Kuala Lumpur: Kejayaan peneraju industri kosmetik negara ini seperti Datuk Seri Dr Hasmiza Othman dan Datuk Aliff Syukri Kamarzaman membina empayar perniagaan bernilai jutaan ringgit sering dijadikan penyemarak semangat ramai peniaga.
Namun, di sebalik kisah kejayaan itu, segelintir peniaga memilih jalan singkat dengan menjual produk tiruan jenama terkenal untuk memperoleh keuntungan mudah.
Umum mengetahui, permintaan terhadap barangan berkenaan sangat tinggi di negara ini dan jelas 'kegilaan' orang ramai terhadap kosmetik diambil kesempatan oleh peniaga tidak bertanggungjawab ini.
Apa yang membimbangkan, ramai penggemar produk kosmetik termasuk minyak wangi jenama terkemuka menjadi mangsa penipuan produk tiruan.
Semua produk kosmetik dan minyak wangi tiruan yang dirampas sebelum ini dikesan menggunakan jenama terkenal untuk mengabui mata pembeli lebih-lebih lagi apabila ia dijual pada harga lebih rendah.
Bagaimanapun, lebih menggusarkan produk tiruan itu tidak sahaja berkualiti rendah malah berkemungkinan memberi kesan sampingan yang buruk kepada penggunanya disebabkan tiada kawalan terhadap ramuan yang digunakan dalam menghasilkan produk tiruan itu.
Lebih dikhuatiri adalah kemungkinan produk dari luar negara itu mengandungi campuran formula rahsia dengan kandungan kimia berbahaya yang bukan saja merosakkan kulit tetapi organ dalaman manusia secara perlahan-lahan.
Lambakan produk kosmetik tiruan boleh diibaratkan seperti bom jangka yang boleh meragut kecantikan dan nyawa terutama wanita di negara ini jika penggunaannya digunakan secara meluas dan kerap.
Ramai yang tahu mengenai fakta ini tetapi tidak takut untuk mencuba walaupun pernah membaca kes masalah kesihatan akibat produk tiruan menerusi media massa.
Industri kosmetik tiruan di Malaysia seolah-olah belum sampai ke penghujungnya walaupun media kerap menyiarkan bahaya penggunaan barangan tiruan itu.
Mungkin pujuk rayu penjual dengan menyatakan 'barangan asli tetapi kualiti berbeza' atau 'barangan asli, cuma dibuat di China' antara 'modal' popular digunakan penjual yang berjaya meyakinkan pengguna.
Ditambah lagi dengan ketiadaan kesan sampingan yang jelas membuatkan orang ramai leka menggunakan produk tiruan tanpa rasa bersalah dan takut.
No comments:
Post a Comment