Sunday, January 31, 2016

Strategi Lautan Biru rapatkan jurang akademik bandar, luar bandar - Utusan Malaysia

Satu daripada kejayaan Gelombang 1 Pelan Pembangunan Pendi­dikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah pengecilan jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 2012 hingga 2014.

Bagi keputusan UPSR, jurang pencapaian gred purata berkurang daripada 0.19 pada tahun 2013 kepada 0.17 pada tahun 2014.

Begitu juga bagi keputusan SPM yang merekodkan jurang pencapai­an gred purata merapat daripada 0.61 (2013) kepada 0.60 (2014) dan seterusnya 0.55 (2014).

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ini berjaya dicapai melalui program khusus Kementerian Pendidikan seperti Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) dan Rakan Peningkatan Sekolah (SIP+).

Terdapat 1,032 SISC+ ditugaskan membimbing guru berkaitan kan­dungan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik manakala 312 SIP+ pula dilantik bagi memberi sokongan kepada pemimpin seko­lah dalam menambah baik peng­urusan serta pentadbiran.

Di samping itu, di luar lingkaran Kementerian Pendidikan melalui Strategi Lautan Biru pelbagai pihak yang berkepentingan turut memberi sumbangan membantu mening­katkan prestasi akademik sekolah terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Antara inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru yang memberi impak positif merapatkan jurang akademik sekolah bandar dan luar bandar termasuklah program pintar yang melibatkan syarikat berkepenti­ngan kerajaan (GLC), sumbangan pemimpin masyarakat dan kerajaan negeri di samping pembekalan komputer riba Netbook 1Malaysia.

Dalam Program Pintar, GLC ter­ba­bit bekerjasama dengan Yayasan Pintar mengambil sekolah-sekolah angkat di kawasan mereka berope­rasi atau sekolah luar bandar mengikut pilihan mereka.

Sekolah-sekolah angkat ini da­lam tempoh tiga tahun dibantu dari segi kewangan dan keperluan lain mengikut kesesuaian bagi melaksanakan program-program yang me­njurus kepada peningkatan pres­­tasi akademik.

Unit Pendidikan Utusan Malaysia turut terlibat secara langsung dalam Program Pintar ini dengan Kumpulan UMW dari aspek menyediakan kan­dungan program motivasi dan teknik menjawab soalan pe­periksaan.

Sementara itu, sumbangan pe­mim­pin masyarakat terutama wakil-wakil rakyat dan kerajaan negeri dalam membantu meningkatkan pencapaian akademik di kawasan masing-ma­sing memang terbukti berjaya.

Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Perak, sejak 2014 hingga tahun ini, telah dan masih membekalkan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor SPM ke sekolah-sekolah menengah terpilih di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, Tutor SPM yang digunakan oleh 164 sekolah menengah terpilih di seluruh Perak sejak tiga tahun lalu telah membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar terutama dalam subjek tertentu seperti Bahasa Melayu dan Sejarah.

"Hasil penggunaan Tutor SPM ini kita lihat, prestasi pelajar memberangsangkan bukan sahaja da­lam subjek-subjek tertentu tetapi turut memperkayakan latihan untuk pelajar," katanya.

Selain itu, pembekalan Netbook 1Malaysia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Media Malaysia (SKMM) kepada pelajar miskin sama ada di bandar mahupun di luar bandar juga turut membantu mengecilkan jurang pencapaian akademik sekolah bandar dan luar bandar.

Netbook ini membolehkan kesak­samaan akses terhadap sumber pem­belajaran atas talian kepada pelajar bandar dan luar bandar.

Saturday, January 30, 2016

Neelofa tak ambil pusing status jutawan - Sinarharian

TIDAK hanya menempa nama dalam industri seni tempatan, figura cantik ini turut mencipta kejayaan dalam bidang perniagaan yang diceburinya.

Mana tidaknya, Noor Neelofa Mohd Noor, 27, atau Neelofa dilihat begitu komited menguruskan perniagaan tudung jenama Naelofar sejak dua tahun lalu.

Lebih berbaloi, apabila tudung yang dihasilkan berjaya menjadi perhatian pembelinya sehingga tercetus fenomena luar biasa di kalangan wanita berhijab di negara ini.

Di atas kejayaan itu juga, pelakon dan pengacara cantik ini sering menjadi buah mulut apabila statusnya kini dikatakan layak digelar sebagai seorang jutawan muda.

Tidak mengia mahupun menafikan, aktres filem Pilot Cafe ini enggan mengambil pusing apa yang dikatakan terhadap dirinya.

"Kejayaan yang orang perkatakan itu adalah hasil titik peluh saya dan keluarga. Ia tidak akan berlaku sekiranya saya tampil berseorangan tanpa sokongan dan kerjasama keluarga terutamanya ibu dan ayah saya.

"Saya bersyukur kerana kepercayaan yang saya peroleh ini akhirnya membuahkan hasil.

"Saya mahu perniagaan ini berjalan dalam jangka masa yang lama dan bukannya sementara. Jadi fokus saya lebih kepada bagaimana mahu kekal dan mengembangkan lagi perniagaan ini berbanding memikirkan apa yang diperkatakan orang lain kepada diri saya," katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Meletop (AME) 2016, baru-baru ini.

Menjelaskan mengenai khabar angin status jutawan itu, Neelofa tidak menafikan ia turut memberi kebaikan dan keburukan terhadap perniagaan yang dijalankannya.

"Bila pihak kami berbincang semula mengenai berita yang keluar, sebenarnya ia juga memberi kebaikan dan tak nafi juga yang buruk.

"Dari segi perniagaan, sebenarnya lebih banyak peluang yang kita terima dan pada masa sama kita juga tidak ada sesuatu yang boleh disorokkan," katanya.

Bagaimanapun, Neelofa akui dirinya menganggap gelaran yang diberikan kepadanya sebagai satu doa orang ramai buat kejayaannya.

"Saya terima dan tidak kisah jika mereka menggelarkan saya seperti itu dan menganggapnya sebagai satu doa.

"Saya berharap ia tidak akan mengubah siapa diri saya kerana saya masih individu yang sama cuma mahu menjadi yang lebih baik daripada setiap sudut," jelasnya panjang lebar.

Lebih 'daring'

Bercerita mengenai pembabitannya sebagai hos AME 2016, Neelofa menjanjikan kelainan dan kesegaran dalam pengacaraannya nanti.

"Alhamdulillah, ini kali ketiga saya bergelar hos di AME. Tahun ini apa yang boleh saya katakan, saya akan lebih 'daring' dari segi pengacaraan.

"Ketika saya berada di New York baru-baru ini, saya sempat menyaksikan persembahan Broadway ketika menjalani kursus pendek di sana.

"Jadi dari situ saya mendapat inspirasi untuk menjayakan pengacaraan ini dan saya sudah berbincang dengan mereka yang terlibat. Saya harap semuanya berjalan dengan baik," katanya yang masih setia menggayakan busana daripada pereka, Fizi Woo pada malam AME 2016 nanti.

Selain Neelofa, pengacara lain yang turut memeriahkan malam AME adalah Nabil Ahmad, Datuk AC Mizal dan Jihan Muse.

Sementara itu, Neelofa turut memberitahu dia bakal menerbitkan sebuah buku berjudul The Chic Codes yang mengisahkan kehidupannya.

"Proses hasilkan buku ini dilakukan sejak tahun lalu dan sekarang ia telah pun berada dalam proses kemas kini.

"Insya-ALLAH, jika tidak ada aral melintang, buku itu akan dilancarkan sekitar April atau Mei ini," katanya.

Friday, January 29, 2016

11091.82 hektar tanah wakaf - Harian Metro

salmiah@hmetro.com.my

Anda mungkin pernah menginap di hotel ini, tetapi tahukah anda ia dibina di atas tanah wakaf? Hotel berkenaan ialah Hotel Pantai Puteri di Melaka, Kelana Beach Resort di Port Dickson, Hotel Seri Warisan di Taiping dan Hotel Grand Puteri di Kuala Terengganu.

Itu antara contoh bagaimana tanah yang diwakafkan dimajukan sebelum hasilnya digunakan untuk faedah umat Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Anan C Mohd berkata, Malaysia mempunyai sejumlah besar tanah wakaf yang masih terbiar dan tergendala untuk dimajukan meliputi keluasan seluas 11,091.82 hektar terdiri daripada wakaf am dan wakaf khas.

Bilangan keluasan tanah wakaf am merangkumi 4,836.5 hektar dan selebihnya 6,255.32 hektar adalah tanah wakaf khas.

Bagaimanapun, katanya, umat Islam wajar berbangga dengan kemajuan dicapai negara ini sehingga mampu menjana ekonomi rakyat apabila hartanah wakaf berjaya dimajukan.

JAWHAR memba­ngunkan 17 projek berimpak besar dengan kerjasama dan persetujuan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) membabitkan peruntukan RM290.62 juta manakala keluasan tanah wakaf dimajukan berjumlah 23.771 hektar.

"Kejayaan ini seharusnya menjadi kebanggaan umat Islam di Malaysia kerana manfaatnya diberikan pewakaf untuk kegunaan dan kemudahan orang ramai," katanya.

Antara projek wakaf berkenaan ialah:

1. Pembinaan lapan unit ruang niaga di Mukim Ulu Kinta, Tambun, Perak.

2. Pembinaan 16 unit rumah kedai di Mukim Utan Aji, Perlis.

3. Sebuah kompleks pendidikan dilengkapi asrama dan kemudahan pembelajaran kondusif memuatkan 1,000 pelajar dikenali sebagai Kompleks Pendidikan Maahad Al-Mashoor di Balik Pulau, Pulau Pinang.

4. Sebuah blok asrama anak yatim dan pentadbiran menempatkan 50 pelajar anak yatim perempuan di Mukim Derga, Alor Setar.

5. Sebuah blok asrama anak yatim dan pentadbiran menempatkan 50 pelajar anak yatim lelaki di Machang, Kelantan.

6. Sebuah Pusat Saudara Baru dikenali sebagai Kompleks Darul Sa'adah Seremban dilengkapi asrama dan kelas pengajian bertujuan memperkukuhkan pemahaman Islam kepada saudara baru berbangsa Tionghua.

7. Sebuah Pusat Dialisis di Batu Pahat, Johor menyediakan rawatan kepada 78 pesakit buah pinggang dan boleh ditingkatkan ke tahap maksimum 222 pesakit sebulan dengan mengenakan caj rendah.

8. Sebuah pusat perlindungan wanita di Taman Perling, Johor yang berupaya menampung 100 penghuni serta kemudahan bilik penginapan, dewan, bilik kaunseling, bilik latihan dan ruang makan kepada wanita teraniaya.

9. Sebuah hotel di Pantai Puteri, Melaka, menyediakan 87 bilik dikenali sebagai Hotel Pantai Puteri (JAWHAR-MAIDAM).

10. Sebuah hotel dan pusat peranginan di Port Dickson, Negeri Sembilan menyediakan 82 bilik, tiga pangsapuri, kolam renang dan Kompleks Baitulhilal dikenali sebagai Hotel Klana Beach Resort (JAWHAR-MAINS).

11. Sebuah hotel di Taiping, Perak mempunyai 45 bilik dikenali sebagai Hotel Seri Warisan (JAWHAR-MAINPK).

12. Sebuah hotel di Kuala Terengganu menyediakan 180 bilik, kolam renang dan kemudahan lain dikenali Hotel Grand Puteri (JAWHAR-MAIDAM).

13. Sebuah asrama pelajar mempunyai dua blok asrama lelaki dan perempuan untuk menampung 200 pelajar di Besut, Terengganu.

14. Menubuhkan entiti wakaf peringkat kebangsaan dengan sumbangan dana.

15. Menyediakan kemudahan peralatan teknologi canggih untuk Dewan Besar Kompleks Islam Kuching, Sarawak.

Sementara itu, terdapat dua projek masih dalam pembinaan iaitu:

1. Pangsapuri kos sederhana rendah di Butterworth, Pulau Pinang yang menyediakan 152 unit kediaman.

2. Perumahan kos sederhana rendah di Su­ngai Nibong, Pulau Pinang menyediakan 77 unit kediaman.

Amat dialu-alukan tapi perlu patuhi prosedur

Masih ramai umat Islam tidak mengetahui amalan bersedekah juga boleh dilakukan melalui agensi atau institusi tertentu.

Ini kerana mereka mungkin sudah terbiasa dengan amalan bersedekah di masjid, untuk anak yatim atau memberi terus kepada peminta sedekah di jalanan.

Ramai juga kurang memahami konsep wakaf yang juga antara cabang amal jariah. Malah pewakaf menerima pahala berterusan apabila harta wakaf itu dimanfaatkan untuk kegunaan umat Islam.

Dari segi istilah, wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta itu daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber ainnya (fizikal).

Wakaf ialah suatu pemilikan yang tidak sempurna kerana pemilikan ain (benda yang diwakafkan) adalah kerana Allah atau dihukumkan sebagai milik Allah meskipun manfaat atau hasil wakaf itu kepunyaan 'maukuf alaih' iaitu pihak atau orang yang ditentukan menerima manfaat wakaf.

Wakaf ialah suatu pemberian atau sumbangan ikhlas sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk kepentingan dan kesejahteraan umum yang dibenarkan syarak.

Harta wakaf boleh digunakan untuk menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi ummah seperti mendirikan projek komersial seperti hotel wakaf, pusat perniagaan, projek sosial seperti rumah anak yatim, pusat perlindungan dan sebagainya selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261 bermaksud: "Bandingan (perbelanjaan derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya".

