KOTA BHARU - Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida akan terus berjuang bagi memastikan warna merah jambu dan putih menjadi jersi utama pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Dr. Vida berkata, sebagai penaja utama beliau mahu warna tersebut menjadi teras selaras dengan tanda perniagaan produk Qu Puteh.
"Saya yakin dan percaya warna merah jambu dan putih itu tidak akan mengugat semangat para pemain Pamoga Qu Puteh The Red Warriors untuk memberikan aksi terbaik dalam saingan musim ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang menegaskan jersi Kelantan kekal dengan warna tradisi iaitu merah, selain warna putih/biru untuk jersi kedua, manakala merah jambu untuk jersi ketiga.
Annuar menerusi akaun Facebooknya menulis, Kelantan tetap akan menggunakan warna merah sebagai jersi utama, manakala jersi tempat lawan berwarna putih dan biru serta warna merah jambu untuk jersi ketiga.
Jersi yang ditaja syarikat terkemuka Nike itu bakal dilancarkan pada 10 Febuari ini.
Dr. Vida memberitahu, jersi tersebut akan direka bentuk dengan menarik bagi memastikan ia mampu memberi 'aura' tersendiri.
Katanya, bukan itu sahaja jersi berkenaan dijangka mampu mencetus fenomena baharu dalam sukan bola sepak di negara ini.
Musim ini Dr. Vida mencetus fenomena baharu apabila bersetuju untuk menaja Kelantan selama dua tahun dengan nilaian sebanyak RM16 juta bersama 33 syarat.
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) Mahizi Mahmood berkata, pihaknya tidak tidak kisah jika jersi pasukan Kelantan musim ini berwarna merah jambu.
"Apa yang penting pasukan beraksi dengan cemerlang dalam setiap perlawanan yang diharungi.
"Harapan kami agar, Kelantan akan kembali digeruni pada musim ini serta mampu meraih kejayaan," katanya.
Kelantan menutup musim 2015 tanpa sebarang kejuaraan.
No comments:
Post a Comment