NAMA Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta sememangnya antara nama besar dalam industri lakonan.
Bagaimanapun sejak mendirikan rumah tangga dan bergelar ibu kepada Aaisyah Dhia Rana, kelibat Che Ta di dalam drama mahupun filem mula berkurangan.
Namun buat pertama kalinya, selepas sekian lama berehat panjang, Che Ta muncul dalam drama terbaharu Kak Marr.
Drama bersiri 20 episod terbitan Zeel Production Sdn Bhd ini sudah pun mula menemui penonton sejak 13 Januari lalu, setiap Isnin hingga Khamis bermula 6.30 petang.
Diarahkan oleh Emi Suffian, selain Che Ta, Kak Marr turut dibintangi oleh pelakon yang tidak kurang hebatnya seperti Izreen Azminda, Sherry Ibrahim, Redza Rosli.
Ia turut dijayakan oleh Ben Ali, Azza Elite, Hairi Safwan, Adik Arissa, Mustaqim Bahadon, Fattah Amin, Ayu Raudhah, Aishah Ilias, Kazar, Ayumie Azizan, Tatty Hassan, Jasmin Hamid dan John Chisel.
Bercerita mengenai pembikinan drama ini yang baharu sahaja tamat penggambarannya awal Januari lalu, Emi berkata, drama Kak Marr menjalani penggambaran di Tasik Timah Tasoh, Perlis dan sekitar Kuala Lumpur.
"Memandangkan drama ini membabitkan dialek utara dan juga mengisahkan suasana di kedai makanan, dengan pelbagai menu masakan utara, maka dengan persetujuan TV3, kita menjalani penggambaran di sana.
"Ia melibatkan 90 peratus suasana di Tasik Timah Tasoh dan 10 peratus penggambaran filem ini kita buat di Kuala Lumpur.
"Jumlah penggambaran semua sekali selama 35 hari," katanya.
Bekerjasama dengan nama-nama besar di dalam drama kali ini, Emi berkata, dia hanya mengalami cabaran untuk 'mencuri' masa Che Ta kerana kesibukan wanita tersebut dengan komitmen lain.
"Sejak dari awal lagi, Che Ta memang dah beritahu dia banyak komitmen, Tapi saya tetap mahukan dia terlibat dalam drama ini.
"Ini kali kedua saya bekerjasama dengannya selepas kali pertama menerusi sebuah drama untuk siaran Samarinda pada 2004. Ketika itu dia baharu lagi berkecimpung di dalam bidang seni.
"Selepas lebih 10 tahun tidak bekerjasama, saya lihat lakonan Che Ta banyak peningkatan, kalau dulu dia sentiasa tanya dan cari lakonan bagaimana yang pengarah nak, tapi kali ini dia tahu bagaimana untuk memberi. Lebih-lebih lagi drama ini dalam dialek utara, jadi macam makanan dialah.
"Cuma untuk fokus dia sahaja yang susah kerana masa dia sangat terhad walaupun dia pelakon utama. Kami juga kena selalu ingatkan dia konti sebelum dan selepas supaya lakonannya tidak lari," jelasnya.
Bagaimanapun ujar Emi, komitmen pelakon lain dalam drama ini cukup baik kerana mereka hanya terlibat dengan drama ini dan sentiasa ada apabila diperlukan.
Penampilan pertama Aaisyah
Tidak hanya pelakon terkenal, Kak Marr menyaksikan penampilan pertama kali Aaisyah dalam bidang lakonan.
"Dalam skrip memang digambarkan Kak Marr sebagai janda anak satu yang ada anak kecil. Jadi Zeel Production cadangkan untuk ambil anak Che Ta dan pihak TV3 juga bersetuju.
"Mulanya memang berat Che Ta nak terima memandangkan Aaisyah belum biasa dengan lampu dan penggambaran hingga lewat malam.
"Bila saya cuba terhadkan masa penggambaran anaknya, barulah Che Ta bersetuju.
"Hanya ada 40 babak melibatkan Aaisyah dan dia juga memberikan kerjasama yang baik dan sentiasa ceria di lokasi, Alhamdulillah," katanya.
Tandingi populariti Mak Cun
Tidak hanya sekadar jadual yang memberi cabaran kepada Emi, pihak TV3 turut memberi cabaran untuk memastikan Kak Marr dapat menandingi populariti Mak Cun.
Bagaimanapun ujar Emi, dia sudah membuat yang terbaik agar drama ini disukai ramai.
"Dalam drama ini, ramai juga pelakon baharu terlibat dan saya perlu bimbing mereka agar saya dapat lakonan yang saya mahu.
"Tapi saya dah cuba buat yang terbaik kerana saya bukan sahaja bimbing pelakon baharu tapi juga perlu memastikan karakter Che Ta sebagai Kak Marr tidak lari dan konsisten.
"Jadi sekarang terpulang kepada penonton sama ada mereka suka atau tidak dengan perjalanan drama ini," ujarnya.
Tambah Emi, Kak Marr menampilkan kelainan dalam setiap episod.
Jelasnya, dalam setiap episod, ada komedi, pengajaran dan jalan cerita yang berbeza yang dipaparkan untuk tontonan penonton.
"Dalam drama ini, saya banyak selitkan cerita pasal masyarakat tapi lebih kepada suasana di kampung.
"Justeru saya berharap drama ini mendapat sambutan bagus kerana dapatlah ia bersambung kepada Kak Marr 2.
"Namun apa yang penting, penonton terhibur dengan jalan cerita drama ini dan memberi teladan yang baik kepada semua," akhirinya.
Sifat dengki
Drama Kak Marr mengisahkan Kak Marr (Che Ta) bekas jurusolek artis yang cantik, glamour dan terkenal dalam bidangnya itu. Namun setelah meningkat usia, Kak Marr mengambil keputusan untuk bersara dan pulang ke kampungnya.
Di kampung, Kak Marr membuka sebuah gerai makan yang mendapat sambutan dan terkenal dengan mee udangnya. Kecantikan Kak Marr juga membuatkan seorang duda bernama Zolkifli (Redza Rosli) jatuh cinta tapi sering kali terlepas peluang untuk menyatakan rasa hatinya kepada Kak Marr.
Kak Marr turut menjual produk kecantikan dan ramai juga orang kampung terutamanya golongan isteri dan gadis berpusu-pusu datang ke kedainya untuk turut menjadi cantik dan bergaya seperti Kak Marr.
Namun kerana kehadiran Kak Marr, membuatkan perniagaan Asmah (Izreen Azminda) yang menjual laksa semakin merudum. Tiada lagi pelanggan datang ke kedainya, jualannya juga tidak habis kerana semua orang bertumpu ke kedai Kak Marr.
Ditambah hasutan Kak White yang dengki dengan kejayaan Kak Marr. Kak White turut mencadangkan kepada Asmah untuk berjumpa bomoh bagi merosakkan perniagaan Kak Marr.
Berjayakah rancangan Asmah untuk menjatuhkan Kak Marr?
No comments:
Post a Comment