Hadis riwayat Muslim turut menjelaskan mengenai kepentingan berwakaf yang bermaksud: "Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasullullah SAW bersabda: "Apabila mati anak Adam akan terhentilah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya".

Di Malaysia, hal ehwal berkaitan Islam terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa sultan setiap negeri. Sultan mewakilkan kuasanya itu kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk mengendalikan urusan keagamaan termasuk perkara berkaitan wakaf.

Menurut Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan: "...Hukum syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuklah hukum syarak berhubung dengan wakaf Islam dan takrif... keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah syariah yang mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini...".

Bagi membantu menyelaras urusan pentadbiran dan pengurusan wakaf di seluruh Malaysia, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada 27 Mac 2004.

MAIN pula berperanan sebagai pemegang amanah tunggal ke atas semua harta wakaf di Malaysia. Perkara ini termaktub dalam enakmen wakaf di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Wajar kepada masyarakat memahami aspek, fungsi dan kepentingan wakaf bagi menjana serta membangunkan ekonomi umat Islam.

Malah, berwakaf sangat dialu-alukan kepada mereka yang berkemampuan sama ada dari segi kewangan mahupun ingin mewakafkan harta yang dimiliki.

Ketua Pengarah JAWHAR Datuk Anan C Mohd berkata, ada beberapa prosedur perlu dipatuhi jika orang ramai mahu mewakafkan harta terutama harta tidak alih seperti tanah dan bangunan.

"Orang ramai digalak berhubung dengan pegawai wakaf di MAIN masing-masing mengikut lokasi harta tidak alih yang hendak diwakafkan.

"Lebih baik jika masyarakat mengetahui dan memahami rukun serta syarat wakaf bagi memudahkan MAIN membangunkan hartanah itu, selain menjaga pewakafan itu selama-lamanya.

"Pegawai wakaf di MAIN sentiasa bersedia untuk membantu melengkapkan borang pendaftaran tanah wakaf.

"Jika seseorang itu benar-benar mahu berwakaf, dia disyorkan membawa geran tanah bagi memudahkan MAIN berurusan dengan Pejabat Tanah tempat wakaf yang akan diletak hak di bawah seliaan MAIN sebagai pemegang amanah tunggal wanah wakaf di negeri masing-masing," katanya.

Pada masa sama, JAWHAR turut mengambil inisiatif menerbitkan Manual Pengurusan Tanah Wakaf (2006) bagi membantu MAIN selain memudahkan orang ramai memahami prosedur dan tatacara mewakafkan tanah secara lebih mudah dan jelas.

Halangan mengisytiharkan status tanah sebagai tanah wakaf

Setiap wakaf perlu didaftarkan hak milik tanah agar hartanah dan status pemilikan tanah berkenaan menjadi jelas dan terjamin.

Bagaimanapun, MAIN tidak dapat mendaftarkan tanah wakaf lama yang belum dipindah milik dan belum didaftarkan atas nama MAIN atas beberapa sebab apabila:

1. Pewakaf meninggal dunia

2. Geran di atas nama penghulu atau kadi

3. Wakaf dilakukan secara lisan dan tanpa dokumen sokongan

4. Hartanah masih di atas pemegang amanah lain

5. Tanah pertanian bersaiz kurang daripada 2/5 hektar

"Bagi membolehkan tanah wakaf lama didaftarkan, JAWHAR mengeluarkan Manual Pengurusan Perletakan Tanah Wakaf (2010) sebagai panduan dan rujukan bagi membantu MAIN mendaftarkannya di Pejabat Tanah Daerah dan Galian secara teratur.

"JAWHAR turut mengadakan perbincangan de­ngan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Putrajaya bagi memudahkan urusan pendaftaran khas untuk tanah wakaf menerusi Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) yang diguna pakai semua Pejabat Tanah dan Galian seluruh Malaysia.

"Menerusi penambahbaikan sistem ini, perkataan 'wakaf' dicatatkan dalam geran hak milik tanah bagi mengesahkan ia adalah tanah wakaf yang diletak di bawah seliaan dan hak kawalan MAIN," kata Anan.

Menurutnya, negara mempunyai sejumlah besar tanah wakaf yang masih terbiar dan tergendala untuk dimajukan meliputi keluasan seluas 11,091.82 hektar terdiri daripada wakaf am dan wakaf khas.

Bilangan keluasan tanah wakaf am merangkumi 4,836.5 hektar dan selebihnya 6,255.32 hektar adalah tanah wakaf khas.

Isu dan masalah tanah wakaf

Ramai melihat ketidakberhasilan banyak tanah wakaf untuk menjana keuntungan atau digunakan bagi menampung kemaslahatan umat Islam sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

Masyarakat pasti menuding jari kepada pengurusan agensi terbabit yang didakwa tidak memainkan peranannya dalam menangani masalah ini.

Hakikatnya, ada beberapa isu yang perlu diambil kira:

1. Dana kerajaan yang terbatas

Aspek kewangan memainkan peranan sangat penting dalam sebarang usaha pembangunan, terutama pembangunan membabitkan sektor hartanah.

Kekurangan dana menyebabkan kebanyakan tanah wakaf yang berpotensi untuk dimajukan tidak dapat dilaksanakan.

JAWHAR menerima banyak permohonan projek pembangunan tanah wakaf berpotensi tinggi daripada MAIN untuk dimajukan.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) 2006-2010, hanya beberapa plot projek diluluskan untuk dimajukan sebagai inisiatif merancakkan aktiviti pembangunan tanah wakaf dengan keizinan MAIN.

Di bawah RMK-10, tiada projek baru dilaksanakan, namun beberapa projek sambungan RMK-9 diluluskan untuk diteruskan pembinaannya.

Berdasarkan senario itu, kebanyakan tanah wakaf yang berdaya maju belum dapat diusahakan untuk meningkatkan sosio ekonomi masyarakat.

"Justeru, JAWHAR melaksanakan usaha lain untuk mencari dana alternatif bagi membiayai projek pembangunan hartanah wakaf, antaranya mengadakan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), korporat, syarikat swasta dan institusi kewa­ngan.

"Usaha ini dipergiatkan JAWHAR dengan membabitkan lebih banyak pihak lain seperti PRIMA, PPA1M, Jabatan Perumahan Negara, TERAJU, syarikat korporat dan institusi kewangan menerusi kaedah NBOS untuk bersama-sama JAWHAR dengan kerjasama MAIN bagi merancakkan usaha pembangunan tanah wakaf di Malaysia," kata Anan.

2. Pencerobohan Tanah Wakaf

Ada tanah wakaf yang strategik tetapi tidak dapat dibangunkan untuk manfaat lebih besar kepada masyarakat kerana didiami setinggan atau penyewa enggan berpindah.

Kes ini biasanya berlaku di kawasan bandar. Antaranya tanah wakaf di Kampung Makam dan Sheikh Abdul Cauder di Pulau Pinang.

MAIN Pulau Pinang sudah membawa kes pencerobohan tanah wakaf Sheikh Abdul Cauder ke mahkamah dan berjaya memenanginya walaupun perbicaraan mengambil masa agak lama.

Halangan ini melambatkan usaha MAIN memajukan hartanah berkenaan dengan lebih efektif.

3. Kekangan tenaga profesional

Kebanyakan pentadbiran dan pengurusan wakaf di MAIN dikendalikan Bahagian Baitulmal yang juga bertanggungjawab dalam urusan lain seperti pengurusan masjid, kutipan sewa bulanan dan penyelenggaraan bangunan milik MAIN.

Justeru, wujud kekurangan kakitangan dan kewangan hingga menyebabkan pembangunan tanah wakaf secara profesional tidak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Penubuhan Perbadanan Wakaf Nasional Berhad (PWNB) oleh negeri-negeri di Malaysia berupaya menyumbang dan meningkatkan kecekapan pengurusan wakaf di setiap negeri.

"PWNB syarikat subsidiari milik penuh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diamanahkan menjadi pelaksana kepada Program Wakaf Korporat.

"PWNB bertindak menguruskan hartanah wakaf secara profesional agar potensi dan manfaat wakaf dapat dioptimumkan ke tahap terbaik untuk kesejahteraan ummah.

"JAWHAR turut bekerjasama, menyaran dan menggalakkan MAIN lain turut sama menubuhkan Perbadanan Wakaf mengikut keperluan dan pertimbangan serta budi bicara MAIN masing-masing bagi meningkatkan kecekapan dalam bidang pengurusan dan perancangan pembangunan wakaf pada masa depan," katanya.

Thursday, January 28, 2016

Definisi cinta Muhibbain - Harian Metro

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Ingin menyajikan alternatif buat pencipta muzik berkonsepkan positif dan motivasi, kumpulan duo Muhibbain yang dianggotai Erwan Taib dan Adeep Nahar kini muncul dengan single keempat Pencinta.

Erwan berkata, Pencinta ialah lagu berkonsepkan cinta yang luas kepada sesama manusia, Rasul dan Tuhan.

Menurut Erwan yang juga pencipta lagu itu, Pencinta diilhamkan daripada kata-kata seorang ulama.

"Definisi cinta itu luas. Melalui Pencinta, kami cuba mengetengahkan konsep cinta sesama manusia, antara manusia dengan Rasul dan antara manusia dengan Allah.

"Untuk lirik Pencinta, saya terinspirasikan daripada seorang ulama yang saya kenali iaitu Pemimpin Majlis Ta'lim Darul Murtadza Al Fadil Al Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar Al Hamid," katanya.

Sementara itu, Adeep yang sebelum ini pernah menganggotai kumpulan Fabulous Cat pula bercerita mengenai konsep pop yang mereka ketengahkan bagi membezakan mereka dengan pemuzik lagu ketuhanan sedia ada.

"Kami tidak menggelarkan Muhibbain sebagai sebuah kumpulan nasyid. Walaupun kami menyampaikan lagu yang ada unsur ketuhanan dan positif, kami cuba mengetengahkan muzik pop dan pada masa sama menyelitkan elemen rap.

"Kalau dilihat daripada muzik video Pencinta yang sudah ada di YouTube, konsepnya juga berbeza dengan pemuzik lain. Dalam video itu, kami mengenakan pakaian seperti pelayan restoran. Sebenarnya kami ingin memaklumkan tugasan kita sebagai manusia di bumi ini," katanya.

Dituduh tampil ala Yahudi

Dari muzik video itu juga, Muhibbain turut menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat.

"Setiap daripada mereka ada persepsi masing-masing. Ada yang positif dan negatif.

"Selain menyukai konsep yang kami sajikan, tidak kurang juga yang menghentam dengan mengatakan kami tampil dengan konsep ala Yahudi kerana mengenakan sut dan 'bow tie'. Namun, itu terserah kepada masyarakat bagaimana mereka menginterpretasi lagu dan video muzik itu," kata Adeep.

Menurut Erwan, di zaman serba moden ini mereka tidak boleh menyangkal fakta bahawa seni dan hiburan itu punya pengaruh kuat dalam masyarakat.

"Disebabkan itu, kami terpanggil untuk menggunakan seni muzik bagi mendekati masyarakat. Dalam berhibur dengan lagu-lagu positif, kami juga secara tidak langsung dapat berdakwah dan berkongsi ilmu," katanya.

Tambah kedua-dua anggota Muhibbain ini lagi, mereka tidak mengukur kejayaan karya menerusi jumlah penjualan, tetapi punya objektif lain.

"Mungkin lagu kami tidak sepopular lagu lain, tetapi apa yang diukur bukan menerusi penjualan sebaliknya cukup seandainya mesej kami sampai kepada pendengar," kata mereka.

Menurut Erwan, apa yang dilihatnya dalam industri hari ini, muzik sudah menjadi satu perniagaan hiburan dan bukan lagi seni yang indah.

"Seni itu semakin hari semakin berkurangan dan dibayangi oleh hiburan yang keterlaluan. Jadi, menjadi tugas kami sebagai anggota masyarakat memberikan alternatif dan membawa aura positif kepada pendengar," katanya.

Wednesday, January 27, 2016

Pasukan Liga-M Jadi Tumpuan Penajaan Syarikat Kosmetik Tempatan - Bernama

Laporan Khas Oleh Mazani Chan Yat Sin

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2016 yang bermula 12 Feb ini dilanda fenomena baharu apabila beberapa syarikat kosmetik dan kecantikan dilaporkan berlumba-lumba untuk menaja pasukan tempatan sejak pasukan Kelantan mendapat tajaan berjumlah RM16 juta daripada Vida Beauty Sdn Bhd.

Antara syarikat kecantikan yang dilaporkan berhasrat untuk menaja pasukan bolasepak tempatan adalah D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd yang berminat untuk menaja sama ada pasukan Pahang atau Terengganu selepas rundingan dengan juara Piala Malaysia 2015, Selangor gagal mencapai kata sepakat.

Syarikat Megah Perawan Sdn Bhd yang dilaporkan berhasrat menaja pasukan Liga Perdana PKNS FC pada pusingan awal telah membuat pusingan U apabila menyatakan mereka belum bersedia untuk membuat pelaburan dalam bola sepak.

Selain itu syarikat Nouvelle Visages yang menyatakan minat menaja salah satu daripada tiga pasukan bola sepak tempatan na mun nama pasukan tidak didedahkan.

Keghairahan syarikat kosmetik menaja pasukan bola sepak dilihat satu perkembangan positif bagi sukan bola sepak tempatan memandangkan penajaan untuk sukan nombor satu negara itu sebelum ini lazimnya datangnya daripada syarikat barangan sukan dan minuman isotonik.

