Thursday, January 28, 2016

Definisi cinta Muhibbain - Harian Metro

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Ingin menyajikan alternatif buat pencipta muzik berkonsepkan positif dan motivasi, kumpulan duo Muhibbain yang dianggotai Erwan Taib dan Adeep Nahar kini muncul dengan single keempat Pencinta.

Erwan berkata, Pencinta ialah lagu berkonsepkan cinta yang luas kepada sesama manusia, Rasul dan Tuhan.

Menurut Erwan yang juga pencipta lagu itu, Pencinta diilhamkan daripada kata-kata seorang ulama.

"Definisi cinta itu luas. Melalui Pencinta, kami cuba mengetengahkan konsep cinta sesama manusia, antara manusia dengan Rasul dan antara manusia dengan Allah.

"Untuk lirik Pencinta, saya terinspirasikan daripada seorang ulama yang saya kenali iaitu Pemimpin Majlis Ta'lim Darul Murtadza Al Fadil Al Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar Al Hamid," katanya.

Sementara itu, Adeep yang sebelum ini pernah menganggotai kumpulan Fabulous Cat pula bercerita mengenai konsep pop yang mereka ketengahkan bagi membezakan mereka dengan pemuzik lagu ketuhanan sedia ada.

"Kami tidak menggelarkan Muhibbain sebagai sebuah kumpulan nasyid. Walaupun kami menyampaikan lagu yang ada unsur ketuhanan dan positif, kami cuba mengetengahkan muzik pop dan pada masa sama menyelitkan elemen rap.

"Kalau dilihat daripada muzik video Pencinta yang sudah ada di YouTube, konsepnya juga berbeza dengan pemuzik lain. Dalam video itu, kami mengenakan pakaian seperti pelayan restoran. Sebenarnya kami ingin memaklumkan tugasan kita sebagai manusia di bumi ini," katanya.

Dituduh tampil ala Yahudi

Dari muzik video itu juga, Muhibbain turut menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat.

"Setiap daripada mereka ada persepsi masing-masing. Ada yang positif dan negatif.

"Selain menyukai konsep yang kami sajikan, tidak kurang juga yang menghentam dengan mengatakan kami tampil dengan konsep ala Yahudi kerana mengenakan sut dan 'bow tie'. Namun, itu terserah kepada masyarakat bagaimana mereka menginterpretasi lagu dan video muzik itu," kata Adeep.

Menurut Erwan, di zaman serba moden ini mereka tidak boleh menyangkal fakta bahawa seni dan hiburan itu punya pengaruh kuat dalam masyarakat.

"Disebabkan itu, kami terpanggil untuk menggunakan seni muzik bagi mendekati masyarakat. Dalam berhibur dengan lagu-lagu positif, kami juga secara tidak langsung dapat berdakwah dan berkongsi ilmu," katanya.

Tambah kedua-dua anggota Muhibbain ini lagi, mereka tidak mengukur kejayaan karya menerusi jumlah penjualan, tetapi punya objektif lain.

"Mungkin lagu kami tidak sepopular lagu lain, tetapi apa yang diukur bukan menerusi penjualan sebaliknya cukup seandainya mesej kami sampai kepada pendengar," kata mereka.

Menurut Erwan, apa yang dilihatnya dalam industri hari ini, muzik sudah menjadi satu perniagaan hiburan dan bukan lagi seni yang indah.

"Seni itu semakin hari semakin berkurangan dan dibayangi oleh hiburan yang keterlaluan. Jadi, menjadi tugas kami sebagai anggota masyarakat memberikan alternatif dan membawa aura positif kepada pendengar," katanya.

No comments:

Post a Comment