FATIN FARHANA JAPRE bangga dengan pencapaian seorang anak muda hingga melayakkannya diiktiraf menjadi jurulatih Muay Thai dan kickboxing di Asia.
Jika sudah minat, pasti usaha dilakukan akan berterusan untuk merangkul kejayaan dalam bidang yang diceburi.
Bagi atlet seni mempertahankan diri Muay Thai, kickboxing, boxing, mixed martial art (MMA) dan silat, Faiq Haikal Ramdhan, 16, atau lebih dikenali sebagai Faiq boleh berbangga dengan kejayaan yang dikecapinya hari ini hasil kesungguhan sejak kecil.
Menurut Faiq, ketika usia 9 tahun dia sering dibuli rakan di sekolah dari segi psikologi. Akibat tertekan, dia mengadu kepada ayahnya dan Faiq dihantar ke Pusat Seni Silat Gayung, Ampang. Pada usia mencecah 14 tahun, Faiq berhenti seni silat dan belajar seni mempertahankan diri muay thai, kickboxing dan boxing atas cadangan ayahnya.
"Ayah sumber inspirasi saya untuk bergiat aktif dalam seni ini kerana dia juga punya seni bela diri yang sama. Lebih setahun saya menjalani latihan teknik asas secara konsisten dengan ayah. Manakala bagi mempelajari teknik yang lebih susah saya dihantar menjalani latihan dengan jurulatih profesional.
"Walaupun ketika itu saya sudah ada ilmu seni bela diri, saya tetap dibuli rakan dan terus bersabar tanpa melawan. Ayah selalu berpesan mereka itu semua bukan lawan saya. Jika saya mahu menguji kekuatan sebenar bertinju, gelanggang tinjulah tempatnya beradu tenaga bersama lawan sebenar," kata anak sulung daripada lima beradik ini.
Meskipun Faiq mempelajari lima jenis seni mempertahankan diri iaitu muay thai, kickboxing, boxing, mixed martial art (MMA) dan silat, dia lebih bergiat aktif dalam seni mempertahankan diri Muay Thai.
Katanya, muay thai lebih efektif untuk digunakan apabila berada dalam situasi sebenar berbanding seni bela diri yang lain.
Ditanya mengenai pencapaian terbaiknya sepanjang dua tahun ini, Faiq berkata dia sudah meraih dua pingat emas di F3 Amateur Muay Thai bagi kategori 50 kilogram, tiga pingat emas di Nilai Muay Thai Challenge bagi kategori 50 kilogram, satu pingat emas di TTDI Open bagi kategori 50 kilogram, satu pingat emas di K1-Ultimate Beatdown 16 bagi kategori 50 kilogram kickboxing dan dua pingat emas di PD Boxing Challenge dan peringkat kebangsaan zon Selatan.
Bagi penulis, pencapaiannya dalam sukan ini patut menjadi kebanggaan dan inspirasi anak muda yang lain jika dinilai pada usianya yang masih muda. Tiada frasa mustahil untuk berjaya jika kita benar-benar minat akan sesuatu perkara. Menariknya lagi, sepanjang dua tahun ini juga Faiq hanya kalah 'point' (mata) saja dengan lawannya semasa perlawanan dan tidak pernah kalah technical knockout (TKO).
Tambahnya lagi, dia berisiko mengalami kecederaan teruk kerana ini di peringkat profesional apabila hanya menggunakan sarung tangan semasa perlawanan. Selepas perlawanan, kira-kira seminggu lebam dan luka di seluruh badan Faiq akan pulih sepenuhnya sebelum menjalani latihan seperti biasa.
Melihatkan Faiq berpotensi untuk pergi lebih jauh, ayahnya, Ramdhan Ismail, 39, memohon sijil jurulatih antarabangsa daripada International Sport Kickboxing Association (ISKA). Mengikut syarat kelayakan ISKA, pemohon perlu berusia 18 tahun ke atas, tetapi Faiq tetap diberi peluang untuk memohon dengan syarat fasih berbahasa Inggeris.
Kemampuan Faiq ketika diuji ISKA dari segi teori dan fizikal amat luar biasa bagi remaja berusia 14 tahun sepertinya apabila berjaya mendapat 73.5 mata bagi peringkat pertama dan 74.5 mata bagi peringkat kedua. Kini dia sudah diiktiraf ISKA sebagai Jurulatih Antarabangsa ISKA Level 2 Termuda di Asia.
"Sekarang saya menjadi jurulatih kepada 50 peninju muda dan 15 kanak-kanak di gimnasium AIX Warrior Combat Sport, Semenyih, Selangor kepunyaan ayah saya. Gimnasium ini dibuka bagi memudahkan saya berlatih setiap malam di samping ayah berhasrat untuk saya meneruskan legasi seni mempertahankan diri ini.
"Setiap perkara yang kita lakukan pasti akan berhadapan cabaran. Begitu juga saya, lagi lama lagi susah sebab saya akan berjumpa lawan yang lebih kuat. Saya lebih kerap berlatih untuk penambahbaikan teknik seperti cara menumbuk dengan lebih pantas dan kuat.
"Dari segi pemakanan pula, setiap pagi dan malam saya mengamalkan makan tujuh biji telur ayam separuh masak. Saya kurangkan pengambilan makanan berminyak, elak minuman sejuk, tidur lapan jam sehari dan bersenam setiap pagi tanpa gagal. Rutin ini saya lakukan setiap hari bagi mendapatkan tenaga dan stamina yang kuat secara berterusan.
"Harapan saya, tamat saja sekolah saya mahu membuka perniagaan sendiri, tetapi masih bergiat aktif sebagai jurulatih dan peninju muay thai. Seni ini banyak mengajar saya mengenali diri saya sendiri selain belajar menghormati orang lain dan lebih berdisiplin," kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
No comments:
Post a Comment