Ia sebenarnya amat penting memandangkan kos pengurusan untuk pasukan Liga-M menelan belanja antara RM8 hingga RM18 juta bergantung sama ada pasukan itu bersaing dalam Liga Super atau Liga Perdana, dan jumlah berkenaan dijangka meningkat tahun ini susulan penswastaan Liga-M dan dikendalikan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

FMLLP pula dijangka hanya memberikan geran antara RM500,000 sehingga RM1 juta kepada setiap pasukan Liga Perdana dan Liga Super, dan jumlah ini tidak mampu menampung keperluan kewangan pasukan terlibat hingga menyebabkan mereka kini perlu mencari penaja pasukan masing-masing untuk bertanding dalam Liga-M.

FMLLP merupaka n sebuah badan khas yang menguruskan perjalanan Liga-M bermula musim ini susulan kerjasama yang terjalin antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan syarikat pemegang hak media antarabangsa terkemuka, Media Partners & Silva (MP & Silva), awal tahun lepas.

Bekas pemain kebangsaan era 90-an, Mohd Nidzam Jamil yang dihubungi Bernama Khamis, menyokong usaha syarikat kosmetik menyuntik dana kepada pasukan pilihan mereka kerana yakin ia sedikit sebanyak mengatasi masalah kewangan yang dihadapi pasukan dalam Liga-M.

Mohd Nidzam, jurulatih kelab Liga FAM AirAsia FC bagaimanapun melahirkan kebimbangan sekiranya wujud campur tangan dalam urusan pentadbiran oleh pihak penaja sehingga menjejaskan perancangan terdahulu pasukan berkenaan yang sudah dirangka lebih awal.

"Bagi saya, penajaan daripada syarikat kosmetik ini bagus cuma apa yang saya risaukan adalah mereka bakal mencampuri pengurusan sesebuah pasukan yang akhirnya akan membawa kepada konflik kepentingan pas ukan itu sendiri," katanya sambil menambah, pengurusan bola sepak dan pengurusan syarikat adalah dua perkara yang berbeza.

Mohd Nidzam yang pernah mewakili Selangor pada era 90-an berkata, selain itu penaja akan mewujudkan tekanan terhadap pasukan bola sepak untuk mencapai kejayaan kerana mereka mahukan pulangan hasil pelaburan besar yang telah mereka lakukan.

"Bola sepak ini adalah sukan yang sangat mendesak, dan desakan daripada penaja untuk sesuatu pasukan raih kejayaan (setiap musim) adalah perkara biasa. Tanpa desakan sekali pun, pengurusan sesebuah pasukan sudah semestinya menginginkan kejayaan.

"Namun mereka (penaja) harus ingat kemampuan pemain sesebuah pasukan untuk melakar kejayaan dalam tempoh singkat bukannya satu perkara mudah kerana ia memerlukan perancangan teliti," katanya dan menegaskan pemain juga harus tahu bagaimanapun untuk mengawal tekanan serta kehendak pengurusan dan penyokong mereka sendiri.

Bagi pengkritik sukan tanah air, Prof Emeri tus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pula melihat penajaan daripada syarikat kosmetik dan kecantikan, antaranya bertujuan untuk memperluaskan jaringan perniagaan sesebuah syarikat kosmetik berkenaan.

Khoo, pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya berkata pelaburan jutaan ringgit ketika ini tidak menjanjikan pulangan kepada sesebuah pasukan sekiranya pengurusan pasukan yang ditaja itu diberi tekanan oleh pihak penaja untuk mempamerkan aksi cemerlang sepanjang musim.

"Pada zaman dahulu, persekitaran bola sepak negara sangat berbeza memandangkan pemain berusaha menggunakan duit sendiri untuk membantu pasukan tanpa mengharapkan penajaan.

Sayangnya, perkara itu tidak wujud lagi pada masa kini, dan penajaan jutaan ringgit menjadi tumpuan utama pasukan untuk meraih kejayaan," katanya yang masih lagi aktif memberi syarahan selain menulis buku mengenai sejarah Malaysia.

Bagi penulis, suntikan dana oleh syarikat kosmetik dan kecantikan amat membantu pengurusan pasukan da lam Liga-M terutamanya bagi mengelakkan mereka terpaksa 'gulung tikar' sebagaimana yang dialami oleh beberapa pasukan sebelum ini seperti NS Betaria, MP Muar dan USM FC.

Bagaimanapun, pihak pengurusan pasukan bola sepak perlu menguruskan kewangan masing-masing dengan sebaik-baiknya kerana pihak penaja ingin tahu kegunaan wang yang dilaburkan mereka digunakan untuk perkara yang telah dipersetujui kedua-dua pihak.

Selain itu, pasukan bola sepak juga tidak harus terlalu bergantung kepada penajaan semata-mata, malah perlu berusaha untuk mengkomersialkan produk pasukan masing-masing sebagaimana yang dilakukan oleh pasukan bola sepak di Eropah dalam membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi pasukan.

-- BERNAMA

Tuesday, January 26, 2016

Mengapa TPPA wajib ditolak - Harakah Daily

FIRMAN Allah SWT: "Telah zahirlah keburukan di darat dan laut dengan sebab apa yang telah diusahakan oleh tangan manusia sendiri, supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah-mudahan mereka kembali kepada kebenaran" (Ar-Rum: 41)

Sebenarnya, pengertian Globalisasi (al-'Awlamah) adalah hampir sama dengan nilai Kesejagatan (al-'Alamiyyah) yang dibawa oleh Islam, sebagaimana disebutkan dengan jelas dalam Al-Quran: "Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam" (Al-Anbiya': 107).

Namun, globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada hari ini bererti membaratkan dunia (Westernisation) atau mengamerikakan dunia (Americanisation), dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan yang lunak iaitu Globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksa an pengaruh Amerika dan Eropah ke seluruh dunia.

Kini dunia hanya mengenali dua pendekatan ideologi ekonomi, sama ada dalam satu negara atau antara negara, iaitu sama ada Liberal Kapitalisma atau Sosialisma. Abad yang lalu kita menyaksikan keruntuhan ideologi sosialisma, sehingga kuasa besar yang mendukungnya paling ekstrem seperti China dan Rusia serta negara ikutannya melakukan pembaharuan kepada ekonomi bebas yang didukung oleh Liberal Kapitalisma, sehingga yang dikatakan tabir besi dahulu sudah tidak ada lagi, kerana semuanya sudah bergerak kepasaran bebas dalam aspek ekonomi.

Kini kita menyaksikan tanda-tanda kegagalan liberal kapitalisma dengan krisis ekonomi dunia yang kita juga ikut menumpang dan terpalit. Maka diciptakan gagasan baru bernama TPPA, yang arkiteknya ialah Amerika, yang tidak boleh diberi keyakinan dapat menyelamatkan ekonomi dunia, bahkan menjadi salah satu punca masalah. Kalau kita menumpang bahtera ini kita akan bersama melakukan kesilapan yang s ama dan tenggelam bersama.

Kita sama-sama mengikuti ucapan Presiden Obama ketika menjelaskan kepentingan TPPA kepada ekonomi Amerika. Jelasnya, TPPA akan menjadi penyelamat kepada ekonomi Amerika dengan menjadikan peraturan perdagangan yang mereka tulis sebagai terma yang dipaksakan ke atas negara anggota blok TPPA bagi membantu Amerika berdepan dengan perkembangan mendadak ekonomi negara besar China.

Ini dapat dilihat berdasarkan negara anggota TPPA yang merentasi beberapa benua bermula dari lautan Hindi ke Pasifik dan turut melibatkan negara anggota Asean seperti Malaysia, Singapura dan Brunei. TPPA ingin mengukuhkan geopolitik dan pengaruh Amerika di Asia Pasifik dan Laut China Selatan. Lebih-lebih lagi, kedudukan Malaysia yang strategik amat penting untuk Amerika menguasai sebahagian Selat Melaka dan kawasan tertentu di Laut China Selatan.

TPPA adalah gagasan perdagangan berkonsepkan Liberal Kapitalisma yang diketuai oleh barat yang pernah menjajah dengan gabun gan kuasa ekonomi, politik dan ketenteraan yang pernah membawa penderitaan ke seluruh pelusuk dunia. TPPA adalah pembaharuan daripada Syarikat Hindia British dan Belanda yang pernah menakluk rantau ini, menjajah tanah air, memperhambakan rakyat, dan mengangkut hasil buminya.

Hujah ini dikuatkan apabila merujuk kepada artikel 25.7 Perjanjian TPP menyebut negara anggota TPPA perlu lebih telus dan bertukar-tukar maklumat negara. Kita kena sedar ini satu bahaya besar terhadap keselamatan negara dan membuka ruang kepada ancaman kuasa asing. Sejauh manakah Kerajaan Malaysia mampu mengawal maklumat negara dari diserahkan kepada negara luar secara 'halal' sedangkan negara anggota terpaksa akur dengan langkah perundangan? Benarlah TPPA akan membuka ruang kepada kuasa asing mencampuri urusan dalaman negara dan menjajah negara bermula dengan penguasaan ekonomi.

Ideologi Liberal Kapitalisma masih menjadi ideologi yang dianut, maka perjanjian yang dimeteraikan oleh gagasan ini te tap berkonsepkan ekonomi bebas yang tidak beriman dan budiman, kerana konsep ekonomi bebas walau pun berpakat, tetap berpandukan siapa cepat dia dapat, di atas nama menggalakkan kemajuan ekonomi.

Di samping itu, Langkah Perlindungan Sementara yang diperuntukkan hanya untuk tempoh maksima 3 tahun sahaja. Selepas tamat tempoh itu, tiada lagi perlindungan dibenarkan untuk melindungi industri tempatan dan pampasan mestilah dibayar kepada pihak yang terjejas. Kesan daripada Perjanjian TPP ini boleh membunuh industri tempatan.

Pakatan ini, kita yang diajak, serta dengan draf perjanjian yang disediakan, bermakna kita berpijak di atas asas landasan yang dibina oleh mereka yang mengajak, dengan syarat-syarat dan tawaran yang mungkin sangat menarik hasilnya pada zahir. Tetapi dalam perlumbaan berkonsepkan liberalisma ekonomi, sudah tentu lapangannya lebih berpihak kepada mereka, kita hanya sekadar menumpang kelajuan kenderaannya yang lebih besar dan canggih jenteranya, lebih laju perjalanannnya dan sudah pasti kita bukan pemandunya yang asasi, apabila aset mereka lebih besar, modal mereka lebih besar, pasaran mereka lebih besar.

Ini terbukti apabila tidak semena-mena, dalam tempoh dua tahun selepas perjanjian berat sebelah ini ditandatangani, kita terpaksa meminda tidak kurang daripada 26 akta dan beberapa pekeliling atau aturan kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri, supaya mematuhi segala peraturan yang terkandung dalam TPPA (patuh-TPPA). Inilah satu bentuk penjajahan undang-undang dan ekonomi yang berselindung di balik tirai pemulihan demokrasi dan keterbukaan ekonomi, yang wajib kita selaku Ahli Dewan Rakyat mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini.

Ya!, kita akan mendapat limpahan ekonomi yang kaya raya dengan sebab menumpang, tetapi percayalah bahawa kita laksana kolam kecil yang membekalkan air untuk kolam tasik yang besar melaut, akan menjadikan air kita surut kering, kalau disedut, atau apabila dibuka tanpa sempadan air pasang tasiknya boleh menggelamkan kita sehingga mati lemas.

Segala-galanya berlaku nampaknya mudah di atas kertas, kerana Amerika yang menjadi arkitek utama perjanjian ini menjanjikan gagasan ekonomi alaf baru, berbeza dengan yang berlaku selama ini, kerana dikatakan sangat membantu negara anggota. Pihak kita pula terus berkempen bahawa syarikat-syarikat tempatan akan menembusi pasaran antara bangsa. Kebenarannya, percayalah bahawa ia akan bergantung kepada kemampuan kita berlumba dan bertanding dengan syarikat-syarikat gergasi, kerana sifat perlumbaan adalah konsep ekonomi liberal kapitalisma, ditambah pula dengan tidak ada akhlak.

Malangnya lagi, Malaysia sudah tidak lagi boleh menentukan dasar cukai dan duti, walaupun untuk kepentingan sendiri. Merujuk kepada perjanjian TPP, hanya diperlukan dua negara asing untuk memohon supaya duti Malaysia dikurangkan dan Malaysia mesti akur dan patuh. Malaysia juga harus memberikan layanan kepada pelabur asing setara dengan layanan yan g diberikan kepada pelabur rakyat Malaysia, sama rata dan tiada pilih kasih.

Malah, hasil analisa pihak Price Waterhouse Coopers (PWC), konsultan yang dilantik kerajaan bagi menjalankan kajian kos dan manfaat ekonomi terhadap Malaysia mendapati kesan TPPA kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tidaklah terlalu signifikan – hanya menyumbang kenaikan 1.1% KDNK dan kenaikan 0.9% eksport negara pada 2027, satu lonjakan yang sangat rendah dan tidak signifikan kepada ekonomi negara yang perlu berkembang pada kadar 5%-7% setahun.

Di samping itu, kajian PWC mendapati tiga sektor yang bakal mendapat kesan negatif adalah industri yang menghadapi persaingan yang lebih sengit pasca-TPPA seperti minyak & gas, minyak sawit, dan pembinaan, di mana sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan dikuasai syarikat Bumiputera.

Manakala, tiga sektor yang bakal mendapat manfaat pasaran terbuka di bawah TPPA kelak adalah perniagaan yang berorientasikan eksport sepert i tekstil, komponen automotif, dan elektrikal & elektronik, di mana sektor ini kebanyakannya dikuasai firma Amerika Syarikat dan Eropah.

Semua syarat-syarat perjanjian adalah ditulis oleh mereka untuk mendapat persetujuan kita, walaupun kita boleh tidak bersetuju, tetapi tentu sahaja perundingan yang sebegitu besar jangkauannya itu mempunyai agenda tersembunyi oleh kuasa besar. Kerisauan ini adalah berasas apabila meneliti perjanjian TPP yang menyebut tentang satu entiti Penyelesaian Pertikaian Negara-Pelabur (ISDS) akan memberi kesan dan membuka lebih ruang untuk Kerajaan Malaysia disaman dengan alasan "keadilan dan kesamarataan".

Langkah-langkah perundangan yang terpaksa diakur oleh kerajaan Malaysia apabila TPPA dilaksanakan juga adalah bercanggah dengan prinsip perundangan antarabangsa yang sepatutnya bersifat sukarela dan atas dasar kontrak moral. Ditambah pula, ia nanti akan dikawal oleh undang-undang perdagangan antara bangsa dan mahkamahnya adalah laksana sarang labah-labah. Akhirnya hanya dapat menghukum syarikat syarikat kecil dari negara kecil seperti kita. Apakah jaminan negara besar yang menjadi anggota boleh mematuhinya dan bersedia diambil tindakkan undang-undang yang adil?.

Adalah lebih berhikmah kita membina gagasan 'Masyarakat Madani Global' bersama negara serantau (Agenda 1-Asean) dan sesama negara Islam (Agenda 1-Ummah) dengan konsep kita yang adil dan saksama. Kita bina kekuatan sendiri terlebih dahulu dengan sumber kita, kemudian boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja di seluruh pelusuk dunia, timur dan barat, bukan sahaja terikat dengan pintu TPPA bahkan lebih banyak pintu yang boleh dimasuki dan dibuka tanpa ikatan dengan sesiapa.

Adalah lebih baik diperkenalkan konsep Islam kepada dunia, setelah kegagalan sosialisma dan tanda kelemahan liberal kapitalisma. Di antaranya ialah penyakit muamalah riba, senjata zionis yang sedang meruntuhkan ekonomi Amerika sendiri. Inilah Firman Allah:

"Wahai or ang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Al-Baqarah: 278-279)

Inilah kerja Tabung Kewangan Antara Bangsa (IMF) yang dibayangi Zionis dan inilah juga urusan institusi kewangan yang memangkin TPPA bersama Amerika. Maka TPPA adalah ibarat menjadikan negara anggotanya laksana tongkat untuk berdepan dengan krisis ekonomi dan berdepan dengan gagasan kuasa besar ekonomi yang baru iaitu China, Rusia dan kumpulannya dalam gagasannya, bukan untuk berpakat secara saksama dan adil.

Sepatutnya kerajaan kita menunaika n yang wajib terlebih dahulu daripada sumber sendiri, iaitu mengolah hasil bumi kita dengan baik, dan bumiputera yang menjadi sumber manusia terbesar, tetapi masih terkebelakang kerana program pembangunan manusia yang salah, sehingga kaum bumiputera masih ketinggalan, walaupun sudah merdeka lebih daripada setengah abad.

TPPA tidak mampu menjadikan sumber kita untuk kemajuan kita sendiri, tetapi lebih menjadi khadam atau abdi sekali lagi kepada pihak yang lebih besar dalan konsep ekonomi liberal ini. Pembahagian kelas masyarakat dalam negara kapitalis juga menjadi acuan dalam masyarakat antara negara. Mereka sudah membahagikan kepada Kumpulan Negara Maju dan kumpulan yang dinamakan sedang membangun, dalam konsep kapitalis tetap meneruskan sumber kekayaan berpusing di kalangan yang kaya dan maju sahaja. Al Quran menyebut:

"Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu." (Al-Hasyr: 7)

Sepatutnya negara bekas tanah jajahan ini s edar dan insaf, betapa peranan yang zalim daripada negara bekas penajah, sejak zaman mereka memerintah kita secara langsung, sehinggalah selepas dikatakan kita sudah merdeka dan diletakkan di dalam bakul bekas jajahan dengan berbagai nama yang disenaraikan dalam negara sedang membangun yang tidak diizinkan bangun sendiri.

Bersamalah kita selaku Ahli Dewan Rakyat yang bertanggungjawab ke atas kepentingan negara, menghalang sebarang bentuk campurtangan asing dalam menentukan urusan politik dan ekonomi tanah air, dengan menolak usul penyertaan Malaysia ke dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik ini, demi masa depan negara dan generasi akan datang.

Saya sangat yakin akan kemampuan kita untuk berdiri di atas kaki sendiri, dan begitu optimis terhadap kebolehan yang ada di kalangan generasi muda negara, untuk mencorak kejayaan di abad ini dan melakar kecemerlangan di masa akan datang, mengikut acuan dan kebijaksanaan kita sendiri. – HARAKAHDAILY 26/1/2016

Ucapan Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada persidangan khas Dewan Rakyat mengenai TPPA pada 26 Januari 2016.

Monday, January 25, 2016

Medini bakal jadi Shenzhen - Utusan Malaysia

UTUSAN: Pertama sekali, tahniah atas anugerah tersebut dan kejayaan UMLand di peringkat antarabangsa. Setakat ini, apakah perkembangan terbaharu bagi projek UMCity Medini?

CHARLIE CHIA LUI MENG: Ketika ini ia baru di peringkat menanam cerucuk dan dijangka siap pada suku ketiga 2018. Apabila siap sepenuhnya, pembangunan bercampur bersepadu di UMCity Medini akan mempunyai dua menara korporat bertaraf premium, dua servis kediaman antarabangsa, sebuah hotel, pusat beli-belah dan pelbagai rangkaian pejabat perniagaan.

Secara keseluruhan projek ini mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.3 bilion. Samsung C&T pula dilantik sebagai kontraktor bagi projek ini.

UMCity Medini menghimpunkan kerjasama dengan jenama besar antarabangsa iaitu, perkhidmatan pejabat diselia oleh Regus manakala pengurusan hospitaliti oleh Ascott dan Onyx. Selain itu, rakan kerjasama lain ialah Roca dan Neverland.

Bagaimana dengan penglibatan kontraktor bumiputera?

Kami menyerahkan perkara ini kepada Samsung C&T dan menggalakkan mereka untuk memilih kontraktor bumiputera yang berkelayakan. Bagaimanapun, kami tidak mempunyai sebarang kuota tertentu bagi penglibatan kontraktor bumiputera dalam projek ini.

Mengapa penting bagi UMCity melengkapi pembangunan di Medini dan keistimewaan yang disediakan di sini?

Medini kini menuju ke peringkat standard antarabangsa dan untuk itu, ia menyediakan zon ekonomi dan insentif cukai. Medini juga mempunyai bangunan pejabat gred A yang mempunyai status bangunan hijau.

Sebagai menggalakkan syarikat luar negara membuka pejabat di sini, insentif juga disediakan termasuk kakitangan expatriat yang bekerja pula hanya perlu membayar 15 peratus cukai penda­patan. Malah, mereka juga dibenarkan boleh menikmati pengecualian cukai bagi pembelian barangan.

Tetapi bagi syarikat yang mahu beroperasi di sini tetapi tidak mempunyai pejabat gred A yang bagus, Medini Iskandar Malaysia (MIM) bercadang untuk menyediakan pejabat sementara sebelum berpindah ke bangunan bergred tinggi yang lain.

Ini merupakan sebahagian daripada peluang yang bagus kepada kami untuk melengkapi keperluan bangunan gred A dengan pelbagai inovasi ke arah memenuhi standard antarabangsa terutama bagi menggalakkan lebih banyak kemasukan syarikat multinasional.

Adakah Medini mampu muncul sebagai zon ekonomi bagi rantau ini?

Saya melihat Medini bakal menjadi seperti Shenzhen seperti mana pada awal 1970-an. Shenzhen pada awalnya hanyalah sebuah pekan kecil tetapi apabila terdapat pelbagai insentif ekonomi, ia berkembang menjadi wilayah kuasa ekonomi dan industri. Limpahan ini kemudiannya memberi kesan positif kepada negeri berhampiran iaitu Hong Kong yang semakin berkembang pesat.

Perkara yang sama juga berlaku apabila Singapura yang kini semakin maju dilihat akan mengalami kekurangan kawasan untuk ekonomi dan penempatan pada masa depan, maka Medini merupakan kawasan yang terdekat untuk menerima limpahan ekonomi dari Singapura.

Jadi, Iskandar Malaysia adalah lokasi yang paling bersesuaian untuk menerima perkembangan ekonomi dari negara jiran dan kita menjangkakan lebih ramai syarikat multinasional akan melabur dan membuka syarikat mereka di Medini.

Bagaimana dengan laporan yang mengatakan terdapat lebihan penawaran di Iskandar Malaysia? Apakah langkah yang dilaksanakan UMLand dalam mengatasi hal ini?

Lebihan bekalan ini hanya melibatkan kediaman iaitu kondominium apartmen dan jika melihat kepada UMCity, kita memang mengelak untuk bangunkan kondominium servis sebab walaupun dipanggil pangsapuri servis dan apabila beli, unit bangunan ini mempunyai operator yang akan menguruskan unit yang dibeli iaitu dari segi sewaan dan penyelenggaraan. Maknanya, ia mempunyai pendapatan yang stabil dan ini banyak membantu pelabur. Jadi, bila beli unit pangsapuri ini, sekali gus memberi jaminan pendapatan dan menjadi pemilik kepada aset hartanah ini.

Sunday, January 24, 2016

Perjuangan seni Muay Thai - Harian Metro

FATIN FARHANA JAPRE bangga dengan pencapaian seorang anak muda hingga melayakkannya diiktiraf menjadi jurulatih Muay Thai dan kickboxing di Asia.

Jika sudah minat, pasti usaha dilakukan akan berterusan untuk merangkul kejayaan dalam bidang yang diceburi.

Bagi atlet seni mempertahankan diri Muay Thai, kickboxing, boxing, mixed martial art (MMA) dan silat, Faiq Haikal Ramdhan, 16, atau lebih dikenali sebagai Faiq boleh berbangga dengan kejayaan yang dikecapinya hari ini hasil kesungguhan sejak kecil.

Menurut Faiq, ketika usia 9 tahun dia sering dibuli rakan di sekolah dari segi psikologi. Akibat tertekan, dia mengadu kepada ayahnya dan Faiq dihantar ke Pusat Seni Silat Gayung, Ampang. Pada usia mencecah 14 tahun, Faiq berhenti seni silat dan belajar seni mempertahankan diri muay thai, kickboxing dan boxing atas cadangan ayahnya.

"Ayah sumber inspirasi saya untuk bergiat aktif dalam seni ini kerana dia juga punya seni bela diri yang sama. Lebih setahun saya menjalani latihan teknik asas secara konsisten dengan ayah. Manakala bagi mempelajari teknik yang lebih susah saya dihantar menjalani latihan dengan jurulatih profesional.

"Walaupun ketika itu saya sudah ada ilmu seni bela diri, saya tetap dibuli rakan dan terus bersabar tanpa melawan. Ayah selalu berpesan mereka itu semua bukan lawan saya. Jika saya mahu menguji kekuatan sebenar bertinju, gelanggang tinjulah tempatnya beradu tenaga bersama lawan sebenar," kata anak sulung daripada lima beradik ini.

Meskipun Faiq mempelajari lima jenis seni mempertahankan diri iaitu muay thai, kickboxing, boxing, mixed martial art (MMA) dan silat, dia lebih bergiat aktif dalam seni mempertahankan diri Muay Thai.

Katanya, muay thai lebih efektif untuk digunakan apabila berada dalam situasi sebenar berbanding seni bela diri yang lain.

Ditanya mengenai pencapaian terbaiknya sepanjang dua tahun ini, Faiq berkata dia sudah meraih dua pingat emas di F3 Amateur Muay Thai bagi kategori 50 kilogram, tiga pingat emas di Nilai Muay Thai Challenge bagi kategori 50 kilogram, satu pingat emas di TTDI Open bagi kategori 50 kilogram, satu pingat emas di K1-Ultimate Beatdown 16 bagi kategori 50 kilogram kickboxing dan dua pingat emas di PD Boxing Challenge dan peringkat kebangsaan zon Selatan.

Bagi penulis, pencapaiannya dalam sukan ini patut menjadi kebanggaan dan inspirasi anak muda yang lain jika dinilai pada usianya yang masih muda. Tiada frasa mustahil untuk berjaya jika kita benar-benar minat akan sesuatu perkara. Menariknya lagi, sepanjang dua tahun ini juga Faiq hanya kalah 'point' (mata) saja dengan lawannya semasa perlawanan dan tidak pernah kalah technical knockout (TKO).

Tambahnya lagi, dia berisiko mengalami kecederaan teruk kerana ini di peringkat profesional apabila hanya menggunakan sarung tangan semasa perlawanan. Selepas perlawanan, kira-kira seminggu lebam dan luka di seluruh badan Faiq akan pulih sepenuhnya sebelum menjalani latihan seperti biasa.

Melihatkan Faiq berpotensi untuk pergi lebih jauh, ayahnya, Ramdhan Ismail, 39, memohon sijil jurulatih antarabangsa daripada International Sport Kickboxing Association (ISKA). Mengikut syarat kelayakan ISKA, pemohon perlu berusia 18 tahun ke atas, tetapi Faiq tetap diberi peluang untuk memohon dengan syarat fasih berbahasa Inggeris.

