Sunday, July 17, 2016

Zahid tumpu 10 perkara dalam lawatan di India - Utusan Malaysia

NEW DELHI 17 Julai – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lawatan kerja beliau ke negara ini akan merintis jalan ke arah memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dan ekonomi kedua-dua negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sehubungan itu beliau akan memberi tumpuan terhadap 10 perkara untuk dibincangkan dengan pemimpin negara ini.

"Ini merupakan lawatan kerja pertama saya ke negara ini selaku Timbalan Perdana Menteri susulan lawatan Perdana Menteri Narendra Modi pada Oktober tahun lalu," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mendengar taklimat lawatan kerja beliau 
di sini hari ini.

Terdahulu ketibaan beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis di Lapangan Terbang Indira Ghandi disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India, Datuk Naimun Ashakli.

Beliau seterusnya diberi taklimat oleh Naimun berhubung lawatan kerja tersebut.

Katanya, hubungan dengan India penting kerana negara itu merupakan negara ke-10 terbesar dari segi dagangan dan ketujuh terbesar dari segi eksport.

"Pelaburan dari Malaysia ke negara ini juga mencecah RM5 bilion dalam pelbagai bidang antaranya kemudahan awam," ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, terdapat juga permintaan daripada syarikat Malaysia terhadap tenaga kerja khususnya untuk sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Perkara itu kata beliau, akan diperincikan lagi dalam lawatan tersebut dengan mengambilkira sensitiviti pelbagai pihak di Malaysia..

"Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga sedang berusaha untuk meningkatkan kehadiran pelancong India ke Malaysia yang kini berjumlah lebih 700,000 orang," katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau akan membincangkan pelaksanaan e-visa bagi menarik lebih ramai pelancong dari negara ini.

Ahmad Zahid berkata, perkara lain yang akan dibincangkan ialah kerjasama pendidikan, pertahanan, meningkatkan lagi pelaburan Malaysia ke negara ini dan memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua negara.

"Isu keselamatan khususnya jenayah merentasi sempadan juga akan dibincangkan," katanya.

Ini kerana kata beliau, ada penjenayah dari Malaysia melarikan diri ke negara ini dan juga yang menjadikan Malaysia untuk memasuki India. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment