaya saing di pasaran pekerjaan dan perniagaan kerana kebolehan mereka untuk mencipta sesuatu program atau aplikasi dengan mudah dan menjana ekonomi.

Coding@Schools adalah antara inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah insentif Mempercepatkan Inovasi dan Keusahawanan ketika beliau membentangkan Bajet 2016.

Program itu bertujuan memperkenalkan dan mensebatikan pelajar berusia antara 10 dan 12 tahun dengan dunia komputer dan pengaturcaraan, menggalakkan mereka menjadi penyumbang kepada internet, bukan semata-mata sebagai pengguna, serta mengajar kanak-kanak tentang cara menyelesaikan masalah dan memiliki kemahiran berfikir secekap komputer.

Ia juga adalah antara inisiatif di bawah NBOS.

NBOS, yang diguna pakai Kerajaan Malaysia sejak 2009, menggariskan rangka kerja bagi menggubal strategi negara berimpak tinggi pada kos rendah yang mampu dilaksanakan secara cekap dan pantas.

-- BERNAMA

Tuesday, July 5, 2016

Menyambut Aidilfitri di bandar - Kosmo!

Menyambut Aidilfitri di bandar

Suasana desa masih dipraktikkan bagi mewujudkan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri di kawasan bandar. – Gambar hiasan

BAIT-BAIT lirik lagu Dendang Perantau nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Balik Kampung dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad jelas menggambarkan 'aura' menyambut hari raya dalam lingkungan suasana desa yang aman serta damai.

Penulis bersyukur kerana masih mempunyai kampung halaman dan dikelilingi saudara mara yang tinggal di nun jauh di desa.

Selain bergembira sambil menikmati juadah istimewa seperti ketupat dan lemang, hari raya juga sering dijadikan platform untuk bermaaf-maafan serta merapatkan ukhuwah bersama sanak saudara dan sahabat handai.

Seperkara yang perlu diingati ialah kejayaan yang dilakar hari ini datangnya daripada sokongan dan doa ahli keluarga serta rakan-rakan persekolahan dahulu.

Justeru, kesempatan berhari raya pasti akan digunakan untuk bertemu rakan-rakan zaman persekolahan dan mengimbau kembali detik indah zaman kanak-kanak serta membesar bersama alam semula jadi.

Pada hari raya juga, senario biasa yang akan berlaku ialah kebanjiran warga kota untuk pulang ke kampung halaman. Maka, lokasi utama yang menjadi tumpuan adalah stesen bas dan kereta api.

Di sinilah tempat warga kota mendapatkan tiket untuk pulang ke kampung. Kemeriahan jelas terpancar pada wajah warga bandar ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Namun, bagaimana pula mereka yang tidak lagi memiliki kampung halaman dan berhari raya di kawasan bandar?

Janggal

Fenomena ini mungkin agak janggal jika dibincangkan 30 tahun lalu. Pada hari raya pertama atau kedua, kawasan bandar tiba-tiba menjadi bandar mati. Jika ada sekalipun, hanya warga asing dari Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang membanjiri lokasi tertentu di sekitar ibu kota untuk bersosial mengikut cara mereka sendiri.

Aura hari lebaran yang wujud seolah-olah lenyap seawal hari kedua. Namun, kini berbeza pula ragamnya. Penulis sempat berjumpa dengan beberapa orang pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia yang bermastautin di bandar sejak lahir.

Ada antara mereka yang lahir di Kuala Lumpur dan ada juga kalangan pelajar asing yang belajar dalam universiti ini. Rata-ratanya, mereka memang memiliki ibu bapa yang tinggal di bandar.

Malah, ada juga datuk dan nenek mereka tinggal bersama. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masyarakat kini cenderung untuk menyambut hari raya di bandar berbanding pulang ke kampung halaman.

Malah, lebih menarik lagi suasana dan aktiviti mereka menyambut hari raya di bandar kadangkala jauh berbeza berbanding beraya di kampung halaman.

Faktor ekonomi mempengaruhi migrasi masyarakat untuk bermastautin di bandar. Terdapat warga kota kini lebih senang membawa ibu bapa mereka tinggal bersama-sama. Pertambahan populasi generasi muda yang sudah membeli rumah dan tinggal secara tetap di kawasan bandar juga menjadikan suasana menyambut sesuatu perayaan itu lebih meriah dengan cara mereka tersendiri.

Bagaimanapun, identiti dan suasana desa masih diamalkan bagi memastikan kemeriahan tetap wujud. Cuma bezanya, tiada acara seperti membakar lemang dan memasak ketupat dilakukan dalam kawasan perumahan. Ia sebaliknya digantikan dengan program bertakbir hari raya dari rumah ke rumah menjelang malam lebaran serta acara rumah terbuka yang menjadi amalan tradisi masyarakat Malaysia.

Pada siang harinya, kesempatan menyambut lebaran di bandar tidak akan dipersia-siakan khususnya bagi generasi muda. Maka, lokasi-lokasi seperti kompleks beli belah Mid Valley dan One Utama menjadi tumpuan mereka.

Bagi mereka yang berkeluarga, kesempatan cuti hari raya dan jalan raya yang lengang ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk pergi ke bandar sambil menonton wayang bersama keluarga atau mengadakan majlis 'makan besar' di restoran setelah sebulan mereka berpuasa.

Melancong

Bagi yang ingin mendapatkan baju raya, mereka masih boleh berkunjung ke kawasan Masjid India atau Chow Kit, Kuala Lumpur kerana terdapat peniaga yang cuba untuk membuat jualan penghabisan stok sebelum menutup perniagaan masing-masing.

Bagi mereka yang berpendapatan lebih pula, usai sahaja solat hari raya dan berkunjung ke rumah saudara mara serta rakan, ada yang terus menuju ke lapangan terbang untuk pergi melancong.

Mungkin fakta ini agak pelik khususnya dalam kalangan orang-orang Melayu tetapi tidak bagi masyarakat berbangsa Cina. Tidak dinafikan, budaya melancong keluar negara ketika menyambut hari lebaran kini menjadi semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Terdapat banyak pakej menarik yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan atau pelancongan ketika musim perayaan bagi mengimbangi kemerosotan permintaan ketika hari lebaran.

Keseronokan dan aura Hari Raya Aidilfitri tidak hanya wujud dalam suasana desa tetapi mula beralih kepada suasana urban.

Caranya, mungkin berbeza mengikut zaman, namun matlamat asal dan tradisi hari lebaran ini sendiri iaitu bermaaf-maafan serta berkongsi rezeki patut dipelihara serta dipertahankan seiring dengan kehendak agama.

Monday, July 4, 2016

Percaturan rezeki El Azman - Kosmo!

Percaturan rezeki El Azman

Kerjaya sebagai jurugambar membuatkan deria pandang Muhd. Hilmi Che Azman, 27, yang lebih dikenali dengan nama El Azman sering dijamu seleksi persalinan indah mempesona. Setiap kali merakam sosok model dalam persalinan menawan, terdetik minat yang tidak sedikit dalam dirinya untuk terlibat secara langsung dalam industri fesyen tempatan. Sementelah, bidang tersebut diakui mampu memberi pendapatan lumayan andai dipasarkan dengan betul.

Tidak mahu mengambil pendekatan semborono, dirinya memilih untuk menangguhkan dahulu hasrat tersebut. Sementelah, dirinya juga masih tercari-cari konsep sesuai yang mampu memenuhi kehendak pasaran semasa.

Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pemergiannya ke Tanah Suci Mekah pada tahun 2014 menjadi titik tolak penglibatannya secara langsung dalam industri fesyen Islamik di Malaysia.

"Motivasi untuk mewujudkan label pakaian tercetus selepas saya pulang daripada menunaikan umrah pada tahun 2014. Sisi maskulin pada penggayaan jubah yang dipakai lelaki Arab melonjakkan keinginan saya untuk menghasilkan koleksi jubah lelaki sendiri," imbau jejaka berjambang halus yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Jubah

Pada penghujung tahun yang sama, El memilih untuk menamatkan zaman bujangnya bersama gadis manis pilihan hati, Nur Amirah Maulat Abdullah, 26, atau lebih mesra dengan panggilan Amirah, dalam satu majlis indah yang direstui keluarga kedua-dua belah pihak.

Mula mencorakkan kehidupan sebagai ketua keluarga, El menyuarakan hasrat untuk menghasilkan jubah lelaki jenama sendiri pada tahun lepas.

Selayaknya seorang isteri yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan suami, Amirah menyokong penuh hasrat tersebut.

"Pada mulanya, kami merancang untuk mendaftarkan nama Elmirah sebagai tanda dagang. Namun, pada saat akhir sebelum mendaftarkannya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, nama tersebut disingkatkan menjadi Elrah Exclusive dan kekal sehingga kini.

"Pemilihan nama Elrah bukan sahaja ringkas dan menarik untuk disebut, malah gabungan nama saya dan isteri, Amirah, seolah-olah memberi kekuatan untuk saya membuat yang terbaik. Saya bersyukur dikurniakan isteri yang mampu sama-sama bangkit teguh bersama mengusahakan legasi Elrah Exclusive," tuturnya tenang dalam senyuman.

Jelas jejaka yang menjadikan ayahnya sebagai idola sepanjang hayat ini, dia sangat bersyukur dapat bekerja bersama isterinya. Secara tidak langsung, mereka dapat berkongsi idea serta saling memberi dorongan untuk berjaya dalam bidang perniagaan kerana bagi El, Amirah merupakan tulang belakang dan sumber kekuatannya dalam mentadbir legasi Elrah Exclusive.

Fenomena

JUbah Marhaban HafizHamidun X ElrahExclusive menawarkan 40 pilihan warna menarik untuk dimiliki.

Bagaikan magnet yang menarik aura popular, pengenalan jubah lelaki Elrah Exclusive untuk edisi lebaran pada tahun lepas mencetuskan fenomena luar biasa. Menjadi antara perintis jubah lelaki hipster dalam pasaran tempatan, jenama itu berjaya menjual lebih 50,000 helai jubah dalam masa dua minggu sahaja.

Malah, permintaan yang tinggi terhadap jubah Elrah Exclusive membuatkan ramai jejaka terpaksa berputih mata kerana kesemua stok pakaian tersebut telah habis terjual dalam masa yang singkat.

Kejayaan jualan pada tahun lepas membuatkan El dan Amirah melangkah setapak lagi ke hadapan dalam industri.

Membuka lembaran baharu pada tahun ini, Elrah Exclusive menambah beberapa koleksi jubah bagi memberi lebih variasi kepada kaum Adam untuk bergaya dalam kesederhanaan selayaknya seorang Muslim.

Pengenalan jubah Mecca menjelang Ramadan adalah sesuatu yang dinantikan. Jubah fabrik kapas j-card lembut dengan motif bercorak sama seperti penutup Kaabah boleh didapati dalam 16 palet warna terang dan ceria.

Selain itu, Elrah Exclusive turut mengambil pendekatan mengadakan kolaborasi dengan beberapa selebriti terkenal tanah air iaitu Hafiz Hamidun dan Wak Doyok.

Hasil kerjasama dengan Hafiz Hamidun untuk projek HafizHamidun X ElrahExclusive dikenali sebagai jubah Marhaban. Ditawarkan dalam 40 pilihan warna menawan, jubah Marhaban menggunakan fabrik kapas Mesir berkualiti tinggi dan mempunyai daya serap yang baik sesuai untuk cuaca di Malaysia.

Variasi berbeza daripada signatur jubah, Elrah Exclusive turut bergandingan dengan Wak Doyok untuk koleksi baju Melayu asli WakDoyok X ElrahExclusive. Menariknya, ia menawarkan spektrum warna yang luas meliputi 25 rona ranggi. Pasti setiap mata yang tumpah padanya bertukar rambang dan keliru untuk membuat pilihan.

Selain itu, lembaran Syawal 2016 bersamaan 1437 Hijrah menyaksikan pengenalan koleksi kurta dan jubah wanita yang jelas menampakkan transisi moden dan kontemporari. Pada tahun ini juga Elrah Exclusive bekerjasama dengan jenama tersohor LeeyanaRahman Collection untuk koleksi Vintage, Barbaraa dan Mystiq.

Bercerita tentang hala tuju perniagaan, anak kelapan daripada sembilan orang adik-beradik ini berhasrat untuk mencapai sasaran jualan satu juta helai busana Elrah Exclusive terjual dalam masa lima tahun. Selain itu, besar harapannya untuk melestarikan impian satu jejaka memiliki sekurang-kurangnya satu jubah Elrah Exclusive di seluruh negara.

"Saya yakin koleksi busana keluaran Elrah Exclusive dapat diterima peminat fesyen Islamik global dengan baik.

"Untuk itu, kami akan memperbaiki lagi aspek kualiti pakaian dan perkhidmatan agar ia dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa sebarang masalah," tekadnya.

Sunday, July 3, 2016

McDonald's sasar restoran bertambah 50% - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 3 Julai - Restoran makanan segera terkenal di Malaysia, McDonald's merancang me­ngembangkan peluang francais sekitar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan cawangannya di negara ini menjelang 2020.

McDonald's Malaysia berkata, langkah itu dalam masa sama akan dapat menyediakan lebih banyak peluang perniagaan kepada peng­usaha-pengusaha tempatan.

"Pada masa ini lebih 70 buah restoran McDonald's di Malaysia dimiliki dan diusahakan oleh kira-kira 30 orang francaisi yang kesemuanya terdiri daripada warga tempatan.

"Para francaisi bukan merupakan kakitangan Golden Arches Restaurants Sdn. Bhd., tetapi usa­hawan tempatan yang juga majikan kepada pekerja di restoran yang difrancaiskan kepada mereka," jelas McDonalds menerusi risalah yang diterbitkannya.

Setakat ini, terdapat sekitar 270 buah restoran McDonald's di seluruh Malaysia dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 500 buah pada masa akan datang yang bakal mewujudkan lebih 11,500 peluang pekerjaan baharu.

"Sebanyak 25 peratus daripada restoran McDonald's di Malaysia dimiliki dan dikendalikan francaisi-francaisi warga tempatan yang diberikan hak pengendalian bagi tempoh masa francais.

"McDonald's bercadang terus membuat pelaburan di Malaysia termasuk dengan membuka lebih banyak restoran baharu bagi menyediakan kemudahan kepada para pengguna," kata ri­salah itu.

Menjawab tohmahan yang dilemparkan berkaitan isu boikot di Internet, McDonald's Malaysia memberitahu, pihaknya tidak menyalurkan sebarang hasil jualan, keuntungan atau royalti daripada restorannya untuk menyokong sebarang konflik politik atau agama mana-mana negara.

"Pembayaran royalti bagi penggunaan jenama adalah perkara lazim dalam dunia perniagaan. Dalam konteks McDonald's Malaysia, royalti merupakan bayaran mendapatkan lesen atau hak menjalankan perniagaan.

"Apa yang penting sebahagian besar pendapatan McDonald's Malaysia iaitu sekitar 90 peratus dikembalikan dalam pelbagai bentuk, contohnya bagi tujuan perbelanjaan perniagaan seperti gaji pekerja, bayaran pembekal tempatan, sewa, naik taraf dan cukai," kata McDonald's.