Kemampuan Faiq ketika diuji ISKA dari segi teori dan fizikal amat luar biasa bagi remaja berusia 14 tahun sepertinya apabila berjaya mendapat 73.5 mata bagi peringkat pertama dan 74.5 mata bagi peringkat kedua. Kini dia sudah diiktiraf ISKA sebagai Jurulatih Antarabangsa ISKA Level 2 Termuda di Asia.

"Sekarang saya menjadi jurulatih kepada 50 peninju muda dan 15 kanak-kanak di gimnasium AIX Warrior Combat Sport, Semenyih, Selangor kepunyaan ayah saya. Gimnasium ini dibuka bagi memudahkan saya berlatih setiap malam di samping ayah berhasrat untuk saya meneruskan legasi seni mempertahankan diri ini.

"Setiap perkara yang kita lakukan pasti akan berhadapan cabaran. Begitu juga saya, lagi lama lagi susah sebab saya akan berjumpa lawan yang lebih kuat. Saya lebih kerap berlatih untuk penambahbaikan teknik seperti cara menumbuk dengan lebih pantas dan kuat.

"Dari segi pemakanan pula, setiap pagi dan malam saya mengamalkan makan tujuh biji telur ayam separuh masak. Saya kurangkan pengambilan makanan berminyak, elak minuman sejuk, tidur lapan jam sehari dan bersenam setiap pagi tanpa gagal. Rutin ini saya lakukan setiap hari bagi mendapatkan tenaga dan stamina yang kuat secara berterusan.

"Harapan saya, tamat saja sekolah saya mahu membuka perniagaan sendiri, tetapi masih bergiat aktif sebagai jurulatih dan peninju muay thai. Seni ini banyak mengajar saya mengenali diri saya sendiri selain belajar menghormati orang lain dan lebih berdisiplin," kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Saturday, January 23, 2016

Kosmetik tiruan banyak risiko - Harian Metro

fardy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejayaan peneraju industri kosmetik negara ini se­perti Datuk Seri Dr Hasmiza Othman dan Datuk Aliff Syukri Kamarzaman membina empayar perniagaan bernilai jutaan ringgit sering dijadikan penyemarak semangat ramai peniaga.

Namun, di sebalik kisah kejayaan itu, segelintir peniaga memilih jalan singkat dengan menjual produk tiruan jenama terkenal untuk memperoleh keuntungan mudah.

Umum mengetahui, permintaan terhadap barangan berkenaan sangat tinggi di negara ini dan jelas 'kegilaan' orang ramai terhadap kosmetik diambil kesempatan oleh peniaga tidak bertanggungjawab ini.

Apa yang membimbangkan, ramai penggemar produk kosmetik termasuk minyak wangi jenama terkemuka menjadi mangsa penipuan produk tiruan.

Semua produk kosmetik dan minyak wangi tiruan yang dirampas sebelum ini dikesan menggunakan jenama terkenal untuk mengabui mata pembeli lebih-lebih lagi apabila ia dijual pada harga lebih rendah.

Bagaimanapun, lebih menggusarkan produk tiruan itu tidak sahaja berkualiti rendah malah berkemungkinan memberi kesan sampingan yang buruk kepada penggunanya disebabkan tiada kawalan terhadap ramuan yang digunakan dalam menghasilkan produk tiruan itu.

Lebih dikhuatiri adalah kemungkinan produk dari luar negara itu mengandungi campuran formula rahsia dengan kandungan kimia berbahaya yang bukan saja merosakkan kulit tetapi organ dalaman manusia secara perlahan-lahan.

Lambakan produk kosmetik tiruan boleh diibaratkan seperti bom jangka yang boleh meragut kecantikan dan nyawa terutama wanita di negara ini jika penggunaannya digunakan secara meluas dan kerap.

Ramai yang tahu mengenai fakta ini tetapi tidak takut untuk mencuba walaupun pernah membaca kes masalah kesihatan akibat produk tiruan menerusi media massa.

Industri kosmetik tiruan di Malaysia seolah-olah belum sampai ke penghujungnya walaupun media kerap menyiarkan bahaya penggunaan barangan tiruan itu.

Mungkin pujuk rayu penjual dengan menyatakan 'barangan asli tetapi kualiti berbeza' atau 'barangan asli, cuma dibuat di China' antara 'modal' popular digunakan penjual yang berjaya meyakinkan pengguna.

Ditambah lagi dengan ketiadaan kesan sampingan yang jelas membuatkan orang ramai leka menggunakan produk tiruan tanpa rasa bersalah dan takut.

Friday, January 22, 2016

Malaysia mampu saingi negara Eropah - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Dewan Perniagaan Switzerland-Asia berpendapat Malaysia merupakan negara dengan infrastruktur bertaraf dunia yang mampu menyaingi negara-negara Eropah.

Rakan kongsi PwC Switzerland, Felix Sutter berkata, kepelbagaian budaya Malaysia membolehkan syarikat-syarikat masuk ke pasaran berbeza di seluruh dunia dan menjadikan Malaysia lokasi yang strategik untuk syarikat-syarikat multinasional.

"Tenaga kerja mahir di Malaysia juga merupakan satu kelebihan yang ada di negara ini," katanya dalam satu majlis makan tengah hari yang dianjurkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Dewan Perniagaan Swiss-Asia di Davos, Switzerland hari ini.

Majlis itu turut dihadiri 56 ahli perniagaan antarabangsa dan 20 wakil syarikat korporat Malaysia, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group, Datuk Izzaddin Idris; Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan dan Ketua Pegawai Eksekutif QI Group, Datuk Vijay Eswaran.

Dalam majlis tersebut, Mustapa turut berkongsi perkembangan terbaharu ekonomi Malaysia dan menerangkan langkah-langkah yang sedang diambil untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dan kewangan dalam menangani keadaan ekonomi semasa.

Mustapa berkata, Malaysia sentiasa bersifat terbuka dan kondusif bagi komuniti perniagaan dengan pelaburan yang diluluskan terus mencatat jumlah memberangsangkan sebanyak AS$34.4 bilion (RM147.4 bilion) dalam tempoh sembilan pertama 2015.

"Ini boleh dikaitkan dengan keyakinan pelabur terhadap Malaysia memandangkan kita memiliki iklim politik yang stabil sejak kemerdekaan serta kesinambungan dan kepastian dasar-dasar kerajaan.

"Selain itu, kejayaan pelaksanaan pelan transformasi kerajaan dan ekonomi telah menyumbang kepada kestabilan makro ekonomi Malaysia serta meningkatkan tadbir urus dan integriti," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa Malaysia benar-benar komited terhadap Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Katanya, kerjasama ekonomi ter­sebut akan menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pelaburan asing.

"Ramai pelabur dan pemimpin korporat di Davos optimistik mengenai manfaat potensi TPPA dan AEC yang memberikan peningkatan dalam akses pasaran serta pengurangan halangan perdagangan untuk perniagaan dan pelaburan mereka di Malaysia," katanya.

Thursday, January 21, 2016

Kee Sin bina semula menerusi EcoWorld - Berita Harian

TAN Sri Liew Kee Sin. - Foto Munira Abdul Ghani

KEJAYAANNYA memajukan Setia Alam, kawasan yang dahulunya dianggap terpencil, kepada perbandaran moden dan mewah serta menjadi pencetus projek pembangunan ikonik, Battersea Power Station di London, mengangkat namanya sebagai antara tokoh pemaju hartanah dan ahli perniagaan yang disegani di negara ini.

Keberanian naluri keusahawanan dalam menukar sesuatu yang mustahil kepada realiti ketika menerajui SP Setia, menyebabkan sebilangan pihak menganggap beliau sebagai antara individu yang memiliki 'sentuhan emas'.

Kini beliau berhasrat mengulangi 'sentuhan' berkenaan bersama Eco World Development Group Bhd (EcoWorld). Ikutilah bahagian pertama temubual Wartawan BH, Kamarulzaidi Kamis dan Shahrizan Salian bersama Pengerusi EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin, yang berkongsi hala tuju pemaju hartanah baru itu.

S: Bagaimana perasaan Tan Sri untuk memulakan sekali lagi dengan EcoWorld?

J: Jujurnya, ia sukar, walaupun dengan pelbagai pengalaman yang ditimba selama ini. Pertamanya, adakah pemilik tanah mahu menjual kepada anda? Kedua, adakah bank akan terus menyediakan pinjaman? Namun yang paling penting, adakah pelanggan akan mengikut anda?

Salah seorang penyokong kuat saya adalah tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Beliau adalah yang orang pertama menawarkan tanah (untuk dimajukan). Dua bidang tanah ditawarkan iaitu menerusi Tradewinds dan DRB-Hicom.

Syed Mokhtar adalah usahawan pintar. Sebagai contoh, beliau mempunyai 1,000 ekar tanah, beliau akan menjual 700 ekar dan menyimpan 300 ekar lagi. Mengapa begitu? Berdasarkan 700 ekar tanah yang dimajukan itu, baki 300 ekar lagi akan menerima peningkatan nilai sehingga tiga atau empat kali ganda. Sebaik saja kami menyediakan kemudahan seperti jalan raya, konsep dan reka bentuk, nilainya akan meningkat berkali ganda.

Kedua-dua bidang tanah awal itu terletak di Johor. Tanah milik DRB-Hicom di kawasan Tebrau kini dikenali sebagai EcoSpring/EcoSummer. Satu lagi adalah EcoBotanic yang terletak berdekatan Nusajaya. EcoSpring bagi pembangunan kos sederhana, EcoSummer adalah kos tinggi dan sebuah lagi adalah taman perindustrian.

Justeru, inilah perkara menyebabkan EcoWorld mendapat perhatian. Kami tidak membeli keseluruhan tanah, sebaliknya kami berkongsi membeli sebahagian tanah. Sebahagian lagi pemilik tanah boleh menunggu sehingga kami membina infrastruktur bagi membolehkan mereka menjana nilai. Dalam dunia hari ini, anda tidak boleh mementingkan diri sendiri.

Sebagai alternatif adalah anda boleh membentuk usaha sama (JV) 50:50 bersama pemilik tanah. Jadi, saya mengekalkan reputasi dengan cara ini, khususnya melalui JV kerana apabila bekerjasama, satu pihak lagi pastinya mempunyai kesangsian sama ada anda adalah rakan perkongsian yang boleh dipercayai.

Mujurlah semua rakan perkongsian menzahirkan kepercayaan kepada kami. Pada masa sama, pasukan (kakitangan) EcoWorld adalah sangat kukuh. Pasukan di bawah Datuk Chang Khim Wah (Presiden dan Ketua Eksekutif EcoWorld) dan Datuk Teow Leong Seng (Presiden dan Ketua Eksekutif EcoWorld International) adalah sangat mantap. Apa saja idea yang dibincangkan bersama mereka, secara automatik dapat digerakkan dengan pantas.

Kepantasan adalah penting kerana jika anda terus mengambil pendirian menunggu, tiada siapa datang membawa peluang. Kami mempunyai tanggungjawab sebagai usahawan untuk melaksanakan kerja yang diamanahkan, bukan hanya menjana keuntungan malah tanggungjawab kepada semua pihak termasuklah rakyat. Itu adalah sebahagian daripada penjenamaan.

PROJEK dibangunkan oleh EcoWorld di Australia. - Foto hiasan

S: Mengapakah perkataan 'EcoWorld' dipilih sebagai nama syarikat Tan Sri?

J: Sepanjang hidup, saya memberikan penghargaan tinggi terhadap produk berkaitan alam sekitar (eko). Bagaimana anda menanam pokok, bagaimana anda mewujudkan persekitaran, bagaimana anda membangkitkan suasana kehidupan di perbandaran dan sebagainya. Semasa mendaftar syarikat ini, kami memilih Eco sebagai pangkal nama dan mereka memberikan nama EcoWorld. 'World' disebabkan kami mahu mengembangkan jenama syarikat ke seluruh dunia.

Kami mahu membawa pengiktirafan ke Malaysia, EcoWorld mesti bersaing di peringkat antarabangsa berlandaskan standard global. Kemudian barulah kita boleh menjadi sebuah syarikat tempatan yang dibanggakan. Kita tidak boleh menjadi jaguh kampung.

Buat masa ini, EcoWorld International (EWI), memberikan tumpuan kepada pasaran United Kingdom (UK) dan Australia. Kami memberikan perhatian kepada negara yang menggunakan sistem perundangan "Common Law'. Bidaan (projek luar negara) baharu akan dibuat selepas kami selesai melaksanakan Tawaran Awam Permulaan (IPO) EWI.

S: Bagaimanakah Tan Sri membina pasukan kerja yang mantap?

J: Dalam sesebuah pasukan, takkan ada orang yang tahu segala-galanya. Jadi anda perlu membina sebuah pasukan. Saya mempunyai ijazah perniagaan, kelemahan saya adalah bidang kejuruteraan, jadi orang pertama yang saya cari adalah jurutera iaitu Datuk Voon Tin Yow (Pengarah Eksekutif EcoWorld).

Dari situ, kami membina pasukan yang kuat dengan set kemahiran yang berlainan. Tiga jurutera, dua akauntan dan saya sendiri menjadikan enam orang semuanya. Anda juga tidak boleh sentiasa berkata anda adalah seorang 'bos', jangan berikan arahan dengan mengatakan sesiapa pun tidak boleh membantah.

Ketua perlu senyap dan biarkan kakitangan bersuara terlebih dulu. Sebagai ketua, anda perlu menyokong kakitangan supaya menjadi yang terbaik. Anda perlu mencari jalan supaya semua orang dapat menjadi yang terbaik.

Hari ini di EcoWorld, apa saja yang berkaitan dengan pemasaran dan penjenamaan, tiada satu pun yang berkaitan dengan saya. Saya tidak masuk campur dalam pasukan, kerana jika saya berbuat demikian, ia menjadi satu gaya yang lama.

Saya mahu golongan muda terbabit terus dalam syarikat. Jika saya sentiasa melakukan dengan gaya yang lama, semuanya akan menjadi ketinggalan zaman. Kadang-kadang mereka mengejutkan saya, dengan perkara yang tidak pernah saya ketahui. Golongan muda celik media sosial, penjenamaan menggunakan banyak media sosial. Kami generasi lama, terlalu selesa dengan kaedah lama. Maka, adalah bagus untuk membiarkan Gen-Y memimpin.

Kira-kira 60 peratus tenaga kerja EcoWorld adalah golongan Gen-Y, manakala 50 peratus golongan wanita. Mereka diberikan peluang untuk berkongsi pandangan. Mereka bekerja di sini, syarikat adalah hak milik mereka.

Sasaran kami pada tahun ini adalah mencatatkan jualan RM4 bilion, lebih RM1 bilion daripada tahun sebelumnya dalam keadaan sekarang ini. Saya bertanya kepada Ketua Eksekutif, bolehkan sasaran dicapai, dia berkata boleh. Sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, tugas saya adalah membantunya. Ketika semua pihak menurunkan sasaran, kami sebaliknya menaikkan angka sasaran. Namun itulah cabaran dan mereka perlu menghadapinya.

S: Adakah Eco World setanding dengan kedudukan SP Setia yang pernah dipimpin Tan Sri selama 20 tahun?

J: Kami belum sampai ke tahap itu. SP Setia adalah sebuah syarikat yang sangat teguh dibina selama 20 tahun. (Namun begitu) Mungkin boleh berikan kami tempoh lima tahun lagi (untuk mencapai tahap itu) kerana dari konteks pembangunan. EcoWorld mempunyai simpanan tanah dan menjana jualan, namun keuntungan hanya dicatatkan selepas kerja pembinaan diselesaikan.

Keuntungan EcoWorld pada hari ini adalah sangat minimum. Kami mempunyai jualan yang mencecah RM3 bilion pada 2014, begitu juga pada 2015. Jualan belum dibilkan berjumlah RM4.15 bilion. Namun, keuntungan syarikat hartanah biasanya dijana secara berperingkat. Keuntungan kami hanya bermula tahun lalu iaitu berjumlah RM40 juta. Tahun ini mungkin meningkat sekali ganda.

Sedikit demi sedikit keuntungan akan bertambah. Jika kami meneruskan angka jualan sedemikian sehingga lima tahun akan datang, EcoWorld akan mencapai tahap yang diinginkan. Kami menjana jualan, mempunyai simpanan tanah, memiliki tenaga kerja, kewangan. Apa yang diperlukan sekarang adalah keuntungan.

ANTARA projek yang dibangunkan oleh EcoWorld. - Foto hiasan

S: Bagaimanakah Tan Sri membezakan EcoWorld dan SP Setia?

J: SP Setia adalah syarikat yang sangat teguh. Kami meninggalkan warisan syarikat yang sangat mantap. Sukar untuk menyatakan perbezaan antara EcoWorld dan SP Setia hari ini kerana kedua-duanya adalah hampir sama. Jika hanya dikira angka jualan domestik, benar kami adalah nombor satu. Namun, mereka mempunyai projek Battersea di London. Jadi, EcoWorld akan menjadi besar mungkin dalam masa lima tahun lagi kerana kami perlu membina projek.

Benar, kami adalah syarikat yang bergerak pantas dan sangat kreatif namun projek perlu dibina. Penyerahan hartanah pertama EcoWorld kepada pelanggan adalah pada hujung tahun ini, iaitu projek EcoBotanic di Johor. Ia akan menjadi ujian sebenar kepada kami.

Berbanding perniagaan lain, apabila produk diserahkan kepada pelanggan anda terus mendapat wang, namun tidak di sini. Keuntungan dijana secara berperingkat. Kami mula membina reputasi dan seterusnya EcoWorld terbabit dalam tender di London. Kami memenangi tiga projek di bawah EcoWorld International (EWI) iaitu London City Island, Wardian in Carnary Wharf dan Embassy Gardens. Semuanya adalah tender terbuka.

Ia adalah disebabkan pengalaman saya menjalankan perniagaan di London, kami tahu prosesnya. Di London, industrinya adalah sangat matang. Kadar inflasi sangat rendah. Anda boleh menganggar kos pembinaannya. Kos buruh sangat stabil, termasuklah tangga gajinya. Maka, semua komponen utama boleh dikira, iaitu kos pembinaan dan kakitangan. Perbezaan terbesar adalah dari segi kos tanah. Berapakah nilai yang anda letakkan di dalam tender dan selepas itu membuat keputusan mengenai harga. Berapakah harga yang boleh diletakkan, disebabkan itulah jenama memainkan peranan.

Kami bernasib baik kerana dalam masa enam bulan, EWI berjaya menjana jualan 560 juta pound (RM3.48 bilion) setakat Oktober lalu. Kami belajar dengan menawarkan kepelbagaian lokasi, produk dan pelanggan. Di London terdapat pelbagai zon, dengan lingkungan harga berlainan. Hartanah berharga 800 pound (RM4,966) sekaki persegi khususnya bagi pembeli rumah pertama. Projek Wardian in Carnary Wharf khusus kepada golongan ini, graduan yang baru memulakan pekerjaan. Jualannya adalah sangat memberangsangkan.

Embassy Garden disediakan untuk golongan berkeluarga yang mahu berpindah. Kami menjadi syarikat yang bagus dari segi memilih tempat. Justeru, tahun ini akan menjadi satu lonjakan tinggi berbanding tahun lalu dan selepas itu peningkatannya adalah sedikit demi sedikit.

Dalam masa lima tahun, kami akan mencapai tahap dimahukan. Di Malaysia, dari segi nilai pembangunan kasar (GDV) projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) adalah yang terbesar, iaitu sekitar RM8.7 bilion. Namun, kami hanya menguasai 40 peratus kepentingan. Saya banyak menghabiskan masa di BBCC kerana ia kebanggaan negara. Tugas saya adalah membantu Ketua Eksekutif untuk memastikan semua perkara berkaitan polisi berjalan lancar.

S: Berapakah projek yang dijalankan oleh EcoWorld sekarang ini?

J: Buat masa sekarang, sebanyak 11 projek sedang dilaksanakan dan empat lagi bakal dilancarkan. Semua ini dalam masa dua tahun (syarikat beroperasi). Pemilik tanah datang sendiri berjumpa kami dan saya fikir itulah bagusnya membina jenama.

S: Bilakah jualan lot pertama BBCC akan dimulakan?

J: Sasarannya adalah pada bulan Jun ini. Kami berharap dapat memeterai perjanjian bagi pusat beli belah terlebih dulu. Sekarang ini kami hanya mempunyai memorandum persefahaman (MoU). Proses itu semakin dimuktamadkan dan sebaik saja perjanjian dimeterai pada Jun, kami akan melancarkannya pada bulan berkenaan. Penyerahan adalah sangat penting, seperti yang saya katakan tadi, jenama EcoWorld adalah berpaksikan kepada janji yang diberi.

S: Adakah EcoWorld lebih kepada pemaju perbandaran, perancang induk atau komersial?

J: EcoWorld mempunyai tiga model perniagaan. Sebanyak 70 peratus adalah perbandaran, 20 peratus lagi taman perindustrian dan 10 peratus lagi adalah seperti BBCC iaitu komersial bersepadu.

Pasaran bagi projek perbandaran adalah sangat baik, justeru kami menumpukan 70 peratus daripada portfolio bagi projek sedemikian. Taman perindustrian dimajukan di Johor kerana berlaku pemindahan berskala besar industri dari Singapura ke negeri itu, juga disebabkan adanya Iskandar Malaysia.

Namun, saya rasa kisah kejayaan wilayah pembangunan itu tidak mendapat pendedahan mencukupi. Benar, berlaku lambakan bekalan hartanah seperti pangsapuri dan sebagainya, namun jika dilihat Iskandar Malaysia sebagai sebuah wilayah, ia sangat berjaya. Infrastrukturnya, rangkaiannya dan yang lebih penting sejak lima tahun lalu industri di Singapura memindahkan operasi mereka ke Malaysia.

Kita mendapat manfaat daripada syarikat berkenaan. Begitu juga dengan kemasukan industri minyak di Pengerang, perkhidmatan sokongan dari luar negara akan masuk ke Johor.

Memandangkan Pengerang agak jauh, syarikat perkhidmatan sokongan ini perlu menubuhkan pusat sehenti di Iskandar Malaysia. Kami melihat satu-satu perkara dari sudut positif, di manakah kekuatan syarikat ini, apakah yang membolehkan kami menjadi berbeza berbanding syarikat lain dan apakah yang boleh kami lakukan.

S: Mengapakah Tan Sri lebih menggemari projek perbandaran yang mengambil masa lama untuk dimajukan?

J: Bagi menjawab pertanyaan berkenaan, secara tidak langsung lihat saja kepada projek Setia Alam. Semasa SP Setia melancarkan projek itu pada 2002, jumlah GDV bagi seluruh 4,000 ekar hanyalah RM5 bilion. Semasa saya meletakkan jawatan sebagai Ketua Eksekutif SP Setia, jumlah GDV bagi kawasan berkenaan adalah RM25 bilion.

Jika anda hanya ada satu projek kecil dan menjualnya, itu sajalah yang anda peroleh. Dalam masa yang panjang, nilai projek akan meningkat. Saya percaya kepada nilai jangka panjang. Begitupun, kami masih melakukan pembangunan bersepadu seperti BBCC. Bagi perbandaran, nilainya akan terus bertambah dari masa ke masa.

Strategi di London pula berlainan kerana tidak banyak tanah yang dijual di sana. Kami hanya membeli kawasan yang kecil. Tiada lagi kawasan seluas sehingga 40 ekar yang boleh dibeli. Sekarang di London hanya ada kawasan seluas seekar, setengah ekar dan sebagainya. Di sana juga tiada kawasan perbandaran baharu untuk beberapa tahun lamanya. Anda tidak akan memperoleh kelulusan kerana isu seperti alam sekitar, bunyi dan sebagainya, jadi tiada sebarang perbandaran di UK sejak beberapa tahun lalu. Jadi tiada pilihan di London selain membeli kawasan kecil.

Wednesday, January 20, 2016

Curi masa Che Ta - Sinarharian

NAMA Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta sememangnya antara nama besar dalam industri lakonan.

Bagaimanapun sejak mendirikan rumah tangga dan bergelar ibu kepada Aaisyah Dhia Rana, kelibat Che Ta di dalam drama mahupun filem mula berkurangan.

Namun buat pertama kalinya, selepas sekian lama berehat panjang, Che Ta muncul dalam drama terbaharu Kak Marr.

Drama bersiri 20 episod terbitan Zeel Production Sdn Bhd ini sudah pun mula menemui penonton sejak 13 Januari lalu, setiap Isnin hingga Khamis bermula 6.30 petang.

Diarahkan oleh Emi Suffian, selain Che Ta, Kak Marr turut dibintangi oleh pelakon yang tidak kurang hebatnya seperti Izreen Azminda, Sherry Ibrahim, Redza Rosli.

Ia turut dijayakan oleh Ben Ali, Azza Elite, Hairi Safwan, Adik Arissa, Mustaqim Bahadon, Fattah Amin, Ayu Raudhah, Aishah Ilias, Kazar, Ayumie Azizan, Tatty Hassan, Jasmin Hamid dan John Chisel.

Bercerita mengenai pembikinan drama ini yang baharu sahaja tamat penggambarannya awal Januari lalu, Emi berkata, drama Kak Marr menjalani penggambaran di Tasik Timah Tasoh, Perlis dan sekitar Kuala Lumpur.

"Memandangkan drama ini membabitkan dialek utara dan juga mengisahkan suasana di kedai makanan, dengan pelbagai menu masakan utara, maka dengan persetujuan TV3, kita menjalani penggambaran di sana.

"Ia melibatkan 90 peratus suasana di Tasik Timah Tasoh dan 10 peratus penggambaran filem ini kita buat di Kuala Lumpur.

"Jumlah penggambaran semua sekali selama 35 hari," katanya.

Bekerjasama dengan nama-nama besar di dalam drama kali ini, Emi berkata, dia hanya mengalami cabaran untuk 'mencuri' masa Che Ta kerana kesibukan wanita tersebut dengan komitmen lain.

"Sejak dari awal lagi, Che Ta memang dah beritahu dia banyak komitmen, Tapi saya tetap mahukan dia terlibat dalam drama ini.

"Ini kali kedua saya bekerjasama dengannya selepas kali pertama menerusi sebuah drama untuk siaran Samarinda pada 2004. Ketika itu dia baharu lagi berkecimpung di dalam bidang seni.

"Selepas lebih 10 tahun tidak bekerjasama, saya lihat lakonan Che Ta banyak peningkatan, kalau dulu dia sentiasa tanya dan cari lakonan bagaimana yang pengarah nak, tapi kali ini dia tahu bagaimana untuk memberi. Lebih-lebih lagi drama ini dalam dialek utara, jadi macam makanan dialah.

"Cuma untuk fokus dia sahaja yang susah kerana masa dia sangat terhad walaupun dia pelakon utama. Kami juga kena selalu ingatkan dia konti sebelum dan selepas supaya lakonannya tidak lari," jelasnya.

Bagaimanapun ujar Emi, komitmen pelakon lain dalam drama ini cukup baik kerana mereka hanya terlibat dengan drama ini dan sentiasa ada apabila diperlukan.

Penampilan pertama Aaisyah

Tidak hanya pelakon terkenal, Kak Marr menyaksikan penampilan pertama kali Aaisyah dalam bidang lakonan.

"Dalam skrip memang digambarkan Kak Marr sebagai janda anak satu yang ada anak kecil. Jadi Zeel Production cadangkan untuk ambil anak Che Ta dan pihak TV3 juga bersetuju.

"Mulanya memang berat Che Ta nak terima memandangkan Aaisyah belum biasa dengan lampu dan penggambaran hingga lewat malam.

"Bila saya cuba terhadkan masa penggambaran anaknya, barulah Che Ta bersetuju. 

"Hanya ada 40 babak melibatkan Aaisyah dan dia juga memberikan kerjasama yang baik dan sentiasa ceria di lokasi, Alhamdulillah," katanya.

Tandingi populariti Mak Cun

Tidak hanya sekadar jadual yang memberi cabaran kepada Emi, pihak TV3 turut memberi cabaran untuk memastikan Kak Marr dapat menandingi populariti Mak Cun.

Bagaimanapun ujar Emi, dia sudah membuat yang terbaik agar drama ini disukai ramai.

"Dalam drama ini, ramai juga pelakon baharu terlibat dan saya perlu bimbing mereka agar saya dapat lakonan yang saya mahu.

"Tapi saya dah cuba buat yang terbaik kerana saya bukan sahaja bimbing pelakon baharu tapi juga perlu memastikan karakter Che Ta sebagai Kak Marr tidak lari dan konsisten.

"Jadi sekarang terpulang kepada penonton sama ada mereka suka atau tidak dengan perjalanan drama ini," ujarnya.

Tambah Emi, Kak Marr menampilkan kelainan dalam setiap episod.

Jelasnya, dalam setiap episod, ada komedi, pengajaran dan jalan cerita yang berbeza yang dipaparkan untuk tontonan penonton.

"Dalam drama ini, saya banyak selitkan cerita pasal masyarakat tapi lebih kepada suasana di kampung.

"Justeru saya berharap drama ini mendapat sambutan bagus kerana dapatlah ia bersambung kepada Kak Marr 2.

"Namun apa yang penting, penonton terhibur dengan jalan cerita drama ini dan memberi teladan yang baik kepada semua," akhirinya.

Sifat dengki 

Drama Kak Marr mengisahkan Kak Marr (Che Ta) bekas jurusolek artis yang cantik, glamour dan terkenal dalam bidangnya itu. Namun setelah meningkat usia, Kak Marr mengambil keputusan untuk bersara dan pulang ke kampungnya. 

Di kampung, Kak Marr membuka sebuah gerai makan yang mendapat sambutan dan terkenal dengan mee udangnya. Kecantikan Kak Marr juga membuatkan seorang duda bernama Zolkifli (Redza Rosli) jatuh cinta tapi sering kali terlepas peluang untuk menyatakan rasa hatinya kepada Kak Marr. 

Kak Marr turut menjual produk kecantikan dan ramai juga orang kampung terutamanya golongan isteri dan gadis berpusu-pusu datang ke kedainya untuk turut menjadi cantik dan bergaya seperti Kak Marr.

Namun kerana kehadiran Kak Marr, membuatkan perniagaan Asmah (Izreen Azminda) yang menjual laksa semakin merudum. Tiada lagi pelanggan datang ke kedainya, jualannya juga tidak habis kerana semua orang bertumpu ke kedai Kak Marr. 

Ditambah hasutan Kak White yang dengki dengan kejayaan Kak Marr. Kak White turut mencadangkan kepada Asmah untuk berjumpa bomoh bagi merosakkan perniagaan Kak Marr. 

Berjayakah rancangan Asmah untuk menjatuhkan Kak Marr?

Tuesday, January 19, 2016

Tambah beban, tak sensitif - Harian Metro

afiq_hanif@hmetro.com.my

Faktor Internet banyak membantu memudahkan urusan seharian sehingga menjadikan teknologi terbabit antara inovasi paling unggul dalam beberapa dekad ini yang terkenal dengan jolokan 'dunia tanpa sempadan.'

Kemudahan ini juga secara tidak langsung turut menjadikan dunia semakin mengecil.

Bukan saja pelbagai maklumat boleh dicapai di hujung jari dengan kadar segera, jaringan perhubungan juga semakin meluas hingga jarak jutaan kilometer bukan lagi penghalang.

Namun, apabila segala-galanya mahu diinternetkan, bermulalah edisi viral terutama apabila media sosial digunakan secara meluas.

Pengguna beria-ia memviralkan segalanya tanpa usul periksa sehingga ada antaranya mengakibatkan kita menjatuhkan air muka orang lain tanpa disedari.

Mengikut laman kamus Oxford, viral membawa maksud imej, video, maklumat dan sebagainya yang tersebar secara pantas serta meluas di Internet.

Kejayaan sesuatu viral terbabit bergantung kepada tiga faktor iaitu pembawa, kandungan dan penerima­nya.

Pembawa viral ini biasanya memperoleh maklumat daripada pihak ketiga seperti berita atau menyunting sendiri kandungan sebelum memindah turunnya di Internet.

Bergantung kepada jenis kandungan pula yang biasanya bersifat seram, sedih, kelakar, gembira atau lain daripada yang lain, ia pantas tersebar di Internet tidak kira mediumnya berbentuk teks, gambar atau video.

Namun, situasi semasa juga mempengaruhi kesan viral terbabit untuk tersebar secara meluas di Internet.

Penerima pula akan memanjangkan kandungan terbabit di Internet sama ada melalui media sosial atau aplikasi sembang seperti Facebook dan WhatsApp.

Di Malaysia pengguna Facebook menjangkau sehingga 18 juta dengan populasi keseluruhannya 30.5 juta orang yang jelas menunjukkan lebih 59 peratus rakyat di negara ini menjadikan laman terbabit sebagai medium bersosial paling berpengaruh.

Sementara itu, penembusan 100 peratus telefon bimbit di negara ini memberi peluang kepada aplikasi sembang seperti WhatsApp dipindah turun 77 peratus pengguna telefon yang menjadikan antara aplikasi permesejan paling popular.

Berdasarkan dua medium terbabit, tidak hairan sesuatu perkara itu akan menjadi viral dalam sekelip mata.

Ditambah pula, kedua-duanya mempunyai konsep 'page' serta 'group' yang membolehkan ahlinya menyebarkan sesuatu seterusnya dikongsi ahli lain.

Ratusan 'page' atau laman di Facebook pula memberikan dimensi baru bagi memviralkan sesuatu apabila 'admin' pantas berkongsi kandungan kepada pengikut.

Manakala perkongsian di 'group' WhatsApp pula menjadikan viral terbabit lebih meluas sehingga sukar mengenali siapa yang pertama menyebarkannya.

Itu belum lagi dikira media sosial atau aplikasi permesejan lain seperti Twitter, Instagram, Line, Telegram, WeChat yang menyebabkan kandungan tersebar.

Bagaimanapun, buruk­nya apabila penyebaran maklumat terbabit tanpa usul periksa sumber dan kandungannya sehingga ada yang mengambil kesempatan sehingga mengakibatkan kandungan palsu berleluasa di Internet tanpa batasan.

Misalnya, tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang melaporkan kejadian dua murid dipukau sebelum dipaksa mengemis hingga viral di laman sosial menimbulkan kekecohan di kawasan pasar malam Kuala Berang, Terengganu, baru-baru ini.

Ia dinafikan sendiri Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu Jalaludin Ismail yang menjelaskan ia sebenarnya berpunca daripada salah faham.

Menurutnya, kedua-dua murid berkenaan yang masing-masing berusia sembilan dan 12 tahun sebenarnya menunggu ibu seorang daripada mereka yang bekerja di Kuala Berang untuk mengambil mereka di pasar malam itu.

Menurutnya, selepas gambar kedua-dua murid itu viral, seorang ahli keluarga mereka pergi ke pasar malam itu mengambil mereka berdua yang tinggal berjiran.

Katanya, sekali lagi berlaku salah tanggapan apabila ada pihak mendakwa individu terbabit bukan ahli keluarga, sebalik­nya mempunyai niat jahat mempergunakan kedua-dua murid itu.

Penyebar maklumat terbabit mungkin tidak faham situasi dari awal sehingga mengeposnya di Internet yang disebarkan individu lain tanpa usul periksa.

Adakalanya, penyebar maklumat langsung tidak bertanya terlebih dulu dan membuat andaian sendiri sehingga mencetuskan salah faham.

Perbuatan merakam foto atau video tanpa pengetahuan subjek itu sendiri boleh mengakibatkan salah faham apatah lagi sekiranya ia menjadi viral mencetuskan situasi yang kurang menyenangkan.

Siapa yang mahu bertanggungjawab sekiranya perbuatan viral terbabit memalukan individu tertentu?

Satu lagi kes membabitkan kuaci jenama terkenal yang didakwa tidak halal dan disebarkan di aplikasi WhatsApp meskipun mereka pemegang sijil halal Malaysia yang sah.

Viral terbabit bagaimanapun dinafikan Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Hakimah Mohd Yusoff berkata yang mengatakan laporan akhbar yang disebarkan itu adalah berita yang tersiar pada 2010.

Viral sebenarnya boleh satu fitnah yang membawa kesan lebih besar. Misalnya sekiranya ia memberi kesan kepada sesuatu perniagaan sehingga lumpuh perniagaan terbabit, siapa yang mahu bertanggungjawab sekiranya pekerja terpaksa diberhentikan? Siapa yang memberi makan kepada keluarga pekerja terbabit?

Penerima viral pula kurang memberi perhatian dalam memeriksa sumber. Asalkan cukup saja membaca mesej 'sebarkan, ini pesan dari ketua polis' dan banyak lagi yang kononnya sumber itu dan ini tanpa bukti kukuh.

Mereka juga tidak memeriksa sumber terbabit daripada badan bertanggung­jawab yang kebanyakannya mempu­nyai laman Facebook sendiri atau platform lain memungkinkan pengguna memeriksa kesahihan sesuatu viral.

Meskipun begitu, viral juga ada baik atau nilai positif sekiranya kena pada tempatnya.

Misalnya, selebriti Azwan Ali melalui situasi viral apabila menyelar peminat yang memperkenalkan kepadanya restoran Menate yang disangka mengecamnya sebagai binatang.

Ekoran viral terbabit, restoran terbabit mencuri perhatian ramai yang berpusu-pusu mengunjungi lokasi sehingga tidak menang tangan pemiliknya melayan.

Itulah dikatakan viral positif meskipun sebelum itu datang daripada sumber yang negatif.

Terbaru, foto viral dan teks seperti 'Jadilah Seperti Rashid' yang mendapat adaptasi dari 'Be Like Bill' berupaya memberi unsur positif dalam kehidupan seharian.

Datang dalam bentuk sindiran dan kiasan, ia boleh dinilai mengenai mesej dinyatakan yang rata-ratanya menunjukkan moral yang perlu diteladani semua pihak.

Lebih-lebih lagi, kaedah seumpama itu amat bersesuaian untuk golongan muda kini yang semakin bergantung kepada teknologi Internet dan dianggap antara dakwah terbaik untuk mendekati mereka.

Apa-apa pun , kita boleh menilai sendiri keadaan viral di negara ini yang ada antaranya membimbang­kan.

Mana tidaknya, tidaklah ia menjadi viral apabila pengguna sendiri berupaya menilai sesuatu itu dengan baik dan tidak menyebarkannya di Internet.

Dari sudut lain, ruang kreativiti yang ada dalam kalangan rakyat negara ini disalah guna untuk tujuan yang salah.

Pandai dalam menyunting dan mengolah ayat dijadikan platform menyebarkan sesuatu yang tidak sahih sehingga menimbulkan panik dalam kala­ngan pengguna.

Cukup-cukuplah menyebarkan viral yang tidak diketahui hujung pangkal sehingga ramai mangsa terpaksa membuat laporan polis.

Ia sekali gus menambah beban pihak berkuasa sedia ada yang terpaksa membuka kes yang pada asalnya tidak perlu dilakukan.

Monday, January 18, 2016

Ranhill Holdings tubuh syarikat di China - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Anak syarikat Ranhill Hol­dings Bhd. (Ranhill), Ran­hill Water Hong Kong Ltd. (RWHK), menubuhkan sebuah syarikat di China, Ranhill (Yongxin) Water Co. Ltd. untuk meneroka sektor rawatan sisa air di negara tersebut.

Ranhill berkata, Ranhill (Yongxin) akan melaksanakan reka bentuk, pembinaan dan operasi loji rawatan sisa air bagi Taman Perindustrian Maoping, Yongxin County di wilayah Jiangxi.

Katanya, setakat hari ini syarikat tersebut masih belum memulakan operasi perniagaannya dan modal berdaftar syarikat tersebut adalah bernilai AS$5 juta (RM22 juta) dan belum dibayar sepenuhnya.

"Sebagai sebuah syarikat yang diperbadankan di China, Ranhill (Yongxin) tidak mempunyai modal saham yang dibenarkan. Ranhill (Yongxin) bukan sebuah syarikat yang mengeluarkan saham dan modal berdaf­tarnya mewakili kepentingan ekuiti apabila bayaran dijelaskan.

"Ranhill (Yongxin) merupakan sebuah anak syarikat milik penuh RWHK," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Katanya, Lembaga Pengarah berpendapat bahawa penubuhan syarikat tersebut adalah untuk melaksanakan pengembangan perniagaan masa depan dan demi kepen­tingan terbaik syarikat.

Ranhill akan disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 18 Februari ini.

Sunday, January 17, 2016

Dr. Vida tetap mahukan pink - Utusan Malaysia

KOTA BHARU - Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida akan terus berjuang bagi memastikan warna merah jambu dan putih menjadi jersi utama pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Dr. Vida berkata, sebagai penaja utama beliau mahu warna tersebut menjadi teras selaras dengan tanda perniagaan produk Qu Puteh.

"Saya yakin dan percaya warna merah jambu dan putih itu tidak akan mengugat semangat para pemain Pamoga Qu Puteh The Red Warriors untuk memberikan aksi terbaik dalam saingan musim ini," katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang menegaskan jersi Kelantan kekal dengan warna tradisi iaitu merah, selain warna putih/biru untuk jersi ke­dua, manakala merah jambu untuk jersi ketiga.

Annuar menerusi akaun Facebooknya menulis, Kelantan tetap akan menggunakan warna merah sebagai jersi utama, manakala jersi tempat lawan berwarna putih dan biru serta warna merah jambu untuk jersi ketiga.

Jersi yang ditaja syarikat terkemuka Nike itu bakal dilancarkan pada 10 Febuari ini.

Dr. Vida memberitahu, jersi tersebut akan direka bentuk dengan menarik bagi memastikan ia mampu memberi 'aura' tersendiri.

Katanya, bukan itu sahaja jersi berkenaan dijangka mampu mencetus fenomena baharu dalam sukan bola sepak di negara ini.

Musim ini Dr. Vida mencetus fenomena baharu apabila bersetuju untuk menaja Kelantan selama dua tahun dengan nilaian sebanyak RM16 juta bersama 33 syarat.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) Mahizi Mahmood berkata, pihaknya tidak tidak kisah jika jersi pasukan Kelantan musim ini berwarna merah jambu.

"Apa yang penting pasukan ber­aksi dengan cemerlang dalam setiap perlawanan yang diharungi.

"Harapan kami agar, Kelantan akan kembali digeruni pada musim ini serta mampu meraih kejayaan," katanya.

Kelantan menutup musim 2015 tanpa sebarang kejuaraan.

Saturday, January 16, 2016

Iran rai kejayaan, sekatan ditarik balik - Berita Harian

SETIAUASAHA Amerika Syarikat John Kerry (kiri) bincang dengan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif selepas Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan bahawa Iran telah memenuhi semua syarat-syarat di bawah perjanjian nuklear, di Vienna. - Foto REUTERS

VIENNA: Presiden Iran, Hassan Rouhani, menyifatkan negaranya mencapai kejayaan gemilang apabila sekatan ke atas Republik Islam itu ditarik balik berikutan persetujuan perjanjian nuklear dengan kuasa besar dunia.

Di Washington, Presiden Barack Obama menandatangani arahan eksekutif menarik balik sekatan ekonomi terhadap Republik Islam itu, manakala Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, berkata Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan Iran sudah melakukan semua langkah dipersetujui menurut perjanjian itu.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Federica Mogherini, mewakili enam kuasa dunia, berkata sekatan ekonomi dan kewangan pelbagai hala dan dalaman berkaitan program nuklear Iran ditarik balik.

Ia termasuk sekatan ke atas eksport minyak Iran dan membuka negara dengan 80 juta penduduk itu kepada peluang perniagaan.

Rouhani turut meramalkan 'tahun kemakmuran' untuk negaranya. - AFP

Friday, January 15, 2016

Program Perintis Keusahawanan UMK Manfaat 100 Belia Malaysia - Bernama

Oleh Khatijah Jistoh

TAWAU, 16 Jan (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan memulakan program perintis keusahawanan selama setahun yang akan memberi manfaat kepada 100 belia dari komuniti terpinggir di Malaysia termasuk 20 belia di Tawau mulai akhir Januari ini.

Ketua Program bagi Geran Penyelidikan Jangka Panjang Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia UMK Prof Dr Raja Suzana Raja Karim berkata program itu merupakan susulan perencanaan atau penyelesaian kepada hasil kajian penyelidikan yang dilakukan selama dua tahun sebelum ini.

Beliau berkata hasil penyelidikan mengenai 'Youth in Marginalized Communities: towards Regenerating Youth Development' itu akan menumpukan kepada belia yang memiliki tiga kriteria yang ditetapkan untuk diperkasakan ke arah belia keusahawanan sosial.

Kriteria itu meliputi belia di Malaysia berumur antara 15 dan 25 tahun serta belia yang berlatarbelakangkan daripada keluarga berpendapatan rendah di bawah RM3,500 (miskin bandar) serta RM2,000 (luar bandar) seterusnya lokasi belia tersebut dibesarkan.

Suzana berkata belia yang terpilih dalam program keusahawanan itu akan diberi sokongan latihan untuk berniaga selain mendapat bimbingan daripada usahawan berjaya yang dilantik.

"Belia ini akan diberi latihan membangunkan perniagaan (membuka syarikat) dan seterusnya akan disokong secara tunjuk ajar dan mentor dalam tempoh 18 hingga 24 bulan bagi memastikan kejayaan belia ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh program perintis itu dilaksanakan, ukuran perubahan belia sebagai usahawan baharu akan dinilai dalam bentuk Pulangan Sosial atas Pelaburan (SROI).

"SROI ini kita bukan melihat semata-mata pada pulangan kewangan tetapi dari sudut perubahan belia ini iaitu jika sebelum ini belia ini tidak memiliki apa-apa dan mereka ini mungkin memiliki perubahan pada tingkah laku diri serta kewangan," tambahnya.

Jelas Suzana terdapa t lima jenis perniagaan yang mendapat perhatian para belia untuk dibangunkan iaitu perniagaan dalam talian, perniagaan berunsurkan kesihatan dan kecantikan, perniagaan agrotani, perniagaan usahawan ilmu termasuk pusat tuisyen, perniagaan fesyen dan jahitan serta perniagaan bakery dan pastry.

"Seramai 20 belia di Tawau ini akan menumpukan perniagaan kepada bakery dan pastry ini sahaja dan kami akan lihat hasilnya dalam setahun," tambahnya.

Sementara itu bagi mengukuhkan kewangan 20 belia di Tawau itu, Suzana turut meminta agar Kementerian Belia dan Sukan Negeri serta agensi pinjaman kerajaan seperti Mara, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia supaya dapat bersama membantu anak-anak muda daerah itu untuk diperkasakan menjadi usahawan berjaya.

"Kalau boleh saya mahu mereka ini diberi bantuan kewangan dalam bentuk geran atau cagaran yang mana mungkin bantuan itu mereka tidak perlu bayaran secara bulanan balik tetapi secara SROI," katanya.

Bagi Suzana, belia terpinggir itu perlu diperjuangkan ekoran anak muda yang datang daripada keluarga susah itu tidak memiliki keselamatan bagi membolehkan mereka keluar daripada kelompok garis kemiskinan.

"Sekarang ini untuk mulakan perniagaan sekarang pun susah. Kita kena wujudkan sokongan dan bantuan yang pastinya akan memberi nilai pulangan besar kepada ekonomi belia itu dan negara. Kalau tidak anak-anak ini akan terbiar," katanya lagi.

-- BERNAMA

3P tingkatkan pendapatan online - Harian Metro

Dalam keadaan ekonomi hari ini, ramai yang mengeluh soal kos sara hidup yang semakin tinggi dan mencari peluang lain dalam menjana pendapatan tambahan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Industri Datuk Ahmad Maslan melancarkan kempen #TambahPendapatan baru-baru ini bagi mengalakkan orang ramai untuk melihat Internet sebagai peluang dalam menjana pendapatan tambahan melalui perniagaan secara separuh masa.

Peluang memulakan perniagaan Internet secara sambilan sememangnya antara pilihan yang boleh dimulakan oleh sesiapa saja. Justeru kini, rata-rata menggunakan telefon pintar yang dalam capaian tangan boleh mengakses kedai dalam talian (online) tempatan dan seluruh dunia dengan hanya tekanan beberapa butang.

Keadaan ini satu peluang terbuka luas khususnya bagi mereka yang ingin menjana pendapatan tambahan melalui perniagaan dalam talian. Pasaran yang begitu besar dan luas dalam kalangan pengguna telefon pintar dan Internet itu sendiri menjadi pasaran sedia ada bagi peniaga Internet secara sambilan.

Untuk memudahkan langkah awal dalam memulakan perniagaan Internet secara sambilan, formula 3P boleh digunakan iaitu produk, platform dan promosi. Apakah maksud formula 3P?

P- untuk Produk

Memulakan perniagaan Internet pastinya memerlukan produk atau perkhidmatan untuk dijual. Ini terutama jika perniagaan yang ingin dimulakan adalah perniagaan sambilan, terbaik memulakan perniagaan yang berdasarkan minat atau hobi kita.

Apa tidaknya, apabila balik dari pejabat mungkin sudah penat bekerja, tiba masanya untuk melakukan sesuatu yang boleh memberi kepuasan kepada diri sendiri, bukan saja pada wang. Jadi, P yang

pertama adalah mendapatkan produk dan perkhidmatan mengikut minat atau hobi.

Melakukan sesuatu perniagaan berdasarkan minat bukan saja memberi kepuasan, tetapi juga memberi momentum untuk terus berusaha. Perniagaan yang dijalankan tidak dilihat sebagai satu 'kerja', tetapi sebagai suatu hobi yang dilakukan pada masa lapang. Bayangkan, melakukan sesuatu yang digemari dan kemudian menjana pendapatan!

P- untuk Platfom

Untuk memulakan perniagaan sambilan cara mudah adalah dengan menggunakan platfom yang anda sedia ketahui.

Contoh, mungkin anda biasa menggunakan Facebook atau Instagram. Mungkin juga kita sering menonton video di YouTube dan menggunakan e-mel. Contoh sebegini saja dapat memberi gambaran bahawa ilmu menggunakan perisian ini sudah anda miliki cuma kaedah hendak menjadikan platform yang kita biasa gunakan ini untuk berniaga.

Mungkin kini kita sering menggunakan Facebook untuk mendapatkan informasi dan berhubung dengan kenalan dan keluarga atau menggunakan emel untuk tugas harian. Sekurang-kurangnya kita sudah tidak lagi janggal dalam menggunakan platfom sebegini kerana asas penggunaannya sudah kita ketahui. Ini akan menjimatkan banyak masa dan usaha - tidak perlu lagi belajar dari mula, tetapi perlu tahu cara menggunakannya untuk tujuan berniaga.

P- untuk Promosi

Pelajari strategi dan teknik promosi platfom yang anda pilih. Tanpa teknik dan strategi yang betul, pastinya sukar mendapat pelanggan. Ramai yang bertanyakan saya, mereka sudah menggunakan Facebook, Instagram dan platform media sosial lain tetapi masih sukar mendapat pelanggan.

Jawapannya mudah. Teknik dan strategi promosi yang digunakan itu tidak efektif. Malah ada yang hanya menjatuhkan kredibiliti perniagaan sendiri kerana melakukan teknik yang tidak beretika (tanpa disedari).

Teknik promosi juga berbeza untuk platform yang dipilih.

Teknik promosi Facebook berbeza daripada e-mel. Teknik promosi YouTube juga berbeza dengan Instagram. Sememangnya lebih banyak teknik dan kaedah promosi yang dipelajari, ia lebih baik untuk perniagaan.

Namun untuk perniagaan sambilan, memadai untuk kita mengetahui teknik terbaik untuk satu-satu jenis platfom yang dipilih dan beri fokus kepada platfom terbabit saja kerana kekangan masa menjalankan perniagaan sambilan.

Formula pendapatan tambahan menggunakan 3P adalah untuk mempermudahkan usaha dalam memulakan dan menjana pendapatan sambilan tambahan. Faktor kekangan masa, modal dan ilmu berniaga khususnya memerlukan peniaga sambilan di Internet memberi fokus kepada kekuatan dan kelebihan sedia ada pada diri dan memanfaatkannya supaya relevan untuk menjana pendapatan tambahan di Internet.

Dalam mencapai kejayaan perniagaan sama ada sepenuh masa atau sambilan, ia semestinya memerlukan usaha. Dalam keadaan kos hidup yang kian meningkat, usaha perlu dipertingkatkan dan alasan perlu dibuang.

Bilakah waktu terbaik memulakan perniagaan sambilan menggunakan formula 3P?

Tidak kira waktu! Apa yang penting, anda mulakan perniagaan sekarang. Anda sendiri yang perlu menjadikan waktu ini waktu terbaik dalam memulakan perniagaan.

Sekiranya ingin memulakan perniagaan, jangan fikir negatif pada diri sendiri. Jika berfikir negatif, maka sampai bila pun kita tidak akan mengambil langkah pertama.

Teringat saya pada satu mutiara kata. "Adakalanya kita akan menyesal dengan apa yang sudah kita lakukan. Tetapi adakalanya juga kita akan menyesal dengan apa yang kita TIDAK LAKUKAN.

Jangan pula satu hari nanti, dua tahun akan datang, lima tahun akan datang atau 10 tahun akan datang, anda terfikir kembali. Kalaulah aku mulakan perniagaan 10 tahun dulu, kan ke hidup aku dah berubah."