Friday, July 1, 2016

Wan Nadzmi Fikri pelapis sukan boling negara - Berita Harian

WAN Nadzmi Fikri.

SHAH ALAM: Beliau adalah satu-satunya pemain boling yang memenangi permainan sempurna 300 pada peringkat akhir Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Singapura ke-48, awal bulan ini.

Susulan kejayaan itu, Wan Nadzmi Fikri Mohd Faisal, tidak menoleh lagi apabila terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Boling Remaja Dunia ke-14 di Nebraska, Amerika Syarikat, bulan depan.

Beliau antara empat pemain yang dipilih mewakili negara bagi kategori lelaki dalam kejohanan yang berlangsung dari 24 Julai hingga 3 Ogos itu.

Mereka adalah jaguh boling negara, Muhd Rafiq Ismail, Qalif Adnor Adam dan Tun Ameerul Luqman Al-Hakim.

Bercakap kepada Bernama, baru-baru ini, pemain berusia 20 tahun itu berkata, minat yang mendalam mendorongnya menyertai sukan boling ketika berusia 11 tahun dan beliau sangat beruntung kerana mendapat sokongan cukup kuat daripada ibunya, Raja Mahami Raja Harun serta bapa, Mohd Faisal Ismail.

"Mummy adalah sumber kekuatan saya. Ketika usia saya 11 tahun, mummy selalu bawa saya berlatih dan sanggup carikan saya jurulatih peribadi sehingga akhirnya saya berjaya menyertai Sukan Teras Selangor Boling.

"Daddy juga dorong saya untuk pergi lebih jauh dalam sukan ini dan meletakkan sasaran untuk saya wakili Malaysia," kata anak sulung dua beradik itu.

Wan Nadzmi Fikri mendapat latihan awal daripada Hussien Omar dan hasil bimbingan jurulatih berpengalaman itu membolehkan beliau mencatat kejayaan pertama sebagai juara 'Boys Graded' di International Junior All Star di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, pada 2010.

Hasil kemenangan itu, katanya, membolehkan beliau menyertai pasukan khas yang ditubuhkan oleh jurulatih elit negara, Holloway Chea, selama dua tahun sebelum diserap sebagai pelapis kebangsaan.

"Pada 2015, saya tidak berjaya kekal dalam pasukan itu kerana tiada pencapaian. Kami perlu mencapai sekurang-kurangnya kedudukan tiga terbaik dalam mana-mana kejohanan setiap tahun. Saya kemudian dilatih semula oleh Hussien.

"Pada tahun ini, saya berjaya diterima semula ke dalam pasukan pelapis yang kini dilatih oleh Ketua Jurulatih, Purvis Granger, dibantu oleh bekas pemain kebangsaan, Wendy Chai dan Azidi Ameran.

"Hasil tunjuk ajar mereka dan semangat yang tinggi, akhirnya saya berjaya mengakhiri kemarau kemenangan dengan menduduki tempat kedua di 48th Singapore International Open dan ia lebih manis lagi dengan kejayaan memperoleh perfect game pada game ketiga pertandingan akhir kejohanan itu," katanya.

Ditanya sasarannya dalam sukan boling, penuntut tahun kedua jurusan perniagaan, American Degree Transfer Program di Universiti Sunway itu menanam keazaman untuk menyertai pasukan elit negara satu hari nanti.

Wan Nadzmi Fikri turut menjadikan pemain boling profesional dari Amerika Syarikat, Tommy Jones dan Muhd Rafiq, yang juga sahabat baiknya sebagai idola.

Untuk rekod, pada Kejohanan Boling Remaja Dunia 2014 di Hong Kong, Malaysia mendapat pingat perak dalam acara berpasukan lelaki dan Muhd Rafiq menduduki tempat keempat dalam acara Perseorangan Keseluruhan Pusingan Lelaki. - BERNAMA